20191009 - 37ff6bb5ef243c152891e2c0757e26ee5d99b4e306f8c.png

Keluarga-keluarga B20 kita sedang hidup dalam kesengsaraan di negara yang kaya ini walaupun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK ataupun GDP) telah meningkat dengan pesatnya dalam 50 tahun yang lalu. Pada tahun 1970, KDNK Malaysia ialah RM10.3 bilion sahaja. Tahun lalu, ia telah mencecah RM1400 bilion (1.4 trilion), satu peningkatan yang mengkagumkan (135 kali ganda!). Tetapi apabila kenaikan harga barangan (4.5 kali) dan peningkatan penduduk negara (3.3 kali) diambil kira, peningkatan dalam pendapatan per kapita pada harga tetap adalah sembilan kali ganda antara 1970 dan 2018 – masih satu angka yang membanggakan.

Namun malangnya, golongan B20 kita dengan pendapatan di bawah RM3000 sebulan tidak dapat memperolehi semua keperluan asas untuk ahli keluarga mereka, kerana kos kehidupan telah meningkat dalam 50 tahun yang lalu. Kemajuan dalam teknologi dan penswastaan perkhidmatan asas, telah menyebabkan peningkatan kos beberapa kemudahan asas secara mendadak. Umpamanya:

  • Sijil SPM cukup untuk mendapatkan kerja kerani pada tahun 1970. Sekarang perlu sekurang-kurangnya kelulusan diploma (dengan hutang PTPTN RM 50,000).
  • Pada tahun 1970, sakit buah pinggang tiada rawatan. Sekarang boleh dapat rawatan dialisis (RM 180 sekali x 14 kali sebulan = RM 2520), dan ini pun belum mengambil kira kos suntikan untuk menambahkan darah, pengangkutan, kehilangan pendapatan harian pengiring dan lain-lain lagi.
  • Harga rumah di bandar sudah melambung tinggi. Pada tahun 1970, ada ruang untuk membina rumah sendiri di kawasan lapang tanpa perlu mendapatkan pinjaman bank. Sekarang semua tanah lapang telah dikuasai oleh syarikat swasta ataupun kerajaan.
  • Situasi Warga Emas. Pada tahun 1970, jangka hayat rakyat Malaysia hanya sekadar 64.45 tahun, dan boleh menumpang di rumah anak kerana bilik rumah boleh ditambah (rumah kampung di desa dan di bandar). Sekarang ini jangka hayat telah meningkat ke 75.3 tahun. Namun, anak-anak keluarga B40 duduk di rumah yang kecil dan tidak boleh ditambahkan bilik.

Ya memang betul, negara sudah bertambah kaya, tetapi orang di lapisan-lapisan terbawah masih sengsara. Bukan sahaja golongan B20, tetapi golongan pada paras pendapatan B21 hingga M60 (iaitu tiga “kuintil” terbawah) juga menghadapi kekangan kewangan dalam kehidupan harian mereka. Sebuah kerajaan yang prihatin harus menangani masalah ini.

Antara langkah yang telahpun diketengahkan oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM) sejak beberapa tahun yang lalu dan ingin dikemukakan sekali lagi kepada pihak kerajaan untuk disertakan dalam Belanjawan Persekutuan:

1. Peningkatan gaji minimum ke RM1500 sebulan dalam tahun 2020

Peningkatan gaji minimum bukan sahaja akan membantu lebih kurang 4 juta pekerja kita yang bergaji RM1499 ke bawah, tetapi juga akan meningkatkan pendapatan lebih kurang 1.5 juta perniaga-perniaga kecil kita di pasar-pasar petang dan malam di seluruh negara.

Dalam situasi ekonomi global yang mendesak untuk gaji murah, PSM menyedari bahawa peningkatan yang jauh lebih tinggi boleh membebankan sektor-sektor yang sedang bersaing dengan negara asing (seperti perladangan dan perkilangan), tetapi PSM berpandangan bahawa peningkatan gaji minimum sehingga RM1500 sebulan tidak akan membawa kesan yang buruk kepada ekonomi kita.

Dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH), dinyatakan bahawa kerajaan sedia menanggung 50% daripada kenaikan gaji. Apa sudah jadi dengan janji ini? Perkara ini boleh dilaksanakan jika Kerajaan membantu hanya syarikat perusahaan kecil dan sederhana (SME) di sektor perladangan dan kilang-kilang kecil (dengan 100 orang pekerja ke bawah). Mereka boleh dibantu dengan rebat cukai ataupun pengurangan dalam kadar elektrik dan sebagainya.

Tetapi Kerajaan juga perlu mengkaji balik insentif-insentif cukai, subsidi bahan mentah dan pengecualian lain yang diberikan kepada pemodal/pelabur besar tempatan dan dari luar negara. Ianya perlu dihentikan, dan penjimatan tersebut boleh digunakan membantu SME tempatan yang memerlukannya, agar mereka dapat memenuhi pembayaran gaji minimum RM1,500 yang munasabah.

2. Meningkatkan peruntukan kesihatan ke 2.4% KDNK ataupun RM 35.3 biliona

Peningkatan peruntukan kesihatan mesti diutamakan kerana wad-wad hospital dan klinik kerajaan sesak dan menghadapi kekurangan kakitangan. Sering kali pesakit kena menunggu selama 12 jam untuk mendapatkan katil di dalam wad. Di bahagian kesihatan pula (untuk pencegahan dan pemulihan), kakitangan yang sama dikehendaki melaksanakan pelbagai program baru tanpa peningkatan dalam jumlah kakitangan. Bagi PSM, sistem kesihatan negara kita amat baik dan begitu perlu untuk rakyat kita. Ia juga memupuk semangat perpaduan dan solidariti di kalangan rakyat. Oleh itu, walaupun kekangan kewangan yang dihadapi kerajaan PH tidak membolehkan PH meningkatkan belanjawan kesihatan ke 4% KDNK pada masa ini seperti yang dijanji dalam Manifesto PH, kami berharap sasaran itu boleh dicapai dalam 5 tahun dengan peningkatan 0.4% daripada KDNK setiap belanjawan tahunan.

(nota: a Jika syor #6 diterima juga, angka ini harus ditingkatkan ke RM 39.5 bilion.) 

3. Perumahan untuk rakyat

Mengikut statistik kerajaan, 30% keluarga Malaysia masih tidak memiliki rumah. Ini bererti sejumlah 2.25 juta keluarga, kebanyakan mereka dalam golongan B40, yang tidak memiliki rumah. Bagi PSM, formula menggunakan pendapatan median (RM 5,228 per keluarga sebulan pada tahun 2016) untuk menentukan harga rumah mampu milik bagi rakyat Malaysia merupakan pendekatan yang tidak masuk akal. Mengikut formula ini, 36 bulan darab pendapatan median = RM 188,208. Ini mungkin boleh ditanggung oleh sebuah keluarga dengan pendapatan RM 5,228 sebulan jika pendapatan itu stabil (jangan lupa kita dilanda kegawatan ekonomi setiap 10 tahun!). Tetapi untuk lapisan B20 dengan pendapatan bulanan isi rumah di bawah RM 3,000, rumah berharga RM 188,208 jauh melebihi kemampuan sebenar mereka.

PSM juga berpendapat bahawa adalah amat sukar bagi keluarga B20 memperuntukkan satu pertiga daripada pendapatan bulanan mereka untuk membayar pinjaman perumahan. Ini satu lagi formula yang tidak didasarkan pada realiti! Pendapatan mereka sebanyak RM3000 sebulan ke bawah tidak mencukupi untuk segala keperluan asas. Jika satu pertiga harus disingkirkan untuk bayaran pinjaman rumah, sudah tentu keperluan asas lain seperti makanan, pendidikan atau kesihatan akan dijejaskan dan kemampuan keluarga itu membesarkan anak-anak mereka untuk bersaing dalam ekonomi baru akan terganggu. Kekangan ini jelas terbukti dalam laporan media (Starbiz 22/8/2019) bahawa hanya 296 pemohon telah berjaya mendapatkan pinjaman perumahan daripada dana RM 1 bilion yang diwujudkan dalam Belanjawan 2019 di bawah Bank Negara. Bilangan pemohon merupakan hanya 3.1% daripada jumlah yang disasarkan dan menunjukkan bahawa betapa jauhnya kefahaman kerajaan terhadap realiti situasi golongan B20.

Kerajaan perlu melancarkan skim Program Perumahan Rakyat (PPR) sewa (RM 100 – RM 200 sebulan) secara besar-besaran di seluruh negara untuk lapisan B20. Kita harus mensasarkan 200,000 buah rumah PPR setahun (dengan anggaran kos RM 20 bilion) untuk lima tahun yang akan datang. Oleh kerana belanjawan yang diperlukan adalah besar, PSM mengesyorkan bahawa syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) gergasi diberi kuota untuk melaksanakan projek ini demi membantu kerajaan dalam usaha ini. Pada masa yang sama, peruntukan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) harus ditingkatkan untuk membolehkan KPKT mencampurtangan dalam usaha ini.

Syor tambahan – Kelonggaran syarat untuk syarikat pemaju menjual rumah-rumah berharga RM 500,000 ke atas kepada pembeli warga asing sedang diutarakan untuk menyelamatkan pemaju yang telah membina terlalu banyak rumah berharga tinggi dan tidak dapat cari pembeli tempatan (masalah lambakan rumah yang berjumlah RM 20 bilion pada takat ini – The Sun 24/9/2019). Tetapi kelonggaran ini berisiko memberi galakan kepada pemaju yang tamak untuk mengulangi perkara yang sama pada masa depan dengan harapan kelonggaran ini akan diberi kepada mereka sekali lagi jika mereka melobi kuat. Syor PSM adalah untuk memberi kelonggaran tersebut dengan syarat tambahan bahawa 25% harga jualan rumah dibayar kepada satu tabung di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk membina rumah PPR sewa yang dinyatakan di atas. (25% daripada nilai rumah RM 20 bilion adalah RM 5 bilion!) Penalti seperti ini perlu supaya kita dapat memberi pemaju satu jalan keluar untuk menyelamatkan modal mereka, tetapi pada masa yang sama menyampaikan mesej jangan membina terlalu banyak rumah mewah (yang meningkatkan harga hartanah, menyebabkan harga rumah melambung tinggi dan menyusahkan rakyat tempatan).

4. Bantuan subsidi untuk pesawah, pekebun dan nelayan kita

Pada masa ini, kerajaan sedang membantu kumpulan-kumpulan ini dengan pelbagai skim bantuan. Skim-skim ini harus diteruskan kerana kumpulan-kumpulan ini merupakan antara golongan termiskin di negara kita. Umpamanya, harga beli padi telah ditetapkan pada RM 1.50 sekilogram dengan subsidi sebanyak 75 sen sekilogram pada pembeli. Selain itu, pesawah padi menerima baja dan racun serangga perosak percuma. Pekebun getah dengan kebun di bawah 5 ekar sedang menerima bayaran terus ke akaun bank mereka jika harga getah beku jatuh ke bawah RM 2.50 sekilo. Jumlah yang dibayar kepada mereka adalah bergantung pada harga purata getah beku dan kuantiti getah beku yang dijual oleh mereka pada bulan itu. Nelayan tradisi menerima bantuan RM 300 seorang sebulan.

Tetapi usaha harus diambil juga untuk memastikan bantuan ini sampai ke sasarannya dan tidak diseleweng oleh pihak-pihak yang dipertanggungjawab untuk melaksanakannya. Program membaiki rumah usang di kawasan kampung juga harus diteruskan, tetapi ini merupakan satu program di mana pelaksana jauh lebih beruntung daripada orang kampung yang “dibantu”. Pelaksanaan skim ini harus diurus dengan lebih baik.

5. Skim Bantuan Sara Hidup (BSH) harus diperkasakan

Skim ini amat membantu keluarga B40, dan syor PSM adalah untuk mengubahsuai skim ini seperti jadual di bawah:

20 - graphic.jpg

Syor di atas memerlukan peruntukan sebanyak RM 2.83 bilion untuk 2.5 juta keluarga termiskin dan berpendapatan rendah di negara kita. Selain daripada jumlah ini, jika RM250 setahun ditambahkan untuk setiap orang anak di bawah umur 18 tahun (dengan maksimum 4 orang anak), RM 1.4 bilion tambahan harus diperuntukkan juga. (Sila rujuk Department of Statistics Malaysia, Press Release “Children Statistics Publication, Malaysia 2018, Putrajaya, 29 November 2018.)

Warga bujang dan ibu atau bapa tunggal harus disertakan dalam program BSH jika mereka layak dari segi pendapatan mereka, tetapi dengan bayaran yang lebih kecil jika mereka tidak ada tanggungan. Pada masa ini, oleh kerana mereka tidak ditafsir sebagai penerima BSH, mereka tidak layak memohon bantuan program lain seperti MySalam.

6. Skim bantuan kepada orang dengan keperluan istimewa

Mengikut statistik kerajaan, lebih kurang 2% daripada warganegara kita (ataupun 700,000 orang) mengalami kecacatan fizikal yang teruk. Mereka adalah individu yang mengalami kecacatan seperti “paraplegia” di mana mereka tidak dapat menggerakkan kaki ataupun mereka terlentang kerana lumpuh badan. Individu seperti ini memerlukan perbelanjaan yang tinggi dalam bentuk lampin, kateter, fisio dan perbelanjaan lain. PSM mengesyorkan bahawa individu-individu yang cacat teruk diberi bantuan RM 500 sebulan untuk memperolehi bekalan dan rawatan yang diperlukan. Ini memerlukan peruntukan sebanyak RM 4.2 bilion yang harus dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan yang mempunyai kemahiran dalam menentukan penerima bantuan ini.

7. Skim pencen untuk warga emas berumur 70 tahun ke atas

Hanya 20% daripada warga emas di negara kita menerima pencen kerajaan ataupun pencen PERKESO. Walaupun 43% daripada orang yang bekerja mencarum kepada KWSP, 90% daripada mereka menghabiskan simpanan KWSP mereka dalam jangka masa 3 tahun selepas bersara. Ramai lagi tidak pernah mencarum kepada KWSP.

Hampir 80% daripada rakyat Malaysia yang berumur 70 tahun ke atas tidak mempunyai sumber pendapatan sendiri dan mereka terpaksa bergantung pada anak-anak mereka. Untuk kaum B40 dan M40, anak-anak mereka juga tertekan dengan beban kewangan untuk menjaga keluarga mereka sendiri, membayar pinjaman PTPTN, pinjaman perumahan dan perbelanjaan lain.

Oleh itu, PSM ingin mengesyorkan bahawa semua rakyat Malaysia yang berumur 70 tahun ke atas dibayar pencen bulanan sebanyak RM 300 sekiranya mereka tidak menerima pencen kerajaan ataupun pencen PERKESO. Dianggarkan sejumlah 800,000 orang rakyat Malaysia berada dalam golongan ini. Kos untuk skim ini adalah RM2.88 bilion setahun, dan ia amat membantu dalam memastikan lapisan warga emas dapat hidup secara bermaruah.

8. Program melindungi hutan asli kita

Walaupun 55.6% daripada muka bumi Malaysia diliputi hutan mengikut statistik kerajaan (kenyataan Menteri Industri Utama Teresa Kok dalam Starbiz 24/9/2019), angka ini mengaburkan fakta bahawa hanya 17% daripada muka bumi Malaysia masih merangkumi hutan asli yang tidak pernah dibalak. Bakinya, iaitu 38.6% muka bumi Malaysia adalah “hutan miskin” yang pernah dibalak tetapi masih diklasifikasikan sebagai hutan. Tertinggalnya hanya 5.61 juta hektar hutan asli di negara Malaysia sekarang. Ladang kelapa sawit pun sudah sampai 6 juta hektar pada takat ini!

Kerajaan-kerajaan Negeri sentiasa memberi alasan bahawa mereka memerlukan dana untuk perbelanjaan, dan oleh itu perlu mengeluarkan lesen pembalakan. PSM ingin mengesyorkan supaya bayaran royalti hutan diberikan kepada semua negeri, bergantung pada keluasan hutan asli di negeri itu, dengan syarat pembalakan hutan asli dihentikan di negeri itu.

Syor PSM adalah membayar Kerajaan Negeri RM350 setahun untuk setiap hektar hutan asli yang wujud dalam negeri tersebut dengan syarat pembalakan hutan asli dihentikan sama sekali di dalam negeri itu. Program ini (yang harus dipantau dengan kamera satelit) memerlukan peruntukan sebanyak RM2 bilion setahun, tetapi ianya merupakan satu pelaburan untuk masa depan anak cucu kita semua.

9. Sistem pengangkutan awam yang berasaskan bas elektrik

Sistem “Pengangkutan Massa Berasaskan Bas” (Bus Based Mass Transport, BBMT) harus diperkenalkan di bandar-bandar besar Malaysia kerana sistem sebegini jauh lebih mudah dilaksanakan berbanding sistem keretapi “LRT” atau “MRT” yang memerlukan perbelanjaan dua puluh kali lebih tinggi. Sistem BBMT yang memerlukan sebahagian jalanraya di dalam bandar dikhaskan untuk bas, telah pun dilaksanakan di beberapa bandar besar seperti Jakarta dan Curitiba (Brazil), dan telah berjaya mengurangkan kesesakan jalanraya, dan jika bas elektrik diguna, pencemaran udara di dalam bandar juga dapat dikurangkan. Pengurangan kesesakan jalanraya mengikut cara ini akan menjimatkan perbelanjaan untuk membina lebih lagi “jejambat laluan atas” , “jalan lingkaran”, “lebuhraya bertingkat”dan terowong di bandar-bandar kita.

PSM ingin mengesyorkan satu sistem AP (permit kelulusan) untuk membeli kereta luar negara yang berkapasiti 1600 cc ke atas. Negara Singapura sedang mengguna kaedah ini. Setiap tahun lebih kurang 250,000 buah kereta buatan luar negara berkapasiti engin 1600cc ke atas dibeli oleh rakyat Malaysia. Jika mereka dikehendaki memperolehi AP (bergantung pada saiz enjin kereta dengan bayaran purata sebanyak RM 10,000 sebuah kereta), dana sebesar RM 2.5 bilion boleh dikutip dan ini boleh digunakan untuk mewujudkan sistem pengangkutan awam BBMT di bandar-bandar kita.

Sumber kewangan untuk perbelanjaan tambahan yang disyorkan oleh PSM

Tiga sumber baru telahpun dikenalpasti dalam pembentangan syor-syor PSM di atas, iaitu:

a. Penalti 25% ke atas harga jualan rumah berharga antara RM500,000 hingga RM 1 juta yang dijual kepada warga asing. 25% terhadap nilai rumah “berlambak” yang kini berjumlah RM 20 bilion adalah RM 5 bilion!

b. Syarikat-Syarikat GLC gergasi diberi kuota untuk melaksanakan projek-projek rumah PPR.

c. Sistem AP untuk membeli kereta luar negara yang berkapasiti 1600 cc ke atas boleh menjana pendapatan sebesar RM 2.5 bilion setahun.

Selain daripada 3 kaedah di atas, PSM juga ingin mengesyorkan:

d. Cukai terhadap keuntungan daripada jualan saham

Beberapa negara termasuk Britain dan India mengenakan cukai sebanyak 10% atas untung yang diperolehi dalam pasaran saham. Idea ini juga diutarakan dalam sesi IDEAS yang berlangsung pada bulan lalu di Kuala Lumpur.

e. Kerajaan sendiri telah mengutarakan idea mengurangkan subsidi minyak dengan memindahkan satu amaun tertentu setiap bulan kepada akaun bank pemilik kereta berkapasiti 1500 cc ke bawah dan motorsikal berkapasiti 125 cc ke bawah. Selepas itu, harga petrol tidak akan disubsidi lagi di kedai minyak. Ini akan menjimatkan lebih daripada RM 3 bilion setahun.

f. Batalkan ECRL

Walaupun PSM menyokong keperluan untuk pengangkutan awam, tetapi projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) telah dirunding secara sulit tanpa penglibatan wakil daripada parti-parti PH pun (selain daripada Parti Bersatu). Ada pihak akademik yang mengatakan bahawa skim ECRL hanya akan menguntungkan syarikat negara China dan syarikat tempatan yang terpilih sahaja. ECRL merupakan satu projek yang akan membebankan ekonomi negara kita kerana pada takat ini ECRL pun tidak dapat menampung kos operasinya. Jadi, bayaran untuk kos operasi ECRL dan juga bayaran perbelanjaan modal (capex) mesti diambil daripada pendapatan umum kerajaan dan bukan daripada keuntungan ECRL. (Caranya persetujuan pelaburan yang besar seperti ini dirunding dan diputus harus dikaji semula. Satu rombongan kecil daripada salah satu parti dalam PH diberi kuasa untuk memutuskan sesuatu yang akan membawa kesan kewangannya untuk 40 tahun yang akan datang dalam bentuk bayaran berbilion setiap tahun, adalah tidak dapat diterima.)

g. Kerajaan PH harus menumpukan perhatian kepada amalan syarikat gergasi multi-nasional (MNC) yang mengelak daripada membayar cukai sebenar dengan kaedah memindahkan untungnya (yang diperolehi daripada operasinya di Malaysia) ke tempat berlindung cukai (tax haven). Syarikat gergasi melakukan penipuan ini dengan berpura-pura mengeksport barangan ke kawasan bebas cukai tempat berlindung cukai yang 3 atau 4 kali lebih tinggi daripada harga ia dibeli daripada kilang di Malaysia. Ini digelar “perhargaaan pindahan” (transfer pricing). Untung yang diperolehi di Malaysia disembunyikan dan dipindahkan ke satu kawasan yang bebas cukai. Kita harus menubuhkan satu pasukan bertugas untuk mengkaji dan menyekat penipuan ini.

2 thoughts on “Belanjawan 2020: Syor PSM kepada Kerajaan PH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *