20190201.jpg

KUALA LUMPUR – 1 FEBRUARI 2019: S. Arutchelvan, Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah hadir ke Ibupejabat Polis Daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur pada hari ini, untuk dirakam keterangan berkenaan dengan siasatan polis terhadap perhimpunan Bantah RM1050 pada bulan Oktober lalu.

Arutchelvan telah diiringi oleh ahli-ahli dan penyokong-penyokong PSM di hadapan IPD Dang Wangi sebelum masuk memberi keterangan kepada polis. Turut hadir bersama Arutchelvan semasa dirakam percakapan untuk keterangan polis ialah peguam Sashi Devan. Sesi rakaman percakapan untuk keterangan daripada Arutchelvan telah berlangsung selama setengah jam.

Arutchelvan telah menerima notis di bawah Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah untuk hadir ke sesi soal siasat polis. Arutchelvan disiasat polis di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 berkenaan dengan perhimpunan menuntut kaji semula gaji minimum RM 1,050 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 17 Oktober 2018.

Aksi perhimpunan bantah RM1050 pada 17 Oktober 2018 dianjurkan oleh Gabungan Bantah RM1050 yang terdiri daripada pelbagai organisasi termasuk Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Persatuan Sahabat Wanita Selangor (PSWS), Sosialis Alternatif, Malaysia Muda, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Kuliah Buku (KUBU), Parti Murba, Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM), Pusat Pembangunan Masyarakat (CDC) dan sebagainya. Aksi yang melibatkan perarakan dari Padang Merbok ke bangunan Parlimen tersebut mengemukakan tuntutan kepada Kerajaan supaya mengkaji semula gaji minimum dan menaikkan gaji minimum ke RM 1,800. Berikutan aksi tersebut, Kerajaan telah menaikkan lagi gaji minimum kepada RM 1,100.

Sebagai salah seorang aktivis yang menyertai aksi perhimpunan menuntut gaji minimum yang lebih sesuai, Arutchelvan telah dipanggil untuk siasatan polis selepas lebih 3 bulan selepas aksi tersebut. Amat jelas sekali bahawa cara polis mengendalikan aksi perhimpunan aman yang dianjurkan oleh kumpulan masyarakat masih sama seperti zaman UMNO-BN. Siasatan sebegini merupakan sesuatu yang membazir sumber dan tenaga pihak polis yang sepatutnya digunakan dalam perkara yang lebih penting seperti membanteras jenayah yang sebenar.

Siasatan polis terhadap aksi perhimpunan aman yang sudah berlangsung dengan lancar merupakan satu bentuk intimidasi terhadap akvitis sosial dan amalan sebegini tidak patut wujud lagi dalam zaman “Malaysia Baru” yang sepatutnya menegakkan hak demokratik rakyat untuk berhimpun secara aman.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *