affirmative-action-colleges-usa

Isu ICERD menjadikan isu yang paling hangat dibincangkan baru-baru ini apabila timbulnya tentangan hebat daripada golongan berhaluan kanan terhadap hasrat Kerajaan Malaysia untuk menandatangani konvensyen hak asasi manusia antarabangsa tersebut. Sentimen perkauman telah diapi-apikan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab dalam usaha mereka memobilisasi untuk menentang ICERD. Dalam suasana yang semakin tegang akibat daripada politik perkauman yang memuncak, Pejabat Perdana Menteri telah mengeluarkan satu kenyataan pada 23 November 2018 yang menyatakan bahawa “Kerajaan Pakatan Harapan tidak akan meratifikasi ICERD”.

Nampaknya Kerajaan terpaksa tunduk pada ancaman politik perkauman, namun ini tidak akan menghalang puak berhaluan kanan untuk mempermainkan isu ini.

Apa itu ICERD?

Konvensyen Antarabangsa untuk Penghapusan Diskriminasi Kaum (ICERD), ialah sebuah instrumen hak asasi manusia antarabangsa yang diwujudkan pada tahun 1965 oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai usaha membasmi diskriminasi kaum yang wujud di serata dunia. Konvensyen ini wujud lebih awal berbanding instrumen hak asasi manusia antarabangsa yang lain seperti Kovenan Antarabangsa Mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR) dan Kovenan Antarabangsa Mengenai Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya (ICESR).

Setakat ini, sebanyak 179 buah negara anggota PBB telah menandatangani atau bersetuju untuk menerima ICERD, dan hanya tinggal 14 buah negara sahaja yang tidak menerima ICERD. Antara 14 buah negara yang tidak menerima ICERD ialah Malaysia, bersama dengan Brunei, Myanmar, Korea Utara yang dipimpin kerajaan kuku besi, Sudan Selatan yang baru mencapai kemerdekaan beberapa tahun lepas dan beberapa lagi buah negara-negara kepulauan yang kecil.

Mengangkat Malaysia di mata dunia?

Dalam Buku Harapan, iaitu manifesto pilihanraya Pakatan Harapan semasa PRU-14, telah dinyatakan dalam Janji 26 “menjadikan Malaysia sebuah negara yang mempunyai rekod hak asasi yang dihormati dunia”, bahawa “konvensyen-konvensyen antarabangsa yang sesuai tetapi belum diratifikasi akan diratifikasikan seberapa segera, termasuklah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Hak Politik dan Sivil”. Tidak dinyatakan secara khusus bahawa Kerajaan Pakatan Harapan akan menandatangani dan meratifikasi ICERD, namun ICERD merupakan salah satu konvensyen hak asasi manusia antarabangsa yang penting dan menjadi salah satu daripada 9 instrumen teras PBB.

Semasa berucap di Perhimpunan Agung PBB pada bulan September 2018, Perdana Menteri Mahathir Mohamad berkata, “Kerajaan baru Malaysia telah berjanji untuk meratifikasi semua instrumen teras PBB lain yang berkaitan dengan perlindungan hak asasi manusia. Ia tidak akan mudah bagi kami kerana Malaysia adalah multi-etnik, multi-agama, multi-budaya dan multi-bahasa. Kami akan memberi ruang dan masa untuk semua berbincang dan memutuskan secara bebas berasaskan demokrasi.”

Kemudiannya semasa menghadiri sesi Semakan Berkala Sejagat (UPR) oleh PBB di Geneva, Switzerland, delegasi Malaysia telah mengatakan bahawa Kerajaan Malaysia sedang mempertimbangkan untuk meratifikasi 6 instrumen teras hak asasi manusia yang belum ditandatangani Malaysia, termasuklah ICERD.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy turut mengatakan pada bulan Oktober bahawa Kerajaan Pakatan Harapan berkomited untuk meratifikasi 6 perjanjian antarabangsa tersebut termasuk ICERD, pada suku pertama tahun 2019.

Usaha kerajaan Malaysia untuk menandatangani dan meratifikasi nampaknya lebih kepada memulihkan imej Malaysia di mata dunia, yang telah dicemari dengan rekod pencabulan hak asasi manusia dan skandal korupsi oleh pemerintahan UMNO-BN sebelum ini.

Reaksi puak kanan

Namun, hasrat murni Kerajaan Malaysia untuk meratifikasi perjanjian hak asasi manusia antarabangsa ini telah mengundang reaksi hebat daripada beberapa pihak, khususnya golongan berhaluan kanan dalam UMNO dan PAS. Politikus-politikus berhaluan kanan telah mempergunakan ICERD sebagai simbol atau kambing hitam terbaru mereka untuk mengapi-apikan sentimen perkauman bagi memenuhi agenda politik mereka.

Dalam menggerakkan massa untuk menghadiri himpunan bantah ICERD yang diadakan pada 8 Disember 2018, pelbagai hujah bersifat perkauman sempit telah digunakan oleh politikus-politikus yang tidak bertanggungjawab. Hujah-hujah yang menimbulkan kebencian kaum turut menular di media sosial, sehingga mengeruhkan lagi suasana yang tepu dengan sentimen perkauman. Ancaman untuk mencetuskan “Peristiwa 13 Mei” turut dikeluarkan oleh beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab.

Kerajaan buat U-turn 

Lebih-lebih lagi, “U-turn” yang dibuat oleh Kerajaan dalam isu ICERD, iaitu mengeluarkan kenyataan bahawa tidak akan meratifikasi ICERD, walaupun dilihat sebagai satu respon untuk cuba meredakan keadaan, tetapi tindakan ini hanya memperkuatkan lagi kumpulan berhaluan kanan yang mempermainkan sentimen perkauman untuk kepentingan sendiri.

Dalam kenyataan yang menyatakan keputusan untuk tidak menandatangani ICERD, Pejabat Perdana Menteri mengatakan bahawa “Kerajaan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan di mana di dalamnya termaktub kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh wakil semua kaum semasa pembentukan negara ini”. Ini seolah-olah memberi gambaran bahawa terdapatnya unsur diskriminasi kaum dalam Perlembagaan Persekutuan.

ICERD sebenarnya tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Malah, Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa negara kita tidak membenarkan diskriminasi berasaskan kaum. Sementara Perkara 153 yang didakwa akan dimansuhkan sekiranya menandatangani ICERD oleh kumpulan anti-ICERD, adalah bertujuan untuk mengiktiraf kedudukan istimewa masyarakat Melayu dan masyarakat Orang Asal Sabah/Sarawak sebagai “penduduk asal” di bumi Malaysia dan memastikan supaya memastikan tiada kumpulan etnik ketinggalan dalam kemajuan negara kita, maka tidak bercanggah dengan apa yang dibawa dalam ICERD.

Rancangan untuk menandatangani ICERD dan tindakan “U-turn” yang begitu mengejut menunjukkan bahawa Kerajaan Pakatan Harapan tiadanya persediaan untuk menghadapi ancaman daripada golongan berhaluan kanan dalam memperkenalkan dasar-dasar pembaharuan sosial. Jika isu ICERD boleh “U-turn”, maka isu lain yang berkaitan dengan pembaharuan sosial untuk kebaikan bersama masyarakat tetapi mengancam kepentingan segelintir kecil golongan elit politik juga boleh “U-turn” selepas golongan berhaluan kanan memberi desakan dan mengancam dengan hantu “13 Mei”. Ini bukan sahaja tidak akan mengurangkan ketegangan dalam masyarakat berbilang kaum, malah memberi lebih keyakinan politik kepada kumpulan berhaluan kanan untuk mengapi-apikan sentimen perkauman bagi memenuhi agenda mereka sendiri.

Dalam isu ICERD ini, nampaknya Kerajaan Pakatan Harapan gagal mengemukakan dasar alternatif yang dapat mengurangkan perasaan ketakutan yang wujud di kalangan majoriti masyarakat Melayu. Kerajaan Pakatan Harapan perlu membuktikan bahawa ia betul-betul serius dalam menangani masalah kemiskinan Melayu. Hanya melalui pendekatan berdasarkan kelas sosial atau tindakan afirmatif berasaskan keperluan dalam menangani masalah kemiskinan dan ketidakjaminan hidup, kerajaan dapat benar-benar membantu masyarakat Melayu dan juga golongan bukan Melayu yang terperangkap dalam masalah yang sama (seperti gaji rendah, hutang isi rumah, beban untuk membeli/menyewa rumah, kos hidup yang meningkat dan sebagainya). Hanya dengan dasar pembaharuan sosial yang berasaskan kelas, kita mampu menangkis serangan daripada golongan berhaluan kanan yang sentiasa menggunakan alasan kepentingan kaum tertentu sedang diancam untuk meraih sokongan politik.

Politik perkauman di Malaysia, satu warisan penjajahan

Diskriminasi kaum wujud kerana adanya prejudis terhadap kaum yang lain. Prejudis kaum timbul kerana ideologi politik perkauman yang lama bertapak di negara kita.

Politik perkauman yang digunakan oleh golongan politikus elit pemerintah untuk terus berkuasa atau melindungi kepentingan kelas mereka, telah meracuni minda rakyat dengan fahaman chauvinis yang menganggap kaumnya lebih hebat daripada kaum yang lain dan menabur kebencian terhadap kaum yang lain.

Politik perkauman di negara kita berkait rapat dengan sejarah penjajahan imperialis Barat yang mengamalkan dasar pecah-dan-perintah terhadap masyarakat yang terdiri daripada berbilang kaum. Rejim pemerintahan yang dikuasai UMNO untuk lebih 6 dekad selepas kemerdekaan negara kita telah mempergunakan politik perkauman untuk mengekalkan kuasanya sehingga menanam sentimen perkauman dan prasangka perkauman yang begitu mendalam dalam minda kebanyakan rakyat Malaysia.

Dasar tindakan afirmatif berasaskan kaum yang dibawa oleh UMNO-BN sebelum ini dengan alasan mengangkat “kedudukan istimewa” masyarakat Melayu, sebenarnya masih tidak dapat menyelesaikan masalah kemiskinan di kalangan masyarakat Melayu marhaen, sebaliknya hanya segelintir elit politik-ekonomi yang rapat dengan pihak pemerintah mendapat keuntungan daripadanya. Lebih teruk lagi, elit politik UMNO terus mempergunakan kemiskinan masyarakat Melayu marhaen yang disebabkan oleh kegagalan dasarnya untuk meneruskan retorik perkaumannya untuk meraih sokongan daripada masyarakat Melayu.

Oleh itu, melawan politik perkauman dan menyingkir diskriminasi kaum merupakan sebahagian daripada usaha membebaskan masyarakat kita daripada warisan penjajah yang memecah-belahkan rakyat.

Lawan perkauman dengan solidariti

Politik perkauman yang menghantui negara kita untuk lebih 6 dekad lamanya, masih lagi berkeliaran di era “Malaysia Baru”. Kegagalan Kerajaan Pakatan Harapan untuk menghadapi ancaman politik perkauman oleh golongan berhaluan kanan dengan dasar pembaharuan yang jelas, akan menyebabkan masyarakat kita terus dipecah-belahkan oleh permainan politik perkauman sesetengah elit politik yang tidak bertanggunghawab.

Satu-satu caranya untuk menentang ancaman politik perkauman adalah menyatukan rakyat dalam usaha memperjuangan keadilan sosial yang menjamin peningkatan taraf kehidupan rakyat marhaen secara menyeluruh. Sistem kapitalis (dulunya dalam bentuk penjajahan imperialis Barat dan sekarang menjelma dalam bentuk dasar ekonomi neoliberal yang mengagung-agungkan pasaran bebas) telah mewujudkan masyarakat kelas yang penuh dengan ketidakadilan dan kesengsaraan rakyat bawahan, sementara politik perkauman yang sebati dengan sistem sosio-ekonomi kapitalis pula memastikan susunan masyarakat yang tidak adil ini terus kekal untuk kepentingan modal dengan memecah-belahkan rakyat bawahan mengikut kaum yang dipisahkan dengan sentimen perkauman yang tebal.

Kita perlu membina gerakan solidariti di kalangan rakyat yang merentasi batasan kaum dan agama, yang memperjuangkan demokrasi dan keadilan sosial, untuk membebaskan masyarakat kita daripada cengkaman berterusan politik perkauman.

One thought on “ICERD dan politik perkauman: Malaysia baru, ancaman lama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *