Parti Sosialis Malaysia (PSM) amat kecewa dan tersinggung dengan kenyataan kelmarin oleh Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad bahawa kerajaan tidak akan melaksanakan pilihanraya tempatan kerana mungkin akan membawa kepada konflik perkauman dalam negara. Ini adalah satu alasan yang tempang yang telah pun dikitar semula berulang kali untuk menafikan hak rakyat untuk memilih wakil mereka di peringkat yang paling asas dalam pentadbiran.

Dengan kenyataan yang tidak bertanggungjawab ini, Perdana Menteri nampaknya jelas sekali sedang mengabaikan menteri dalam kabinetnya sendiri, khususnya Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin yang telah memberi komitmen untuk memulihkan pilihanraya tempatan dalam tempoh masa 3 tahun akan datang ini.

Alasan bahawa pilihanraya tempatan mungkin akan mendatangkan konflik perkauman yang digunakan oleh pemimpin teratas dalam kerajaan ini, telah menunjukkan elit pemerintah masih enggan berputus sepenuhnya daripada politik perkauman yang telah digunakan dengan sewenang-wenangnya oleh rejim sebelum ini untuk bertahun-tahun lamanya. Sampai bila politikus-politikus dalam negara kita akan berhenti menggunakan ancaman politik perkauman dalam menghalang usaha kita untuk mencapai sebuah masyarakat yang benar-benar demokratik dan adil?

Berkenaan dengan dakwaan bahawa konflik berkaitan perkauman mungkin akan timbul sekiranya komposisi wakil rakyat tempatan yang dipilih tidak mencerminkan nisbah sebenar kumpulan-kumpulan etnik, ataupun satu kumpulan etnik menguasai sesebuah pihak berkuasa tempatan (PBT), terdapat cara untuk mengatasinya jika kerajaan serius dalam melaksanakan pembaharuan institusi, termasuk pembaharuan terhadap sistem pilihanraya kita. Pengenalan sistem perwakilan berkadar dalam pilihanraya tempatan, dapat membantu dalam menghasilkan keputusan yang mencerminkan pilihan pengundi yang sebenar. Jika menganggap bahawa pengundi-pengundi mengundi mengikut kaum, perwakilan dalam PBT akan diagihkan mengikut nisbah kaum secara berkadar.

Satu lagi sistem pengundian yang boleh digunakan dalam pilihanraya tempatan, ialah sistem Kawasan Pilihanraya dengan Perwakilan secara Berkumpulan, walaupun sistem ini mempunyai banyak kekurangan. Dalam sistem Kawasan Pilihanraya dengan Perwakilan secara Berkumpulan, dalam satu kawasan pilihanraya yang mempunyai beberapa orang wakil rakyat, boleh diwujudkan syarat bahawa setiap senarai atau pasukan calon perlu mempunyai sekurang-kurangnya suatu bilangan tertentu calon wanita (untuk memastikan keseimbangan gender) atau suatu bilangan tertentu calon yang mengikut kumpulan etnik (untuk memastikan kesimbangan perwakilan mengikut kumpulan etnik).

Selain memperbaharui sistem pilihanraya sebagai salah satu cara untuk membuang ketakutan bahawa keputusan pilihanraya mungkin mewujudkan ketegangan perkauman, tugas yang paling penting untuk kerajaan dan ahli-ahli politik adalah menghapuskan politik perkauman, termasuk berhenti menggunakan alasan yang timbul daripada politik perkauman untuk menangguhkan pembaharuan politik dan sosial yang akan memberi faedah kepada rakyat jelata tanpa mengira etnik.

Pilihanraya tempatan adalah sangat penting untuk mewujudkan asas bagi demokrasi yang sihat dalam era Malaysia Baru. Hanya dengan memulihkan pilihanraya tempatan yang demokratik, kita akan dapat mewujudkan pentadbiran yang lebih bertanggungjawab di peringkat tempatan, dan dijadikan batu loncatan untuk menggalakkan lagi keterlibatan rakyat biasa daripada pelbagai lapisan dalam proses politik demokratik yang akan membentuk masa depan yang lebih baik untuk semua.

Hentikan politik perkauman! Kembalikan demokrasi tempatan sekarang juga!

==========

Tulisan ini ialah kenyataan yang dikeluarkan pada 11 Disember 2018 oleh Choo Chon Kai, selaku Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

One thought on “Jangan kitar semula alasan yang tempang untuk tangguh pilihanraya tempatan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *