oleh Sarah Irdina

Apakah masalahnya? 

Sudah hampir menjelang tahun 2021, tetapi ketiadaan kerakyatan masih merupakan satu masalah bagi sebahagian penduduk Malaysia.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah mengklasifikasikan mereka yang menghadapi masalah dalam memperoleh kerakyatan kepada 2 kumpulan utama:

Kumpulan A: Mereka yang belum mendaftarkan kelahiran ataupun memohon untuk kad pengenalan kerana kecuaian ibu bapa dan keluarga. Masalah mereka boleh diatasi jika mereka dibawa ke pejabat Jabatan Pendaftaran Negera (JPN) yang terdekat untuk mengisi borang-borang berkenaan.

Kumpulan B: Individu-individu kumpulan ini memerlukan pengubahsuaian SOP (Standard Operating Procedure ataupun tatacara pengendalian piawai) pihak JPN.

Dalam Perlembagaan Persekutuan, terdapat perkara-perkara yang memberi perlindungan kepada mereka yang menghadapi masalah tiada kewarganegaraan, seperti:

1) Perkara 14(1)(b), Jadual 2, Bahagian II, Seksyen 1(e), di mana seorang kanak-kanak yang lahir di dalam Malaysia dan tidak mendapat kewarganegaraan dari mana-mana negara lain dalam tempoh setahun dari waktu kelahirannya merupakan rakyat Malaysia.

2) Perkara 14(1)(b), Jadual 2, Bahagian III, Seksyen 19B, di mana bayi baru lahir yang dijumpai ditinggalkan tanpa perlindungan dianggap sebagai mempunyai ibu yang warganagera Malaysia atau Pemastautin Tetap Malaysia sehingga dibuktikan sebaliknya.

3) Seksyen 9(1) dalam Akta Pengangkatan 1952 menyatakan bahawa kedudukan anak angkat adalah sama dengan kedudukan anak kandung. Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf anak yang dilahirkan di dalam negara sebagai warganergara Malaysia sekiranya ibu bapa adalah warganera ataupun penduduk tetap di Malaysia. Anak angkat yang sah dianggap dilahirkan dalam perkahwinan yang sah.

Namun, pihak JPN nampaknya tidak mengintrepretasi Perlembagaan Persekutuan seperti yang dihuraikan di atas, sebaliknya mewujudkan SOP yang melambatkan dan menyusahkan permohonan kewarganegaraan.

Cabaran dan kesan-kesan yang dihadapi 

Walaupun terdapat jurang dalam dasar kewarganegaraan untuk pengambilan anak angkat secara tidak formal dan anak angkat yang tidak berkewarganegaraan di mana mereka boleh membuat permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan, tetapi terlalu banyak cabaran dalam proses ini. Proses ini amat memakan masa (2 tahun atau lebih) dan penolakan berulangkali tidak mempunyai sebab sentiasa terjadi. Ini juga terjadi kepada anak yatim, anak angkat yang berumur lebih daripada 21 tahun dan anak luar nikah.

Kesannya, kanak-kanak yang tiada kewarganegaraan dikenakan caj warga asing apabila mengakses pendidikan awam dan perkhidmatan kesihatan. Mereka tidak diberi buku teks percuma dan tidak dapat menikmati skim makanan di sekolah. Permohonan dokumen perjalanan juga sering ditolak. Apabila mereka memasuki lapangan kerja , mereka menghadapi masalah mencari kerja kerana tanpa kad pengenalan, mereka tidak boleh mendaftarkan diri dengan KWSP ataupun PERKESO.

Mereka hanya boleh mencari kerja yang “tidak formal” bercorak kontrak dan bergaji rendah. Mereka menghadapi masalah membuka akaun bank ataupun memperolehi lesen memandu. Apabila mereka berkahwin, mereka tidak dapat mendaftarkan perkahwinan mereka, kerana JPN memerlukan kad pengenalan atau pasport warga asing untuk mendaftarkan perkahwinan. Seterusnya, anak-anak mereka diiktirafkan sebagai anak luar nikah, dan untuk wanita tanpa kewarganegaraan, anaknya juga akan menghadapi masalah yang sama.

Ketiadaan kewarganegaraan tidak hanya menyusahkan individu dan keluarga yang terlibat. Ia juga merupakan kos tinggi untuk negara. Peminggiran terhadap mereka tidak membawa kebaikan kepada masyarakat ataupun negara kita. Menyusahkan mereka dan menjadikan mereka lebih miskin tidak membawa faedah kepada sesiapa ataupun kepada negara kita.

Contoh kes

Dalam sebuah kes masalah kerakyatan yang dibantu PSM, terdapat 4 orang adik-beradik yang lahir dan dibesarkan di Malaysia yang mempunyai seorang ibu berkewarganegaraan Filipina dan bapa berkewarganegaraan Malaysia yang sudah meninggal. Permohonan salah seorang adik-beradik ini di bawah 15A Perlembagaan Persekutuan telah ditolak oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Setelah berbincang dengan peguam, mereka menyarankan keluarga tersebut pergi ke mahkamah untuk mendapatkan surat perakuan bahawa adik-beradik tersebut merupakan anak kepada mereka yang telah berkahwin secara sah bagi menguatkan kes mereka. Mereka juga akan memohon semula di bawah Perkara 14(1)(b), Jadual 2 , Seksyen 1(a) dan 1(e)Perlembagaan Perseketuan. Jika permohonan mereka masih ditolak, kes ini akan dicabar di mahkamah selanjutnya.

Syor-syor yang dikemukakan oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk menyelesaikan masalah kerakyatan ini:

1. Menggubal SOP baharu untuk meluluskan kewarganegaraan kepada kanak-kanak yang dilahirkan di Malaysia dan mempunyai bapa yang berkewarganegaraan Malaysia jika dapat dikenalpasti melalui rekod dalam sijil kelahiran ataupun ujian DNA. Permohonan ini harus diluluskan di peringkat JPN dan tidak perlu dihantar untuk keputusan khas Menteri Dalam Negeri.

2. SOP JPN harus diubahsuai supaya semua kanak-kanak yang dianakangkat oleh keluarga warganegara Malaysia diluluskan kewarganegaraan mereka jika mereka telah dianakangkat oleh keluarga Malaysia selama 5 tahun ataupun lebih. Kuasa untuk melulus perkara ini harus diturunkan kepada pegawai tinggi JPN dan dijadikan keputusan administratif.

  • JPN harus diberi SOP baharu untuk meluluskan permohonan kewarganegaraan Malaysia melalui Perkara 14(1)(b), Jadual 2, Bahagian II, Seksyen 1(e), bagi semua anak-anak yatim yang dibesarkan di rumah-rumah anak yatim sejak kecil walaupun ibu dan bapa mereka tidak dapat dikenalpasti. Kuasa ini harus diturunkan kepada pegawai tinggi JPN dan dijadikan satu keputusan administratif.

==========

Sarah Irdina ialah pelatih di ibupejabat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

3 thoughts on “Masalah kerakyatan di Malaysia

  1. Assalammualaikum
    Saya Puan Nona,ingin bertanya kepada Parti Sosialis Malaysia,saya telah membuat permohonan kewarganegaran sebanyak dua kali tetapi permohonan saya telah ditolak.Saya sudah menetap di Malaysia selama 36 tahun dan bersekolah di sini.Saya juga seorang ibu tunggal dan mempunyai dua orang anak.Saya juga susah ingin mendapat sebarang bantuan untuk anak saya disebabkan saya berstatus penduduk tetap.
    Boleh saya tahu syarat-syarat atau peraturan bagaimana ingin memohon warganegara dan mendapat kelulusan dari pihak JPN atau KDN.
    Saya harap Pihak Parti Sosialis Malaysia (PSM) dapat membantu dan mempermudahkan segala urusan saya untuk memohon kewarganegaran.
    Terima kasih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *