48414395_10157035954818713_4652237622167470080_n.jpg

KUALA LUMPUR – 19 DISEMBER 2018: Wakil daripada masyarakat pekerja ladang di 5 buah ladang di Batang Berjuntai, Selangor, telah menyerahkan satu surat kepada wakil syarikat Berjaya Corporation Berhad pada hari ini, untuk menuntut penyelesaian kepada masalah perumahan mereka yang berlarutan untuk 2 dekad.

Surat yang ditujukan kepada Vincent Tan selaku Pengerusi Berjaya Corporation Berhad tersebut telah diterima oleh Tan Thiam Chai (Ketua Pegawai Kewangan Berjaya Corporation Berhad). Ini merupakan surat keempat yang diserahkan oleh Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity kepada syarikat Berjaya. Turut bersama dengan pekerja ladang semasa penyerahan surat ialah S. Arutchelvan, Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

48393290_10157035954963713_8223630978946433024_n

5 buah ladang di Batang Berjuntai yang terlibat dalam usaha menuntut penyelesaian isu perumahan daripada pihak syarikat Berjaya ialah Ladang Mary, Ladang Nigel Garder, Ladang Bukit Tagar, Ladang Sungai Tinggi dan Ladang Minyak.

Sejak tahun 1999, Kumpulan Berjaya telah berjanji untuk membina rumah kos rendah bagi pekerja ladang di situ. Pekerja-pekerja ladang yang sudah 4 generasi bekerja dan menetap di situ, meminta untuk pembinaan sebanyak 245 buah rumah teres.

Sebelum ini, pekerja-pekerja dari 5 ladang berkenaan telah menyerahkan surat kepada pihak Berjaya City dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan kenyataan bahawa keputusan Berjaya City yang mengenalpasti tanah seluas 12.75 ekar untuk Kerajaan Pusat membina rumah kepada pekerja-pekerja 5 ladang di Batang berjuntai ini adalah tidak memadai. Pekerja-pekerja dari 5 ladang di Batang Berjuntai telah mengemukakan justifikasi untuk membina rumah teres kos rendah dan Berjaya City perlu meningkatkan keluasan tanah yang diperuntukkan kepada 20 ekar. Namun, para pekerja tidak menerima sebarang maklumbalas berkenaan dengan tuntutan tersebut.

Baru-baru ini, Vincent Tan telah mengumumkan tabung bantuan bagi membeli tapak kuil Seafield dengan menderma sebanyak RM500.000. Maka, adalah tidak masuk akal untuk Vincent Tan tidak menunaikan janji syarikat Berjaya kepada pekerja-pekerja di 5 buah ladang di Batang Berjuntai. Para pekerja hanya meminta penambahan keluasan tanah sebanyak 8 ekar supaya membolehkannya mencukupi untuk pembinaan 245 buah rumah bagi pekerja-pekerja ladang yang telah berkorban untuk 4 generasi.

Pekerja-pekerja dari 5 ladang di Batang Berjuntai menggesa syarikat Berjaya supaya menyelesaikan masalah perumahan mereka secepat mungkin.

One thought on “Syarikat Berjaya perlu selesai segera masalah perumahan 5 ladang di Batang Berjuntai

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *