20200326 - What-is-the-Difference-Between-a-Building-Society-and-a-Bank

Matawang adalah sejenis komoditi. Ia adalah komoditi di mana semua komoditi yang lain menunjukkan nilai tukar masing-masing melalui nilainya. Sebagai pengukur bersama untuk nilai, matawang tiada apa-apa sifat yang misteri. Matawang juga merupakan hasil buruh manusia, dan ia mempunyai nilai yang tertentu. Apabila aktiviti pertukaran komoditi semakin kerap dan mendominasi seluruh masyarakat, matawang bukan lagi semata-mata pengukur bersama untuk nilai, tetapi menjadi alat pertukaran.

Apabila peredaran komoditi dibahagi kepada dua, di mana satunya peredaran komoditi (hasil pengeluaran) dan satu lagi peredaran matawang, matawang itu juga dipecah fungsinya kepada dua:

  1. Cara peredaran
  2. Cara membayar secara tertunda

Dalam masyarakat yang didominasi oleh pengeluaran komoditi, peredaran komoditi dalam jumlah besar dijalankan melalui kredit, barangan yang sama nilai matawangnya untuk sesuatu komoditi hanya boleh diperoleh selepas pertukaran.

Kewangan (finance) adalah sebahagian daripada peruntukan sumber dalam ekonomi kapitalis. Perbankan dan sistem kewangan bagaikan minyak pelincir untuk ekonomi kapitalis. Namun, perluasan dan penguasaan kewangan ke atas ekonomi kapitalis yang tidak dapat dielakkan itu, mendatangkan masalah yang serius kepada sistem kapitalis itu sendiri.

Kewangan adalah bidang khusus dalam ekonomi kerana pergerakan harga sekuriti adalah berasingan daripada dinamik modal fizikal. Perluasan dan penguasaan bidang kewangan ke atas ekonomi merupakan punca utama kepada krisis ekonomi kapitalis yang melanda seluruh dunia untuk beberapa dekad kebelakangan ini. Pada tahun 2007, sektor kewangan Amerika Syarikat sudahpun menjana lebih daripada 40% keuntungan korporat negara itu. Nisbah keuntungan daripada sektor kewangan yang semakin besar berbanding dengan sektor pengeluaran industri, menjadikan ekonomi kapitalis semakin bercelaru dan mengundang risiko yang semakin tinggi untuk berlakunya krisis ekonomi.

Modal kewangan (finance capital):

  • Modal monopoli yang dibentuk melalui saling tembus-menembusi dan bersepadu antara modal perbankan dan modal industri.
  • Modal kewangan merupakan modal monopoli pada peringkat paling tinggi.
  • Modal industri berintegrasi dengan modal perbankan dalam kitaran peredarannya, adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan dalam operasi modal moden, dan menonjolkan peranan penting matawang dalam ekonomi pasaran kapitalis.
  • Modal kewangan menggantikan modal industri untuk menguasi seluruh masyarakat kapitalis, merupakan ciri penting untuk imperialisme.
  • Melalui pengeluaran sekuriti, pembukaan korporat baru, penyusunan semula syarikat perusahaan kecil dan sederhana, pelaksanaan pelbagai bentuk penggabungan korporat, dan juga pembentukan organisasi monopoli, modal kewangan dapat memperoleh keuntungan monopoli yang lumayan, dan menguasai seluruh ekonomi.

Modal rekaan (fictitious capital):

  • Modal rekaan atau modal bayangan, adalah hasil daripada permodalan sistem kredit dan matawang.
  • Ia berbeza dengan “modal sebenar” (real capital), iaitu modal yang sebenarnya dilaburkan dalam pengeluaran (untuk mendapatkan cara-cara pengeluaran fizikal dan tenaga kerja). Ia juga berbeza dengan “modal matawang” (money capital), iaitu dana wang sebenar yang dipegang oleh seseorang kapitalis.
  • Modal rekaan merupakan modal yang diwujudkan daripada pinjaman kredit (nota janji hutang, kiriman wang dan wang desposit), sekuriti (saham dan bon), rizab bank dan instrumen spekulatif yang lain.
  • Modal rekaan berasaskan modal sebenar, tetapi modal rekaan juga bebas daripada modal sebenar, dengan kaedah operasi yang tersendiri.
  • Modal rekaan dapat memperluaskan pengumpulan modal matawang, mendorong pemusatan modal dan mempercepatkan pusing ganti modal.
  • Namun, modal rekaan yang digunakan sebagai alat untuk spekulasi, membawa kepada kemakmuran yang palsu, dan juga mencetuskan krisis ekonomi.

Finansialisasi (financialisation) adalah dominasi modal kewangan dalam ekonomi keseluruhan, iaitu peranan bidang kewangan (termasuk bank, sekuriti, insurans dan kredit hartanah) semakin ketara dalam ekonomi sehingga mendatangkan pengaruh yang mendalam.

Finansialisasi merupakan perubahan ketara peranan yang dimainkan oleh modal kewangan dalam kapitalisme. Ia merupakan hasil sampingan sejurus selepas tamatnya Perang Dunia II, di mana pengumpulan secara besar-besaran modal kewangan yang berlaku di bawah kawal selia sistem kapitalis global sehingga “dibebaskan” sepenuhnya pada tahun 1970-an.

Finansialisasi adalah penjanaan keuntungan tanpa pengeluaran apa-apa benda yang berguna.

Finansialisasi boleh berlaku kerana:

  1. Sejak tahun 1970-an, syarikat-syarikat besar sudah kurang bergantung pada bank-bank untuk keperluan kewangan mereka.
  2. Bank-bank telah semakin terlibat dalam perdagangan pasaran terbuka dan meningkatkan pinjaman kepada individu dan isi rumah, berbanding dengan pelaburan tradisional dalam pengeluaran untuk jangka masa panjang sebelum ini.
  3. Individu (pekerja-pengguna) semakin hari semakin terjebak dalam pasaran kewangan untuk mendapatkan dana (meminjam wang dari bank) bagi perbelanjaan penggunaan harian dan rancangan masa hadapan mereka (beli rumah, pendidikan, insurans hayat dan sebagainya).

Kewangan amat bergantung pada likuiditi (aliran wang tunai). Ekonomi yang dibiayai secara hebat oleh sistem kewangan akan lebih cenderung kepada berlakunya krisis likuiditi. Lebih-lebih lagi, apabila berlaku krisis likuiditi, “wang tunai jadi raja”. Bank bergantung pada pengaliran wang tunai untuk mengekalkan aktivitinya, pembekuan dalam likuiditi boleh membawa maut, dan menyebabkan gelembung ekonomi pecah.

Apabila berlakunya krisis ekonomi, bukan sahaja komoditi sukar ditukar menjadi matawang, sekuriti juga sukar bertukar menjadi matawang. Ini akan mengurangkan kebolehan membayar seluruh masyarakat dengan hebatnya.

Penguasaan modal kewangan membawa kepada spekulasi, iaitu modal dilaburkan bukan lagi dalam sektor yang produktif (pengeluaran komoditi) tetapi diperjudikan dengan pembelian instrumen kewangan (bon, saham, kontrak hadapan dan terbitan kewangan yang lain). Ini menjadikan ekonomi sedunia terjerumus dalam kapitalisme kasino.

Finansialisasi mewujudkan gelembung kewangan. Apabila gelembung ekonomi itu berkembang, ia memberikan gambaran palsu bahawa ekonomi sedang bertumbuh, tetapi apabila gelembung meletup (krisis ekonomi), impaknya bukan sahaja pada aktiviti pasaran tetapi merentasi pelbagai aspek dalam masyarakat.

Gelembung ekonomi terbentuk dengan spekulasi kewangan yang berleluasa. Apabila gelembung ekonomi meletup, bank-bank dan institusi kewangan akan menghadapi kebankrapan. Sekiranya bank-bank bankrap, modal kewangan akan “dihancurkan” dan aset-aset modal akan susut nilai. Ini akan membuka lebih ruang kepada modal kewangan yang baru untuk berkembang, tetapi tidak akan dapat menghalang krisis yang akan berulang lagi.

Oleh sebab ekonomi dikuasai oleh modal kewangan, apabila berlakunya krisis kewangan, seperti Keruntuhan Wall Street pada tahun 1929, Krisis Kewangan Asia 1997 dan Krisis Kewangan Sedunia 2007-08, kerajaan negara kapitalis bertungkus-lumus untuk menyelamatkan bank-bank yang bermasalah dengan mengorbankan  kesejahteraan rakyat biasa (termasuklah pemberhentian kerja, pengurangan perbelanjaan kebajikan dan sebagainya). Setiap kali sistem kewangan itu “diselamatkan”, tidak bermakna krisis itu telah diselesaikan, tetapi hanya ditangguhkan lagi ke masa hadapan yang akan meletus dengan lebih mengerikan lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *