20200616 - tinagaran (2)
Mohammad Aris (kiri) dan S. Tinagaran (kanan) di Mahkamah Tinggi Seremban.

SEREMBAN, NEGERI SEMBILAN: Mahkamah Tinggi Seremban telah memutuskan pada 15 Jun 2020 untuk menolak rayuan kes daripada pihak majikan BT Security Services Sdn Bhd, memberikan satu lagi kemenangan kepada warga pekerja.

Kes yang diputuskan semalam merupakan kes rayuan yang difailkan oleh syarikat BT Security Services Sdn Bhd pada bulan September 2019 terhadap keputusan Mahkamah Buruh Seremban yang berpihak kepada Mohammad Aris, seorang pengawal keselamatan yang pernah bekerja dengan syarikat tersebut.

Mohammad Aris ialah seorang pengawal keselamatan sekolah di Zon Senawang, Negeri Sembilan. Dia mula berkhidmat dengan syarikat BT Security Services Sdn Bhd dari bulan Julai 2016. Mohammad Aris telah memfailkan kes di Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Seremban kerana pihak syarikat tidak mematuhi pengiraan gaji mengikut Perintah Gaji Minimum, di mana pengiraan bayaran kerja lebih masa, cuti umum dan hari rehat adalah tidak tepat. Oleh sebab membuat aduan kepada pihak JTK, Mohammad Aris tidak disambung kontrak perkhidmatannya oleh syarikat pada tahun 2019.

Kes aduan Mohammad Aris di Mahkamah Buruh Seremban mula didengar pada bulan Februari 2019, dan akhirnya Mohammad Aris menang kes tersebut di Mahkamah Buruh pada 26 Ogos 2019. Mahkamah Buruh memutuskan bahawa pihak majikan harus membayar sebanyak RM4,398.03, iaitu tuntutan gaji yang tidak dibayar sebelum itu (termasuk gaji kerja lebih masa pada hari biasa, gaji kerja lebih masa pada hari rehat mingguan, gaji kerja cuti am dan gaji kerja lebih masa pada cuti am).

Namun, pihak syarikat yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Buruh, dan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi pada bulan September 2019 dengan hasrat untuk membatalkan keputusan Mahkamah Buruh. Alasan yang digunakan oleh pihak syarikat untuk memfailkan rayuan adalah pihak Mahkamah Buruh tidak menerima bukti yang dikemukakan oleh pihak syarikat. Pihak syarikat pernah mengemukakan slip gaji baru dari tahun 2016 dan mengatakan bahawa slip gaji ini mempunyai pelarasan, namun Mahkamah Buruh telah menolak bahan bukti tersebut kerana ia bukan dokumen asal. Pihak syarikat juga risau kemenangan kes yang difailkan oleh pekerja yang berani tampil ke hadapan untuk menuntut hak ini akan merangsang pengawal keselamatan yang lain untuk berbuat demikian, makan cuba menggunakan rayuan kes sebagai bentuk ugutan supaya pegawal keselamatan takut untuk melawan sebuah syarikat besar di mahkamah.

Walaupun menghadapi rintangan daripada pihak majikan, keadilan masih berpihak pada pekerja yang berani tampil ke hadapan untuk menuntut hak dan bayaran gaji yang sepatut diperolehnya. Pada 15 Jun 2020, Hakim Mahkamah Tinggi Seremban Tuan Azizul Azmi Bin Adnan memutuskan untuk menolak rayuan daripada BT Security Services Sdn Bhd dengan kos RM5,000, dan mengekalkan keputusan Mahkamah Buruh.

Mohammad Aris telah dibantu oleh Tinagaran Subramaniam selaku Penyelaras Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) yang juga merupakan aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM). Mohammad Aris telah membela secara sendiri di Mahkamah Buruh dan Mahkamah Tinggi. “Tahniah kepada Encik Mohammad Aris yang berani melawan majikan di Mahkamah Buruh dan Mahkamah Tinggi, walaupun tanpa perwakilan daripada mana-mana peguam,” kata Tinagaran. “Ini merupakan satu keputusan yang harus diraikan oleh semua pengawal keselamatan di seluruh negara.”

Berani kerana benar, menang kerana berani. Inilah yang ditunjukkan oleh Mohammad Aris, seorang pengawal keselamatan sekolah yang sanggup memberanikan diri untuk mencabar majikan yang tidak mematuhi undang-undang di mahkamah sehingga mendapatkan kemenangan.

Sistem penyumberan luar kerja-kerja perkhidmatan sokongan seperti kawalan keselamatan dan pembersihan di premis kerajaan seperti sekolah, telah membawa pelbagai masalah kepada pekerja-pekerja yang diupah oleh syarikat swasta melalui kontrak tempoh tetap. Keadaan menjadi lebih teruk sekiranya kontraktor yang dilantik oleh kerajaan itu tidak mematuhi undang-undang buruh. Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) telah berusaha menggabungkan tenaga pekerja-pekerja kontrak di premis kerajaan ini untuk memperjuangkan hak mereka dan mendesak kerajaan untuk menghapuskan sistem kontrak.

2 thoughts on “Pengawal keselamatan sekolah menang kes di Mahkamah Tinggi Seremban

  1. Saya Joe, sekadar berkongsi cerita, saya sedang dalam kes lawan majikan saya yang gagal bayar gaji tanpa alasan kukuh. Saya dah menang kes buruh, dan sekarang tengah dalam proses untuk mahkamah tinggi pulak. Harap saya boleh menang. Bukan nilai kewangan yg saya nak, cuma kebenaran je. Sebab pihak majikan sangat tak professional terhadap pekerja. Semoga saya menang kes iniii 😎😎

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *