Deklarasi Hari Habitat 2020: Perumahan dan COVID-19

oleh Biro Perumahan dan Peneroka Parti Sosialis Malaysia (PSM)

Selamat Hari Habitat.

Tahun ini merupakan satu tahun yang paling mencabar untuk umat manusia keseluruhannya. Serangan wabak COVID-19 ternyata mengubah landskap dunia hari ini. Hampir semua pergerakan manusia dan alam sekitar terjejas tetapi ternyata manusia sangat kerdil berbanding kekuatan alam sekitar. Dunia sedang mengubati diri sendiri. Maka, bagaimana keperluan asas termasuk perumahan perlu dipenuhi adalah menjadi cabaran rakyat dan kerajaan.

Tahun ini, kita menyambut Hari Habitat pada hari Isnin 5 Oktober 2020. Perumahan merupakan satu keperluan asasi rakyat dan selama ini rakyat tidak menikmati tawaran perumahan yang selesa mampu milik/sewa kerana menjadi alat perniagaan yang menguntungkan kaum pemodal. Pertukaran rejim ternyata tidak menukar hala tuju sistem perumahan negara dan cara bagaimana kita melihat skim perumahan mampu milik yang masih menjadi mimpi untuk majoriti rakyat Malaysia.

Walaupun kami memuji tindakan kerajaan melaksanakan moratorium pinjaman perumahan daripada bank untuk rakyat Malaysia yang dilaksanakan dari bulan Mac hingga September 2020 serta membatalkan bayaran sewa Program Perumahan Rakyat (PPR) Persekutuan dan Negeri, banyak isu penting perlu dibawa bincang oleh Kerajaan Perikatan Nasional termasuk:

  • Pembinaan rumah mampu milik / mampu sewa untuk golongan B40/M40. Pada Ketika ini, paras pendapatan kemiskinan telah dinaikkan kepada RM 2208 sebulan, maka wujud keperluan untuk membina rumah kos rendah yang lebih banyak untuk rakyat Malaysia.
  • Isu kenaikan harga rumah, adakah kerajaan masih mengikut rentak pemaju yang menganggap rumah sebagai komoditi untuk dijual ataupun melihat perumahan itu sebagai suatu hak rakyat.
  • Mengapakah Skim Perumahan Sewa Beli yang semakin dituntut oleh rakat tidak diberi perhatian serius? Pada ketika kegawatan ekonomi dan rakyat kehilangan punca pendapatan, skim perumahan ini mampu menyelamatkan keperluan rumah mereka.
  • Apakah polisi Kerajaan Negeri terhadap peneroka bandar / pekerja ladang? Mengapa sehingga hari ini, masih wujud pengusiran paksa peneroka bandar / pekerja ladang? Adakah mereka harus menerima nasib pengusiran ini padahal kerajaan yang gagal sediakan rumah untuk mereka sebelum tanah mereka dibangunkan?
  • Bagaimana Kerajaan akan membantu penyelenggaraan rumah pangsa kos rendah?

Pada tahun ini, Hari Habitat Sedunia diraikan dengan tema “Perumahan Untuk Semua: Masa Depan Bandar yang Lebih Baik”. Kami ingin mengetengahkan beberapa isu yang harus diambil kira yang memang sesuai dengan tema sejagat ini iaitu :

a) Harga rumah melambung tinggi dan dan tidak turun walaupun pada zaman pandemik ini

Peningkatan harga rumah sejak sedekad yang lalu memang sesuatu yang tidak masuk akal. Rakyat biasa dengan gaji minimum tidak mampu untuk membeli rumah biasa yang baru dibina. Harga biasa untuk rumah teres sudah melangkaui RM 250,000 di bandar-bandar kecil dan melebihi RM 500,000 di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang. Seorang pekerja biasa dengan gaji minimum RM1,200 sebulan tidak mampu melepasi had kelayakan bank untuk pinjaman perumahan ini. Adalah jelas bahawa, kegagalan golongan pemerintah untuk mengiktiraf perumahan sebagai hak asasi dan mengambilalih fungsi penyediaan perumahan rakyat daripada pasaran (baca = untuk keuntungan) adalah punca utama rakyat berpendapatan biasa tidak mampu memiliki rumah. Krisis gelandangan turut meningkat kerana isu ini.

b) Rumah golongan marhaen dilelong dan moratorium tidak akan menghalang lelongan ini

Saban hari, kita melihat bagaimana rumah golongan marhaen dilelong kerana ketidakmampuan mereka membayar balik pinjaman perumahan. Pihak bank tiada tanggungjawab sosial untuk melihat kesan sosio-ekonomi masa kini terhadap rakyat biasa yang dihimpit dengan pandemik ini. Seruan untuk moratorium tidak diendahkan dan walaupun semua pihak baik ahli politik kedua-dua pihak melaungkan perlanjutan moratorium, jelas pihak bank hanya bersetuju untuk moratorium tersasar. Kami di PSM menerima moratorium tersasar ini, tetapi pihak bank tidak patut hanya menggunakan satu-satu kaedah ini sahaja untuk membantu rakyat biasa. Kerajaan melalui Bank Negara tidak keras dalam menetapkan regulasi secukupnya untuk menekan pihak bank supaya menyelesaikan krisis peminjam termasuk menawarkan skim penstrukturan semula dan skim pembayaran statik minimum untuk tempoh tertentu.

c) Pengusiran paksa peneroka bandar dan pekerja ladang masih berlaku sehingga ke hari ini

Baru-baru ini, Kampung Kastam dan Kampung Seri Makmur di ambang pengusiran paksa dan ini berlaku walaupun tampuk pemerintahan sudah bertukar. Akta Kanun Tanah Negara kita adalah berdasarkan sisten Torrens yang tidak mengenal hak ekuiti. Maksudnya, barangkali siapa pemiliki geran hak milik, maka dia ialah pemilik mutlak tanah dan bukannya penghuni kawasan tersebut walaupun sudah menduduki tanah tersebut sejak bergenerasi lamanya. Maka, pihak pemodal yang kaya dengan senangnya dapat membeli tanah peneroka dan menjadi pemilik bergeran. Mereka selalu mendapat perintah mahkamah untuk pengosongan tanah dan kebanyakan rakyat yang menduduki kawasan yang diteroka terpaksa diusir keluar. Kerajaan negeri tidak mengendahkan seruan supaya mewujudkan satu enakmen yang mewajibkan peneroka bandar yang diusir keluar supaya ditawarkan perumahan atau lot tanah tanah alternatif secara automatik.

d) Masalah rumah pangsa kos rendah

Jawatankuasa rumah pangsa, iaitu Badan Pengurusan Bersama (JMB) terpaksa menghadapi pelbagai kerumitan, terutamanya dalam mengutip wang penyelenggaraan daripada penghuni rumah pangsa. Ini menyebabkan keadaaan rumah pangsa yang tidak terjaga dan berkeadaan tenat. Selain itu, wang yang dikutip ini tidak mencukupi untuk menampung kos sekiranya berlaku kerosakan besar seperti bumbung bocor dan penyelenggaraan bangunan. Kemudahan asas di rumah pangsa kos rendah juga merupakan satu lagi masalah. Kebanyakan rumah pangsa tidak mempunyai tempat membuang sampah yang baik, tiada dewan serbaguna untuk menjalankan aktiviti, taman permainan yang berkeadaan teruk, tempat letak kereta yang tidak mencukupi dan tiada pejabat untuk JMB beroperasi. Selain itu, penghuni rumah pangsa kos rendah juga mengalami kesusahan dalam mendapatkan hak milik strata kerana isu perundangan yang rumit.

e) Pekerja ladang

Baru-baru ini, bekas pekerja Ladang Windsor di Taiping  diberi notis peguam untuk pengusiran paksa walaupun mereka telah menuntut Skim Perumahan Ladang. Pekerja ladang ditawarkan perumahan sementara di kawasan perladangan dan akan diusir keluar selepas mereka bersara. Ini dikenalpasti sebagai salah satu punca kewujudan penempatan peneroka bandar dan kerajaan masih tidak melaksanakan Skim Perumahan Masyarakat Ladang yang dibawa oleh Tun Razak pada awal 1970-an. Syarikat gergasi perladangan seperti Sime Darby, iaitu syarikat GLC (syarikat berkaitan kerajaan) yang dikawal oleh kerajaan, sepatutnya tiada masalah untuk melaksanakan polisi perumahan untuk pekerja ladang.

f) Penindasan terhadap pekerja migran, pelarian dan pencari suaka

Perumahan untuk pekerja migran dan pelarian adalah tanggungjawab kita dalam erti kata kemanusiaan. Malangnya seringkali perkhidmatan perumahan untuk mereka tidak pernah dititikberatkan malah diabaikan oleh majikan mahupun kerajaan. Pekerja migran dihimpit beramai-ramai di rumah kedai dan kini pula ada usaha untuk menghalau mereka dari rumah sewa PPR.

*****

Selaras dengan prinsip-prinsip Deklarasi Hak Asasi Manusia Manusia Sejagat serta Perlembagaan Persekutuan, kami, menuntut pada kerajaan agar memberi tumpuan kepada perkara-perkara berikut demi menjamin kesejahteraan rakyat dan menangani ketidaksamarataan semakin yang serius:

1. Perumahan Mampu Milik/Sewa untuk semua

  • Mengubal satu dasar perumahan negara yang memastikan perumahan yang sesuai melalui konsultasi dengan semua lapisan masyarakat.
  • Mengambilalih tanggungjawab menyediakan rumah pertama untuk rakyat dengan meletakkannya di bawah naungan kerajaan dan seterusnya mengawal spekulasi harga rumah. Kerajaan seharusnya mengeluarkan perkhidmatan perumahan rakyat daripada pasaran dan menekankan bahawa ia bukannya satu perniagaan untuk keuntungan.
  • Perumahan untuk golongan miskin mesti ada jaminan pinjaman bank yang munasabah dengan faedah yang amat rendah oleh pihak berkuasa supaya rakyat mampu beli rumah kos rendah yang ditawarkan kepada mereka.
  • Insurans rumah MRTA adalah diwajibkan untuk semua rumah yang dijual.
  • PSM mencadangkan supaya membina 200 unit rumah di setiap kawasan Parlimen di Malaysia dan sewakannya melalui skim perumahan mampu sewa untuk membolehkan masyarakat yang paling terpinggir juga mampu hidup berbumbung dengan kadar sewa yang paling minimum.
  • Kuota rumah majlis (council housing) khas untuk gelandangan.

2. Iktiraf peneroka bandar dan hentikan pengusiran paksa

  • Kerajaan harus mengiktiraf peneroka bandar dan perkampungan yang diduduki oleh mereka. Sekiranya tanah tersebut adalah hak milik kerajaan, maka hak milik tanah tersebut sepatutnya ditawarkan kepada penduduk dan bukannya dijual kepada pemaju untuk keuntungan.
  • Wujudkan satu enakmen/akta di mana Kerajaan Negeri/Persekutuan harus menyediakan skim perumahan atau lot tanah alternatif secara automatik sekiranya peneroka terpaksa diusir keluar kerana pembangunan kerajaan.
  • Untuk pembangunan swasta pula, kos perumahan peneroka harus dikongsi bersama oleh pemaju sebagai ganti rugi dan projek pembangunan swasta tersebut harus ditunda sehingga pemaju menunaikan kos tersebut.
  • Skim Perumahan Sendiri Tun Abdul Razak untuk pekerja Ladang harus digubal sebagai undang-undang. Hentikan pengusiran paksa pekerja ladang selepas usia persaraan mereka dan sedia skim perumahan ladang.

3. Lanjutkan moratorium – Hentikan kekejaman pihak bank terhadap golongan miskin

  • Moratorium untuk golongan tersasar harus dilanjutkan sehingga pandemik COVID-19 ini berakhir dan jangan letakkan halangan untuk menggagalkan moratorium ini. Bank Negara harus memainkan peranan untuk memastikan pihak bank tidak memangsakan peminjam yang benar-benar tidak mampu membayar balik pinjaman perumahan.
  • Hentikan lelong rumah rakyat sehingga pandemik ini berakhir dan sediakan sistem penstrukturan untuk membolehkan peminjam membayar pada tahap yang mereka mampu. Pembeli rumah harus ditawarkan penstrukturan pembayaran balik pinjaman yang lebih fleksibel (iaitu kurang daripada yang dibayar sebelum ini) untuk satu tempoh tertentu (setahun contohnya). Tempoh ini mampu membantu pembeli bertahan dengan dana daripada skim insurans pinjaman atau tabung pemberhentian kerja.
  • Wujudkan satu Skim Insurans Pinjaman, iaitu pembeli perlu dikehendaki membayar sejumlah wang (katakan 10% daripada jumlah pembayaran balik pinjaman) kepada kumpulan wang simpanan yang boleh digunakan untuk membantu memenuhi bayaran balik pinjaman bulanan jika keluarga terbabit mengalami kerugian dalam pendapatan. Skim insurans pinjaman akan membantu mengurangkan kadar kelalaian melunaskan hutang yang disebabkan oleh kemelesetan ekonomi.
  • Skim Tabung Pemberhentian Kerja yang diperjuangkan oleh PSM/JERIT harus dilaksanakan sepenuhnya kerana ia turut membantu kaum pekerja yang kehilangan kerja untuk meneruskan bayaran pinjaman perumahan mereka. Sistem Insurans Pekerjaan (SIIP) kini telah membantu jutaan pekerja semasa pandemik COVID-19 tetapi malangnya ramai majikan yang enggan mematuhi bantuan ini.

4. Hentikan pengusiran penyewa rumah (kerajaan dan swasta)

  • Pada zaman COVID-19 ini, ramai penyewa rumah kerajaan dan swasta telah dihimpit dengan masalah kewangan dan tidak mampu membayar sewa.
  • Untuk rumah sewa kerajaan, pihak berkuasa harus melanjutkan pengecualian pembayaran sewa, sekurang-kurangnya untuk tempoh setahun lagi, memandangkan gelombang penularan wabak COVID-19 yang kedua sudah mula dan memberi impak kepada rakyat.
  • Untuk penyewa rumah swasta, mereka berada di ambang pengusiran juga kerana tidak mampu bayar. Ramai dibuang kerja dan ribuan lagi berada di ambang penamatan kerja beramai-ramai. Kerajaan harus mewujudkan tribunal khas untuk golongan ini dan membantu mereka melalui subsidi tersasar kepada pemilik rumah untuk menghalang pengusiran mereka.

5. Majlis Perbandaran Tempatan mengambilalih penyelenggaraan rumah pangsa kos rendah

  • Penghuni rumah pangsa kos rendah hanya membayar dua jenis cukai, iaitu cukai tanah (setahun sekali) dan cukai pintu (6 bulan sekali) sepertimana rumah teres kos rendah.
  • Bayaran harus dibuat terus kepada Majlis Perbandaran dan Pejabat Tanah. Bayaran harus meliputi kutipan sampah, pembersihan koridor, pembersihan longkang, taman permainan, lampu jalan di dalam kawasan rumah pangsa dan jalanraya di dalam kawasan rumah pangsa.

6. Cukai hartanah yang progresif dan strategik

  • Kami mencadangkan cukai progresif dan strategik ke atas hartanah, terutamanya pemilik rumah mahal, rumah kedua, ketiga dan keempat  serta cukai nilai tanah primer dan cukai keuntungan modal ke atas penjualan hartanah primer.
  • Wang yang dikumpul hasil daripada cukai ini boleh disalurkan untuk membina perumahan mampu milik. Kami juga mencadangkan cukai ke atas hartanah yang tidak berpenghuni dan hartanah yang sebahagiannya tidak dihuni (under-occupancy tax). Cukai ini akan mengurangkan spekulasi harga rumah, dan mengurangkan kelonjakan permintaan dalam pasaran perumahan.

7. Iktiraf titisan peluh pekerja migran dan membantu masyarakat pelarian

  • Kita harus sedar bahawa pekerja migran turut membantu dalam membangunkan negara ini sementara masyarakat pelarian pula ditindas di negara asal dan memerlukan sokongan kita.
  • Sediakan skim perumahan mampu sewa untuk pekerja migran dan pelarian.
  • Jangan melakukan pengusiran paksa terhadap pekerja migran / pelarian yang tinggal di PPR dan sediakan perumahan alternatif untuk mereka
  • Penempatan sementara di perumahan majlis sehingga penyelesaian untuk masalah perumahan mereka.

*****

Kita sedar tuntutan-tuntutan ini adalah sangat penting dan rakyat jelata berhak untuk ditawarkan perumahan yang tidak berpaksikan keuntungan kaum pemodal. Golongan kapitalis dan kerajaan boneka pemodal selalunya menentang idea-idea perumahan untuk rakyat biasa yang tidak menguntungkan mereka. Namun, kerajaan harus sedar bahawa perumahan selesa mampu milik/sewa adalah hak asasi rakyat dan harus menjadi tanggungjawab kerajaan. Kemudahan perumahan rakyat biasa tidak harus dijadikan komoditi untuk keuntungan golongan pemodal. Keluarkan penyediaan perumahan rakyat daripada pasaran.

RUMAH ADALAH HAK RAKYAT, BUKANNYA KOMODITI UNTUK DINIAGAKAN!

2 thoughts on “Deklarasi Hari Habitat 2020: Perumahan dan COVID-19

  1. Saya sokong penuh. This system which relies on speculation and profit is the cause of deprivation and dispossession of our people. The people must get together in mass action like this and work very hard to change this state of affairs.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *