20191021 - joker-phoenix-1135161-1280x0.jpeg

Filem Hollywood terbaru yang berasaskan watak dalam DC Comics, Joker, menyajikan kepada penonton yang hendak mencari hiburan di pawagam, satu persembahan realiti yang amat tidak menyenangkan, iaitu neoliberalisme merupakan (salah satu jikalau bukan satu-satunya) punca kepada kegilaan dan keganasan di dunia kita hari ini.

Neoliberalisme ialah bentuk kapitalisme yang menjual pil khayalan “pasaran bebas” yang menghancurkan jaring keselamatan sosial, memagarkan harta awam dan memusnahkan fabrik sosial serta solidariti di kalangan rakyat, hanya untuk mengekalkan “kebebasan” golongan korporat untuk mengaut keuntungan. Filem Joker bukannya drama fiksyen yang diambil daripada watak rekaan dalam buku komik, tetapi sebuah dokumentari yang dengan realistiknya memaparkan tragedi masyarakat akibat daripada neoliberalisme hari ini.  (Ayat ini mendapat ilham daripada kenyataan Yanis Varoufakis, “Filem The Matrix, bukannya sebuah filem fiksyen sains yang futuristik, tetapi ia adalah dokumentari tentang dunia yang kita hidup dalamnya.” )

Filem Joker terbaru ini, diarahkan oleh Todd Philips (seorang pengamal filem yang pernah menghasilkan beberapa buah filem komedi dan filem komedi satira Borat yang ditulisnya pernah dicalonkan dalam Anugerah Oscar untuk Lakon Layar Adaptasi Terbaik) yang menulis skrip filem ini secara bersama dengan Scott Silver, dibintangi oleh Joaquin Phoenix yang melakonkan watak utama “Arthur Fleck” (ataupun “Joker”). Filem ini telah sambutan hangat dan menjadi filem terlaris di dunia pada ketika ini.

Filem Joker menceritakan “asal usul” watak orang jahat yang paling terkenal dalam komik dan filem Batman. Watak Joker ialah supervillain (penjahat super) dalam komik terbitan DC Comics yang menjadi musuh paling utama kepada Batman sejak tahun 1940.

Joker pernah muncul dalam skrin TV dalam siri televisyen Batman pada tahun 1960-an (dilakonkan oleh Cesar Romero). Penampilan watak Joker di atas skrin panggung wayang yang pertama ialah dalam filem Batman arahan Tim Burton pada tahun 1989 (dilakonkan oleh Jack Nicholson) dan kemudiannya dalam filem The Dark Knight arahan Christopher Nolan pada tahun 2008 (dilakonkan oleh Heath Ledger). Sebelum filem Joker tahun ini, Joker muncul sebagai satu watak yang tidak begitu penting dalam filem Suicide Squad arahan David Ayer pada tahun 2016 (dilakonkan oleh Jared Leto). Joker juga menjadi watak yang berulang kali muncul dalam banyak siri animasi televisyen Batman sebagai antoganis kepada superhero Batman. Filem terbaru ini merupakan kali pertamanya Joker menjadi “protagonis” atau satu-satunya watak utama dalam sesebuah filem.

Filem Joker telah mendapat perhatian hebat dalam media massa. Sambutannya di kalangan pengkritik filem agak bercampur-campur malah sangat polarisasi. Adanya sesetengah pengkritik filem yang memuji filem ini dari pelbagai aspek manakala pengkritik filem yang lain mengutuk filem ini dan menyifatkannya menyampaikan mesej yang “bahaya”.

Filem Joker telah dianugerahkan “Singa Emas” (Leone d’Oro), anugerah tertinggi dalam Pesta Filem Antarabangsa Venice. Pelakon utama filem ini, Joaquin Phoenix, juga memenangi Anugerah Pelakon dalam Pesta Filem Antarabangsa Toronto tahun ini. Namun, adanya banyak pengkritik yang mengecam filem ini kerana beberapa babak di dalamnya yang memaparkan keganasan bersifat anti-sosial, dikatakan boleh menggalakkan lebih banyak peristiwa keganasan penembakan secara rambang seperti yang sering berlaku di Amerika Syarikat. Penonton-penonton yang pergi ke tayangan filem ini di Amerika Syarikat telah disambut dengan kawalan keselamatan yang lebih ketat, malah adanya kehadiran polis di sesetengah pawagam.

Filem Joker yang menampilkan watak utamanya yang mempunyai masalah kesihatan mental ini, mempersembahkan satu realiti masyarakat yang pasti merunsingkan ramai orang.

Yang pasti, filem Joker ini telah cuba menjarakkan dirinya daripada filem-filem adaptasi komik yang membanjiri panggung wayang seluruh dunia untuk beberapa tahun kebelakangan ini, seperti filem-filem dalam francais Marvel Cinematic Universe (MCU) dan DC Extended Universe (DCEU), yang dipenuhi dengan pertunjukan visual janaan komputer yang memakan kos besar. Joker menolak kaedah penceritaan yang biasa digunakan dalam filem genre superhero Hollywood, seperti pemisahan yang tipikal antara “orang baik” dengan “orang jahat”, walaupun ada sebahagian jalan cerita filem ini nampaknya seperti klise melodrama (seperti plot Arthur Fleck mencari “bapa”nya).

Penonton yang suka menonton filem Hollywood pastinya akan perasan kewujudan dalam filem ini bayangan-bayangan dari filem Martin Scorsese seperti Taxi Driver (1976) dan The King of Comedy (1983). (Secara kebetulannya ataupun disengajakan, Taxi Driver dan The King of Comedy dibintangi oleh Robert De Niro, pelakon yang melakonkan watak Murray Franklin yang memainkan peranan penting kepada perubahan Joker menjadi “orang jahat” dalam filem Joker.)

20191021 - joker4e217fd2ac202b0532d648b021b217e7236fe6fa.jpg

Dasar ekonomi neoliberal yang menghancurkan sistem kebajikan sosial “melahirkan” joker 

Arthur Fleck, watak utama dalam filem ini yang akhirnya menjelma sebagai “Joker”, ialah seorang lelaki yang mempunyai sakit mental dan hidup dalam kemiskinan. Dia sentiasa dibuli dan menerima trauma, bukan sahaja daripada orang yang dikenalinya, tetapi juga sistem kapitalis di mana dia hidup dalamnya.

Jalan cerita Joker bukannya mengisahkan perjalanan hidup bagaimana seorang underdog bertukar menjadi hero yang menyelamatkan dunia ataupun memulihkan “susunan masyarakat” yang diganggu oleh kekacauan, tetapi mempersembahkan realiti masyarakat yang menyebabkan seorang yang sederhana dan baik hati merosot dan menjelma sebagai raksasa yang berdarah sejuk dan menimbulkan lebih banyak kekacauan. Antara realiti masyarakat yang menjahanamkan Arthur Fleck sehingga dia bertukar menjadi Joker, adalah “penjimatan” (austerity) yang menjejaskan sistem kebajikan sosial.

Jikalau Datuk Bandar Gotham (bandar fiskyen yang direka dalam dunia Batman DC Comics) tidak memotong perbelanjaan kebajikan sosial, Arthur Fleck akan dapat meneruskan sesi kaunselingnya dengan pekerja sosial dan kemungkinannya untuk menjadi “jahat” akan dikurangkan. Walaupun pekerja sosial (dilakonkan oleh Sharon Washington) yang menemui Arthur Fleck itu bersikap agak dingin dan birokratik, tetapi kita boleh perhatikan juga Arthur Fleck agak bergantung kepada hubungannya dengan pekerja sosial itu untuk “merawati” penyakitnya. Arthur Fleck tidak pernah ponteng sesi perjumpaannya dengan pekerja sosial, mendengar arahan pekerja sosial itu untuk membawa kerja rumahnya (diari atau notanya) supaya disemak semasa sesi pertemuan, mengambil ubat mengikut jadual, dan bersedia untuk meluahkan segala perasaannya di depan pekerja sosial itu.

Malangnya, tetapi tidak menghairankan untuk kebanyakan negara di dunia hari ini, perbelanjaan kebajikan sosial telah dipotong atas nama “penjimatan” (baca: mengorbankan kebajikan rakyat biasa untuk menyelamatkan sistem ekonomi kapitalis yang mengutamakan keuntungan korporat). Pekerja sosial yang bertemu dengan Arthur Fleck itu kehilangan kerja, Arthur Fleck tidak dapat lagi diberi kaunseling dan tidak tahu di mana boleh mendapatkan ubat untuk rawatan penyakitnya. Arthur Fleck disingkirkan daripada sistem kesihatan dan perlindungan sosial yang sepatutnya menyokong kemanusiaannya…

Pekerja sosial itu berkata pada Arthur Fleck, “Mereka langsung tidak peduli pada orang seperti kau, Arthur!” (They don’t give a shit about people like you, Arthur!”) “Dan mereka langsung tidak peduli pada orang seperti aku juga!” (“And they don’t give a shit about people like me either!”) “Mereka” di sini ialah golongan mahakaya dan wakil politik mereka dalam kerajaan yang mengurangkan perbelanjaan untuk perkhidmatan awam. Mereka hanya mementingkan keuntungan korporat dan pulangan untuk pelaburan modal di bawah sistem kapitalis.

Dalam filem Joker ini, seorang pekerja sosial wanita berkulit hitam dalam sektor awam, menyatakan kepada seorang lelaki berkulit putih yang menjadi penerima perkhidmatan awam dengan kata-kata di atas ini bahawa, nasib mereka adalah sama dan saling berkaitan di bawah sistem kapitalis yang kejam ini, walaupun mereka berlainan kaum dan gender. Impak dasar kapitalis yang bersifat eksploitasi adalah melangkaui batasan kaum dan gender! (Jadi, penentangan terhadap sistem kapitalis juga perlu dilakukan tanpa mengira kaum dan gender!)

20191021- joker478vq3ircbj31.jpg

Pengurangan perbelanjaan sosial, atau dasar “penjimatan”, satu langkah yang paling ketara dalam dasar ekonomi neoliberal inilah yang menolak Arthur Fleck ke arah kegilaan.

Dalam filem Joker juga, barangkali juga dasar penjimatan di bandar Gotham menyebabkan pekerja pembersihan bermogok atau diberhentikan kerja, sehingga sampah-sarap bertimbunan di jalanan seperti yang dapat dilihat dalam beberapa babak filem. Dalam dunia nyata di luar filem, dasar penjimatan yang bersifat neoliberal telah mengundang kesengsaraan kepada jutaan orang di seluruh dunia.

Lebih teruk lagi, respon golongan elit mahakaya terhadap kesengsaraan rakyat bawahan yang berleluasa menjadikan situasi lebih buruk bagi mereka yang hidup dalam kesusahan, tambahan pula menghinakan mereka. Orang kaya seperti Thomas Wayne (dibintangi oleh Brett Cullen), iaitu bapa kepada Bruce Wayne yang bakal menjadi Batman, yang menjadi calon pilihanraya datuk bandar dalam filem ini (yang bakal meneruskan dasar “penjimatan”), walaupun menampilkan dirinya sebagai seorang dermawan, tetapi bersikap angkuh dan memandang rendah terhadap golongan bawahan, di mana dia melabel orang miskin yang “iri hati” terhadap orang kaya sebagai “badut”.

Orang kaya seperti Wayne ini menganggap orang miskin itu menjadi miskin kerana mereka tidak cukup rajin berusaha, tanpa melihat kepada kewujudan struktur masyarakat sebenar yang tidak adil kepada golongan bawahan walaupun mereka sudah berusaha kuat. Jurang antara yang miskin dengan yang kaya wujud bukannya disebabkan perbezaan usaha yang ditaburkan, tetapi oleh kerana ketidakseimbangan kuasa dalam masyarakat kelas. Orang-orang kaya sebegini bukan sahaja mahu kerajaan kurangkan perbelanjaan kebajikan sosial, malah mahu dikurangkan lagi cukai ke atas mereka (maka membawa kepada lebih banyak lagi pengurangan perbelanjaan kebajikan sosial!). Tidak kurang juga orang-orang kaya sebegini menyembunyikan kekayaan mereka di tempat berlindung cukai.

Arthur Fleck hanya memerlukan sistem perkhidmatan awam yang dapat memberikannya persekitaran yang melindunginya daripada diskriminasi dan menggalakkannya untuk membangunkan bakat dirinya, membolehkannya mempersembahkan komedi berdiri atau menjadi badut yang menghiburkan kanak-kanak tanpa menjadi bahan lawak di dalam program televisyen atau mendapat layanan buruk daripada majikan yang langsung tiada belas kasihan. Arthur Fleck perlukan upah sosial untuk kerjanya yang menjaga ibu yang sakit ataupun sistem penjagaan awam yang menyeluruh bagi warga emas yang menjaga seseorang warga emas itu dengan penuh sifat kemanusian. Arthur Fleck perlukan perumahan sosial yang berkualiti tinggi… Tanpa semua ini, memangnya tidak hairan untuk Arthur Fleck atau mana-mana orang menjadi “gila” pada akhirnya. Dalam erti kata lain, jika adanya sistem kebajikan sosial yang mencukupi dan diuruskan dengan sikap kemanusiaan yang sebenar, memastikan setiap orang hidup secara selesa dan bermaruah, Arthur Fleck dapat diselamatkan daripada bertukar menjadi joker!

Malangnya dalam filem Joker, Arthur Fleck bukannya hidup dalam masyarakat di mana belanjawan kerajaan mengutamakan peruntukan untuk orang kelas bawahan sepertinya dan bukan untuk kepentingan seperti bapa Batman Thomas Wayne. (Ramai orang di dunia hari ini juga bukan hidup dalam masyarakat sebegini!)

20191021 joker-joaquin-phoenix-movie-image-1-1570015496.jpeg

Apabila dikhianati orang yang menjadi inspirasi 

Satu lagi penyumbang kepada jalan menuju “kejahatan” untuk Arthur Fleck, adalah kehancuran harapannya terhadap seorang yang pernah menjadi inspirasi kepadanya. Dari awal filem lagi, Arthur Fleck minat menonton rancangan yang diacarakan oleh Murray Franklin (dibintangi oleh Robert De Niro), dan mengidamkan dirinya tampil dalam rancangan Murray Franklin. Namun, segala impian Arthur Fleck hancur berkecai apabila Murray Franklin menjadikan Arthur Fleck sebagai bahan lawak dalam rancangannya dan memberikannya gelaran “Joker”.

Kekecewaan Arthur Fleck terhadap Murray Franklin bagaikan kekecewaan yang wujud pada ramai orang terhadap pemimpin politik dan sistem politik yang dianggap dapat memperbaiki keadaan hidup mereka tetapi pada hakikat sebaliknya. Pemimpin politik yang berkuasa dengan menunggang pada kepopularannya hasil daripada penonjolan imej mesra rakyat melalui media dan alat propaganda politik, selalunya memberi “harapan”, “impian” dan “inspirasi” kepada ramai orang, tetapi segala khayalan terhadap pemimpin politik ini lesap begitu sahaja apabila mereka menunjukkan sifat sebenar mereka dengan amalan korupsi, penyelewengan atau pelaksanaan dasar yang anti-rakyat. Orang yang mengalami trauma kekecewaan terhadap pemimpin politik, berkemungkinan menjadi hilang harapan kepada masyarakat sepenuhnya, dan yang paling ekstrim adalah mengambil pendekatan yang bersifat kemusnahan, sama ada mencederakan diri sendiri ataupun mengamuk untuk mewujudkan kekacauan yang di luar kawalan, seperti yang dilakukan oleh Joker.

20191021 - joker1 6mdRN2BAK7kk2dvicIzCMg.jpeg

Sosialisme atau Barbarisme

Pengakhiran filem Joker amat menyedihkan, pesimis dan tidak menawarkan apa-apa harapan. Bandar Gotham diselubungi dengan rusuhan, pembunuhan, kekacauan, kekecohan, masa depan yang tidak menentu… Tiada lagi jalan patah balik untuk Arthur Fleck yang sudah menjadi Joker…

Rosa Luxemburg pernah memetik apa yang dianggapnya percakapan daripada Fredrich Engels, “Masyarakat borjuis berdiri di persimpangan jalan, sama ada transisi ke sosialisme atau regresi kepada barbarisme.” Joker ialah jelmaan untuk masyarakat yang telah merosot kepada barbarisme (keadaan huru-hara yang penuh dengan perbuatan gasar). Tiada orang mahu melihat masyarakat kita merosot kepada keadaan barbarisme atau kemusnahan. Namun, kita tidak patut terkejut jika ia berlaku, memandangkan sistem kapitalis hari ini sedang menyediakan segala faktor yang boleh membawa kepada keadaan sedemikian.  Persoalan untuk kita di dunia nyata hari ini, bolehkah kita membuka jalan alternatif kepada barbarisme ini.

Di dunia kita hari ini, rakyat di merata tempat sedang menghadapi pelbagai ancaman daripada sistem kapitalis, sama ada kerosakan sistem kebajikan sosial akibat daripada dasar “penjimatan”, jurang kekayaan yang semakin melebar, konflik peperangan yang menjana kesengsaraan hebat, ataupun krisis iklim yang membawa kepada ancaman kepupusan manusia. Sistem politik yang sedia ada di banyak tempat, yang dikuasai oleh golongan elit yang mewakili kepentingan kelas pemerintah, juga gagal menangani masalah yang serius sehingga mewujudkan perasaan kecewa yang hebat di kalangan ramai orang.

Kekecewaan rakyat terhadap sistem yang sedia ada boleh diatasi melalui perjuangan rakyat dari bawah. Namun, rakyat tidak akan secara automatiknya beralih kepada perjuangan yang progresif. Ada kemungkinan besar ramai orang yang hilang kepercayaan kepada sistem yang sedia ada tertarik kepada propaganda kuasa pelampau kanan yang mempermainkan sentimen sempit (seperti politik perkauman, keagamaan, nasionalis dan sebagainya yang bersifat eksklusif untuk satu-satu kumpulan orang sahaja). Kuasa pelampau kanan ini akan “memulihkan” susunan masyarakat kita kepada sistem pemerintahan kelas yang lebih menindas lagi. Kita perlu membangunkan organisasi dan gerakan rakyat yang memperjuangkan agenda politik dan sosio-ekonomi yang progresif, sekiranya kita hendak mengelakkan masyarakat kita daripada menuju ke arah kehancuran barbarisme.

Memang kita adanya jalan keluar alternatif daripada krisis masyarakat hari ini dan kita boleh lawan balik terhadap segala ketidakadilan. Lawan balik ini bukannya seperti Joker yang membunuh orang kaya yang dibencinya, ataupun meletupkan bom untuk memusnahkan simbol ketidakadilan seperti dalam filem V for Vendetta (2005), kerana tindakan melawan secara negatif ini tidak akan mengubah apa-apa pada struktur masyarakat kelas yang bersifat menindas. Sebaliknya, kita perlu melawan balik dengan kuasa rakyat yang sedar, yang berorganisasi dari bawah, yang bermobilisasi merentasi batasan kaum, agama, umur, gender, orientasi seksual, kewarganegaraan dan kebolehupayaan. Sosialisme atau Barbarisme, adalah pilihan yang terletak dalam tangan kita semua!

2 thoughts on “Joker: Tragedi neoliberalisme yang membiak kegilaan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *