tronoh farmers.jpg

PUTRAJAYA – 14 NOVEMBER 2018: Mahkamah Rayuan nampaknya lebih menghargai sumbangan petani dan menghormati hak petani untuk mencari rezeki berbanding dengan Kerajaan Negeri Perak, apabila memutuskan untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi yang mengusir petani-petani di Tronoh, Perak.

Kerajaan Negeri Perak sama ada semasa zaman Barisan Nasional dahulu ataupun Pakatan Harapan sekarang, telah gagal menghargai sumbangan petani dan tidak serius dan menyelesaikan isu tanah petani-petani di Tronoh, Perak. Petani-petani Tronoh diancam pengusiran paksa daripada Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) sejak beberapa tahun kebelakangan ini. MB Inc mengheret petani ke mahkamah, dan petani kalah di Mahkamah Tinggi Ipoh setelah mahkamah mengeluarkan perintah bahawa petani perlu keluar dari tanah yang diusahakan mereka.

Setelah beberapa usaha daripada pihak petani, Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Besar Perak mengaturkan mesyuarat dengan Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumupada pada 9 Julai 2018 di Kuala Lumpur, yang dihadiri oleh Ambiga Sreenevasan (peguam wakil petani), Dr. Jeyakumar Devaraj (Ahli Jawatankuasa Pusat PSM), K. Kunasekaran (Penyelaras Gabungan Selamatkan Petani dan Penternak Perak), Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar, pegawai MB Inc dan peguam wakil MB Inc. Namun, tiada sebarang perkembangan dan tindakan daripada Kerajaan Negeri Perak selepas itu. Malah, Mahkamah Rayuan telah menangguhkan kes ini sebanyak dua kali untuk memberikan peluang kepada kedua-dua pihak untuk berunding. Tiada apa-apa perkembangan ataupun hasil kerana tiada tindakan susulan daripada pihak Kerajaan Negeri Perak untuk menyelesaikan masalah ini.

Lebih mengecewakan lagi, Kerajaan Negeri Perak memberitahu pada mahkamah untuk meneruskan kes.  Ambiga selaku peguam yang mewakili petani Tronoh amat kecewa dengan sikap Kerajaan Negeri Perak.

Namun, Mahkamah Rayuan lebih bersikap prihatin kepada petani berbanding Kerajaan Negeri Perak. Pada hari ini, panel 3 orang hakim yang diketuai oleh Hamid Sultan secara rasionalnya membangkitkan isu ekonomi yang berkaitan dengan petani-petani; dan walaupun para petani tidak mendapat kebenaran daripada tuan tanah terbaru MB Inc, tetapi boleh diandaikan bahawa mereka memperolehi kebenaran dengan cara lain daripada pihak lain disebabkan mereka menggunakan tanah ini untuk berpuluh tahun lamanya. Hakim juga berpendapat bahawa jika Perintah 89 untuk pengusiran dibenarkan, maka pemaju boleh datang menebang pokok-pokok dan menghancurkan kawasan pertanian pada hari keesokan, dan ini adalah tidak adil,

Setelah mendengar penghujahan daripada kedua- dua pihak , Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan petani-petani Tronoh dan mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi Ipoh dengan kosnya. Mahkamah juga menyarankan pada Kerajaan Negeri Perak dan petani supaya menyelesaikan masalah ini secara persetujuan. Ini merupakan satu kemenangan untuk petani Tronoh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *