20180503_084758.jpg

oleh Kartiges

Merujuk pada laporan dalam akhbar The Star yang bertajuk ”Wakil rakyat menyeru kerajaan negeri membantu selesaikan isu rumah flat” bertarikh 9 November 2018, Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyangkal kenyataan ADUN Jawi, Jason H’ng Mooi Lye yang mempertikaikan penambahan skim perumahan rumah pangsa kos rendah (RPKR) di negeri Pulau Pinang.

Antara hujahnya adalah rumah pangsa sebegini sedang bertukar menjadi “tempat sesak dan kotor”, dan penduduk rumah pangsa ini tidak menunjukkan minat untuk memperbaiki kehidupan mereka dan gagal menjaga persekitaran kediaman mereka. Malah beliau memperlekehkan rakyat miskin yang datang meminta bantuannya untuk keperluan kehidupan mereka.

Ini satu kenyataan yang tidak matang yang dikeluarkan oleh seorang wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat itu sendiri dan meletakkan beban kepincangan sistem perumahan mampu milik kepada rakyat marhaen.

Pada pandangan kami di PSM, penyediaan skim perumahan mampu milik untuk golongan B40 adalah tanggungjawab kerajaan. Selama ini, kerajaan Pulau Pinang membina atau membenarkan pembinaan RPKR dengan alasan tiada tanah yang secukupnya di negeri ini. Namun, situasi ini wujud di kawasan pulau dan bukannya di Seberang Perai. Di Seberang Perai, kita mempunyai tanah yang secukupnya untuk membina rumah teres kos rendah.

Oleh kerana ianya tidak menguntungkan pemaju dan Kerajaan dari kacamata pengunaan tanah secara optimum untuk mengaut keuntungan, maka rumah kos rendah disediakan dalam bentuk rumah pangsa bertingkat.

Terdapat banyak kajian yang menunjukkan bahawa perumahan dengan kepadatan tinggi seperti RPKR dan PPR ini menimbulkan pelbagai masalah sosial dan emosi. Saiz rumah yang kecil, iaitu dari 600 hingga 700 kaki persegi amatlah kecil untuk sesebuah keluarga dengan anggota 5 orang.

Kepadatan yang tinggi juga menyebabkan pelbagai kemudahan RPKR dan PPR ini cepat rosak dan memerlukan penyelengaraan yang kerap. Di sinilah timbulnya masalah di mana kutipan bayaran penyelengaraan selalunya tidak mencukupi untuk kerja-kerja ini. Ini bukan sahaja masalah dengan penghuni yang enggan membayar, tetapi isu utamanya ialah jumlah bayaran yang dikutip tidak mencukupi, kerana bayaran yang diminta untuk setiap unit terlalu kecil, memandangkan penghuni daripada golongan B40.

Maka jumlah kutipan oleh badan pengurusan bersama (JMB) selalu tidak mencukupi untuk penyelengaraan yang rapi.  Terutamanya apabila lif rosak, biasanya kos pembaikpulihan akan mencapai puluhan ribu.

Apaila penyelengaraan diabaikan kerana JMB tidak mampu, maka penghuni pun mula bengang dan akan memberhentikan bayaran penyelengaraan serta mula menuduh JMB kerana gagal menjalankan kerja penyelengaraan dengan baik. Di sinilah permasalahan bermula mirip cerita ayam dengan telur, mana yang harus didahulukan.

Kedua, saranan kepada kerajaan negeri oleh parti pembangkang sebelum tahun 2008 lagi adalah majlis tempatan mengambilalih sistem penyelengaraan RPKR di mana penghuni pangsa kos rendah hanya membayar dua jenis cukai, iaitu cukai tanah (setahun sekali) dan cukai pintu (6 bulan sekali) sepertimana rumah teres kos rendah. Bayaran harus dibuat terus kepada Majlis Perbandaran dan Pejabat Tanah. Bayaran ini meliputi kutipan sampah, pembersihan koridor, pembersihan longkang, taman permainan, lampu jalan dalam kawasan flat dan jalanraya dalam kawasan flat.

Mengadaptasi dua isu yang ditekan di atas secara kasarnya boleh merangka solusi awal kepada tuduhan wakil rakyat di atas. Tambahan pula, beliau nampaknya masih dangkal tentang punca utama kenapa masalah-masalah yang dibangkitnya dalam kenyataan akhbar itu timbul.

Jurang kemiskinan rakyat Malaysia adalah antara yang tertinggi di rantau ini dengan koefisien gini kekal di tahap melebihi 0.4 sejak 1980-an. Ini menunjukkan sistem ekonomi kita lebih menguntungkan segelintir kaum yang kaya dan memangsakan rakyat bawahan. Mungkin kemunculan Mahathir dalam blok pembangkang (kini sudah menjadi pemerintah) mengkaburi realiti bahawa Malaysia gagal melaksanakan skim gaji minimum sehingga baru-baru ini. Janji manifesto seperti gaji minimi, RM 1500 juga gagal dilaksanakan oleh kerajaan kerana tekanan kaum majikan. Kita sudah menswastakan hampir semua perkhidmatan awam. termasuk air, elektrik, pengangkutan, pendidikan, dan sebagainya. Lebih-lebih lagi, Belanjawan 2019 juga memberi indikasi bahawa perkhidmatan kesihatan kita akan dibuka lebih kepada kaum kaya untuk diniagakan. Tidak lupa pula perkhidmatan perumahan untuk rakyat dianggap tanggungjawab pihak swasta dan pasaran pemodal.

Polisi neoliberal ini bermaksud hampir semua keperluan rakyat dikawal oleh swasta untuk keuntungan, manakala kaum pekerja pula disangkal hak untuk gaji minimum yang sewajarnya. Maka, harga bil-bil yang menjadi keluhan wakil rakyat sebenarnya adalah disebabkan oleh polisi kerajaan itu sendiri dan bukannya rakyat marhaen. Maka, seruan wakil rakyat itu sepatutnya adalah bagaimana polisi  harus direka untuk membasmi kemiskinan rakyat dan bukannya mengeluh apabila rakyat yang tidak mampu datang untuk meminta bantuan.

Satu lagi isu yang harus diteliti oleh ADUN-ADUN Pulau Pinang adalah pandangan anda tentang rumah flat kos rendah dan PPR. Rakyat marhaen memilih untuk menduduki rumah sebegini ialah disebabkan mereka tidak mampu membeli atau menyewa rumah biasa di negeri ini.

Menurut laporan Making Housing Affordable oleh Institu Penyelidikan Khazanah (KRI), median harga rumah di Pulau Pinang (RM 295,000) adalah 5.2 kali median pendapatan tahunan isi rumah penduduk di sini (RM 56,424). Namun, harga standard yang diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa untuk mengukur kemampumilikan rumah ialah hanya 3 kali median pendapatan tahunan isi rumah. Ini jelas menunjukkan bahawa, harga perumahan di Pulau Pinang adalah “amat tidak mampu dimiliki” (severely unaffordable).

Pada ketika statistik sebegini tidak menyebelahi rakyat B40 dan M40 Pulau Pinang, di satu sudut yang lain pula, kerajaan negeri sedang giat melakukan operasi membersihkan rumah-rumah PPR dan kampung peneroka. Baru-baru ini, lebih 30 penduduk PPR Ampang Jajar, Permatang Pauh,diberi notis keluar rumah. Surat Notis 425 Pejabat Tanah juga dikeluarkan kepada penduduk-penduduk Kampung Kastam, Bukit Gelugor. Kerajaan sepatutnya menyelesaikan isu pokok ketidakmampuan rakyat untuk memiliki rumah dan tidak hanya menumpu kepada perlaksanaan penguatkuasaan.

Justeru, PSM menyeru kerajaan supaya mula mengambil usaha untuk sekurang-kurangnya mereformasikan polisi-polisi pro-pemaju dan mengubahsuai pendekatan dalam menyelesaikan isu perumahan di Pulau Pinang. Menyediakan perumahan mampu milik kos rendah kepada rakyat marhaen adalah tanggungjawab kerajaan dan ahli politik tidak patut mengeluh tengtangnya kerana perumahan selesa adalah hak rakyat.

==========

Tulisan ini merupakan kKenyataan akhbar yang dikeluarkan pada 10 November 2018.

Karthiges ialah Penyelaras Biro Perumahan dan Peneroka Bandar Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *