71541148658_bajetLGE.jpg oleh Dr. Jeyakumar Devaraj 

Belanjawan 2019 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada 2 November lalu memberi satu gambaran yang menarik tentang bagaimana pemimpin Pakatan Harapan berfikir. Ia telah menimbulkan beberapa isu yang perlu kita berbahas di kalangan kita sendiri.

Beberapa isu utama yang menarik perhatian saya adalah:

1. Ini bukannya belanjawan penjimatan (austerity). Peruntukan belanjawan telah bertambah ke RM 314.5 bilion, peningkatan sebanyak 8.3% berbanding belanjawan tahun lepas – 5.4% dalam keadaan sebenar jika kita mengambilkira kadar inflasi tahunan 2.8%. Ini adalah sesuatu yang patut dipuji kerana kerajaan telah mewarisi satu sistem kewangan daripada kerajaan sebelum ini di mana

  • Terdapatnya kekurangan sebanyak RM 20 bilion dalam pendapatan kerana pemansuhan cukai GST;
  • Rebat GST sebanyak RM 19.4 bilion yang masih belum dibayar balik;
  • Rebat cukai pendapatan sebanyak RM 16 bilion belum dibayar kepada syarikat-syarikat;
  • Terdapatnya RM 10 – 43.9 bilion hutang 1MDB yang masih perlu dijelaskan.

Jumlah kutipan hasil Kerajaan Persekutuan pada tahun 2019 dijangka sebanyak RM 261.8 bilion (perenggan 63). Ini bermakna sebanyak RM 52.7 bilion perlu dipinjam. Ini bermakna jangkaan desifit fiscal sebanyak 3.4% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada tahun 2019. (KDNK negara kita pada tahun2018 ialah RM 1.55 trilion.)

Kenapa golongan sosialis patut bimbang tentang Defisit Fiskal? Adakah ini satu isu yang kita patut bimbang apabila kita mengambilalih kuasa satu hari nanti?

Kerajaan negara kita mendapat dana kewangan di pasaran modal antarabangsa dengan mengapungkan Sekuriti-sekuriti Kerajaan. Golongan terkaya 0.1%, dana mahsul (sovereign fund), dana pencen dan sebagainya membeli sekuriti-sekuriti ini dengan jaminan mendapat faedah dengan peratusan tertentu setiap tahun dan mendapat bayaran balik jumlah pokok yang sepenuhnya pada penghujung tempoh sekuriti yang berkemungkinan 2 hingga 10 tahun. Terma-terma untuk sekuriti-sekuriti ini – khususnya faedah yang perlu kita tawarkan kepada golongan kaya untuk membelinya – bergantung pada “pengadaran risiko” terhadap kewangan kerajaan. Jika kewangan kerajaan kita adalah kuat, maka kita adalah berisiko rendah dan faedah yang kita tawarkan itu boleh jadi lebih rendah.

Jadi, jika kita membayangkan bahawa kita juga perlu mendapatkan dana melalui bon dan sekuriti kerajaan, kerana kita mungkin perlu menjalani belanjawan desfisit, maka kita patut bimbang tentang apa yang dianggap “bijak” dan selamat ini.

Maka saya melihat pada kenyataan Lim Guan Eng seperti “Ringgit telah meningkat sebanyak 12.3% berbanding Rupee India…” (perenggan 10), “pasaran ekuiti Malaysia juga telah menunjukkan daya tahan yang tinggi…” (perenggan 11), “eksport terus berkembang sebanyak 6.9%…” (perenggan 12), dan “Dalam jangka masa sederhana, defisit dijangka akan terus berkurangan kepada sekitar 2%” (perenggan 23) sebagai usaha untuk mengurangkan kerisauan kelab orang kaya antarabangsa untuk melindungi kedudukan pinjaman kerajaan kita dalam pasaran modal. Saya rasa kita tidak boleh salahkan mereka mengenai perkara ini. Kita mungkin akan menyanyikan lagu yang sama jika kita berkuasa!

2. Beberapa langkah yang diambil untuk memperkukuhkan Pentadbiran Fiskal adalah agak baik.

  • Rancangan untuk membentangkan Akta Kebertanggungjawaban Fiskal, Akta Perolehan Kerajaan dan pengwujudan Pejabat Pengurusan Hutang (perenggan 17, 18, 26).
  • Pembatalan Saluran Paip Trans Sabah, ECRL, MRT3 dan Landasan Keretapi Kelajuan Tinggi KL-Singapura.

Namun, terdapat juga beberapa idea yang berbahaya:

a. Dalam perenggan 36, kerajaan bercadang untuk menjual sebahagian atau seluruhan syarikat “bukan strategik” untuk membantu dalam pengurangan hutang. Syarikat mana yang akan dijual? Dijual kepada siapa?

PSM telah mengambil pendirian yang mengatakan bahawa kerajaan patut menggunakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk melaksanakan dasar-dasar pro-rakyat, seperti penjagaan kanak-kanak di tempat kerja, gaji minimum yang lebih tinggi, menggalakkan penubuhan kesatuan sekerja, menggalakkan penyertaan pekerja dalam pengurusan syarikat, memperkenalkan program vendor untuk perusahaan kecil dan sederhana (SME) Bumiputra dan sebagainya. Adakah perenggan 36 ini bertentangan dengan visi kita?

b. Perenggan 37 menyentuh tentang Kerjasama Awam Swasta (PPP) untuk projek-projek awam yang akan dibayar dengan menggunakan transaksi tukaran tanah. Seringkali perjanjian PPP sebegini lebih menguntungkan rakan kongsi “swasta” berbanding dengan yang awam! Terdapat kajian dari negara lain tentang perkara ini. (Dengan menyaksikan hubungan rapat antara Lim Guan Eng dengan pemaju-pemaju besar di Pulau Pinang, maka saya rasa ada cukupnya sebab untuk kita risau tentang ini.) Adalah lebih bermanfaat untuk Jabatan Kerja Raya (JKR) menguruskan projek-projek awam – kita akan menjimatkan wang daripada tidak mewujudkan PPP, walaupun kita perlu menjual sebahagian tanah kerajaan untuk mendapatkan modal.

Ini adalah beberapa perkara yang kita perlu tonjolkan kerana ramai orang tidak dapat memahaminya. Jika kita menjadikannya ringkas dan rakyat memahami isu ini, kesedaran itu akan menjadi semak dan imbang kepada kerajaan dalam usaha PPPnya.

3. Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) sebagai modus untuk “Pengukuhan Fiskal”. Ini adalah idea yang menarik. Ia dibangkitkan dalam perenggan 40 ucapan Belanjawan 2019 – “Pelabur dalam skim REIT bagi Lapangan Terbang, akan memperolehi pulangan melalui fi pengguna yang dikutip daripada pemegang konsesi pengurusan lapangan terbang iaitu Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).”

Apa yang dimaksudkan di sini, mengikut pemahaman saya, adalah kerajaan meletakkan semua aset fizikal untuk semua lapangan terbang dalam negara di bawah sebuah syarikat berasingan. Syarikat ini akan menjual 30% daripada sahamnya kepada orang awam, sementara 70% akan dipegang oleh kerajaan atau MAHB. Daripada wang yang dibayar oleh orang awam untuk saham ini, MAHB akan membangunkan aset-aset fizikal kepada tempat letak kereta, hotel, lot kedai, restoran, tempat menunggu teksi dan sebagainya, dan mengenakan caj sewa terhadap bisnes yang menggunakan kemudahan ini. Sebahagian daripada sewa yang dijana daripada aset-aset ini akan dibayar kepada pemegang saham sebagai dividen, sementara bahagian lain boleh digunakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan, bayaran gaji untuk kakitangan lapangan terbang dan sebagainya.

Bagaimana? Bukankah ini satu cara yang munasabahuntuk mengurangkan beban fiscal kerajaan? Namun, maka ini beban akan jatuh pada orang awam yang menggunakan lapangan terbang – pelancong, mereka yang pergi untuk perjalanan bisnes – dan kenapa tidak? Merepa mempunyai dana yang berlebihan!

Idea REIT ini juga pernah disebut oleh Menteri Kesihatan untuk aset-aset hospital kerajaan. (Ini tiada dalam belanjawan. Ia adalah sesuatu yang dikatakan oleh Menteri dalam akhbar – mungkin selepas Mahathir menolak permintaannya untuk Belanjawan Kesihatan yang lebih besar!) Saya akan membantah REIT untuk hospital kerajaan – kerana ia akan menaikkan kos untuk makanan, parkir dan sebagainya untuk keluarga pesakit di hospital kerajaan. Mereka yang pergi ke hospital kerajaan adalah orang yang lebih miskin. Konsep memindahkan kos penyelenggaraan kepada orang awam melalui REIT adalah tidak sesuai.

Namun, REIT lapangan terbang melibatkan orang yang mempunyai wang berlebihan. Jadi kenapa kita patut menggunakan terlalu banyak wang dari cukai untuk memenuhi keperluan mereka?

4. Terdapat beberapa janji dalam Belanjawan tidak begitu masuk akal.

a. Skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) i-SURI, di mana golongan suri rumah di bawah program e-Kasih akan menerima geran padanan RM40 setiap bulanjika suami mencarum dengan kadar minimum RM 5 sebulan. (perenggan 68)

Masalahnya adalah

  • Hanya terdapat 185,000 buah keluarga yang berdafter dengan e-Kasih (perenggan 72). Ini hanya sebahagian kecil daripada 3 juta keluarga B40.
  • Ramai antara wanita di bawah program e-Kasih adalah balu, bercerai ataupun suaminya berada di penjara atau pusat pemulihan.

Jadi, berapa ramai akan benar-benar mendapat manfaat daripada program ini? Saya rasa memasukkan program ini hanya sekadar untuk memenuhi janji 10 hari dalam Manifesto Pakatan Harapan. (Walau bagaimanapun, PSM sudahpun membangkitkan isu ini dalam satu kenyataan akhbar pada 18 Julai 2018, yang mengatakan bahawa ini bukannya idea yang hebat.) Ini adalah peringatan bahawa manifesto pilihanraya kita perlu mengelakkan daripada membuat janji yang kita tidak boleh tepati!

b. Perenggan 99 menyebut tentang satu dana berjumlah RM 1 bilion untuk memberikan pinjaman dengan kadar faedah 3.5% setahun kepada keluarga berpendapatan kurang daripada RM 2300 sebulan supaya mereka dapat membeli “rumah mampu milik” berharga sehingga RM150,000.

  • Berapa banyak keluarga yang berpendapatan kurang daripada RM 2300 sebulan mampu mengeluarkan wang untuk membeli sebuah rumah?
  • Mereka pastinya tidak dapat membeli sebuah rumah yang berharga lebih daripada RM 25,000. Adakah rumah sebegini dalam pasaran?

Jadi, adalah berkemungkinan bahawa dana ini tidak akan digunakan. Akan adanya sangat sedikit orang mengambilnya. Kenapa pula meletakkannya dalam belanjawan? Adakah Lim Guan Eng begitu jahil tentang isu ini? Ataupun ianya untuk mewujudkan tanggapan bahawa kerajaan prihatin pada golongan miskin?

5. Rasionalisasi subsidi petrol adalah satu langkah yang baik. Diharapkan ia akan menyebabkan lebih ramai orang mempertimbangkan untuk menggunakan pengangkutan awam. Kita patut melobi supaya sebahagian wang yang dijimatkan itu disalurkan kepada pengangkutan awam.

RM 500 juta telah diperuntukkan untuk membangunkan pengangkutan awam. Kita perlu melobi supaya wang ini digunakan di luar Kuala Lumpur untuk membangunkan sistem berasaskan bas. Bolehkah perancangan dan pembangunan untuk perkhidmatan bas serantau dialihkan kepada Negeri-negeri, bukannya tertumpu pada Putrajaya dan menghadapi kesendatan. Mungkin RM 500 juta itu patut dibahagikan di kalangan negeri-negeri dengan berasaskan per kapita?

6.  Beberapa idea inovatif dalam Belanjawan

a. Potongan cukai tambahan untuk syarikat yang mengupah bekas banduan. (perenggan 78)

b. Syarikat tersenarai awam akan dikehendaki untuk memaparkan maklumat di dalam laporan tahunan mengenai nisbah gaji tertinggi dan gaji median serta nisbah bayaran gaji tertinggi dan gaji terendah, sebagai langkah mengurangkan jurang pendapatan. (perenggan 83)

7. Sektor kesihatan

a. Peruntukan sebanyak RM 28.7 bilion, peningkatan lebih kurang RM 2 bilion berbanding tahun lepas adalah bagus berbanding dengan Kementerian Industri Utama yang dikurangkan belanjawan sebanyak 50%! Namun, RM 28.7 bilion adalah tidak mencukupi untuk memperbaiki sistem kesihatan awam. Banyak peralatan sudah using, katil hospital yang tidak mencukupi, kekurangan doktor pakar yang teruk. RM 28.7 bilion hanya 1.85% daripada KDNK negara kita. PSM menuntut supaya peruntukan kesihatan ditingkatkan kepada 3.5% KDNK dalam 5 tahun akan datang. Amat jelas sekali ini tidak berlaku.

b. Idea untuk Insurans Kesihatan atau Dana Perlindungan Kesihatan Nasional B40 (perenggan 86) sangat mengerikan, dan ia menunjukkan bahawa

  • Kerajaan sama ada tidak mengakui bahawa pertumbuhan hospital swasta menjejaskan hospital awam, atau tidak peduli tentang sektor awam yang dijejaskan.
  • Kabinet tidak merasakan adalah perlu untuk berunding dengan “pihak berkepentingan” walaupun terdapat banyak seruan yang meminta untuk perbincangan lebih mendalam sebelum melaksanakan skim ini. Sombong! Ini adalah minda “kami tahu apa kami patut lakukan”.

c. “Kerajaan akan memperuntukkan RM 20 juta kepada Malaysia Healthcare Tourism Council (MHTC) untuk meningkatkan kadar pertumbuhan untuk sektor pelancongan kesihatan sebanyak 25%” (perenggan 178). PSM telah menyuarakan bantahan dengan lantangnya dan jelasnya terhadap perkara ini. Kerajaan sama ada berpendapat bahawa pembangunan pelancongan kesihatan tidak menjejaskan dengan teruknya sektor awam ataupun mengetahui tentangnya tetapi tidak begitu peduli.

Jelas sekali kita perlu memobilisasi orang ramai dalam isu ini sekiranya kita mahu menentang pendekatan sebegini.

8. Perumahan untuk semua

a. Perenggan 98 menyebut tentang “rumah mampu milik”. Kita perlu mencabar definisi “mampu milik” ini.

b. Rujuk 4(b) di atas.

c. Perenggan 104 memberikan bukti empirikal yang baik bahawa pasaran tidak begitu berkesan dalam mengawalselia pembekalan rumah. Lebihan hartanah kediaman yang mencecah nilai RM 22 bilion bermakna lebih kurang 44,000 unit rumah jika kita menganggap harga purata unit yang tidak dijual ini RM 500,000 seunit. Angka ini telah meningkat sebanyak 65% dari tahun lepas. Ini merupakan hujah empirikal yang baik untuk digunakan apabila kita terjumpa orang yang berfikir bahawa pasaran tidak boleh salah!

9. Satu idea yang baru

Perenggan 105 menyebut tentang platform penjanaan dana masyarakat (property crowdfunding) yang dihuraikan dalam perenggan 106 sebagai “Ah Chong boleh memiliki dan mendiami rumah yang bernilai RM250,000 dengan hanya membayar RM50,000 tanpa mengambil pinjaman perumahan. Pelabur Syarikat Ali Sdn Bhd yang mungkin berminat untuk melabur dalam hartanah akan membiayai baki RM200,000 melalui Pasaran Pinjaman Pelaburan Hartanah yang terbuka kepada rakan setara.”

Hmmm! Bagaimana ia akan berfungsi? Apa kata jika Ali tiba-tiba mendapat tawaran yang menarik untuk membeli hartanah itu, bolehkah dia mengusir keluar Ah Chong? Atau sekiranya Ali mendapati anak Ah Chong membuat reka bentuk seni yang melibatkan dinding hartanah berkenaan (misalnya dia melukis di atasd dinding), bagaimana dia menangani hakikat bahawa nilai hartanahnya mungkin akan diturunkan? Bagaimana pula Ali mendapatkan nilai hartanahnya apabila ia meningkat? Bolehkah dia menjual sebahagiannya? Tidakkah harga jualan hartanah itu akan dipengaruhi oleh Ah Chong yang duduk di dalamnya?

Harap Lim Guan Eng dan pasukannya dapat menerangkan lebih lanjut cadangan yang “menarik” ini.

10. Kerajaan telah berundur daripada idea mereka untuk menghapuskan tol lebuhraya. (Rujuk perenggan 113)

Ini sesuatu yang kita patut sokong. Saya berpandangan bahawa ramai di kalangan kita merasakan janji pilihanraya ini terlalu bersifat populis dan buruk kepada alam sekitar. Kita perlu mengambil langkah secara beransur-ansur untuk menjadikan pengangkutan persendirian mahal sementara membangunkan pengangkutan awam.

11. Terdapat beberapa insentif untuk SME

  • Perenggan 145 – RM2 bilion untuk Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) di mana kerajaan memberikan jaminan pembiayaan sehingga 70%.
  • Perenggan 146 – Dana RM 3 bilion untuk membantu dalam penerapan automasi, robotic dan kecerdasan buatan.
  • Perenggan 156 – Dana pinjaman SME berjumlah RM 4.5 bilion yang memberikan 60% jaminan untuk pinjaman.
  • Perenggan 157 – Pengurangan cukai korporat kepada 17% untuk syarikat SME kecil.
  • Perenggan 160 – Skim Pembiayaan SME patuh Shariah berjumlah RM1 bilion.
  • Perenggan 161 – RM 200 juta untuk membeli premis perniagaan bagi disewa kepada SME Bumiputera.

Kerajaan patut mempunyai mekanisme untuk menyemak supaya SME tidak memerah daripada sistem ini tanpa membangunkan keupayaan mereka yang sepatutnya dibangunkan dengan bantuan ini! Patut adanya sejenis mekanisme laporan kepada Parlimen dan orang awam? Lagipun ini adalah dana awam yang digunakan.

12. Tidak menyebut apa-apa tentang subsidi padi. Ataupun sokongan bulanan kepada nelayan tradisional. Mungkin hanya tidak disebut, dan peruntukan memang ada dalam Belanjawan yang lengkap? Kita perlu semak ini dengan betul-betul.

13. Perenggan 153 menyatakan dengan agak bangganya bahawa kedudukan negara kita dalam laporan Doing Business Report 2019 oleh Bank Dunia telah melonjak dari tempat ke-24 ke tempat ke=15 di peringkat global. Perenggan ini tamat dengan kenyataan bahawa “Kita akan memberikan isyarat kepada dunia bahawaMalaysia adalah mesra pelabur dan dengan izin, ‘we are open for business’.”

Kebanyakan kita daripada golongan kiri agak berhati-hati dengan pelabur asing, tetapi disebabkan sifat ekonomi global yang bersepadu, dan ketiadaan blok kiri yang boleh kita berdagang dengan, adakah kita mahu menghalau keluar pelabur asing? Bolehkah kita menjana pekerjaan yang mencukupi dan pendapatan eksport yang mencukupi tanpa pelabur asing? Bagaimana kita berurusan dengan pelabur asing?

Mari kita mempertimbangkan – nilai eksport Malaysia pada tahun 2017 ialah RM 935.4 bilion (The Star Online – 7 Februari 2018). Ini adalah lebih kurang 74% daripada KDNK negara kita pada tahun 2017. (Namun, ini tidak bermakna negara kita mengeksport 74% barangan dan perkhidmatan yang kita hasilkan pada tahun 2017 kerana negara kita juga mengimport sejumlah besar barangan perantaraan seperti komponen elektronik yang kita gunakan untuk kerja dan kemudian dieksport semula – maka jumlah nilai eksport termasuk juga nilai import ini. Anggaran saya adalah negara kita mengeksport lebih kurang 37% “nilai tambah” dalam negara kita. Tetapi saya tiada data empirikal lagi untuk menyokong anggaran ini.)

Namun, jika 37% pun satu angka yang agak tinggi dan ia menggariskan betapa mendalamnya negara kita bersepadu dalam ekonomi global. Maka persoalan yang dihadapi oleh sebuah parti sosialis yang berkuasa adalah – bolehkah anda berputus dengan ekonomi global yang kita tahu ia adalah sangat eksploitatif terhadap negara-negara dunia ketiga, ataupun oleh sebab terlalu traumatik untuk berputus untuk sebuah negara kecil, adakah anda kekalkan hubungan tetapi cuba merundingkan kedudukan negara anda di dalam susunan global sementara melaksanakan program-program bersifat demokratik sosial, membangunkan demokrasi akar umbi dan keupayaan rakyat dalam pengurusan kendiri? Ini adalah persoalan penting yang perlu dibangunkan satu consensus untuk gerakan.

14. Dalam perenggan 190, kerajaan menjanjikan RM 295 juta untuk menyelenggara/ menaiktaraf kemudahan di penempatan FELDA.

Ini menunjukkan bahawa kerajaan sedar bahawa terdapat keperluan politik untuk menunjukkan kepada masyarakat Melayu luar bandar bahawa kerajaan ini akan menjaga kepentingan asas mereka. Kita tahu bahawa hanya 20% daripada masyarakat Melayu mengundi Pakatan Harapan dalam PRU-14. Peruntkan yang besar ini menunjukkan kerajaan peka pada isu ini.

Pada tahap yang lain, hakikat bahawa kerajaan perlu melabur dalam FELDA yang merupakan syarikat perladangan terbesar di dunia menunjukkan bahawa betapa buruknya amalan penswastaan / pengewangan boleh jadi. Banyak wang telah dibuang keluar daripada FELDA dalam proses ini. Patut ada seorang menulis dengan lebih lanjut tentang perkara ini.

15. Perenggan 194 mengatakan sesuatu yang membingunkan- “meningkatkan tahap penyertaan wanita dalam tenaga kerja sebanyak 30% akan meningkatkan KDNK Malaysia antara 7% hingga 12%”.

Bagaimana? Hanya jika penyertaan wanita yang tambahan mewujudkan aktiviti ekonomi baru, KDNK akan meningkat. Jika penyertaan wanita tambahan adalah dengan mengorbankan pekerjaan anak muda atau golongan melebihi umur 60 tahun, maka jumlah nilah yang ditambahkan tidak akan meningkat. Jika sebahagian daripada  7% hingga 12% itu adalah kerana pengkomersialan penjagaan kanak-kanak, ya, KDNK akan meningkat secara teknikal, tetapi jumlah “nilai guna” yang dihasilkan oleh negara tidak akan meningkat. Perlu tahnya Institut Penyelidikan Khazanah tentang perkara ini!.

Kesimpulan

Kita, sebagai satu gerakan politik yang berhasrat untuk mengambilalih kuasa, perlu membiasakan diri kita dengan isu-isu makro-ekonomi yang utama. Bagaimana kita mentadbir? Apakah kekangan yang kita akan hadapi? Apakah pilihan kita? Apakah kompromi yang kita mungkin perlu buat? Bagaimana kita meningkatkan ruang untuk jalan keluar? Patutkah kita mengurangkan harapan akar umbi kita supaya mereka tidak terlalu kecewa dengan kadar kemajuan yang perlahan selepas kita berkuasa?

Menganalisis dan membincangkan belanjawan dengan persoalan-persoalan ini dalam minda kita, adalah sebahagian penting dalam proses membina keupayaan kita untuk mengawasi ekonomi moden. Ekspresi keupayaan/pemahaman ini dalam kenyataan umum kita akan memainkan peranan besar dalam menyakinkan rakyat umum bahawa kita tahu apa yang kita cakap tentang dan kita mewakili tangan selamat yang tidak akan merosakkan ekonomi, dan mereka patut mengundi untuk kita!

(Tulisan ini merupakan nota yang dikemukakan untuk perbincangan di kalangan ahli-ahli PSM.)

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Ahli Jawatankuasa Parti Sosialis Malaysia (PSM). Beliau juga merupakan bekas Ahli Parlimen untuk kawasan Sungai Siput.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *