20200818-windsor

Pekerja-pekerja ladang meminta untuk pelaksanaan skim perumahan tetapi dilayan pula dengan pengusiran paksa daripada pihak pengurusan ladang pada ketika negara kita masih dilanda ancaman pandemik COVID-19. Inilah kemelut yang sedang dihadapi oleh pekerja-pekerja di Ladang Windsor.

6 orang pekerja Ladang Windsor yang sudah melebihi usia persaraan tetapi masih bekerja secara kontrak telah diberhentikan kerja oleh pihak syarikat pada hujung tahun lalu. Antaranya 3 orang pekerja menghuni di rumah yang terletak di dalam kawasan ladang. Mereka yang tinggal di rumah ladang telah disuruh oleh pihak syarikat untuk mengosongkan rumah sebelum akhir tahun 2019. Sekarang ini mereka sedang berdepan dengan ancaman pemotongan bekalan air dan elektrik ke rumah mereka.

Pekerja-pekerja dari Ladang Windsor, yang terletak di Ulu Sepetang, Kamunting, Perak, telah menubuhkan satu jawatankuasa untuk memohon pelaksanaan skim perumahan pekerja daripada pihak pemilik tanah ladang, iaitu syarikat Malakoff Corporation Berhad. Seramai 25 orang pekerja di ladang itu, termasuk pengawal keselamatan, telah menyertai Jawatankuasa Pekerja Ladang Windsor untuk menuntut skim perumahan masyarakat ladang, sepertimana yang telah diusahakan di ladang-ladang lain di sekitar kawasan Bagan Serai yang berdekatan.

Jawatankuasa Pekerja Ladang Windsor telah mengemukakan surat permohonan skim perumahan pada 31 Disember 2019 kepada syarikat Tradewinds Plantech Sdn Bhd yang menguruskan Ladang Windsor bagi pihak Malakoff Corporation Berhad. Dalam surat tersebut, para pekerja menyatakan hasrat mereka untuk berbincang dengan pihak syarikat berkenaan dengan tuntutan mereka, dan tidak harus berlaku pengusiran paksa sehingga wujudnya penyelesaian untuk tuntutan skim perumahan. Pekerja-pekerja Ladang Windsor menggesa pihak syarikat pemilik ladang itu untuk mewujudkan skim perumahan sepertimana yang diusahakan oleh syarikat perladangan yang lain seperti Sime Darby.

Malakoff Corporation Berhad ialah syarikat pengeluar tenaga bebas (IPP) yang terbesar di Malaysia, dan merupakan anak syarikat kepada MMC Corporation Berhad, sebuah syarikat korporat gergasi utiliti dan infrastruktur yang utama di negara kita. Bukanlah sesuatu yang sukar sangat untuk syarikat korporat sebesar itu melaksanakan skim perumahan kepada pekerja-pekerja yang bekerja di ladang milikannya.

Pekerja-pekerja Ladang Windsor telah turut serta dalam aksi penyerahan memorandum oleh Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML) di Parlimen pada 4 Disember 2019, yang mengemukakan tuntutan kepada Kerajaan untuk memastikan semua pemilik ladang melaksanakan skim perumahan bagi pekerja dan bekas pekerja ladang. Menteri Sumber Manusia pada masa itu M. Kulasegaran menyatakan bahawa pihak Kementerian Sumber Manusia akan mengambil usaha untuk menyelesaikan masalah perumahan masyarakat ladang. Menteri Sumber Manusia sekarang ini, M. Saravanan, juga memaklumkan kepada JSML bahawa Kementerian Sumber Manusia bersedia untuk berbincang tentang pelaksanaan skim perumahan bagi pekerja ladang.

Pada bulan Mac 2020, pekerja-pekerja yang diberhentikan kerja dan diusir keluar itu telah mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan ladang, tetapi pihak pengurusan amat berdegil dan tetap mahu mereka mengosongkan rumah. Pihak pengurusan juga langsung tidak mahu membincangkan permohonan skim perumahan yang dikemukakan oleh pekerja-pekerja ladang sebelum itu.

Pihak syarikat pengurusan ladang kemudiannya mengeluarkan notis pengusiran pada 28 Julai 2020 yang mengkehendaki 3 orang pekerja yang diberhentikan kerja itu keluar dari rumah mereka dalam tempoh masa 14 hari. Kemudian satu lagi notis pengusiran dikeluarkan pada 12 Ogos 2020 yang memberikan tempoh 7 hari untuk mengosongkan rumah. Pihak syarikat juga mengatakan bahawa pemotongan bekalan air dan elektrik akan dilakukan pada 19 Ogos 2020.

R. Karthiges, Penyelaras Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML), mengecam tindakan Tradewinds Plantech Sdn Bhd yang hendak memotong bekalan air dan elektrik untuk mengusir pekerja-pekerja ladang secara paksa itu sesuatu yang tidak berperikemanusiaan. Karthiges mempersoalkan, “Mengapa pihak pengurusan Ladang Windsor begitu tergesa-gesa untuk melakukan pengusiran paksa terhadap bekas pekerja yang menuntut skim perumahan? Lebih-lebih lagi perkara sebegini boleh berlaku ketika negara kita sedang menghadapi krisis pandemik COVID-19.”

JSML dan Jawatankuasa Pekerja Ladang Windsor menggesa pada pihak syarikat Tradewinds Plantech Sdn Bhd dan Malakoff Corporation Berhad untuk menghentikan segera tindakan pemotongan air dan elektrik, di samping mengadakan perbincangan dengan pekerja-pekerja untuk menyelesaikan masalah perumahan mereka.

8 thoughts on “Pekerja Ladang Windsor diancam pengusiran

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *