insurans kesihatan 04.jpg

PUTRAJAYA: Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah menyerahkan satu memorandum kepada Kementerian Kewangan pada 24 Januari 2019, untuk mengemukakan cadangan PSM berkenaan dengan wang RM2 bilion yang diberikan oleh syarikat insurans Great Eastern bagi pembiayaan perkhidmatan kesihatan. Rombongan PSM diketuai oleh Dr. Jeyakumar Devaraj, Ahli Jawatankuasa Pusat PSM.

Menurut Dr. Jeyakumar, PSM khuathir bahawa penghijrahan doktor pakar dari hospital kerajaan ke sektor swasta akan menjadi lebih serius jika wang RM2 bilion ini digunakan di sektor swasta melalui pelaksanaan skim insurans kesihatan.

Semasa pembentangan Belanjawan 2019 pada bulan November lalu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng telah mengumumkan bahawa syarikat insurans Great Eastern telah menyumbangkan RM2 billion untuk pembiayaan sistem kesihatan bagi golongan berpendapatan rendah B40 di Malaysia. Pada 24 Januari 2019, sejam sebelum PSM menyerahkan memorandum, Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng telah melancarkan skim insurans kesihatan untuk golongan B40 yang dikenali sebagai “MySalam”.

PSM yang telah lama memperjuangkan penambahbaikan sistem kesihatan awam di negara kita amat bimbang bahawa dana yang disumbangkan oleh syarikat insurans yang digunakan untuk mewujudkan skim insurans kononnya membantu golongan B40, akhirnya hanya menguntungkan pembekal perkhidmatan kesihatan swasta yang berorientasikan keuntungan dan melemahkan lagi sistem kesihatan awam di Malaysia. 

Sebelum ini, PSM telah menyerahkan dua surat kepada Kementerian Kewangan, pada 25 November 2018 dan 17 Disember 2018, untuk meminta temujanji dengan Menteri Kewangan Lim Guan Eng, tetapi tidak menerima sebarang respon daripada Menteri Kewangan sehingga kini. Oleh itu, PSM telah datang beramai-ramai ke Kementerian untuk menyerahkan memorandum yang menggariskan beberapa perkara tentang isu insurans kesihatan yang perlukan perhatian pihak kerajaan.

Dalam memorandum yang diserahkan kepada Kementerian Kewangan, PSM telah menyenaraikan perkara dan pendiriannya seperti di bawah:

1. Kerajaan Malaysia harus mengelak diri daripada menggalakkan lagi perkembangan Sistem Insurans Kesihatan yang sedia wujud dalam negara kita.

Ini kerana Sistem Insurans yang sedia wujud

– adalah ditawarkan oleh syarikat-syarikat swasta atas motif mendapatkan keuntungan untuk pemegang sahamnya;

– adalah dinilai dengan berdasarkan risiko kesihatan setiap individu yang diliputi (risk rated);

– menawarkan pelan-pelan yang jauh berbeza dalam liputannya (coverage);

– mempunyai kos pentadbiran yang agak tinggi;

– dan akan meminggirkan lagi 70% daripada rakyat kita yang bukan berpendapatan tinggi.

Jadi, adalah amat penting untuk memastikan perbelanjaan RM 2 bilion yang didermakan oleh sebuah syarikat insurans tidak digunakan dalam cara yang mendorong rakyat Malaysia menjadi pelanggan syarikat insurans swasta.

2. Jika negara kita mengambil keputusan untuk menggunakan kaedah insurans untuk membiayai kos rawatan perubatan untuk rakyat kita, sistem insurans kesihatan harus dirombak semula untuk menjadikannya “Sistem Insuran Kesihatan Sosial” yang sebenar, di mana

– ia dilaksanakan oleh satu Lembaga yang bukan untuk untung (non-profit), seperti KWSP atau PERKESO;

– caruman tidak didasarkan pada profil kesihatan setiap individu tetapi adalah “dinilaikan berdasarkan komuniti” (community rated), yang bererti caruman adalah suatu nisbah tetap daripada pendapatan setiap keluarga

3. Pada takat ini satu Sistem Insurans Kesihatan Sosial pun tidak akan membawa faedah untuk negara kita, kerana

– Pendapatan golongan B40 (40% berpendapatan paling bawah) di negara kita adalah rendah, dan satu lagi potongan (mungkin sebesar 8% gaji mereka) akan merupakan satu beban tambahan bagi mereka;

– Adanya lebih kurang 1.5 juta keluarga dengan pendapatan rendah yang berkerja di sektor luar bandar – pesawah, penoreh, nelayan, peneroka FELDA dan sebagainya. Selain itu, ada 1 juta perniaga mikro di negara kita. Di samping itu, lebih daripada 3 juta daripada pencarum KWSP pada takat ini mendapat gaji yang kurang daripada RM 2,000 sebulan. Kerajaan harus menampung kos insurans untuk kumpulan masyarakat ini, dan jumlahnya mungkin akan melebehi peruntukan kesihatan pada takat ini.

4. Kaedah pembiayaan untuk Sistem Kesihatan Awam pada takat ini adalah kaedah “capitation” (pembiayaan ikut kepala), di mana satu peruntukan (RM 28 bilion untuk 2019) digunakan untuk menampung semua rawatan yang diberi di hospital-hospital dan klinik-klinik kesihatan kerajaan. Sistem insurans akan beralih kepada sistem bayaran di mana setiap rawatan, prosedur dan pembedahan akan dikira dan dicaj kepada dana kesihatan (fee-for-service). Kos rawatan akan melambung naik! Pada takat ini, kita sedang membayar RM 55 bilion setahun untuk segala kos kesihatan dalam negara kita (awam dan swasta). Sistem Insurans Sosial dengan kaedah “fee for Service” akan meningkatkan jumlah kos rawatan kepada RM 100 bilion ataupun lebih. Sistem Insurans Kesihatan tidak akan menjimatkan kos untuk Kerajaan Persekutuan!

5. Ada kemungkinan besar Sistem Insurans Kesihatan Sosial akan memperkembangkan hospital swasta dan memperlemahkan lagi hospital-hospital awam kerana penghijrahan doktor pakar ke sektor swasta akan bertambah. Ini akan membawa kesan negatif kepada rakyat kita di Pantai Timur, Sabah dan Sarawak, begitu juga dengan kawasan luar bandar di Pantai Barat Semenanjung. Pada takat ini, sistem kesihatan kerajaan yang memberi perkhidmatan perubatan di kawasan luar bandar.

Oleh kesemua fakta ini, keputusan untuk memperluaskan insurans kesihatan harus dibincang secara dalam antara semua pihak berkepentingan (stakeholders) sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

6. Dana RM 2 bilion yang disumbangkan oleh pihak syarikat insurans boleh digunakan untuk meringankan beban pesakit sektor awam yang dikehendaki membuat “co-payment dalam bentuk membeli skru dan plat untuk pembedahan otopedik, kant mata untuk pembedahan katarak, sten untuk prosedur angioplasti dan banyak lagi alat yang sekarang perlu dibeli oleh pesakit yang dirawat di hospital kerajaan.

2 thoughts on “Skim insurans MySalam timbul keraguan: PSM saran kerajaan jangan galakkan perkembangan sistem insurans kesihatan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *