oleh Karthiges Rajamanickam

Parti Sosialis Malaysia (PSM) membantah cadangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menggantikan Program Perumahan Rakyat (PPR) dengan Program Perumahan Malaysia (PPM) yang berniat untuk melibatkan pemodal swasta dalam menyediakan rumah kepada rakyat marhaen.

Petikan daripada laporan akhbar pada 6 September 2019 menyatakan bahawa kaedah perlaksanaan PPM  adalah melalui ‘request for proposal‘ (RFP), di mana pihak swasta mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk memajukan tanah-tanah mereka untuk projek ini dan menjual unit-unit berkenaan pada harga antara RM90,000 hingga RM300,000.

Tindakan ini jelas membuktikan bahawa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) masih terpengaruh dengan fahaman yang menganggap rumah sebagai sejenis komoditi dan boleh dibekalkan oleh pihak swasta. Ternyata usaha untuk meninjau situasi akar umbi tidak dilakukan oleh kerajaan dan besar kemungkinan hanya mengangguk kepala kepada lobi dan cadangan kaum pemodal.

Daripada senario pasaran sekarang, tidakkah jelas bagi PH bahawa pasaran bebas gagal memenuhi keperluan perumahan rakyat biasa? Kerajaan PH akan melakukan kesilapan sekali lagi dengan memperuntukkan tanah-tanah strategik ini, yang boleh digunakan untuk perumahan PPR, untuk membina rumah yang akan dijual dengan harga RM90,000-300,000!

Perumahan PPR menyediakan rumah sewa murah kepada rakyat miskin yang tidak mampu untuk membeli rumah di pasaran bebas swasta. Sekiranya projek PPR dihentikan, apakah akan terjadi kepada mereka yang hanya mampu membayar sewa PPR?

Projek ganti yang berpaksikan pemodal swasta pula tidak akan sama sekali berniat melaksanakan tanggungjawab untuk memenuhi permintaan pembekalan rumah bagi rakyat miskin. Maka, adakah secara kesimpulannya Kerajaan Pakatan Harapan memang tidak berniat membantu masyarakat termiskin negara kita?

Kerajaan PH harus sedar dan mengakui laporan terbaru Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) terbaru yang menyatakan bahawa kemiskinan di Malaysia adalah realiti yang cuba disorokkan. Angka rasmi kadar kemiskinan negara dikatakan kononnya jatuh dari 49% pada tahun 1970 kepada hanya 0.4% pada tahun 2016 ,tetapi PBB menyatakan ia adalah jauh daripada realiti di akar umbi. Mereka menyatakan kadar kemiskinan Malaysia pada 15% berdasarkan analisis oleh kumpulan bebas.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula menyatakan bahawa daripada 7.11 juta ahli aktif dalam KWSP, seramai 1.64 juta atau 23% mencarum kurang daripada gaji minimum semasa, iaitu sebanyak RM1,000 . Mengikut statistik KWSP juga, seramai 64% ahli yang telah mencapai umur 54 tahun mempunyai simpanan KWSP kurang daripada RM50,000, di mana ia dilihat sangat sedikit berbanding kenaikan kos sara hidup dan hutang isi rumah.

Philip Alston, wakil PBB juga menyatakan garis kemiskinan nasional pada RM 980 (pendapatan bulanan isi rumah) adalah langsung tidak munasabah, dan jika kedua-dua pandangan PBB dan KWSP tersebut diambil kira, maka amat jelas jutaan kaum pekerja Malaysia tidak mampu untuk membeli rumah walaupun dengan harga RM 90,000 dalam program PPM. Apa yang amat menghairankan adalah kerajaan PH tidak langsung menghiraukan statistik yang membimbangkan ini, malah berani memperkenalkan polisi yang bertentang dengan kepentingan rakyat biasa.

Jadi, siapakah yang mahu dibela oleh kerajaan ini? Kaum koporat yang mulutnya buas ternganga mahukan projek perumahan rakyat demi keuntungan memandangkan mereka terdesak akibat kemurungan perniagaan mereka. Rakyat jelata berhak ditawarkan perumahan yang tidak berpaksikan keuntungan kaum pemodal sebegini.  Pihak kapitalis dan kerajaan boneka pemodal selalunya menentang idea-idea perumahan untuk rakyat biasa yang tidak menguntungkan mereka. Namun, kerajaan Pakatan Harapan harus sedar bahawa perumahan selesa mampu milik/sewa adalah hak asasi rakyat dan harus menjadi tanggungjawab kerajaan. Kemudahan perumahan rakyat biasa tidak harus dijadikan komoditi untuk keuntungan golongan pemodal.

Rumah untuk rakyat tanggungjawab kerajaan bukan pasaran! Kembalikan projek perumahan PPR untuk rakyat marhaen!

==========

Karthiges Rajamanickam ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Penyelaras Biro Perumahan dan Peneroka PSM.

One thought on “Jangan rampas peluang terakhir rakyat berteduh!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *