oleh A. Sivarajan

Kami memahami dan berterima kasih kepada keprihatinan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang ingin melakukan sebaiknya melalui Proklamasi Darurat, dengan hasrat membendung penularan wabak COVID-19. Sebagai rakyat Malaysia yang fahami dan terima seruan Yang di-Pertuan Agong, maka kita bersedia bekerjasama mengikuti langkah-langkah penjagaan demi memerangi penularan wabak COVID-19.

Dengan penangguhan sesi Parlimen dan Pilihanraya, kami menyeru pada Kerajaan Muhyiddin Yassin agar menggunakan kuasa Darurat hanya untuk mengawal wabak COVID-19 sahaja, dan tidak menyalahgunakannya untuk kepentingan politik Kerajaan Perikatan Nasional (PN). Ruang demokrasi yang terjamin dalam Perlembagaan Malaysia harus senantiasa dikekalkan dan dipratikkan. Sepertimana yang dijelaskan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, perintah Darurat ini bukanlah suatu rampasan kuasa tentera (military coup) dan Kerajaan Awam akan berfungsi seperti biasa, maka segala hak rakyat yang sah harus dihormati dan tidak diketepikan.

Apa jua Ordinan Darurat yang akan diimplementasi, tidak seharusnya mengekang suara kritis rakyat terhadap apa jua polisi atau tindakan Kerajaan yang menjejaskan rakyat. Keterbukaan dan libat urus untuk menerima maklumbalas rakyat harus sentiasa disediakan. Ordinan-ordinan Darurat tidak seharusnya digunakan untuk menyekat kebebasan bersuara rakyat yang ikhlas dan relevan. 

PSM mengalu-alukan cadangan Kerajaan yang dipersetujui oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk sebuah Jawatankuasa Khas Bebas yang dianggotai oleh Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang untuk menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sama ada Darurat boleh ditamatkan lebih awal atau tidak. Kami berharap Jawatankuasa ini juga ditugaskan untuk memantau pelaksanaan langkah-langkah kawalan COVID-19 dan menyediakan saluran maklumbalas daripada rakyat dan organisasi masyarakat sivil dari masa ke semasa.

PSM juga akan memantau jaminan yang diberikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Jawatankuasa Khas Bebas ini juga akan menasihati bila masa yang sesuai untuk negara kita mengadakan Pilihanraya Umum, sebaik sahaja situasi wabak COVID-19 reda.

Hanya dengan hak kebebasan bersuara dihormati dan Kerajaan terbuka untuk menerima maklumbalas rakyat, barulah kita dapat pastikan perintah kawalan ketika Darurat ini tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak.

PSM juga risau bahawa perintah Darurat ini akan diambil kesempatan oleh golongan kapitalis untuk merampas hak tanah dan sumber alam daripada rakyat. Jika aktiviti ekonomi seperti pembalakan, pembangunan yang akan mengusir penduduk atau petani, dan perampasan tanah adat orang asli masih berterusan semasa Darurat, maka bagaimanakah rakyat akan bersuara menentang penindasan ini? Rakyat akan terhimpit jika mereka terpaksa akur kepada perintah kawalan dan dihalang melakukan apajua protes untuk menghentikan tindakan golongan kapitalis yang merampas hak mereka.

Justeru, Perintah Kawalan Pergerakan dan Darurat haruslah diguna pakai ke atas semua aktiviti ekonomi yang akan menjejaskan kehidupan rakyat setempat, sama ada di kawasan tanah adat orang asli, hutan terpelihara, kawasan sensitif alam sekitar, kawasan peneroka bandar, tanah yang diusaha petani dan sebagainya.

Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dan ingin patuhi langkah-langkah kawalan kesihatan, Ordinan Darurat yang akan diperkenalkan haruslah menjunjung hak asasi rakyat dan tidak seharusnya disalahgunakan untuk apa jua kepentingan politik atau keuntungan mana-mana pihak korporat.

=========

A. Sivarajan ialah Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).

One thought on “Ruang demokrasi rakyat harus dihormati walaupun isytihar Darurat

  1. Mana-mana sosialis akan bersetuju dengan perenggan 12 hingga 15 yang memberi kuasa kepada pemerintah untuk memerintah kemudahan swasta milik kapitalis dalam memerangi COVID-19. Ini tidak dapat dicapai di bawah MCO biasa terhadap tentangan undang-undang yang rumit oleh pemilik kapitalis kemudahan ini.
    12. Dalam konteks ini, beberapa Ordinan Darurat boleh dimasyhurkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong bagi tujuan membendung wabak COVID-19 yang merangkumi hal-hal berkaitan penggunaan aset hospital swasta, pengambil milikan sementara tanah, bangunan atau harta alih hospital swasta atau membuat permintaan untuk penggunaan sumber hospital swasta bagi tujuan merawat pesakit COVID-19.

    13. Sehubungan itu, Kerajaan juga boleh mendapatkan penglibatan yang lebih inklusif daripada pihak swasta termasuk kemudahan penjagaan kesihatan swasta bagi membantu meringankan beban yang ditanggung oleh agensi Kerajaan terutamanya hospital awam. Menerusi ordinan ini, bantuan yang boleh diperolehi daripada pihak swasta meliputi sumber manusia, kepakaran, fasiliti, aset, makmal ujian dan utiliti.

    14. Di samping itu, kuasa-kuasa perlu di bawah Ordinan ini juga akan digunakan untuk memudahkan urusan dan mengatasi apa-apa peraturan yang menyukarkan penyampaian perkhidmatan kesihatan awam secara pantas, cekap dan berkesan dalam masa pandemik ini.

    15. Suatu ordinan juga boleh dimasyhurkan untuk memperuntukkan kuasa penguatkuasaan kepada Angkatan Tentera Malaysia selain kuasa yang sedia ada, mengikut kuasa-kuasa yang diperuntukkan kepada Polis Diraja Malaysia di bawah Kanun Tatacara Jenayah atau mana-mana undang-undang penguatkuasaan lain yang berkaitan.

    Muat turun versi Bahasa Melayu
    https://www.pmo.gov.my/wp-content/uploads/2021/01/TEKS-UCAPAN-DARURAT-PM.pdf

    Muat turun versi Bahasa Inggris
    https://www.pmo.gov.my/wp-content/uploads/2021/01/PM-SPEECH_EMERGENCY.pdf

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *