suaramHRaward.jpg

 

KUALA LUMPUR – 4 DISEMBER 2018: Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia telah diumumkan sebagai penerima Anugerah Hak Asasi Manusia SUARAM.

Upacara penyampaian Anugerah Hak Asasi Manusia SUARAM telah berlangsung pada hari ini dalam satu sidang akhbar khas yang diadakan di Kuala Lumpur. Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), badan bukan kerajaan hak asasi manusia yang utama di negara kita, telah menyampaikan Anugerah Hak Asasi Manusia kepada kumpulan atau komuniti yang terlibat dalam perjuangan menegakkan hak asasi manusia di negara kita, sejak tahun 1999. Selain menyampaikan Anugerah Hak Asasi Manusia tahunan, SUARAM juga melancarkan Laporan Ringkasan Hak Asasi Manusia 2018 pada hari ini.

Dua kumpulan telah diisytihar sebagai pemenang Anugerah Hak Asasi Manusia SUARAM pada tahun ini, iaitu Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia dan Pasukan Guaman Noorfadilla.

Anugerah Hak Asasi Manusia SUARAM kepada Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia ini merupakan satu penghormatan pengiktirafan kepada usaha gigih ahli-ahli kesatuan ini untuk memperjuangkan hak kesatuan. Walaupun menghadapi pelbagai gangguan, ancaman dan halangan daripada pihak majikan, pekerja-pekerja perkhidmatan sokongan hospital yang diupah oleh kontraktor swasta, khususnya pekerja-pekerja pembersihan, telah berjaya mendapat undi majoriti untuk pengiktirafan kesatuan sekerja di hospital-hospital di empat buah negeri Utara Semenanjung (Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis) pada 30 Oktober 2018.

Pekerja-pekerja perkhidmatan sokongan di hospital kerajaan tidak mempunyai jaminan kerja di samping kebajikan pekerja sentiasa dihakis oleh sistem kontrak penyumberan luar. Mereka telah bertekad untuk menyertai kesatuan dan mendapatkan pengiktirafan kesatuan sekerja di sisi undang-undang demi melindungi hak mereka. Perjalanan untuk mendapatkan pengiktirafan kesatuan sekerja bagi pekerja-pekerja perkhidmatan sokongan di hospital kerajaan bukannya mudah, kerana ramai di kalangan ahli kesatuan yang aktif terpaksa berdepan dengan pelbagai halangan daripada pihak majikan. Namun, hasil daripada keberanian dan kegigihan pekerja-pekerja dalam memperjuangkan hak mereka, kesatuan sekerja ini akhirnya mendapat undi majoriti untuk pengiktirafan.

Satu lagi pemenang Anugerah Hak Asasi Manusia SUARAM, Pasukan Guaman Noorfadilla, telah terlibat dalam kes Noorfadilla Ahmad Saikin, seorang guru sandaran yang ditarik tawaran kerja sementara pada tahun 2009 kerana didapati mengandung. Kes ini telah berlarutan sehingga 9 tahun, dan akhirnya Noorfadillah diberikan RM40,000 sebagai ganti rugi am dalam keputusan muktamad Mahkamah Persekutuan pada tahun 2018.

Antara pemenang Anugerah Hak Asasi Manusia SUARAM sebelum ini termasuklah penduduk Kampung Sungai Nipah (1999), Gerakan Reformasi (2000), Bekas Pekerja Ladang Braemer (2003), Bekas Pekerja Ladang Bukit Jelutong (2006), Gabungan Membantah Penswastaan Perkhidmatan Kesihatan (2007), Gerakan Mansuhkan ISA (2009), Jawatankuasa Bertindak Ladang Sungai Rinching (2010), BERSIH 2.0 (2011), Komuniti Murum dan Baram (2012), Jawatankuasa Penduduk Taman Permata Dengkil (2013), Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (2015) dan Gabungan Selamatkan Petani dan Penternak Perak (2015).

Baca lanjut:

Pekerja pembersihan hospital kerajaan menang undi kesatuan

Majikan guna taktik kotor halang pengiktirafan kesatuan pekerja hospital

One thought on “Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Sokongan di Hospital Kerajaan dapat Anugerah Hak Asasi Manusia SUARAM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *