KUALA LUMPUR – 1 MEI 2019: Tiada makna untuk hari cuti pada 1 Mei jika tiada aksi sambutan Hari Pekerja Sedunia… Suasana jalanan di Kuala Lumpur pada hari ini telah dimeriahkan oleh laungan slogan “hidup pekerja!” dan lagu perjuangan, apabila lebih kurang 500 orang daripada pelbagai latar belakang berarak di pusat bandaraya untuk meraikan Hari Pekerja Sedunia yang penuh bermakna untuk golongan pekerja dan rakyat marhaen ini.

Peserta-peserta aksi sambutan Hari Pekerja 2019 berkumpul di hadapan Maju Junction yang terletak di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman pada 10 pagi, sebelum berarak menuju ke Medan Pasar. Peserta-peserta dalam aksi hari ini terdiri daripada pekerja, petani, peneroka bandar, anak muda dan aktivis sosial yang giat dalam gerakan rakyat.

Aksi sambutan Hari Pekerja Sedunia dianjurkan oleh Jawatankuasa Mei Satu yang terdiri daripada organisasi-organisasi masyarakat dan individu-individu yang prihatin pada isu-isu pekerja. Parti Sosialis Malaysia (PSM) turut mengambil bahagian dalam Jawatankuasa Mei Satu. Tema sambutan Hari Pekerja tahun ini ialah “Tinggikan Gaji, Hentikan Diskriminasi“.

Jawatankuasa Mei Satu telah mula menganjurkan aksi sambutan Hari Pekerja sejak tahun 1994. Selama 25 tahun yang lalu, Jawatankuasa Mei Satu yang menghimpunkan organisasi-organisasi dan individu-individu progresif ini menganjurkan aksi pada 1 Mei untuk mengetengahkan isu-isu rakyat dan menyuntik semangat kepada perjuangan rakyat marhaen yang berterusan di negara kita. Antara aktivis-aktivis yang terlibat dalam Jawatankuasa Mei Satu terawal pada tahun 1994, telah memainkan peranan utama dalam penubuhan Parti Sosialis Malaysia (PSM) pada tahun 1998 untuk membawa perjuangan pekerja dan rakyat marhaen lebih ke depan lagi dalam arena politik negara.

Perarakan dari Maju Junction ke Medan Pasar pada hari ini berjalan dengan lancarnya. Ketika melalui Dataran Merdeka, pihak polis telah membenarkan perarakan melalui Dataran Merdeka sebagai jalan pintas untuk menuju ke destinasi perhimpunan.

Setelah sampai di Medan Pasar, wakil masyarakat daripada pelbagai sektor telah menyampaikan ucapan, termasuk wakil daripada pekerja kontrak, pekerja ladang, peneroka bandar, mahasiswa dan kumpulan wanita. Adalah menjadi tradisi dalam sambutan Hari Pekerja anjuran Jawatankuasa Mei Satu, di mana semua ucapan menampilkan wakil masyarakat akar umbi dan tiada ahli politik akan berucap. Walaupun PSM sebagai satu-satunya parti politik yang aktif dalam penganjuran Hari Pekerja, tetapi tiada pemimpin PSM menyampaikan ucapan khas. Ini kerana semangat sambutan Hari Pekerja adalah untuk meraikan kuasa rakyat, bukannya untuk pertunjukan pemimpin politik.

Sambutan Hari Pekerja pada tahun ini turut mengemukakan Deklarasi 1 Mei yang merangkumi 20 tuntutan, antaranya mewujudkan gaji sara hidup yang sewajar dengan menaikkan gaji minimum kepada RM1,800, lindungi hak kesatuan sekerja, pertahankan hak pekerja wanita, hentikan diskriminasi berasaskan gender dan orientasi seksual, jaminan perlindungan sosial, mansuhkan akta zalim yang menyekat demokrasi, perumahan untuk semua rakyat, hentikan penswastaan perkhidmatan asas, kesamarataan hak dan sebagainya. Deklarasi Hari Pekerja 1 Mei 2019 telah disokong oleh hampir 100 organisasi, termasuk Parti Sosialis Malaysia (PSM), ALIRAN, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Pusat KOMAS , Malaysia Muda, Imagined Malaysia, Sosialis Alternatif, Justice for Sisters, Persatuan Agora Malaysia dan sebagainya.

Isu gaji telah diketengahkan dalam sambutan Hari Pekerja tahun ini kerana gaji yang rendah telah menyusahkan pekerja bawahan, termasuk anak-anak muda yang baru menceburi diri dalam dunia pekerjaan. Gaji minimum RM1,100 memang tidak mencukupi dalam keadaan kos hidup yang semakin meningkat. Oleh yang demikian, gerakan masyarakat marhaen di negara kita bertekad untuk memperjuangkan gaji yang lebih tinggi demi mewujudkan kehidupan yang sejahteraan untuk semua.

Pekerja-pekerja di Malaysia tidak ketinggalan dalam sambutan Hari Pekerja di seluruh dunia pada hari ini, dengan menyuarakan tuntutan mereka untuk keadilan sosial dan kesejahteraan bersama. Semangat ini akan diteruskan dalam kempen-kempen akan datang dan perjuangan rakyat di sana sini.

3 thoughts on “Hari Pekerja 2019: Tinggikan gaji, hentikan diskriminasi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *