hungary - 17122018_budapest_protest

Hampir 10,000 orang rakyat Hungary turun berprotes di Budapest, ibu negara Hungary, pada 16 Disember 2018 untuk membantah undang-undang buruh baru negara tersebut yang disifatkan sebagai “undang-undang hamba”. Para demonstran turut menyuarakan tentangan mereka terhadap pentadbiran kerajaan berhaluan kanan yang dipimpin Perdana Menteri Viktor Orbán.

Gelombang protes terbaru di Hungary baru-baru ini merupakan aksi bantahan yang terbesar dalam tahun ini. Orbán yang berkuasa untuk kali kedua sejak tahun 2010, telah mewujudkan suatu sistem politik yang semakin autokratik, namun jarang dicabar oleh protes besar-besaran. Protes besar-besaran sebelum ini berlaku pada tahun 2014 apabila Orbán cuba mengenakan cukai ke atas trafik data internet tetapi menarik balik rancangan tersebut selepas puluhan ribu rakyat berarak untuk berprotes.

hungary _104764639_hi051156828

Parlimen Hungary telah meluluskan rang undang-undang yang membenarkan majikan untuk memaksa pekerja supaya bekerja lebih masa sebanyak 250 hingga 400 jam setahun. Penggubalan undang-undang terbaru ini akan menambah 2 jam kerja setiap hari secara purata untuk pekerja di Hungary. Majikan juga dibenarkan di bawah undang-undang baru untuk menangguhkan pembayaran kerja lebih masa untuk maksimum 3 tahun. Perubahan dalam undang-undang buruh ini telah membuka ruang kepada lebih eksploitasi terhadap pekerja.

“Undang-undang hamba” terbaru ini telah mencetuskan kemarahan ramai rakyat Hungary. Aktivis daripada parti-parti berhaluan kiri, kumpulan pelajar dan kesatuan sekerja telah menganjurkan protes dengan tema “Selamat Hari Krismas Encik Perdana Menteri”, aksi demonstrasi yang terbesar sejak tercetusnya gelombang protes baru-baru ini.

Reaksi Orbán terhadap gelombang protes adalah menyalahkan musuh ketatnya George Soros yang menimbulkan kacau-bilau, satu alasan yang biasa digunakannya untuk menuduh mereka yang membangkangnya.

hungary - orban-1059911

Orbán mengambilalih kuasa 8 tahun dahulu dengan platform politik yang mengapi-apikan sentimen nasionalis sempit dan menolak kemasukan imigran ke negara Hungary.

Gelombang protes yang tercetus baru-baru ini, khususnya di Budapest, merupakan aksi bantahan yang paling hebat untuk beberapa tahun kebelakangan ini sejak Orbán menjadi Perdana Menteri. Telah dilaporkan bahawa ramai demonstran telah ditangkap dan beberapa orang pegawai polis cedera apabila bertempur dengan demonstran.

Hungary - Chaos-Budapest-800x450

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *