46510668_1995303913839898_8345188187034877952_n.jpg

Hampir 130,000 orang ahli Kesatuan Pekerja Logam Korea (KMWU) di 109 buah tempat kerja di Korea Selatan telah menyertai mogok nasional yang dianjurkan oleh Konfederasi Kesatuan Sekerja Korea (Korean Confederation of Trade Unions, KCTU) pada 21 November 2018. Menurut KCTU, seramai 160,000 orang pekerja telah mengambil bahagian dalam aksi mogok yang membantah tindakan kerajaan memperluaskan sistem jam kerja fleksibel.

KCTU telah mengadakan perhimpunan di 14 kawasan, termasuk Seoul, Busan, Daegu and Ulsan. Selain membantah sistem masa kerja fleksibel, kesatuan-kesatuan sekerja di Korea Selatan juga menuntut pembaharuan terhadap Chaebol (konglomerat industri besar yang dominan di negara Korea Selatan) dan pembaharuan undang-undang buruh demi menjamin hak kesatuan sekerja yang asas mengikut piawaian antarabangsa.

korea-01optimize

Walaupun Presiden Korea Selatan Moon Jae-in telah berjanji untuk mewujudkan 500,000 pekerjaan baru dengan mengurangkan masa kerja, namun kerajaan pimpinannya telah mengambil pendirian yang pro-Chaebol dan sedang meminda undang-undang untuk “sistem masa kerja yang fleksibel” yang membolehkan syarikat-syarikat memaksa pekerja-pekerja mereka bekerja untuk 80 jam seminggu tanpa bayaran penalti kerja lebih masa.

Bagi menyahut seruan KMWU untuk bermogok, pekerja-pekerja kilang kereta di Hyundai Motors, Kia Motors dan General Motors, pekerja-pekerja perkapalan di Hyundai Heavy Industries dan Daewoo Shipbuilding & Marine Engineering, serta pekerja-pekerja pengeluar barang-barang ganti kereta di Hyundai Mobis, telah bermogok untuk sekurang-kurangnya 4 jam. Pekerja-pekerja yang bermogok juga berhimpun untuk menyuarakan bantahan mereka terhadap dasar yang menjejaskan pekerja. Perhimpunan pekerja bermogok di Seoul diadakan di hadapan bangunan Perhimpunan Nasional Republik Korea yang terletak di Youido.

Semasa berucap dalam perhimpunan pekerja di Seoul, pemimpin KCTU Kim Myeong-hwan berkata, “kita tidak dapat lagi bertolak ansur dengan dasar buruh kerajaan Moon yang memberi tumpuan kepada apa yang tidak harus dilakukan terhadap pekerja.”

“Kerajaan dan Perhimpunan Nasional sedang cuba merosakkan sistem maksimum 52-jam kerja seminggu. Jika tempoh operasi fleksibel dipanjangkan, pekerja akan menghadapi beban kerja yang lebih berat,” begitu katanya Kim.

Jumlah penyertaan dalam aksi mogok kali ini telah melebihi aksi mogok pada 28 Mei 2018(yang berprotes membantah perubahan akta gaji minimum yang regresif (penyertaan seramai 80,000 orang) dan mogok KMWU pada 13 Julai 2018 (120,000 orang) yang memperjuangkan kenaikan gaji dan rundingan kolektif. Ini menunjukan ketidakpuasan hati pekerja terhadap dasar pekerjaan kerajaan Korea Selatan yang tidak menjamin kepentingan pekerja.

46508721_1995303830506573_8068231137962491904_n

Kerajaan Korea Selatan bukan sahaja gagal menyelesaikan masalah kerja yang tidak menentu dalam sektor industri, malah dasar yang dibawanya turut mengancam pekerjaan yang sedia ada. Kemarahan pekerja merebak di tempat-tempat kerja kerana kerajaan dan pihak pembangkang bergabung untuk memperluaskan amalan masa kerja fleksibel. Aksi mogok nasional ini merupakan manifestasi kekecewaan pekerja dan kemerosotan keyakinan terhadap kerajaan.

Pekerja-pekerja yang bermogok menyeru untuk menghapuskan rejim ekonomi yang dikuasai oleh Chaebol, supaya membuka jalan kepada pendemokrasian ekonomi yang sebenar dan merealisasikan pembaharuan undang-undang buruh yang menjadi hak kesatuan sekerja untuk semua pekerja. Hak asasi kesatuan sekerja yang diperjuangkan oleh pekerja-pekerja Korea Selatan selama ini adalah hak untuk menyertai kesatuan secara bebas, hak untuk rundingan kolektif dan hak untuk tindakan kolektif. Pekerja-pekerja yang bergabung dalam kesatuan sekerja yang radikal seperti KMWU dan KCTU bertekad untuk meneruskan perjuangan menuntut pembaharuan sosial secara menyeluruh bagi menjamin kesejahteraan pekerja yang menyumbang begitu banyak kepada kemakmuran ekonomi negara itu.

46492206_1995304010506555_3093543000597331968_n

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *