Segala sejarah masyarakat sehingga ke hari ini, adalah sejarah perjuangan kelas.” – Karl Marx & Friedrich Engel, Manifesto Komunis, 1848.

20190419 - kelas kisspng-social-class-society-ruling-class-class-conflict-c-industrial-worker-5acea0957d51c0.5903621415234909655133.jpg

Apa itu kelas?

Kelas yang dimaksudkan di sini bukannya bilik darjah di mana guru mengajar murid-murid. Perjuangan kelas di sini juga bukan bermaksud pergaduhan dalam bilik darjah antara murid-murid ataupun guru bergaduh dengan murid-muridnya.

Kelas di sini bermaksud kelas sosial yang wujud dalam masyarakat kelas. Tetapi, apa itu kelas dalam masyarakat kelas?

Perkataan kelas berasal daripada perkataan Latin “classis”, yang digunakan pada zaman Rom Purba untuk membahagikan masyarakat kepada kumpulan orang yang berbeza status. Ketika zaman pemerintahan raja Servius Tullius di Rom Purba pada abad ke-6 S.M., Kerajaan Rom membahagikan anggota masyarakatnya ke dalam 5 “kelas”, iaitu kategori masyarakat berasaskan jumlah kekayaan yang dimiliki mereka.

Konsep “kelas sosial” biasanya digunakan untuk membahagikan masyarakat kepada kategori yang mempunyai sifat umum mengikut status, pekerjaan, kekayaan dan kuasa. Misalnya, sekarang ini kita biasanya membahagikan masyarakat kepada lapisan mengikut pendapatan isi rumah: B40 (golongan berpendapatan terbawah 40%), M40 (golongan berpendapatan menengah 40%) dan T20 (golongan berpendapatan teratas 20%).

Namun, konsep tentang kelas yang digunakan dalam analisis Marxis, amat berbeza dengan tanggapan tentang kelas yang digunakan dalam teori kemasyarakatan borjuasi. Teori Marxis berpandangan bahawa kelas sosial seseorang itu berada, bukannya ditentukan oleh pendapatannya ataupun kekayaan yang dimilikinya, tetapi berasaskan hubungan pengeluaran sosial.

Kewujudan kelas ditentukan oleh hubungan pemilikan harta (ataupun lebih khusus lagi, pemilikan ke atas alat-alat pengeluaran), bukannya oleh pendapatan seseorang. Hubungan pemilikan harta ditentukan oleh pengagihan dan penggunaan kekayaan yang dihasilkan oleh tenaga kerja, yang dicerminkan dalam proses pengeluaran kekayaan dan hubungan kuasa antara kelas.

Mengikut konsep Marxis, kelas ditentukan oleh sumber seseorang atau kumpulan masyarakat itu memperoleh pendapatannya yang ditentukan oleh hubungannya dengan proses perburuhan dan cara pengeluaran kekayaan. Kelas ditentukan oleh hubungan pengeluaran masyarakat dalam sesuatu masa. Kelas yang mana seseorang itu berada ditentukan oleh realiti yang objektif dalam hubungan masyarakat, bukannya hanya dengan kuantiti kekayaan yang dimilikinya, ataupun berasaskan pendapat seseorang itu.

Analisis tentang pembahagian kelas sosial dan perjuangan kelas, adalah penting dalam membangunkan pemahaman tentang sifat asas kapitalisme, iaitu sistem susunan masyarakat yang kita hidup dalamnya pada hari ini.

Bagi Karl Marx, tokoh pemikir yang membangunkan analisis yang mendalam tentang kapitalisme, kelas sosial ditakrifkan dan distrukturkan oleh hubungan sosial yang berkaitan dengan:

  1. Kerja dan buruh;
  2. Pemilikan harta dan alat-alat pengeluaran.

Faktor-faktor ekonomi seperti buruh dan bentuk pemilikan alat-alat pengeluaran, lebih ketara lagi dalam menentukan hubungan sosial dalam kapitalisme berbanding masyarakat-masyarakat sebelumnya. Walaupun masyarakat-masyarakat pra-kapitalis mempunyai lapisan masyarakat atau kumpulan masyarakat yang boleh dianggap sebagai kelas, tetapi terdapatnya juga lapisan masyarakat yang tidak berasaskan semata-mata pada faktor-faktor ekonomi, misalnya paderi, ksatria, elit tentera dan sebagainya.

“Kelas ialah kumpulan rakyat yang besar dibezakan daripada yang lain oleh tempat yang diduduki mereka dalam sistem pengeluaran sosial yang ditentukan secara sejarah, oleh hubungan mereka (dalam kebanyakan kes adalah ditetapkan dan diungkapkan oleh undang-undang) terhadap alat-alat pengeluaran, oleh peranan mereka dalam organisasi sosial untuk buruh, dan akibatnya, oleh dimensi perkongsian kekayaan masyarakat yang mana mereka menggunakannya dan cara mereka memperolehinya.” Vladimir I. Lenin, A Great Beginning: Heroism of the Workers in the Rear “Communist Subbotniks” , 1919

Pembahagian kelas sosial juga biasanya berasaskan 3 kriteria utama yang saling berkait:

  1. Kedudukan seseorang dalam struktur pekerjaan;
  2. Kedudukan seseorang dalam struktur kuasa (misalnya seseorang itu perlu mendengar arahan daripada berapa orang, ataupun seseorang itu boleh memberi arahan kepada berapa ramai orang);
  3. Pemilikan terhadap harta (atau lebih khusus lagi, pemilikan harta yang mengeluarkan keuntungan, misalnya pemilikan saham syarikat) ataupun kedudukan seseorang dalam struktur pemilikan harta.

“Dalam proses pengeluaran, manusia bekerja bukan sahaja terhadap alam semulajadi, tetapi juga terhadap satu dengan yang lain. Mereka mengeluarkan sesuatu hanya dengan bekerja secara bersama dalam cara tertentu dan saling bertukar-tukar aktiviti mereka. Untuk mengeluarkan sesuatu, mereka memasuki pertalian dan hubungan yang pasti dengan satu sama lain, dan hanya dalam pertalian dan hubungan sosial ini pengaruh mereka terhadap alam semulajadi berfungsi, iaitu berlakunya pengeluaran.

Hubungan antara pengeluar-pengeluar ini, dan keadaan di mana mereka bertukaran aktiviti mereka dan berkongsi dalam tindakan pengeluaran secara total, akan berubah secara semulajadi mengikut ciri alat-alat pengeluaran.”

– Karl Marx, Buruh Upah dan Modal, 1847

Kelas sosial dibentuk oleh kuasa-kuasa yang menentukan mod pengeluaran. Kelas ialah salah satu aspek yang penting dalam hubungan pengeluaran. Kelas wujud bukan kerana perbezaan pendapatan, status kehormatan dalam masyarakat, ataupun kuasa politik, tetapi wujud daripada hubungan dengan proses pengeluaran. Kelas ialah aspek yang penting dalam pengeluaran, pembahagian buruh dan proses perburuhan.

Secara ringkasnya, kelas ditakrif sebagai hubungan sosial, bukannya posisi atau pangkat dalam masyakat.

Dalam masyarakat kapitalis, kelas kapitalis tidak boleh wujud tanpa kelas pekerja, atau sebaliknya. Hubungan antara kelas ialah hubungan yang saling bercanggahan atau saling bertentangan.

Bagaimana masyarakat kelas muncul?

Pada zaman primitif, iaitu ketika alat-alat pengeluaran untuk menghasilkan kekayaan masyarakat itu masih sangat mundur lagi, manusia yang hidup secara berkelompok itu tiadanya hasil buruh lebihan (surplus), maka tidak perlu wujudnya pemisahan kerja. Masyarakat pada masa itu hidup dalam hubungan sosio-ekonomi yang samarata, di mana semua anggota sesuatu kelompok masyarakat itu bekerja secara bersama-sama dan menikmati hasil buruh secara bersama-sama. Bentuk masyarakat sebegini dikenali sebagai komunisme primitif.

20190419-huntergatherers1.jpg

Dalam masyarakat pemburu-pengumpul yang bersifat komunis primitif, anggota-anggota dalam satu puak atau kelompok biasanya keluar memburu bersama-sama, dan hasil buruan akan dikongsi secara bersama-sama. Oleh sebab mereka tidak mampu menyimpan makanan tambahan, mereka tidak akan memburu atau mengumpul secara berlebihan, tetapi hanya mendapatkan makanan yang sekadar mencukupi untuk semua anggota dalam kelompok yang sama. Masyarakat sebegini tidak mengeluarkan surplus ataupun tiada keperluan untuk mengeluarkan surplus (kerana tiada cara untuk menyimpan surplus itu).

Komunisme primitif ialah masyarakat manusia awal yang tidak mempunyai kelas. Masyarakat sebegini bersifat agak egalitarian dan tiadanya struktur hierarki. Tiada keperluan untuk membahagikan anggota-anggota dalam masyarakat ini ke dalam kelas sosial yang berbeza, kerana tidak wujudnya pemisahan kerja. Semua orang dalam masyarakat komunis primitf itu adalah samarata dari segi status sosial mereka, kerana melakukan kerja yang sama dan menikmati hasil kerja secara bersama.

Namun, kita tidak perlu terlalu meromantikkan masyarakat komunisme primitif. Walaupun masyarakat sebegitu hidup secara samarata dan tanpa eksploitasi oleh seorang ke atas orang yang lain, tetapi anggota-anggota dalam masyarakat primitif itu hidup dalam keadaan yang serba kekurangan disebabkan perkembangan alat-alat pengeluaran (seperti alatan untuk memburu ataupun bercucuk tanam) pada masa itu masih agak mundur. Anggota-anggota dalam sesebuah masyarakat puak semasa zaman primitif menyokong sesama diri sebagai satu suku kaum yang samarata, untuk memastikan survival keseluruhan puaknya.

Apabila adanya surplus masyarakat berikutan perkembangan alat-alat pengeluaran, seperti penemuan cara bercucuk tanam, penciptaan alatan yang lebih canggih, penemuan cara mengawet makanan dan sebagainya, pemisahan kerja telah berlaku. Dalam kebanyakan keadaan, akan wujudnya segolongan kecil orang dalam masyarakat itu yang menikmati surplus pengeluaran masyarakat tanpa perlunya bekerja, manakala majoriti orang dalam masyarakat itu terpaksa bekerja dengan menggunakan tenaga buruh mereka, bukan sahaja menghasilkan keperluan untuk kegunaan kehidupan mereka sendiri sahaja, tetapi juga menghasilkan surplus untuk dinikmati oleh segelintir kecil golongan atasan dalam masyarakat itu yang tidak perlu bekerja. Beginilah munculnya masyarakat kelas!

20190419 - kelas gettyimages-735140-612x612.jpg

Pertentangan dan percanggahan kepentingan antara kelas

Masyarakat kelas ialah masyarakat yang disusun dalam struktur hierarki yang berasaskan kelas sosial. Setiap masyarakat kelas itu pastinya ada kelas yang memerintah dan kelas yang diperintah.

Kelas yang memerintah ialah golongan masyarakat yang memiliki atau menguasai alat-alat pengeluaran sosial (misalnya tanah, kilang dan modal). Kelas yang memerintah berada di bahagian teratas dalam hierarki susunan kelas. Kelas yang memerintah menikmati hampir kesemua surplus pengeluaran tanpa perlunya menaburkan tenaga buruh mereka untuk melakukan kerja-kerja pengeluaran. Mereka menindas rakyat daripada kelas-kelas bawahan yang lain untuk memastikan kepentingan mereka dalam menguasai pengagihan surplus itu tidak dicabar. Oleh itu, kelas ini juga ialah kelas yang menindas.

Kelas yang diperintah ialah golongan masyarakat yang menaburkan tenaga buruh mereka dalam pengeluaran untuk menghasilkan keperluan bagi diri mereka sendiri dan juga surplus pengeluaran masyarakat. Namun, kelas yang diperintah biasanya tidak menguasai apa-apa alat-alat pengeluaran, dan surplus yang dihasilkan oleh mereka diambil secara paksa oleh kelas pemerintah. Mereka sentiasa ditindas, dan penindasan lebih teruk akan dikenakan terhadap mereka khususnya apabila mereka cuba menyoal tentang ketidakadilan yang wujud dalam masyarakat kelas. Oleh itu, kelas ini ialah kelas yang tertindas.

Setiap kelas mempunyai kepentingan dan kecenderungan intrinsik yang berbeza dengan kelas yang lain dalam masyarakat. Perbezaan kepentingan antara kelas ini biasanya saling berlawanan antara satu sama lain. Inilah asas kepada pertentangan antara kelas.

Misalnya, meningkatkan gaji sebanyak mungkin adalah kepentingan kelas pekerja, sementara memaksimumkan keuntungan dengan cara menekan gaji pekerja pada paras yang rendah pula adalah kepentingan kelas kapitalis. Kedua-dua kepentingan kelas pekerja dan kelas kapitalis ini adalah saling bercanggah dan bertentangan. Ini membawa kepada pertentangan asas dalam sistem kapitalis, walaupun ada di kalangan kelas pekerja dan kelas kapitalis itu langsung tidak sedar tentang pertentangan kepentingan kelas ini.

Pertentangan antara kelas disebabkan oleh kepentingan kelas yang bercanggah, boleh mencetuskan konflik antara kelas. Perjuangan kelas menjadi sesuatu yang tidak boleh dielakkan dalam masyarakat kelas yang penuh dengan percanggahan kepentingan kelas.

20190419 - kelasIMG_2636.JPG

Perjuangan kelas

Masyarakat kelas wujud apabila surplus yang dihasilkan daripada tenaga kerja manusia itu diagihkan secara tidak samarata. Perjuangan kelas ialah perjuangan untuk menentukan bagaimana surplus buruh ataupun kekayaan masyarakat itu diagihkan.

Perjuangan kelas sentiasa wujud dalam masyarakat kelas.

Adakalanya perjuangan kelas itu berlaku secara tersembunyi ataupun kurang menyerlah. Ini terjadi kerana penentangan oleh kelas yang tertindas itu dilakukan dalam bentuk yang pasif. Penentangan pasif oleh kelas yang tertindas termasuk:

  • hamba melarikan diri daripada tuan hambanya;
  • petani membunuh diri kerana tidak mampu membayar sewa tanah kepada tuan tanah besar;
  • pekerja yang berpura-pura sakit untuk tidak pergi bekerja.
  • pekerja mencuri wang majikan.

Adakalanya perjuangan kelas itu berlaku secara terbuka, dan penentangan oleh kelas yang tertindas itu amat jelas. Misalnya, pekerja-pekerja mengadakan aksi piket ataupun mogok kerja untuk menuntut hak mereka.

20190419 - kelas 70611-vjofmuknti-1507558080.jpg

Adakala juga perjuangan kelas itu memuncak sehingga tercetusnya REVOLUSI. Revolusi sosial ialah perubahan yang menyeluruh kepada hubungan sosial, struktur sosio-ekonomi, pengagihan kuasa politik, minda pemikiran massa dan corak kehidupan masyarakat. Revolusi yang berjaya boleh mengubah secara keseluruhannya struktur masyarakat kelas dengan membentuknya susunan masyarakat yang baru, atau walaupun tidak mengubah sifat asas struktur masyarakat itu tetapi dapat memenangkan pembaharuan masyarakat yang mengubah nasib kelas sosial bawahan yang tertindas.

Perjuangan kelas bertujuan untuk memperbaiki keadaan hidup dan memperluaskan kepentingan kelas. Untuk kelas yang tertindas, perjuangan kelas boleh membebaskan diri mereka daripada penindasan dan memperbaiki kehidupan mereka. Untuk kelas yang menindas, menggunakan kekerasan jentera negara (seperti polis dan tentera) untuk menyekat kebangkitan rakyat bawahan dan menggubal undang-undang yang anti-pekerja supaya memperkukuhkan kekuasaannya, merupakan bentuk perjuangan kelasnya.

Sesuatu kelas tidak semestinya bersatu pada setiap masa, padahal anggota dalam sesuatu kelas saling bersaing demi kepentingan individu, tetapi akan bertindak sebagai satu kelas apabila kepentingan kelas itu terancam. Misalnya, persaingan antara kapitalis boleh jadi sangat sengit dan bermati-matian, tetapi apabila hubungan pemilikan alat-alat pengeluaran dan kewujudan kelas kapitalis itu terancam, kelas kapitalis akan bersatu secara ideologi dan bertindak secara bersama untuk melindungi kepentingan kelas.

20190419 - kelas Peasants-Revolt.jpg

Perkembangan masyarakat kelas

Hampir kesemua “tamadun” masyarakat bermula dengan kewujudan kelas. Misalnya, tamadun purba seperti di Mesir, Greece dan Rom, merupakan masyarakat kelas yang didirikan melalui perhambaan.

Dalam masyarakat perhambaan, wujudnya kelas tuan hamba sebagai kelas yang memerintah, dibantu oleh golongan agamawan, cendekiawan upahan dan pegawai tinggi dalam kerajaan. Rakyat biasa seperti petani, tukang kraf dan hamba abdi, merupakan kelas yang diperintah. Nasib hamba abdi paling teruk kerana mereka merupakan buruh paksaan yang langsung tiada apa-apa kebebasan, dengan tenaga buruh mereka diperah habis-habisan untuk memenuhi segala keperluan dan kehendak tuan hambanya.

Jika kita mengambil masyarakat Republik Rom (509-27 S.M.) sebagai contoh, wujudnya kelas-kelas seperti:

  • Bangsawan (patricius): Kelas yang memerintah. Kelas ini terdiri daripada mereka yang berasal daripada keluarga yang kaya dan berpengaruh. Mereka ialah pemilik tanah yang kaya. Mereka merupakan tuan hamba yang utama. Mereka biasanya memegang jawatan Senator, Konsul (jawatan pentadbiran yang tertinggi dalam kerajaan) dan hakim.
  • Orang biasa (plebis): Warga awam yang tidak dapat memegang jawatan awam dalam pentadbiran. Mereka biasanya bekerja sebagai tukang, pekedai, dan sebagainya. Ada juga antara mereka ialah pemilik ladang kecil. Sebelum tahun 471 S.M., golongan ini tiada hak untuk mengundi; selepas tahun 471 S.M., mereka diberi hak mengundi untuk memilih wakil mereka dalam “Dewan Rakyat” (Concilium Plebis).
  • Orang bebas (liberti): Bekas hamba abdi. Mereka biasanya bekerja sebagai tukang, bidan atau peniaga kecil. Walaupun mereka mempunyai hak sebagai warga Rom, tetapi dilarang untuk menjadi penjawat awam. Mereka langsung tiada hak mengundi, maka tiada perwakilan dalam badan perundangan.
  • Hamba abdi (servi): Kelas yang diperintah yang berada di peringkat terbawah. Biasanya merupakan warga asing yang ditangkap (misalnya tahanan perang) dan mereka boleh dijualbeli untuk pertukaran emas. Mereka langsung tiada apa-apa hak. Mereka dilayan secara teruk oleh tuan hamba, disebat dan ditinggalkan tanda bakar atas badan mereka sebagai cop hamba. Mereka boleh dibunuh tanpa apa-apa sebab. Mereka bekerja di rumah bangsawan, ladang, lombong dan sebagainya.

Masyarakat feudal berkembang di Eropah pada Zaman Pertengahan (wujud antara abad ke-5 hingga abad ke-15) menggantikan sistem perhambaan, khususnya selepas kejatuhan Empayar Rom. Struktur masyarakat feudal di Eropah biasanya wujud dalam susunan hierarki seperti berikut:

  • Raja: Tuan tanah terbesar yang memiliki kuasa mutlak dalam sesebuah negara feudal.
  • Bangsawan: Terdiri daripada tuan tanah besar. Mereka ialah orang suruhan yang setia kepada raja. Mereka memberi perlindungan ketenteraan kepada raja.
  • Kesatria: Orang suruhan kepada bangsawan. Mereka biasanya juga merupakan tuan tanah kecil. Mereka memberi khidmat tentera kepada bangsawan.
  • Saudagar, tukang, petani bebas
  • Petani kecil / hamba-tani: Kelas yang paling bawah. Mereka bercucuk tanam bukan sahaja untuk menghasilkan keperluan bagi diri mereka sendiri, tetapi perlu menghasilkan surplus untuk diserahkan kepada golongan atasan (dari kesatria ke bangsawan dan raja).

20190419 - kelas cropped-Peasant-Revolt-3.jpg

Masyarakat kapitalis mula berkembang menggantikan masyarakat feudal di benua Eropah sekitar abad ke-16. Masyarakat kapitalis muncul hasil daripada perkembangan 3 perkara:

  • Pemisahan antara pengeluar dengan alat-alat pengeluaran;
  • Kemunculan kelas kapitalis;
  • Kemunculan kelas pekerja.

Pemisahan antara pengeluar dengan alat-alat pengeluaran bermakna, pengeluar atau orang yang melakukan kerja itu tidak lagi memiliki apa-apa alat pengeluaran pun, termasuklah tenaga kerjanya sendiri yang juga menjadi komoditi yang boleh dijual beli. Pada penghujung Zaman Pertengahan sehingga abad ke-18, berlakunya gerakan “pemagaran” (enclosure) di negara England, di mana tanah ladang kecil dan tanah lapang awam telah dipagarkan untuk mewujudkan bidang tanah ladang yang besar bagi tujuan penternakan kambing biri-biri. Ini telah menyebabkan ramai petani kecil kehilangan tanah, iaitu satu-satu sumbernya untuk mendapatkan keperluan hidup mereka. Pengeluar pertanian dipisahkan daripada tanah pertanian, menjadi kelas buruh tanpa tanah, dan terpaksa berhijrah ke bandar untuk menjual tenaga kerjanya kepada kilang-kilang pembuatan industri demi mendapatkan wang untuk membeli keperluan hidupnya. Ini menjadikan mereka kelas pekerja moden yang terawal.

Kelas kapitalis moden wujud apabila alat-alat pengeluaran dan nilai surplus semakin tertumpu dalam tangan golongan yang memiliki modal. Modal ialah nilai surplus yang digunakan untuk menjana lebih nilai surplus. Dalam masyarakat kapitalis, kelas kapitalis memiliki modal, tetapi modal itu datang daripada nilai surplus yang dihasilkan oleh kelas pekerja yang menjual tenaga buruh mereka kepada kelas kapitalis. Kelas kapitalis memperoleh modal melalui proses eksploitasi terhadap kelas pekerja, dan mewujudkan percanggahan yang ketara dalam masyarakat kapitalis.

Di negara-negara Eropah, sistem masyarakat kapitalis berkembang melalui proses Revolusi Industri dan revolusi politik yang membentuk sistem politik demokrasi perwakilan moden, menjadikan negara-negara ini negara-negara kapitalis yang terawal. Namun, di negara-negara di Asia, Afrika dan Amerika Latin, sistem masyarakat kapitalis terbentuk daripada proses perluasan kuasa dan penjajahan oleh imperialis Barat di situ.

20190419 - kelas kapitalis.gif

Kelas kapitalis

Kelas kapitalis, ataupun juga dikenali sebagai kelas borjuasi, merupakan kelas yang mendominasi ataupun kelas yang memerintah dalam masyarakat kapitalis.

Borjuasi ialah perkataan bahasa Perancis “bourgeoisie” yang pada asalnya bermaksud “kelas menengah yang berdagang”, yang digunakan untuk menakrif kelas penduduk yang mempunyai hak kewarganegaraan dan hak politik dalam sesebuah bandar di Perancis pada Zaman Pertengahan hingga kejatuhan pemerintahan aristokratik Rejim Lama (Ancien Régime) pada tahun 1789 berikutan Revolusi Perancis. Borjuasi berbeza dengan kelas tuan tanah dalam masyarakat feudal dan masyarakat kapitalis awal.

Kelas tuan tanah ialah kelas sosial yang memiliki tanah dan memperoleh hampir semua pendapatanya daripada sewa tanah. Dalam erti kata lain, kelas tuan tanah ialah parasit atas tanah. Namun, dengan perkembangan masyarakat kapitalis, kelas tuan tanah semakin kehilangan kuasa dan pengaruhnya, khususnya berikutan kebangkitan kelas baru yang dikenali sebagai borjuasi ataupun kapitalis.

Kelas kapitalis ialah pemilik modal. Modal ialah nilai surplus ataupun keuntungan (yang dihasilkan daripada penjualan komoditi) yang dilaburkan dalam proses pengeluaran.

Kelas kapitalis menguasai alat-alat pengeluaran seperti kilang, mesin, bahan mentah dan sebagainya, kerana memiliki modal. Kelas kapitalis membeli dan mengekploitasi tenaga buruh, dengan nilai surplus yang dihasilkan daripada tenaga buruh, untuk mengumpul dan menambahkan modalnya.

Kelas kapitalis termasuk majikan yang mengupah tenaga kerja, pelabur yang menjadi pemegang saham utama dalam syarikat, pengarah syarikat besar, pencari sewa (yang bergantung semata-mata pada pendapatan daripada pelaburan modal dan hartanah), dan juga mereka yang berada dalam kedudukan pengurusan tinggi untuk menjaga kepentingan kelas kapitalis (seperti Ketua Pegawai Eksekutif atau CEO dalam sesebuah syarikat besar).

Kelas borjuasi mula wujud dan berkembang di bandar-bandar Eropah, dengan perkembangan golongan yang memperoleh kekayaan melalui aktiviti perniagaan, perdagangan atau perusahaan pengeluaran, seperti pedagang, tukang kraf, pengusaha kilang, pengeluar barangan dan sebagainya. Untuk golongan ini mengembangkan operasi keusahawanan mereka, mereka memerlukan lebih banyak kebebasan untuk memasarkan barangan dan memperluaskan aktiviti ekonomi. Maka, dalam perjuangan kelas menentang kekuasaan feudal (seperti kerajaan monarki yang dikuasai tuan tanah besar dan institusi gereja), kelas ini mengambil peranan yang progresif dalam melemahkan susunan feudal dan hierarki masyarakat yang lama.

Secara ekonominya, kelas kapitalis moden menjadi dominan apabila berlakunya Revolusi Industri, dengan perkembangan teknologi baru dalam pengeluaran yang membolehkan pembuatan komoditi (barangan yang dihasilkan untuk dijual) secara besar-besaran.

Secara politiknya, revolusi borjuasi (seperti Revolusi Inggeris 1640-an, Revolusi Amerika 1765-1783 dan Revolusi Perancis 1789) telah memainkan peranan utama dalam menghancurkan sistem feudal dan membuka jalan kepada perkembangan kapitalisme. Kekuasaan kelas kapitalis diperkukuhkan dan dikekalkan melalui sistem politik moden yang memperkenalkan undang-undang yang melindungi “hak” harta persendirian.

Pemilikan modal dan penggunaan modal untuk mengeksploitasi tenaga buruh, di samping mengumpul lebih banyak modal, adalah ciri-ciri asas sistem ekonomi kapitalis. Kelas kapitalis mengembangkan kekayaannya melalui pengupahan pekerja dan eksploitasi terhadap tenaga buruh.

Pengumpulan modal ialah kuasa penggerak utama untuk sistem ekonomi kapitalis. Kelas kapitalis sentiasa mencari jalan untuk memaksimumkan keuntungan demi keseinambungan proses pengumpulan modal. Persaingan untuk memaksimumkan keuntungan, bukannya disebabkan ketamakan kapitalis individu (walaupun memang adanya kapitalis individu yang tamak), ataupun kehendak seseorang kapitalis mengikut keinginannya, tetapi ianya memang satu “logik” yang intrinsik ataupun tertanam secara mendalam dalam sistem kapitalis itu sendiri yang tidak dapat dikawal oleh kapitalis perseorangan.

20190419 - kelas 489914-5dd053d0277793e70cbee6f246f8b036.jpg

Kelas pekerja

Kelas pekerja, ataupun juga dikenali sebagai kelas proletariat, merupakan golongan yang tidak memiliki apa-apa alat pengeluaran, kecuali tenaga buruhnya yang boleh dibeli oleh kelas kapitalis.

Proletariat berasal daripada perkataan Latin “proles” yang bermaksud zuriat. Pada zaman Republik Rom, kategori proletarius (bermaksud “orang yang menghasilkan zuriat”) diperkenalkan dalam undang-undang untuk menakrif kelas sosial di kalangan warga Rom yang mempunyai sedikit harta atau langsung tiada harta.

Dalam konteks zaman moden, iaitu dalam masyarakat kapitalis, kelas pekerja ialah sumber tenaga buruh. Mereka hanya sekadar orang yang mempunyai tenaga buruh (iaitu keupayaan untuk kerja), dengan tiada apa-apa sumber lain kecuali keupayaan untuk bekerja dengan tangan, tubuh badan dan minda mereka. Oleh sebab kelas pekerja tidak memiliki alat-alat pengeluaran, maka untuk menyara hidup mereka dan keluarga mereka, mereka perlu menjual tenaga buruh mereka (sama ada buruh fizikal atau buruh intelek atau kedua-duanya) kepada kelas kapitalis. Kelas pekerja terpaksa bekerja dalam hubungan pengeluaran sosial yang bersifat eksploitatif.

Hubungan kerja yang eksploitatif dalam sistem kapitalis ini mencipta semula atau menghasilkan semula dirinya secara berterusan. Jika seseorang kapitalis mahu mendapat lebih keuntungan dan mengumpul modal sebanyak mungkin, gaji pekerja perlu dikekalkan pada paras yang rendah. Pekerja bekerja dengan masa berlebihan untuk menghasilkan barangan surplus (yang akan dijual untuk mendapatkan nilai surplus yang kemudiannya dilaburkan semula sebagai modal) bagi kelas kapitalis dan mendapat balik hanya sebahagian kecil daripada hasil kerjanya dalam bentuk gaji.

Pekerja mengeluarkan barangan. Barangan yang dihasilkan oleh tenaga buruh pekerja itu dimiliki sepenuhnya oleh kapitalis dan dijual untuk mendapatkan keuntungan. Keadaan ini berlaku setiap hari dalam proses perburuhan, menyekat pekerja daripada mendapatkan pemilikan terhadap alat-alat pengeluaran dan mencipta semula kondisi untuk eksploitasi yang selanjutnya. Kelas kapitalis menjadi semakin kaya dalam hubungan pengeluaran yang eksploitatif ini, sementara pekerja terus miskin.

Pada hari ini, kelas pekerja di banyak tempat sudah berbeza keadaan hidup mereka berbanding kelas pekerja pada abad ke-19, hasil daripada perjuangan kelas pekerja yang hebat untuk lebih 100 tahun. Kelas pekerja hari ini mungkin kebanyakannya bukan lagi golongan yang tidak memiliki apa-apa harta. Pekerja hari ini berkemungkinan adanya rumah milik sendiri (walaupun ramai juga yang masih menyewa rumah ataupun terikat dengan hutang pinjaman rumah), adanya kereta sendiri, dan ada juga membeli saham. Namun, mereka masih tidak menguasai alat pengeluaran yang paling utamanya – MODAL.

Kelas pekerja pada hari ini terdiri daripada pekerja kolar biru (iaitu pekerja yang melakukan buruh kasar yang memerlukan tenaga fizikal), pekerja kolar putih (iaitu pekerja yang bekerja di pejabat) dan pekerja yang terlibat dalam pekerjaan perkhidmatan (seperti pengangkutan, perbankan, pelancongan, kesihatan, pendidikan, media, hiburan, telekomunikasi dan peruncitan). Juga wujudnya semakin ramai pekerja yang diupah di bawah kontrak sementara yang tiada jaminan kerja.

20190419 - kelas 1291457_250cb47ef1171f30c6d99207ac942de3.jpg

Kelas menengah

Selain kelas kapitalis dan kelas pekerja yang mempunyai sifat yang amat bertentangan dan sentiasa bercanggah dalam sistem kapitalis, adanya satu lapisan masyarakat yang dikenali sebagai “kelas menengah”.

Kelas menengah wujud jumlah yang besar di negara kapitalis yang lebih maju. Pekedai kecil, peniaga kecil yang menjalankan bisnes atas talian, pengurus atau penyelia di peringkat pertengahan dalam sesebuah syarikat, golongan profesional yang makan gaji atau bekerja bebas (freelance) dan sebagainya, tergolong dalam kelas menengah ini. Walaupun ramai golongan “profesional” hanyalah pekerja upahan yang memiliki kemahiran tinggi, tetapi mereka mempunyai lebih kuasa kawalan ke atas buruh mereka sendiri. Kuasa dan set pilihan yang ada pada kelas menengah adalah berbeza secara kualitatif berbanding golongan pekerja bawahan. Oleh itu, kelas menengah berada dalam “kedudukan yang bercanggahan dalam struktur kelas”.

Kelas menengah adakalanya dijuga dikenali sebagai “borjuasi kecil”, khususnya mereka yang menjalankan perniagaan kecil. Borjuasi kecil ialah pemilik harta atau pemilik alat-alat pengeluaran yang kecil-kecilan.

Kelas menengah mempunyai sifat kedua-dua kelas kapitalis dan kelas pekerja. Pekedai-pekedai kecil mempunyai sesetengah sifat yang sama dengan kapitalis, kerana mereka memiliki sumber pengeluaran; tetapi mereka turut memiliki sesetengah sifat yang sama dengan pekerja, kerana mereka juga perlu melibatkan diri secara aktif dalam kerja-kerja di kedai. Pengurus-pengurus berpangkat sederhana mempunyai sesetengah kuasa yang dimiliki kapitalis, kerana mereka boleh memberi arahan kepada pekerja; tetapi mereka juga sama dengan pekerja, tidak mempunyai kuasa kawalan yang sebenar terhadap pelaburan syarikat.

Kemunculan kelas menengah dalam jumlah yang signifikan di negara dengan ekonomi yang lebih maju, dianggap sebagai “penstabil” kepada masyarakat kapitalis. Kelas menengah tidak mengalami masalah eksploitasi dan penindasan sehebat yang dialami oleh kelas pekerja bawahan, maka mereka kurang kecenderungan untuk memperjuangkan perubahan sosial yang mengubah struktur kelas secara keseluruhan. Selagi kelas menengah dapat meneruskan rezeki mereka (sama ada masih diupah dalam pekerjaannya atau perniagaannya menjamin pulangan yang stabil) dan mengekalkan gaya hidup mereka, kelas menengah tidak akan terlibat dalam perjuangan kelas yang berisiko menjejaskan jaminan “kestabilan hidup” mereka.

Kerajaan negara kapitalis yang mengamalkan dasar pembaharuan yang bersifat demokratik sosial, akan cuba membesarkan bilangan kelas menengah, kerana ini dianggap sebagai satu kaedah yang berkesan untuk mengekalkan pemerintahan kelas kapitalis.

Namun, kelas menengah sentiasa menghadapi ancaman apabila berlakunya krisis ekonomi dalam sistem kapitalis. Pemberhentian kerja dan kemerosotan bisnes akibat pengangguran yang serius, akan mengurangkan jumlah kelas menengah, dengan kebanyakan mereka akan “dituruntaraf” atau “dilucutkan status” daripada kelas menengah kepada pekerja miskin. Pengecutan kelas menengah dan pelebaran jurang pendapatan antara kelas kapitalis (yang kaya) dengan kelas pekerja (yang miskin), akan mengembalikan situasi pertentangan kelas yang nyata.

Kelas menengah tidak cenderung kepada idea politik kelas yang radikal atau revolusioner, selagi kehidupan mereka sebagai kelas menengah itu terjamin. Kelas menengah lebih cenderung untuk mengekalkan status quo dan menyokong mana-mana kerajaan yang dapat membawa “kestabilan sosial” (walaupun kestabilan itu dikekalkan melalui cara penindasan yang keras terhadap penentangan rakyat bawahan), jika kehidupan mereka tidak terjejas terlalu hebat. Namun begitu, kelas menengah boleh menjadi lebih radikal atau sekurang-kurangnya mengambil pendirian reformis apabila bertindak untuk menentang monopoli pemodal besar dan mempertahankan ancaman terhadap sistem negara kebajikan.

Apabila kehidupan kelas menengah menjadi tidak terjamin, tidak semestinya mereka akan beralih secara automatik kepada pemikiran atau idea politik perjuangan kelas yang radikal. Sebaliknya, mereka juga akan mudah tertarik kepada fahaman populis berhaluan kanan yang menampilkan seorang pemimpin kuat sebagai “penyelamat”, mempermainkan sentimen perkauman, menyalahkan pendatang asing sebagai punca masalah ketidakjaminan hidup rakyat (penyebaran fahaman xenofobia) atau mengkambinghitamkan golongan minoriti (seperti LGBT, etnik minoriti dalam sesebuah masyarakat, warga migran beragama Islam di negara Barat dan sebagainya).

Oleh itu, pada kebiasaannya, kelas menengah secara politiknya lebih berpendirian liberal atau mendukung demokrasi pada masa ekonomi berkembang pesat; tetapi boleh menjadi konservatif atau reaksioner secara politik ketika wujudnya krisis ekonomi. Walau bagaimanapun, kelas menengah juga dapat tertarik kepada idea politik kiri yang radikal, bergantung pada tahap pengaruh hegemoni politik kelas pekerja yang bersifat pembebasan.

20190419 - kelas china_rice_field_workers.jpg

Petani

Kelas petani wujud sejak zaman pra-kapitalis. Dalam masyarakat feudal, petani ialah tenaga buruh yang bercucuk tanam untuk membayar sewa atau cukai kepada tuan tanah besar, selain menghasilkan makanan untuk diri mereka sendiri.

Petani merupakan populasi yang utama di kawasan luar bandar. Petani membentuk majoriti penduduk dan tenaga buruh dalam bidang pertanian dalam masyarakat pra-kapitalis. Nisbah populasi petani semakin berkurangan dengan perkembangan ekonomi perindustrian dalam masyarakat kapitalis. Kelas petani masih merupakan kumpulan masyarakat yang besar jumlahnya di negara-negara kurang membangun di dunia pada hari ini.

Kelas petani boleh dibahagikan lagi kepada lapisan yang berbeza mengikut kedudukan pemilikan tanah:

  • Petani kaya: Petani yang mempunyai tanah hak milik sendiri dengan keluasan yang besar. Mereka boleh menyewa tanah mereka kepada petani yang lain, ataupun mengupah pekerja untuk bekerja di atas tanahnya. Mereka boleh dikatakan sebagai borjuasi luar bandar.
  • Petani kecil: Petani yang mempunyai tanah hak milik sendiri atau pajakan tanah, dengan keluasan tanah yang kecil. Mereka mampu mengeluarkan makanan yang mencukupi untuk diri sendiri. Mereka sering menghadapi pengusiran apabila tanah yang diusahakan mereka dibangunkan. Mereka boleh dikatakan sebagai borjuasi kecil luar bandar.
  • Petani miskin: Petani yang langsung tidak mempunyai apa-apa hak milik tanah. Mereka terpaksa menyewa tanah daripada tuan tanah atau petani kaya, ataupun terus diupah untuk bekerja dengan petani kaya. Mereka boleh dikatakan sebagai proletariat luar bandar.

Rezeki petani berkait rapat dengan tanah, iaitu alat pengeluaran yang paling utama dalam ekonomi pertanian. Kehidupan petani tidak boleh dipisahkan daripada tanah. Tanpa tanah, tiadanya petani. Status atau hubungan pemilikan tanah seseorang petani menentukan kedudukannya dalam kelas petani.

Sifat kelas petani mirip dengan kelas menengah ataupun borjuasi kecil. Mereka tidak akan menjadi radikal sekiranya rezeki mereka terjamin. Namun, kelas petani akan bangkit melawan dan berkecenderungan menjadi radikal apabila rezeki mereka digugat ataupun tanah yang diusahakan mereka dirampas. Perampasan tanah oleh korporat besar yang dikuasai kelas kapitalis sekarang ini, sentiasa menjejaskan kehidupan petani dan mencetuskan perlawanan petani untuk mempertahankan rezeki mereka.

Pekerja pertanian ataupun pekerja perladangan yang diupah oleh syarikat besar untuk bekerja dalam industri pertanian di luar bandar, tidak boleh digolong sebagai kelas petani, kerana sifat asas mereka adalah sama dengan kelas pekerja dalam hubungan pengeluaran perindustrian.

20190419 - kelas Jobless1.jpg

Pengangguran

Penganggur, iaitu pekerja yang kehilangan kerja atau langsung tiada kerja, ialah sebahagian daripada kelas pekerja, tetapi mereka tidak diupah untuk bekerja. Penganggur mempunyai keupayaan untuk kerja dan mahu bekerja (untuk menyara hidup dengan gaji), tetapi tidak dapat bekerja kerana masalah struktur masyarakat kapitalis. Penganggur dianggap sebagai buruh yang berlebihan, dan berada pada posisi yang paling lemah dalam kelas pekerja.

Penganggur digelar sebagai “tentera simpanan buruh” untuk industri dalam masyarakat kapitalis, di mana kewujudannya membolehkan kelas kapitalis terus menekan gaji pekerja pada paras yang rendah. Semakin ramai penganggur, bermakna semakin ramai orang pekerja yang sedang mencari kerja, maka majikan-kapitalis boleh memaksa pekerja yang sedang bekerja dengannya untuk terus bekerja dengan gaji yang rendah kerana dia boleh dengan mudahnya menggantikan pekerja yang berani mencabar kekuasaannya dengan mereka yang sedang menunggu di luar untuk mendapatkan kerja. Kapitalis memerlukan “tentera simpanan buruh” ini mengikut keperluan semasa mereka.

Pengangguran secara besar-besaran jarang berlaku dalam masyarakat pra-kapitalis, di mana hampir semua orang yang boleh bekerja itu perlu bekerja, jika tidak, akan mati kebuluran. Hamba dan petani dalam zaman pra-kapitalis tidak mungkin “menganggur”.

Kapitalisme mewujudkan pengangguran dan memerlukan pengangguran.

Modal yang dilaburkan oleh kelas kapitalis dalam pengeluaran boleh dibahagi kepada dua bahagian: sebahagian untuk mengupah pekerja, dan sebahagian untuk membeli atau menyewa alat-alat pengeluaran (seperti kilang, mesin dan bahan mentah). Namun, bahagian modal yang digunakan untuk mengupah pekerja akan dikurangkan apabila kapitalisme berkembang maju.

Syarikat yang lebih besar akan menelan syarikat kecil ataupun syarikat-syarikat bergabung menjadi syarikat yang lebih besar untuk mencapai “ekonomi skala”. Biasanya apabila dua syarikat bergabung, pastinya ada pekerja akan diberhentikan kerja dan menjadi penganggur.

Persaingan untuk pemaksimuman keuntungan memacu kapitalis untuk meningkatkan produktiviti. Salah satu cara memaksimumkan keuntungan adalah menekan gaji pada kadar yang rendah sementara meningkatkan jam kerja. Satu lagi cara adalah “menaiktaraf” mesin atau alatan yang digunakan dalam pengeluaran untuk menjadi lebih efisien. Mesin yang lebih efisien, atau menggantikan tenaga kerja manusia dengan mesin yang lebih canggih, bermakna kurang pekerja diperlukan untuk menghasilkan barangan yang sama. Penggunaan teknologi atau mesin yang lebih canggih, sepatutnya sesuatu yang membantu pekerja, tetapi realitinya amat berbeza dalam kapitalisme, kerana sebahagian pekerja akan hilang kerja akibat daripadanya.

Apabila semakin ramai pekerja hilang kerja dan menjadi penganggur, ini akan melemahkan kuasa tawar-menawar pekerja dan memudahkan lagi kelas kapitalis untuk menekan gaji pekerja pada paras yang rendah.

Maka, wujudnya satu fenomena yang “pelik” dalam sistem ekonomi kapitalis: Apabila ramai pekerja sedang menganggur dan memerlukan kerja, pada masa yang sama adanya sebahagian besar pekerja yang terpaksa bekerja untuk masa kerja yang panjang (tetapi dibayar dengan gaji yang amat rendah).

Namun, pengangguran yang serius turut menjadi faktor penting kepada krisis kapitalis yang berulang, kerana semakin ramai pekerja kehilangan kerja juga bermakna kuasa beli masyarakat untuk membeli barangan yang dikeluarkan oleh kapitalis turut merosot, sehingga mewujudkan masalah pengeluaran berlebihan dan permintaan tidak mencukupi.

20190419 - kelas 19079b6c-b01f-11e8-b224-884456d4cde1_image_hires_112541.JPG

“Buruh yang tidak produktif” 

Bagi kelas kapitalis, buruh yang “produktif” ialah buruh yang mengeluarkan nilai surplus untuk kapitalis. Buruh yang tidak menghasilkan nilai surplus secara langsung untuk kapitalis itu dikatakan “tidak produktif”. Ini menjadikan sesuatu kerja yang sama mungkin boleh dianggap samada ada produktif atau tidak produktif, hanya kerana kerja itu menjana keuntungan kepada kapitalis atau tidak.

“Buruh yang sama boleh jadi produktif apabila saya membelinya sebagai seorang kapitalis, dan tidak produktif apabila saya membelinya sebagai seorang pengguna.” – Karl Marx, Teori Nilai Surplus, 1862-63

Misalnya, seorang guru yang mengajar di sekolah swasta yang dimiliki oleh badan korporat dikatakan terlibat dalam buruh yang produktif, kerana buruhnya menghasilkan nilai surplus (keuntungan) untuk pemilik sekolah; sementara seorang guru yang mengajar di sekolah kerajaan, yang bekerja di bawah keadaan yang serupa, dianggap terlibat buruh yang tidak produktif kerana buruhnya tidak menghasilkan nilai surplus.

Ambil satu lagi contoh, kerja rumah. Kerja yang dilakukan oleh suri rumahtangga, seperti mencuci baju, membersihkan rumah, memasak untuk ahli keluarga dan sebagainya, dianggap buruh yang tidak produktif, di mana jelasnya kerja ini tidak menghasilkan apa-apa nilai surplus untuk sesiapa pun. Namun, kerja rumah memastikan keadaan rumah yang kondusif untuk seseorang anggota dalam keluarga yang bekerja di luar itu menjana semula tenaga kerja yang dapat melakukan kerja yang “produktif” (untuk majikan-kapitalis). Secara tidak langsung, kerja rumah menyumbang kepada penjanaan nilai surplus, tetapi masih dianggap sebagai “buruh yang tidak produktif” mengikut definisi kapitalis.

Dalam satu tempat kerja, misalnya sebuah kilang, majikan-kapitalis yang memiliki kilang itu mengupah kedua-dua buruh yang“produktif” dan “tidak produktif”. Buruh yang “produktif” di sini ialah pekerja operator yang terlibat secara langsung dalam proses pengeluaran barangan di kilang. Buruh yang “tidak produktif” pula ialah pekerja yang tidak terlibat dalam pengeluaran produk secara langsung, seperti pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan. Oleh sebab kerja-kerja seperti pembersihan dan kawalan keselamatan tidak menghasilkan nilai surplus atau keuntungan secara langsung untuk kapitalis, maka dikatakan “tidak produktif” dan selalunya dibayar dengan gaji yang serendah mungkin. Namun, jika kerja seperti pembersihan dan kawalan keselamatan ini “tidak produktif” dan tidak penting untuk operasi kilang, kenapa majikan-kapitalis perlu mengupah pekerja untuk melakukan kerja ini? Bolehkah sebuah kilang itu tidak dibersihkan oleh pekerja pembersihan, atau tidak memerlukan pengawal untuk menjaga keselamatan sepanjang masa? Kerja-kerja seperti pembersihan dan kawalan keselamatan,penting untuk memastikan kilang itu beroperasi secara lancar, maka kerja ini sebenarnya juga membantu dalam menghasilkan nilai surplus, bukannya kerja yang “tidak produktif” langsung.

Apabila kapitalis sanggap mengalihkan semakin banyak modal daripada sektor pengeluaran yang produktif (yang menghasilkan barangan yang sekurang-kurangnya berguna) kepada sektor yang sebenarnya tidak produktif (yang tidak menghasilkan apa-apa barangan yang berguna), seperti kewangan, terbitan saham, spekulasi matawang, urusniaga hartanah dan sebagainya, sebaliknya mereka enggan meningkatkan bayaran gaji kepada mereka yang menaburkan buruh untuk kerja yang mendatangkan faedah sebenar kepada masyarakat. Bukankah ini satu hipokrasi kelas kapitalis?

Persoalan sama ada seseorang itu terlibat dalam buruh yang produktif atau tidak produktif, tidak berkaitan dengan persoalan sama ada dia tergolong dalam kelas pekerja atau tidak. Semua pekerja yang diupah oleh majikan-kapitalis, sama ada menjalankan kerja “produktif” atau “tidak produktif”, ialah sebahagian yang tidak boleh dipisahkan dalam kelas pekerja, dan sebenarnya mereka semua berperanan dalam penjanaan kekayaan masyarakat kita hari ini.

20190419 - kelas o-OCCUPY-facebook.jpg

Percanggahan asas dalam masyarakat kapitalis 

Setiap jenis masyarakat kelas ada percanggahannya tersendiri. Dalam masyarakat feudal, petani yang dibebankan dengan sewa atau cukai yang dikenakan oleh kelas tuan tanah ke atas mereka, membentuk pertentangan kelas yang asas dalam masyarakat itu.

Percanggahan asas yang wujud dalam masyarakat kapitalis adalah, ekonomi telah disosialisasikan dengan semakin ramai orang di seluruh dunia terlibat dalam mod pengeluaran kapitalis dengan buruh mereka dieksploitasi untuk menghasilkan kekayaan dunia, tetapi pada masa yang sama keuntungan yang dicipta oleh buruh sosial semakin ditumpukan dalam tangan syarikat korporat swasta yang dikuasasi oleh segelintir kecil kapitalis yang menjadi semakin kaya dan bukannya diagihkan secara umum di kalangan pekerja yang mencipta kekayaan itu.

Dari segi hubungan kelas, percanggahan ini ditunjukkan dalam percanggahan antara kelas kapitalis dengan kelas pekerja. Kelas kapitalis sentiasa memaksimumkan keuntungan, tetapi pemaksimuman keuntungan bermakna eksploitasi terhadap pekerja. Kelas pekerja menuntut gaji yang adil dan bersesuaian untuk menyara hidup secara bermaruah, tetapi hasrat kelas pekerja ini bertentangan dengan kepentingan kelas kapitalis.

Kelas kapitalis yang kaya semakin kaya, sedangkan kelas pekerja yang miskin semakin miskin, adalah manifestasi percanggahan asas masyarakat kapitalis hari ini. Orang yang berusaha kuat (kelas pekerja) mempunyai sedikit atau langsung tidak memiliki kekayaan, sedangkan orang yang tidak berbuat apa-apa (kapitalis) atau melabur kekayaannya dalam perkara yang tidak berguna menikmati segala kemewahan.

Kelas kapitalis memaksimumkan keuntungan melalui pengeluaran komoditi (barangan yang dihasilkan untuk dijual) yang melibatkan pengeksploitasian kelas pekerja dengan gaji rendah dan masa kerja yang panjang, tetapi pada masa yang sama juga menghadkan kuasa beli pekerja yang bakal menjadi pembeli kepada barangan keluarannya. Apabila modal yang dilaburkan dalam proses pengeluaran komoditi atau barangan yang sekurang-kurangnya ada kegunaan (walaupun sebenarnya tidak diperlukan) tidak lagi menjana keuntungan, kelas kapitalis mengalihkan pelaburan modal kepada perkara yang tidak menghasilkan lagi apa-apa yang berguna, seperti pasaran saham, pasaran kewangan, spekulasi matawang, urusniaga hartanah semata-mata untuk keuntungan dan sebagainya. Ini menjadi asas kepada krisis ekonomi yang sering berulang dalam masyarakat kapitalis untuk lebih 100 tahun yang lalu sehingga hari ini.

20190419 - kelas American_way_of_life

Polarisasi dalam masyarakat kapitalis

Pada tahun 1930-an, apabila negara-negara kapitalis dilanda krisis ekonomi yang serius, kerajaan negara kapitalis telah mengubah dasar ekonomi kepada keynesianisme, sejenis dasar ekonomi campuran yang melibatkan campurtangan kerajaan dalam ekonomi untuk menangani masalah kemeselesatan ekonomi. Dasar ekonomi Keynesian menyokong usaha mengurangkan pengangguran dan pembentukan sistem negara kebajikan untuk menjamin “permintaan agregat” yang mampu mengekalkan keseinambungan ekonomi kapitalis. Dasar pembaharuan ekonomi ini membawa kepada pertumbuhan pesat bilangan anggota kelas menengah dan membantu dalam “menstabilkan” masyarakat kapitalis.

Percanggahan dalam masyarakat kapitalis menjadi tidak ketara ataupun tidak menonjol, apabila kelas menengah semakin membesar dari segi jumlah anggotanya dan pengagihan kekayaan nampaknya lebih adil dengan sistem percukaian progresif (di mana golongan berpendapatan lebih tinggi perlu membayar kadar cukai yang lebih tinggi, sementara cukai yang dikutip dapat diagihkan semula dalam masyarakat melalui pelaksanaan sistem kebajikan sosial yang menyeluruh). Di bawah ekonomi Keynesian dan sistem negara kebajikan, corak kehidupan kelas pekerja menjadi semakin mirip dengan kelas menengah: dapat memiliki rumah sendiri yang selesa, boleh membeli saham syarikat, melancong ke luar negara semasa cuti panjang dan sebagainya.

Di negara yang sistem kebajikannya kurang menyeluruh, kapitalis kewangan pula memperkenalkan pinjaman wang dan kad kredit kepada kelas pekerja dan kelas menengah, untuk membolehkan mereka membeli rumah, kereta dan hampir semua barangan secara kredit ataupun melalui pinjaman bank. Institusi-institusi kewangan kapitalis atau bank-bank meminjam wang kepada rakyat biasa, bukan kerana mereka murah hati, sebaliknya mereka memperoleh keuntungan yang lebih daripadanya di samping pinjaman wang itu dapat membantu dalam meningkatkan atau sekurang-kurangnya mengekalkan kuasa beli pekerja dalam pasaran kapitalis.

Namun, modal dengan logiknya perlu dikumpulkan sebanyak mungkin dalam ekonomi kapitalis, tidak dapat dijinakkan oleh dasar ekonomi reformis yang menghadkan ruangnya untuk memaksimumkan keuntungan. Modal mengalir dari negara-negara perindustrian maju yang mengamalkan sistem negara kebajikan ke negara-negara sedang membangun yang tidak mempunyai undang-undang atau dasar yang menyekat aktiviti modal. Proses pengaliran modal ini dipacukan oleh globalisasi yang bertunjangkan dasar ekonomi neoliberal yang membawa mantra untuk liberalisasi perdagangan, penswastaan terhadap sektor awam, pengurangan belanjawan untuk kebajikan sosial dan penyahkawalseliaan terhadap modal.

Pemindahan modal dari sebuah negara ke negara lain, biasanya melibatkan penutupan perusahaan yang menyebabkan pekerja kehilangan kerja, sehingga mencetuskan semula masalah pengangguran besar-besaran. Kelas menengah turut akan terjejas: pekerja di peringkat pertengahan dalam pengurusan syarikat turut hilang kerja, perniangaan kecil mengecut kerana kuasa beli masyarakat menurun, dan sebagainya. Dalam keadaan kemelesetan ekonomi, ramai dalam kelas menengah akan dilucutkan statusnya, dan menjadi kelas pekerja yang menganggur ataupun diupah dengan gaji yang rendah.

Ramai orang, termasuk golongan profesional, yang tidak mendapat pekerjaan di negara yang menghadapi masalah kekurangan pekerjaan akibat krisis ekonomi kapitalis, membentuk lapisan “tentera simpanan buruh” yang terpaksa menjadi pekerja migran di negara lain. Pekerja migran yang biasanya tidak mendapat perlindungan hak yang sepenuh, mudah dieksploitasi oleh kelas kapitalis yang mahu memaksimumkan keuntungan.

Apabila kelas menengah semakin mengecut akibat daripada pembangunan masyarakat kapitalis yang sentiasa dilanda krisis ekonomi, masyakat kapitalis menjadi semakin tidak samarata dan terpisah antara dua kelas yang asas – kelas kapitalis yang kaya raya dan kelas pekerja yang miskin papa kedana.

“Zaman kita, zaman borjuasi, mempunayai sifat yang istimewa: ia telah mempermudahkan pertentangan-pertentangan kelas. Masyarakat secara keseluruhan semakin lama semakin terpecah kepada dua kem besar yang bermusuhan, ke dalam dua kelas besar yang berdepan satu dengan yang lain secara langsung – Borjuasi dan Proletariat.” – Karl Marx & Friedrich Engel, Manifesto Komunis, 1848.

20190419 - kelas 001.jpg

Kesedaran kelas

Kesedaran kelas tidak wujud secara automatik dalam minda anggota sesuatu kelas sosial. Kesedaran kelas biasanya timbul apabila anggota dalam sesuatu kelas sosial melibatkan diri dalam perjuangan kelas.

Semua anggota dalam masyarakat kelas berada dalam kelas sosial tertentu, bergantung pada kedudukannya dalam hubungan sosial berkaitan dengan pengeluaran dan pengagihan kekayaan masyarakat. Kelas sosial itu pastinya wujud, sama ada kelas sosial itu menyedarinya atau tidak. Mod pengeluaran kapitalis mewujudkan kelas kapitalis (yang memiliki modal) dan kelas pekerja (yang menjual tenaga buruh kepada kapitalis), dengan kelas kapitalis mengeksploitasi dan menindas kelas pekerja, mewujudkan “kelas dalam dirinya” (class-in-itself).

“Kelas dalam dirinya” ini tidak menonjol pada waktu pertentangan kelas itu tidak ketara, tetapi menjadi jelas apabila wujudkan perjuangan kelas yang tercetus daripada pertentangan kepentingan kelas. Kelas pekerja bergabung dan berjuang sebagai satu kelas apabila kepentingan kelas perlu dipertahankan, misalnya berjuang untuk menaikkan gaji. Perjuangan ekonomi yang bertujuan untuk meningkatkan pendapatan dan memperbaiki kualiti hidup kelas pekerja, mempamerkan “kelas dalam dirinya” untuk kelas pekerja. Namun, perjuangan ekonomi akan berhenti atau tidak diteruskan lagi apabila tuntutan semasa kelas pekerja diterima oleh kelas kapitalis, seperti gaji dinaikkan, dan kelas pekerja akan kembali kepada tempat kerja asalnya tanpa mengubah apa-apa sifat asas hubungan sosial dalam masyarakat kapitalis. “Kelas dalam dirinya” kekal sebagai kelas dalam dirinya, tidak lebih dan tidak kurang dari itu.

Namun, apabila kelas pekerja membangunkan kesedaran bahawa kelas pekerja sebagai subjektiviti kolektif yang dapat bertindak secara bebas untuk mengubah nasibnya, maka kelas pekerja berkembang maju daripada hanya kewujudan sebagai kelas sosial kepada kelas politik yang mampu memperjuangkan masa depan yang diinginkannya. Dengan wujudnya kesedaran kelas, kelas pekerja mentransformasi dirinya daripada “kelas dalam dirinya” kepada “kelas untuk dirinya” (class-for-itself), iaitu kelas yang mengorganisasi dirinya sebagai satu kelas untuk memperjuangkan pembebasan masyarakat.

Dengan adanya kesedaran kelas bahawa kelas pekerja mampu membebaskan diri daripada eksploitasi kelas melalui tindakan politik secara kolektif, perjuangan kelas pekerja tidak lagi terhad kepada perjuangan ekonomi yang sekadar memperbaiki keadaan hidup semasa, tetapi dibawa ke tahap yang lebih tinggi, iaitu perjuangan politik untuk mengubah dasar kerajaan sehinggalah mendapatkan kuasa pemerintahan bagi menentukan nasib kelas pekerja secara bersama.

Kesedaran kelas dapat dibina melalui organisasi politik pekerja yang revolusioner, pendidikan politik yang berterusan, pendedahan kepada analisis kelas, penglibatan dalam proses demokrasi pekerja dan pengalaman perjuangan kelas yang nyata.

20190419 - kelas 62996-lmijlouznc-1499916902.jpg

Kelas dan negara

Negara (state) bukannya sentiasa wujud, tetapi muncul pada peringkat sejarah yang tertentu dalam masyarakat manusia apabila timbulnya percanggahan antara kelas yang menindas dengan kelas yang tertindas. Negara ialah produk kewujudan masyarakat kelas yang penuh dengan pertentangan kelas.

Negara adalah produk dan manifestasi percanggahan kelas yang tidak mungkin diselesaikan. Di tempat, masa dan syarat di mana percanggahan kelas tidak dapat didamaikan secara objektif, maka wujudnya negara. Dalam erti kata lain, kewujudan negara membuktikan bahawa percanggahan kelas tidak dapat didamaikan.” – Lenin, Negara dan Revolusi, 1917

Negara sebagai alat pemerintahan kelas, merupakan jentera keganasan yang digunakan oleh satu kelas untuk menindas kelas yang lain. Kelas yang memerintah memerlukan jentera negara untuk memastikan semua kelas yang diperintah di bawah kawalan sepenuhnya dan “kestabilan” masyarakat kelas itu tidak terganggu oleh perjuangan kelas. Tugas utama untuk mana-mana jentera negara ialah mengekalkan kuasa kelas yang memerintah.

Bentuk negara yang paling umum untuk masyarakat kapitalis ialah “negara bangsa” (nation state) yang biasanya mengamalkan “demokrasi perwakilan”.

“Mereka yang tertindas dibenarkan selang setiap beberapa tahun untuk menentukan sekali siapa wakil daripada kelas pemerintah itu akan terus mewakili dan menindas rakyat dalam parlimen! Inilah sifat sebenar sistem berparlimen kelas borjuasi, bukan sahaja begini dalam sistem berparlimen di negara raja berperlembagaan, tetapi juga begini dalam negara republik yang paling demokratik.” Lenin, Negara dan Revolusi, 1917

Perjuangan kelas pekerja untuk pembebasan, semestinya melibatkan cabaran kepada kekuasaan negara kapitalis. Hanya apabila sempadan kelas itu hilang selepas mencapai pengagihan kekayaan masyarakat secara samarata, negara itu akan turut hilang, kerana tidak perlunya lagi jentera kekerasan untuk mengekalkan “kestabilan” hubungan masyarakat kelas yang bersifat eksploitatif.

Antonio Gramsci, seorang tokoh revolusioner sosialis Itali, telah membangunkan konsep negara kapitalis yang membahagikan negara kapitalis moden kepada dua komponen yang saling bertindih, iaitu masyarakat politik dan masyarakat sivil. Masyarakat politik (institusi-institusi awam, seperti polis, tentera, sistem kehakiman, jabatan kerajaan dan sebagainya) ialah aspek negara yang berasaskan paksaan, manakala masyarakat sivil (keluarga, sekolah, kesatuan sekerja, gereja, badan bukan kerajaan dan sebagainya) ialah aspek negara yang berfungsi berasaskan persetujuan. Jadi, negara kapitalis yang merupakan penggabungan masyarakat politik dengan masyarakat sivil, adalah pencantuman paksaan dengan persetujuan.

Perjuangan kelas pekerja untuk pembebasan bukan sahaja perjuangan politik untuk mendapatkan kuasa pemerintahan negara, tetapi juga perlu melibatkan penguasaan hegemoni secara ideologi untuk memimpin masyarakat sivil, iaitu mewujudkan kesedaran kelas yang lebih meluas supaya memantapkan usaha revolusi yang menggantikan susunan masyarakat lama dengan alternatif baru.

20190419 - kelas gettyimages-953325068

Perjuangan kelas pekerja dalam sistem kapitalis

Perjuangan kelas pekerja untuk menentang penindasan oleh kelas kapitalis dan membebaskan diri daripada hubungan pengeluaran sosial yang eksploitatif, bermula sejak wujudnya sistem kapitalis.

Perjuangan kelas pekerja dengan kesedaran kelas yang jelas, bukannya perjuangan berasaskan kebencian terhadap kapitalis individu, tetapi perjuangan yang bertujuan untuk menggantikan sistem kapitalis yang bersifat eksploitatif dengan sistem masyarakat baru yang berasaskan kesamarataan, kekitaan dan kemanusiaan.

Perjuangan kelas pekerja melibatkan perjuangan ekonomi, perjuangan politik dan perjuangan ideologi. Perjuangan ekonomi berkisar pada tuntutan seperti kenaikan gaji, pengurangan masa kerja tanpa mengurangkan gaji, keadaan kerja yang lebih baik, hak untuk menyertai kesatuan sekerja dan sebagainya. Perjuangan ekonomi kelas pekerja biasanya dilakukan melalui kesatuan sekerja atau gerakan pekerja.

Perjuangan politik melibatkan tuntutan untuk kebebasan berorganisasi secara politik, hak mengundi sejagat, kebebasan demokratik, sehingga penubuhan pemerintahan pekerja. Perjuangan politik kelas pekerja dilakukan melalui penubuhan parti kelas pekerja yang memperjuangan perubahan sistem politik.

Perjuangan ideologi melibatkan usaha kelas pekerja mengubah minda masyarakat secara umum supaya sistem pemerintahan lama yang disokong dengan ideologi lama dapat dirombak sepenuhnya tanpa halangan daripada kongkongan fahaman politik lama.

Perjuangan kelas pekerja boleh berlaku dalam pelbagai bentuk, daripada tindakan sabotaj pengeluaran, piket, sehingga mogok kerja. Mogok kerja merupakan bentuk tindakan perjuangan kelas pekerja yang amat berkesan, kerana pekerja-pekerja yang bermogok akan menghentikan seluruh proses pengeluaran yang secara efektifnya mengganggu penghasilan nilai surplus untuk kelas kapitalis.

Perjuangan kelas pekerja dalam masyarakat kapitalis telah menghasilkan pelbagai bentuk organisasi pekerja mengikut keadaan tertentu. Antaranya:

  • Kesatuan sekerja;
  • Koperasi pekerja;
  • Parti politik pekerja atau parti politik sosialis.

Kesatuan sekerja merupakan organisasi massa pekerja ditubuhkan untuk memperjuangkan hak dan kepentingan pekerja, melalui tindakan kolektif seperti mogok kerja dan juga sebagai wakil pihak pekerja dalam perundingan kolektif dengan majikan. Kesatuan sekerja berperanan untuk memperjuangkan tuntutan pekerja seperti kenaikan gaji, pengurangan masa kerja, penambahbaikan keadaan bekerja dan hak-hak pekerja. Namun, kesatuan sekerja menghadapi ancaman untuk berkecenderungan menjadi sebahagian daripada jentera negara kapitalis yang digunakan untuk menyekat perjuangan pekerja, khususnya apabila operasinya menjadi semakin birokratik. Kekuatan sesebuah kesatuan sekerja terletak pada penyertaan pekerja secara demokratik dalam organisasinya.

Gerakan koperasi pekerja merupakan hasil daripada ilham yang dicetuskan oleh Robert Owen, seorang sosialis utopia dari Britain pada abad ke-19. Koperasi ialah organisasi berautonomi di mana ahli-ahlinya bekerjasama secara sukarela untuk kebaikan bersama secara sosial, ekonomi dan budaya. Gerakan koperasi itu penting kerana ia bukan sahaja sebagai sekolah yang melatih kelas pekerja dalam menguruskan ekonomi, malah ia juga boleh mempersiapkan dalam masyarakat kapitalis untuk penyelesaian bagi persoalan yang paling susah dalam pengwujudan masyarakat sosialis, iaitu persoalan pengagihan. Namun, koperasi juga menghadapi satu ancaman, iaitu menyimpang dari jalan asalnya apabila terjerumus dalam persaingan ekonomi dengan entiti-entiti perniagaan milik kapitalis yang jumlahnya jauh lebih besar dalam sistem kapitalis.

Parti pekerja ialah organisasi yang mengatur perjuangan pekerja secara politik. Parti politik pekerja sepatutnya mempunyai program politik kelas yang jelas dan berperanan untuk membangunkan kesedaran kelas di kalangan pekerja serta mengorganisasi pekerja dari bawah. Parti pekerja berperanan penting untuk membawa perjuangan ekonomi pekerja kepada perjuangan politik yang bertahap lebih tinggi, iaitu kelas pekerja mengambilalih kuasa pemerintahan daripada kelas kapitalis.

MayDay 3

Hasil perjuangan kelas pekerja setakat ini

Perjuangan kelas merupakan penggerak sejarah masyarakat manusia. Perjuangan kelas telah membawa perubahan kepada masyarakat kita dalam pelbagai aspek.

Perjuangan kelas pekerja telah mengubah wajah sejarah masyarakat moden di seluruh dunia. Tanpa perjuangan kelas pekerja yang berterusan di merata tempat sejak lebih seratus tahun dahulu, tidak mungkin golongan pekerja dan rakyat biasa dapat menikmati hak-hak asasi yang dijamin di sisi undang-undang pada hari ini.

Antara pencapaian penting perjuangan pekerja yang kita nikmati hari ini (berbeza mengikut negara), ialah:

  • Jam kerja dikurangkan kepada 8 jam sehari;
  • Hari rehat dan cuti kerja;
  • Hak mengundi untuk semua (termasuk wanita);
  • Pengharaman buruh kanak-kanak;
  • Gaji minimum;
  • Pencen untuk warga emas;
  • Hak untuk kebebasan menubuhkan dan menyertai kesatuan sekerja;
  • Hak untuk rundingan kolektif yang menetapkan syarat-syarat kerja yang lebih baik untuk pekerja;
  • Cuti bersalin;
  • Peraturan kesihatan dan keselamatan di tempat kerja;
  • Perlindungan kepada pekerja yang menganggur (misalnya insurans pekerjaan);
  • Kebajikan sosial seperti kesihatan, pendidikan dan sebagainya.

Gerakan kelas pekerja bukan sahaja memperjuangkan kesejahteraan hidup yang lebih baik untuk kelas pekerja sendiri, tetapi juga memperjuangkan ruang demokrasi yang lebih meluas supaya rakyat bawahan dapat mengambil bahagian dalam proses politik yang mempengaruhi nasib mereka.

Di negara-negara Dunia Ketiga yang pernah dijajah oleh imperialis Barat, gerakan kelas pekerja memainkan peranan penting dalam perjuangan pembebasan nasional yang menuntut kemerdekaan sepenuhnya daripada penjajah dan membina negara baru yang berdikari.

20190419 - kelas aac61f14acf14a4db90c280d4f1fa2b9_6.jpg

Cabaran kelas pekerja pada abad ke-21

Memasuki abad ke-21, dunia pekerjaan semakin berubah, begitu juga dengan wajah masyarakat kelas. Eksploitasi dan penindasan kelas masih berlaku, tetapi menjelma dalam wajah baru.

Di negara dengan ekonomi perindustrian semakin mengecut dengan pengenalan automasi (mesin menggantikan tenaga buruh manusia) ataupun pemindahan modal ke negara lain dengan paras gaji yang lebih rendah, kelas pekerja dilemahkan, secara kuantitatif dan kualitatif. Pengurangan tenaga kerja formal (iaitu pekerja tetap yang diupah untuk bekerja dalam kilang atau syarikat) dan digantikan dengan lebih banyak kerja bersifat kontrak sementara ataupun penyumberan luar (outsourcing) tenaga kerja, menyebabkan keanggotaan kesatuan sekerja merosot dan melemahkan kuasa tawar-menawar kesatuan sekerja.

Untuk memaksimumkan keuntungan dengan mengelakkan daripada membayar lebih kepada pekerja melalui pengambilan pekerjaan secara formal, semakin banyak “pekerjaan sementara” diperkenalkan untuk kerja-kerja yang sebenarnya bukan bersifat sementara ataupun bermusim. Fenomena “ekonomi gig” atau atomisasi kerja semakin ketara, dalam suasana ekonomi kapitais global yang penuh dengan krisis. Kerja sepenuh masa, berjangkamasa panjang dengan pelbagai faedah dan jaminan kerja, digantikan dengan kontrak sementara, berjangkamasa pendek tanpa faedah dan tiadanya jaminan kerja. Ini mewujudkan sekumpulan orang dalam kelas pekerja yang terhimpit antara pekerja dengan pekerjaan tetap dengan “tentera simpanan buruh” yang sedang mencari kerja.

Kelas kapitalis menggunakan teknologi untuk mempermudahkan atomisasi kerja, di mana kerja-kerja individu dipisahkan, dibahagikan, disumberkan luar dan boleh digantikan bila-bila masa dengan bantuan perisian dan telefon pintar. Mereka yang terlibat dalam kerja sedemikian mungkin ada yang mendapat ganjaran yang lebih tinggi berbanding kerja tetap dengan kadar gaji yang rendah, tetapi mereka kehilangan jaminan kerja (dan juga jaminan pendapatan) di samping faedah lain (seperti perlindungan kesihatan, insurans pekerjaan, pencen dan sebagainya). Atomisasi pekerjaan turut menjadi halangan kepada pengorganisasian pekerja, kerana peralihan pekerja semakin cepat dan berselerak di merata tempat.

Keadaan kekurangan jaminan kerja, termasuk pekerjaan sementara atau kekurangan pekerjaan dan kewujudan keadaan kerja yang tidak menentu, menyebabkan kemunculan satu lapisan dalam kelas pekerja pada hari ini yang digelar sebagai “precariat” (perkataan yang menggabungkan precarious dengan proletariat, bermaksud kelas pekerja yang menghadapi ketidakmenentuan hidup kerana ketidakjaminan kerja). Adalah menjadi cabaran kepada organisasi pekerja yang radikal untuk membina kesedaran kelas di kalangan kumpulan pekerja yang baru di bawah ekonomi gig hari ini.

Sistem ekonomi kapitalis masih mendominasi dunia kita hari ini. Adalah menjadi cabaran kepada kelas pekerja (termasuk kelas menengah yang bakal menjadi kelas pekerja apabila berlakunya krisis ekonomi) untuk berorganisasi dari bawah dengan kesedaran kelas untuk menentang ketidakadilan dalam masyarakat kapitalis dan memperjuangkan pembebasan masyarakat.

20190419 - kelas.jpg

Kerelevanan perjuangan kelas hari ini

Masyarakat kelas wujud kerana adanya pengagihan kekayaan masyarakat (ataupun surplus buruh) yang tidak adil, adanya sistem sosio-ekonomi di mana segelintir golongan atasan masyarakat itu hidup secara mewah melalui eksploitasi terhadap majoriti rakyat yang menaburkan tenaga buruh. Penindasan sentiasa wujud dalam masyarakat kelas, sama ada secara nyata atau tersembunyi.

Di mana ada penindasan, di situ ada penentangan. Perjuangan kelas tetap akan berlaku selagi masyarakat kelas itu wujud.

Yang kaya semakin kaya, yang miskin semakin miskin, adalah manifestasi masyarakat kelas hari ini di bawah kapitalisme. Perjuangan kelas pekerja untuk melawan sistem kapitalis yang eksploitatif dan membina sebuah masyarakat yang lebih adil, jauh belum selesai lagi. Kita hanya dapat mengubah realiti dunia jika kita memahami kuasa-kuasa sebenar yang wujud di sekeliling kita. Kesedaran kelas yang dipandu oleh idea politik revolusioner yang bersifat pembebasan, membolehkan kita berbuat demikian. Kita perlu meneruskan usaha mengorganisasi dan memobilisasi untuk perjuangan pembebasan kelas pekerja secara bersama.

20190419 - kelas 'Mike-Alewitz-–-The-City-at-the-Crossroads-of-History-Mural.jpg

 

6 thoughts on “Adakah perjuangan kelas masih relevan hari ini?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *