germanlarge_000000.jpg

100 tahun dahulu, tercetusnya gelombang revolusi yang hebat di negara Jerman yang menjatuhkan pemerintahan raja berperlembagaan Empayar Jerman dan menggantikannya dengan sebuah republik berparlimen yang demokratik. Namun, oleh sebab kerajaan baru menggunakan kekerasan untuk menghancurkan kebangkitan kuasa kiri radikal yang menggugat kepentingan kelas atasan, hasil revolusi ini telah digadaikan dan kemudiannya membuka ruang kepada kemunculan kuasa reaksioner berhaluan kanan yang dahsyat.

Revolusi Jerman 1918-19, juga digelar sebagai “Revolusi November”. Revolusi ini bermula dengan pemberontakan kelasi-kelasi di pelabuhan Kiel pada 29 Oktober 1918 diikuti dengan gelombang protes anti-kerajaan secara besar-besaran. Maharaja Jerman, Wilhelm II, mengundur dari takhta pada 9 November 1918, dan sebuah republik baru yang dikenali kemudiannya sebagai Republik Weimar telah ditubuhkan. Revolusi ini berterusan dari bulan November 1918 sehingga bulan Ogos 1919 apabila Perlembagaan Weimar mula berkuatkuasa.

Punca berlakunya revolusi

Revolusi Jerman 1918-19 berkait rapat dengan gelombang revolusi yang bermula dengan Revolusi Rusia 1917 di penghujung Perang Dunia I. Negara Jerman telah terlibat dalam Perang Dunia I pada tahun 1914-1918, dengan menyertai blok “Kuasa Tengah” (terdiri daripada Jerman, Austria-Hungary, Bulgaria dan Empayar Uthmaniyyah). Penglibatan negara Jerman yang berlarutan untuk 4 tahun itu telah membawa penderitaan yang teruk kepada rakyatnya. Kekalahan negara Jerman dalam medan perang turut menjejaskan lagi kewibawaan pemerintahan yang dikuasai oleh golongan aristocrat dan borjuis.

Ketidakpuasan hati dan kemarahan rakyat terhadap pemerintahan kelas atasan mencetuskan perjuangan revolusi yang akhirnya menyebabkan keruntuhan Empayar Jerman.

Perpecahan SPD

Parti Demokratik Sosial Jerman (Sozialdemokratische Partei Deutschlands, singkatan SPD) yang ditubuhkan pada tahun 1875, hasil daripada penggabungan antara Kesatuan Pekerja Seluruh Jerman (ADAV) dan Parti Pekerja Demokratik Sosial Jerman (SDAP), merupakan salah sebuah parti politik berhaluan kiri yang tertua di dunia. SPD diharamkan tidak lama selepas penubuhannya oleh kerajaan pimpinan Otto von Bismarck tetapi dapat kembali bergerak secara sah di sisi undang-undang pada tahun 1890. SPD pada awalnya mengamalkan fahaman Marxis, namun kemudiannya semakin dikuasai oleh pemimpin parti yang berfahaman reformis.

SPD merupakan penggerak utama gerakan pekerja di Jerman pada awal abad ke-20. Dalam pilihanraya persekutuan Jerman pada tahun 1912, SPD meraih sebanyak 34.8% undi dan memperoleh sebanyak 110 kerusi dalam Reichstag (parlimen), menjadikannya parti politik yang mempunyai perwakilan terbanyak dalam parlimen. Keanggotaan SPD mencecah 1 juta orang pada tahun 1910-an, dan 2.5 juta keahlian kesatuan pada masa itu kebanyakannya menyokong SPD.

Ketika benua Eropah berada di ambang pencetusan peperangan besar-besaran, SPD pada awalnya menentang perang, dengan pemimpin seperti Rosa Luxemburg menganjurkan demonstrasi anti-perang. Rosa Luxemburg dipenjarakan setahun kerana pendiriannya yang anti-perang. Namun, kebanyakan pemimpin SPD telah memeluk pada semangat nasionalisme yang diapi-apikan selepas negara Jerman mengisytihar perang ke atas Rusia pada bulan Ogos 1914. Ahli-ahli parlimen SPD telah mengundi untuk menyokong penglibatan Jerman dalam perang imperialis yang meragut nyawa rakyat biasa, sekaligus mengkhianati prinsip internasionalisme yang dipegangnya sebelum ini.

rosa_luxemburg.jpg
Rosa Luxemburg (1871-1919)

Pemimpin SPD yang tidak bersetuju dengan sokongan SPD terhadap penglibatan Jerman dalam Perang Dunia I, seperti Rosa Luxemburg, Karl Liebknecht, Clara Zetkin dan Franz Mehring, telah menubuhkan kumpulan Die Internationale pada bulan Ogos 1914, yang kemudiannya dikenali sebagai Kumpulan Spartacus (Spartakusgruppe) pada bulan Januari 1916. Anggota-anggota Kumpulan Spartacus menubuhkan Liga Spartacus (Spartakusbund) pada tahun 1918 ketika tercetusnya revolusi. Kumpulan Spartacus menerbitkan risalah anti-perang dan menolak pendirian SPD yang menyokong perang. Luxemburg telah dipenjarakan selagi lagi, dan kali ini dengan hukuman penjara 2 tahun dan setengah, kerana cuba menghasut pekerja Jerman untuk melakukan mogok anti-perang. Karl Liebknecht juga dipenjarakan atas kesalahan pengkhianatan terhadap negara.

SPD yang dikuasai oleh pemimpin berhaluan kanan seperti Friedrich Ebert, telah menyingkirkan ahli-ahli SPD yang membantah perang keluar dari parti, termasuk golongan berhaluan “tengah” (puak yang menolak pendirian pemimpin berhaluan kanan menyokong perang, tetapi juga menolak pendirian golongan berhaluan kiri yang ingin menamatkan perang dengan mencetuskan revolusi). Liga Spartacus yang dipimpin oleh Rosa Luxemburg dan Karl Liebknecht kemudiannya bergabung dengan pemimpin SPD berhaluan “tengah” seperti Karl Kautsky dan reformis seperti Eduard Bernstein untuk menubuhkan Parti Demokratik Sosial Independen Jerman (Unabhängige Sozialdemokratische Partei Deutschlands, singkatan USPD) yang mengambil posisi anti-perang. USPD menuntut penamatan perang dengan segera dan pendemokrasian untuk negara Jerman.

Pengaruh Revolusi Rusia

Revokusi Februari di Rusia pada tahun 1917 menjatuhkan pemerintahan Tsar pada 15 Mac 1917, kemudiannya satu siri pergolakan politik akhirnya mencetuskan Revolusi Oktober yang menjatuhkan Kerajaan Sementara yang dikuasai golongan borjuasi pada bulan November 1917, dan menubuhkan pemerintahan negara pekerja yang pertama di dunia. Rusia menarik diri dari Perang Dunia I tidak lama selepas Revolusi Oktober.

Kejayaan revolusi di Rusia telah memberi rangsangan hebat kepada golongan revolusioner di Jerman. Revolusioner di Rusia seperti Lenin dan Leon Trotsky juga mengharapkan revolusi dapat berlaku di Jerman untuk menjayakan “revolusi dunia” yang membawa kepada sosialisme yang sebenar.

Gelombang mogok anti-perang tercetus pada bulan Januari 1918, di bandar-bandar seperti Berlin, Hamburg, Kiel, wilayah Ruhr dan wilayah Sachsen. Mogok yang dianjurkan oleh organisasi pekerja Revolutionäre Obleute ini mendapat ilham daripada Revolusi Oktober di Rusia. Pekerja-pekerja yang bermogok menuntut perubahan politik secara menyeluruh untuk mendemokrasikan Empayar Jerman, dan menamatkan perang melalui rundingan damai yang tidak memasukkan tuntutan wilayah daripada Empayar Jerman terhadap “Rusia Baru” di bawah pimpinan Bolshevik. Kerajaan Empayar Jerman yang dipimpin oleh Canselor Georg von Hertling enggan melaksanakan tuntutan tersebut, sebaliknya Pemerintahan Tertinggi Tentera (Oberste Heeresleitung) melenyapkan mogok dengan meletakkan sebahagian kilang di bawah “perlindungan” tentera dan ramai pekerja yang bermogok dikerahkan secara paksa untuk perkhidmatan tentera.

Revolusi tercetus

Apabila Jerman berada di ambang kekalahan di penghujung Perang Dunia I pada tahun 1918, pemimpin utama tentera Jerman Jeneral Erich Ludendorff teragak-agak untuk menyerah kalah kepada Pihak Bersekutu, sehingga menimbulkan krisis politik yang serius.

Pada 29 Oktober 1918, kelasi-kelasi tentera laut Jerman enggan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Pemerintah Tentera Laut dan mula memberontak. Pemberontakan bermula dengan kelasi-kelasi yang berpengkalan di Wilhelmshaven, kemudiannya merebak dengan cepatnya ke seluruh Armada Laut Lepas.

Pada 3 November 1918, beribu-ribu kelasi dan pekerja berhimpun di pelabuhan Kiel, selain menuntut pembebasan tahanan politik yang mengingkari arahan atasan tentera, mereka juga mengemukakan slogan “keamanan dan roti” (Frieden und Brot). Ini menunjukkan keinginan kelasi-kelasi dan pekerja-pekerja untuk menamatkan perang dengan segera serta menyelesaikan masalah bekalan makanan. Pimpinan tentera Jerman mengarahkan pasukan peronda menembak para demonstran, sehingga menyebabkan 7 orang mati dan 25 cedera. Namun, penindasan ini tidak dapat melenyapkan kebangkitan rakyat, malah bara revolusi semakin hebat.

Pada 4 November 1918, pelabuhan Kiel telah dikuasai oleh lebih kurang 40,000 orang kelasi, askar dan pekerja yang memberontak. “Majlis Pekerja-pekerja dan Askar-askar” ditubuhkan, di mana badan ini bermodelkan Soviet yang ditubuhkan semasa Revolusi Rusia 1917.

German-Bundesarchiv_Bild_146-1976-067-10A,_Matrosen-Aufstand.jpg

Delegasi kelasi-kelasi yang memberontak kemudiannya dihantar ke semua bandar-bandar utama untuk menggalakkan pemberontakan orang ramai. Pada 7 November 1918, massa yang revolusioner telah menguasai bandar-bandar utama seperti Hanover, Brunswick, Frankfurt dan Munich.

Pada 9 November 1918, gelombang revolusi sampai di Berlin apabila mogok besar-besaran tercetus di kilang-kilang besar. Mogok umum ini dianjurkan oleh Liga Spartacus dan Revolutionäre Obleute, mendapat sokongan daripada SPD dan kesatuan-kesatuan pekerja utama. Majlis Pekerja-pekerja dan Askar-askar ditubuhkan, dan bangunan-bangunan penting telah diduduki oleh massa yang revolusioner.

Di Munich, “Majlis Pekerja-pekerja dan Askar-askar” telah memaksa Raja Bavaria Ludwig III untuk mengundur diri dari takhtanya. Pada 8 November 1918, Bavaria menjadi negeri anggota Empayar Jerman yang pertama diisytihar sebagai “Negeri Rakyat” (Volksstaat). Negeri Rakyat Bavarian (Volksstaat Bayern) dipimpin oleh Kurt Eisner, seorang anggota USPD, sehingga beliau dibunuh pada 21 Februari 1919. Selepas Bavaria, pemerintah-pemerintah di semua negeri yang bergabung dalam Empayar Jerman turut mengundur diri dari takhta. Raja Prusia, yang juga merupakan Maharaja Jerman, Wilhem II, turun dari takhtanya pada 9 November 1918, sekaligus menamatkan dinasti diraja negara Jerman.

german.jpg

Majlis Perwakilan Rakyat

Majlis Pekerja-pekerja dan Askar-askar telah mengambilalih sebahagian besar Barat Jerman pada 8 November 1918. Majlis Pekerja-pekerja dan Askar-askar terdiri daripada anggota-anggota SPD dan USPD, yang memperjuangkan republik berparlimen.

Namun, pemimpin SPD yang berhaluan kanan seperti Friedrich Ebert amat takut pada revolusi yang akan membawa transformasi masyarakat yang hebat. Dari awal lagi, Ebert berniat untuk menghalang revolusi sosial dan mengekalkan susunan negara dengan segala cara yang mungkin. Ebert menyokong pengekalan monarki pada asalnya dan hanya perlu menukar kepada raja yang lain, tetapi Ebert akhirnya mendesak untuk penurunan takhta maharaja kerana takut bahawa revolusi sosial yang merebak dengan lebih hebat lagi sekiranya monarki masih kekal di situ. Ebert dilantik sebagai Canselor (Perdana Menteri) pada 9 November 1918 sebagai ketua untuk kerajaan peralihan selepas penurunan takhta Maharaja Jerman.

Majlis Perwakilan Rakyat (Rat der Volksbeauftragten) dibentuk pada 10 November 1918, selepas ribuan anggota majlis-majlis pekerja-pekerja dan askar-askar berhimpun di Berlin. Ebert yang dilantik sebagai Canselor sehari sebelum itu tidak bersetuju dengan pembentukan Majlis Perwakilan Rakyat, tetapi gagal menghalangnya. Namun, SPD yang dipimpin oleh Ebert pada masa itu masih mampu  melibatkan diri dalam proses pembentukan Majlis Perwakilan Rakyat dan memastikan ramai delegasi yang dipilih adalah anggota atau penyokong SPD. Ebert juga berjaya dalam memujuk USPD untuk bergabung dengannya untuk membentuk “kerajaan perpaduan”.

Kerajaan baru yang dibentuk selepas Revolusi November, telah menandatangani persetujuan gencatan senjata untuk menamatkan Perang Dunia I pada 11 November 1918.

Pada 12 November 1918, Majlis Perwakilan Rakyat mengeluarkan perisytiharan “Kepada Rakyat Jerman” (An das deutsche Volk) yang mengumumkan 9 perkara penting:

  • Membatalkan darurat;
  • Hak untuk berhimpun dan berpersatuan tanpa had. Ini juga dinikmati oleh kakitangan awam;
  • Tiada lagi penapisan. Penapisan terhadap persembahan teater dimansuhkan.
  • Kebebasan bersuara dalam ucapan dan penulisan;
  • Kebebasan beragama;
  • Pengampunan terhadap semua tahanan politik. Menghentikan perbicaraan politik;
  • Memansuhkan Akta Perkhidmatan Patriotik (Gesetz über den vaterländischen Hilfsdienst) yang memaksa semua lelaki yang cukup umur tetapi tidak berkhidmat dalam tentera untuk bekerja di industri strategik;
  • Memansuhkan undang-undang hamba Prusia (Gesindeordnung) dan undang-undang khas untuk pekerja pertanian;
  • Memulihkan peraturan perlindungan untuk pekerja yang dibatalkan ketika Perang Dunia I.

Perisytiharan tersebut juga menjanjikan pembaharuan sosial. Kerajaan baru menjanjikan bahawa akan melakukan seboleh mungkin untuk menyediakan kerja yang mencukupi untuk rakyat. Kerja 8 jam sehari diperkenalkan selewat-lewatnya pada 1 Januari 1919. Kerajaan baru juga merancang untuk melaksanakan skim bantuan pengangguran, membekalkan perumahan kepada rakyat, memastikan rakyat mendapat khasiat yang mencukupi, dan pilihanraya akan diadakan berasaskan perwakilan berkadar.

Oleh sebab tidak bersetuju dengan pendirian SPD yang cuba mengekalkan status quo, USPD menarik diri keluar daripada Majlis Perwakilan Rakyat dan kerajaan campuran pada bulan Disember 1918. Dengan itu, kerajaan Jerman dikuasai sepenuhnya oleh golongan berhaluan kanan yang anti-revolusi, seperti Friedrich Ebert.

SPD menyekat revolusi

Dalam usaha menyusun semula negara selepas Revolusi November, Ebert ingin mendapat sokongan daripada parti-parti kelas menengah yang pernah bekerjasama dengan SPD sebelum itu, dan juga golongan elit atasan yang lama. Ebert cuba mengelakkan radikalisasi revolusi seperti yang berlaku di Rusia yang menggugat “kestabilan” susunan masyarakat yang masih dikuasai oleh kelas atasan. Sememangnya niat Ebert dan dasar SPD yang dipimpinnya, bertentangan dengan aspirasi perjuangan revolusi yang sudah wujud di kalangan massa rakyat Jerman.

Sejurus selepas Ebert dilantik sebagai ketua kerajaan baru, dia telah membuat persetujuan dengan pemimpin Tentera Jerman Wilhelm Groener, di mana Groener menjanjikan kesetiaan tentera terhadap kerajaan baru pimpinan Ebert, sementara Ebert menjanjikan bahawa kerajaan baru akan mengambil tindakan segera untuk melenyapkan kebangkitan golongan kiri yang radikal. Ebert juga berjanji untuk mengekalkan status tentera sebagai “negara dalam negara”. Persetujuan tersebut telah membolehkan Kerajaan Ebert untuk menggagalkan usaha golongan kiri untuk membawa revolusi ke depan. Ebert bukan sahaja menculik Revolusi Jerman, malah bersekutu dengan musuh revolusi untuk menyekat dan membunuh prospek untuk revolusi sosial yang mengubah hubungan kelas secara dasarnya.

Pimpinan SPD lebih rela bekerjasama dengan birokrasi pentadbiran lama, berbanding dengan Majlis-majlis Pekerja-pekerja dan Askar-askar baru yang ditubuhkan semasa revolusi. Walau bagaimanapun, Majlis-majlis Pekerja-pekerja dan Askar-askar mengambilalih pentadbiran bandar di Leipzig, Hamburg, Bremen, Chemnitz dan Gotha.

Pada 16-21 Disember 1918, “Kongres Majlis-majlis Pekerja-pekerja dan Askar-askar” (Reichsrätekongress atau Reichsversammlung der Arbeiter- und Soldatenräte) bersidang di Berlin. Daripada 514 orang perwakilan dalam kongres tersebut, lebih kurang 300 orang daripada SPD, dan hanya lebih kurang 100 orang daripada USPD (di mana terdapatnya 10 orang daripada Liga Spartacus), sementara yang lain terdiri daripada golongan liberal yang tidak berkaitan dengan mana-mana kumpulan revolusioner. Kongres tersebut telah mengambil keputusan seperti: menolak cadangan USPD untuk mengekalkan sistem majlis pekerja sebagai asas untuk membina sebuah republik sosialis; menerima cadangan SPD untuk memberi lebih kuasa perundangan dan eksekutif kepada Majlis Perwakilan Rakyat sehingga penubuhan Perhimpunan Nasional; menetapkan pilihanraya untuk Perhimpunan Nasional pada 19 Januari 1919. Namun, terdapat dua resolusi yang diluluskan dalam Kongres tersebut bercanggah dengan kepentingan pimpinan SPD: 1. Kongres menyeru pada Majlis Perwakilan Rakyat untuk memulakan sosialisasi terhadap semua industri yang penting, seperti perlombongan; 2. Pemilihan untuk pegawai tentera dan kuasa displin dipegang oleh majlis askar-askar.  Anggota dalam Majlis Perwakilan Rakyat melengah-lengahkan pelaksanaan dua perkara pembaharuan penting ini, menyebabkan ketidakpuasan hati dan kemarahan di kalangan gerakan pekerja serta golongan kiri yang lebih radikal.

Pada 24 Disember 1918, tentera kerajaan dikerahkan untuk memukul “Divisi Tentera Laut Rakyat” (Volksmarinedivision), sebuah unit askar revolusioner kiri yang ditubuhkan pada 11 November 1918 ketika berlakunya revolusi. Pertempuran tersebut menjadi pencetus kepada penarikan diri USPD keluar daripada Majlis Perwakilan Rakyat pada 29 Disember 1918.

Kekosongan yang wujud setelah perletakan jawatan anggota USPD telah diisi dengan anggota SPD, antaranya Gustav Noske yang ditugaskan untuk hal ehwal ketenteraan. Gustav Noske menyokong aktiviti Freikorps, organisasi separa tentera yang disertai oleh veteran perang yang anti-komunis. Noske telah menggunakan Freikorps untuk melenyapkan kebangkitan golongan kiri radikal. Ramai anggota Freikorp kemudiannya menjadi penggerak dan pemimpin untuk Parti Nazi. Dalam erti kata lain, Friedrich Ebert dan SPD secara tidak lansung membolehkan kemunculan fahaman Nazisme dalam usahanya melenyapkan revolusi sosial dan menghancurkan politik kiri yang radikal.

Pembentukan Parti Komunis Jerman

Anggota-anggota Liga Spartacus yang tidak lagi menaruh harapan pada SPD dan USPD, telah menubuhkan Parti Komunis Jerman (Kommunistische Partei Deutschlands, singkatan KPD) pada penghujung bulan Disember 1918. Kongres penubuhan KPD diadakan pada 30 Disember 1918 hingga 1 Januari 1919 di Berlin. Selain anggota Liga Spartacus, sebuah lagi organisasi sosialis yang bergelar Komunis Antarabangsa Jerman telah menyertai parti baru ini. Revolutionäre Obleute yang juga dijemput ke kongres penubuhan KPD, tidak menyertai KPD kerana tidak bersetuju dengan beberapa pendirian KPD.

Rosa Luxemburg telah menulis program politik untuk penubuhan KPD. Dalam program yang dikemukakan oleh Luxemburg, beliau mengatakan bahawa golongan komunis tidak akan dapat mengambilalih kuasa tanpa sokongan padu daripada majoriti rakyat. Luxemburg menyeru supaya KPD mengambil bahagian dalam pilihanraya Perhimpunan Nasional, tetapi cadangannya telah ditolak oleh undi majoriti KPD. KPD memutuskan untuk memboikot pilihanraya Perhimpunan Nasional. Kebanyakan anggota KPD mengharapkan kerja-kerja agitasi di kilang-kilang dan tekanan daripada aksi jalanan dapat membolehkan KPD mengambilalih kuasa.

Spartakusaufstand

Gelombang revolusi kedua yang dikenali sebagai “Pemberontakan Spartacus” (Spartakusaufstand) ataupun “Pemberontakan Januari”, tercetus tidak lama selepas KPD ditubuhkan.

Apabila Emil Eichhorn, Ketua Polis Berlin yang juga seorang anggota USPD yang enggan bertindak terhadap demonstrasi pekerja pada bulan Disember 1918, diberhentikan oleh kerajaan pada 4 Januari 1919, USPD, Revolutionäre Obleute dan KPD telah memobilisasi untuk demonstrasi jalanan yang diadakan pada 5 Januari 1919. Tanpa dijangka oleh penganjur, demonstrasi tersebut telah disertai oleh massa yang ramai, termasuk anggota SPD. Ratusan ribu orang berarak di pusat bandar Berlin, stesen keretapi dan bangunan akhbar diduduki oleh pekerja. “Jawatankuasa Revolusioner” ditubuhkan. Rosa Luxemburg tidak menyokong pemberontakan pada masa itu kerana kekuatan revolusioner memang tidak cukup, tetapi Karl Liebknecht pula menyokong sepenuhnya pemberontakan.

Pemimpin USPD dan KPD menyeru untuk mogok umum di Berlin pada 7 Januari 1919, di mana lebih kurang 500,000 orang membanjiri pusat bandar Berlin pada masa itu. Segelintir peserta mogok telah merancang untuk menggulingkan kerajaan yang dipimpin SPD dan melancarkan revolusi sosialis. Pekerja-pekerja yang memberontak telah mengambilalih bangunan-bangunan utama. Namun, Jawatankuasa Revolusioner yang memimpin mogok gagal bertindak kerana wujudnya perbezaan pendapat antara golongan revolusioner dan reformis dalam cara membawa perjuangan ke depan.

Sesetengah pemimpin KPD cuba memujuk rejimen tentera di Berlin untuk menyertai pemberontakan, tetapi usaha tersebut gagal kerana kebanyakan rejimen yang berpengkalan di Berlin masih patuh kepada kerajaan. KPD menarik diri daripada Jawatankuasa Revolusioner selepas wakil daripada USPD menjemput Ebert untuk perundingan.

Namun, Ebert tidak ikhlas untuk berunding dengan golongan kiri. Sebagai respon kepada kebangkitan pekerja, Ebert telah mengarahkan Freikrops untuk menghancurkan revolusi yang diterajui oleh golongan kiri.

Gustav Noske mengupah Freikorps dan menggunakan Freikorps untuk memukul pekerja-pekerja.

Rosa Luxemburg dan Karl Liebknecht telah ditahan oleh Freikorps pada 15 Januari 1919. Mereka telah diseksa sebelum dibunuh secara kejamnya oleh Freikorps. Mayat Luxemburg telah dibuang ke dalam Terusan Landwehr di Berlin. Kematian kedua-dua orang tokoh revolusi Jerman, Luxemburg dan Liebknecht, turut menandakan Revolusi Jerman telah digagalkan.

Pemberontakan yang selanjut

Selepas Pemberontakan Spartacus dilenyapkan dengan kekerasan, pilihanraya Perhimpunan Nasional yang diadakan pada 19 Januari 1919 menyaksikan SPD terus menjadi parti terbesar dalam dewan perundangan dengan undian sebanyak 37.86%. USPD hanya mendapat 7.62% undi. SPD membentuk kerajaan campuran yang digelar “Gabungan Weimar” dengan Parti Tengah (Zentrum) dan Parti Demokratik Jerman (DDP).

Pemberontakan masih berlaku di banyak tempat selepas itu.

Di negeri Bremen, Majlis Pekerja di situ menubuhkan “Republik Soviet Bremen” pada 10 Januari 1919. Namun, Republik Soviet Bremen hanya wujud untuk 25 hari sahaja sebelum Kerajaan Ebert yang menghantar Freikorps untuk menghancurkannya secara kejam.

Di Bavaria, setelah pembunuhan pemimpin Negeri Rakyat Bavaria, Kurt Eisner, pada 21 Februari 1919, telah mencetuskan gelombang demonstrasi. Pada bulan April 1919, dirangsang dengan revolusi di Hungary yang melahirkan Republik Soviet Hungary, golongan kiri di Bavaria turut menubuhkan “Republik Soviet Bavaria”. Kerajaan SPD menggunakan kekerasan untuk menghancurkan Republik Soviet Bavaria tidak lama kemudian.

Mogok dan pemberontakan turut berlaku di kawasan Ruhr, Rhineland, Saxony, Thuringia, Hamburg dan Berlin.

Revolusi Jerman 1918-19 berakhir dengan hasil revolusi diculik oleh golongan reformis SPD yang bergabung dengan kepentingan kelas atasan dan kebangkitan gerakan kiri ditindas dengan kejamnya. Beberapa tahun selepas itu, negara Jerman masih berada dalam proses pertembungan antara revolusi dengan revolusi balas, termasuklah peristiwa seperti cubaan rampasan kuasa oleh golongan kanan pada tahun 1920 digagalkan oleh aksi massa pekerja dan mogok umum yang diadakan oleh golongan ultra-kiri pada bulan Mac 1921. Penindasan terhadap kiri dengan menggunakan kumpulan separa tentera berhaluan kanan seperti Freikorps, membuka laluan kepada perkembangan selanjutnya untuk politik nasionalis sempit yang akhirnya melahirkan gerakan Nazi yang mendatangkan malapetaka kepada dunia.

Pengajaran daripada Revolusi Jerman

Revolusi Jerman merupakan sebahagian yang penting dalam gelombang revolusi tahun 1917-1923. Revolusi Jerman 1918-19 merupakan detik sejarah yang menjadi penentu, apabila kebangkitan massa membawa kepada penamatan Perang Dunia I.

Revolusi Jerman 1918-19 juga dengan jelasnya membongkarkan sifat sebenar pemimpin politik reformis (seperti Friedrich Ebert) apabila sistem masyarakat yang lama di ambang kejatuhan. Golongan reformis yang menguasai SPD pada masa itu, telah mengkhianati aspirasi kelas pekerja, seperti pernah dilakukan oleh mereka semasa mengundi untuk menyokong perang imperialis pada tahun 1914, dengan melakukan segala yang mungkin untuk melindungi susunan masyarakat lama dan menghancurkan prospek untuk transformasi yang sebenar.

Revolusi Jerman 1918-19 yang akhirnya diculik oleh golongan reformis dan digagalkan akhirnya, memberi pengajaran politik yang penting, bahawa gerakan massa yang mempunyai kesedaran kelas itu amat penting untuk menentang birokrasi, sama ada birokrasi negara lama ataupun birokrasi dalam parti bersifat reformis. Sebuah parti revolusioner yang mempunyai kematangan politik dan hubungan organik dengan kelas pekerja untuk memimpin perjuangan massa pekerja juga amat penting.

Bak kata pepatah oleh Louis Antoine de Saint-Just, seorang revolusioner La Montagne Perancis pada hujung abad ke-18, “mereka yang melakukan revolusi separuh jalan hanya menggali kubur mereka sendiri”, amat benar untuk situasi semasa Revolusi Jerman 1918-19. Jika Revolusi Jerman ketika itu tidak digagalkan oleh golongan reformis yang ingin menjaga kepentingan kelas atasan lama, sudah tentunya revolusi tersebut boleh terus mara menuju Sosialisme, menamatkan keadaan Revolusi Rusia yang terpencil, menghalang kemunculan Stalinisme di Kesatuan Soviet dan Nazisme di Jerman, dan sejarah dunia sudah pastinya akan mengambil laluan yang berbeza. Walau bagaimanapun, sejarah itu tidak dapat berubah, yang penting adalah kita perlu mengambil pengajaran daripada pengalaman sejarah, yang berjaya itu menjadi inspirasi, yang gagal itu menjadi peringatan.

==========

german716px-Ausrufung_Republik_Scheidemann.jpg

Kornologi Revolusi Jerman 1918-19

8 Mac 1917: Tercetusnya Revolusi Rusia.

Mac-April 1917: Mogok yang dianjurkan oleh Revolutionäre Obleute tercetus di kilang-kilang senjata, dengan 300,000 orang pekerja bermogok.

6-8 April 1917: Parti Demokratik Sosial Independen Jerman (USPD) ditubuhkan.

7 November 1917: Bolshevik menggulingkan Kerajaan Sementera di Rusia dalam Revolusi Oktober.

22 Disember 1917: Jerman dan Rusia memulakan rundingan damai di Brest-Litovsk.

14 Januari 1918: Mogok besar-besaran di Austria-Hungary.

28 Januari 1918: Revolusi di Finland, kerajaan pekerja ditubuhkan.

28 Januari 1918: Mogok tercetus di Berlin dan lebih 50 buah bandar di seluruh Jerman. Lebih 1 juta pekerja bermogok.

3-4 Oktober 1918: Putera Max von Baden dilantik sebagai Canselor Jerman. Pemimpin SPD menyertai Kerajaan Empayar Jerman.

16 Oktober 1918: Demonstrasi USPD di Berlim dengan tuntutan menjatuhkan kerajaan.

27-28 Oktober 1918: Pemberontakan kelasi-kelasi di Kiel.

30 Oktober 1918: Kerajaan Demokrat Sosial dibentuk di Austria selepas kebangkitan massa.

31 Oktober 1918: Revolusi Hungary bermula.

4 November 1918: Majlis Pekerja-pekerja dan Askar-askar ditubuhkan di Kiel.

7-8 November 1918: Kebangkitan revolusi pekerja-pekerja, kelasi-kelasi dan askar-askar merebak ke seluruh negara Jerman. Kerajaan monarki Bavaria dijatuhkan; republik ditubuhkan dengan kerajaan campuran yang terdiri daripada SPD, USPD dan Liga Petani.

9 November 1918: Maharaja Wilhelm II turun takhta; republik diisytihar di Berlin; Ebert dilantik menjadi Canselor. Rosa Luxemburg dibebaskan dari penjara.

10 November 1918: Pembentukan kerajaan Majlis Perwakilan Rakyat, yang terdiri daripada 3 orang ahli SPD (Friedrich Ebert, Philipp Scheidemann dan Otto Landsberg) dan 3 orang ahli USPD (Hugo Haase, Wilhelm Dittmann dan Emil Barth).

11 November 1918: Perjanjian gencatan senjata ditangani oleh Jerman dengan Pihak Bersekutu. Liga Spartacus ditubuhkan.

12 November 1918: Majlis Perwakilan Rakyat mengumumkan niatnya untuk “melaksanakan program sosialis”. Republik ditubuhkan di Austria.

16 November 1918: Republik ditubuhkan di Hungary.

19 November – 17 Disember 1918: Mogok berlaku di Saxony dan Ruhr.

6 Disember 1918: Cubaan rampasan kuasa oleh golongan berhaluan kanan di Berlin gagal.

16-20 Disember 1918: Persidangan nasional pertama Kongres Majlis-majlis Pekerja-pekerja dan Askar-askar di Berlin memutuskan untuk mengadakan pilihanraya Perhimpunan Nasional pada 19 Januari 1919 dan menyeru untuk langkah-langkah sosialisasi secara segera.

24 Disember 1918: “Krisis Krimas”, pertempuran antara Volksmarinedivision dengan tentera Jerman di Berlin.

29 Disember 1918: Kongres Penubuhan Parti Komunis Jerman (KPD) bermula. Anggota USPD menarik diri keluar daripada Majlis Perwakilan Rakyat.

Akhir bulan Disember 1918: Freikorps memasuki Berlin, dan pertembungan semakin sengit dengan pekerja.

4 Januari 1919: Kerajaan SPD Prusia memecat Ketua Polis Emil Eichhorn, mencetuskan kebangkitan rakyat.

5 Januari 1919: Tercetusnya Pemberontakan Spartacus. Jawatankuasa Revolusioner ditubuhkan di Berlin.

8 Januari 1919: Tentera yang diarahkan oleh Gustav Noske menyerang pekerja.

10 Januari 1919: Republik Soviet Bremen ditubuhkan.

12 Januari 1919: Penentangan pekerja Berlin yang terakhir dihancurkan oleh tentera Noske.

15 Januari 1919: Karl Liebknecht dan Rosa Luxemburg dibunuh oleh Freikorps.

19 Januari 1919: Pilihanraya Perhimpunan Nasional. KPD memboikot pilihanraya. SPD dapat undi terbanyak.

6 Februari 1919: Perhimpunan Nasional bersidang di Weimar.

11 Februari 1919: Friedrich Ebert dipilih sebagai Presiden Republik.

13 Februari 1919: Philipp Scheidemann membentuk kerajaan campuran Weimar yang pertama, terdiri daripada SPD, DDP dan Zentrum.

21 Februari 1919: Kurt Eisner, Perdana Menteri USPD untuk Bavaria, dibunuh oleh seorang pelampau nasionalis.

2-6 Mac 1919: Kongres Penubuhan Komunis Internasional (Comintern).

7 April 1919: Republik Soviet Bavaria ditubuhkan di Munich, tetapi kemudiannya dihancurkan oleh Reichswehr dan Freikorps Bavaria.

8-14 April 1919: Kongres Majlis-majlis Pekerja-pekerja dan Askar-askar yang kedua bersidang, menyokong republik berparlimen borjuis.

28 Jun 1919: Perjanjian Versailles.

24 Februari 1920: Adolf Hitler mengumumkan program untuk parti Nazi.

13-17 Mac 1920: Cubaan rampasan kuasa oleh Kapp-Lüttwitz.

6 Jun 1920: Pilihanraya Reichstag, undi SPD jatuh dari 37.9% ke 21.7%, undi USPD meningkat dari 7.6% ke 17.9%, sementara KPD mendapat undi sebanyak 2.1%.

Julai 1920: Kongres Kedua Komunis Internasional.

Oktober 1920: Kongres USPD di Halle, majoriti bersetuju untuk menyertai KPD sebagai sebahagian daripada Comintern..

27 Mac 1921: “Aksi Mac” dianjurkan oleh KPD.

Julai 1921: Hitler menjadi pemimpin Nazi.

10 Januari 1923: Jerman gagal membayar ganti rugi perang.

11-12 Januari 1923: Tentera Perancis dan Belgium menduduki Ruhr. Kerajaan Jerman menyeru untuk “penentangan pasif”.

September 1923: Hiper-inflasi mencecah kemuncak. Mogok besar-besaran.

26 September 1923: Darurat di Bavaria.

27 September 1923: Ebert mengisytihar darurat di seluruh Jerman.

23-25 Oktober 1923: Pemberontakan di Hamburg dipatahkan.

29 Oktober 1923: Kerajaan Sosialis-Komunis di Saxony dan Thuringia ditindas.

2 November 1923: Menteri-menteri SPD meletak jawatan.

8-9 November 1923: Cubaan rampasan kuasa oleh Hitler di Munich.

IWM_Q_110864.jpg

3 thoughts on “Ulangtahun ke-100 Revolusi Jerman 1918-19

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *