petani0003

BIDOR, PERAK: Sejak bulan Ogos 2018, kawasan pertanian dan penternakan ikan air tawar di kawasan tanah kerajaan yang terbiar di sekitar Kampung Kuala Bikam diancam oleh syarikat pengambilan pasir dan ejen-ejennya.

Seramai 30 orang petani dan penternak dari Kampung Kuala Bikam sedang mengusahakan tanah bekas lombong seluas 190 ekar untuk lebih daripada 30 tahun  dengan pelbagai jenis tanaman, buah-buahan dan juga kelapa sawit (merupakan  tanaman gantian). Pada awalnya, petani-petani ini membelanjakan beribu-ribu ringgit untuk membangunkan kawasan ini bagi tujuan pertanian.

Pejabat tanah dan juga pihak kerajaan serta pemimpin politik juga mengetahui tentang kegunaan tanah untuk pertanian di kawasan ini. Ada antara petani-petani ini pernah diberikan Lesen Pendudukan Sementara (LPS). Hasil pengeluaran tanaman dari kawasan ini, selain dijual di kawasan ini, ada yang juga dihantar ke pasar borong luar Bidor.

Pada masa yang sama, setiap kali berlangsungnya pilihanraya, petani-petani ini diberikan jaminan bahawa kawasan ini akan dikekalkan. Suatu ketika dulu, kerajaan pernah memberitahu bahawa petani-petani di kawasan ini akan diberikan pajakan secara berperingkat.

Namun, terdapatnya pihak yang tidak bertanggungjawab masih melabelkan petani-petani ini sebagai penceroboh tanah kerajaan.

petani0002

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 27 Oktober 2018, petani dan penternak ikan Kampung Kuala Bikam menegaskan bahawa sejak awal lagi semua kawasan ini digunakan untuk tujuan tanaman makanan. Namun disebabkan wujudnya masalah penurunan harga sayur, kenaikan harga baja dan racun dan cuaca yang tidak baik, ada antara petani kawasan ini menukar jenis tanaman kepada kelapa sawit.

Semasa zaman Kerajaan Barisan Nasional, petani dan penternak kecil-kecilan yang menggunakan tanah kerajaan ini tidak dihargai dan tiada apa-apa perlindungan. Dalam PRU-14 lalu, kaum petani, khususnya penduduk Kampung Kuala Bikam telah bertekad secara konsisten untuk melakukan  perubahan politik dengan memastikan kemenangan calon Pakatan Harapan.

Dengan harapan dan keyakinan itu, petani-petani dan penternak-penternak menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Perak, Exco Pertanian dan ADUN Sungkai yang juga merupakan Exco Kerajaan Negeri Perak Sivanesan untuk menyelesaikan masalah di kawasan ini.

petani0001

Tuntutan petani dan penternak pada Kerajaan Negeri Perak adalah:

  1. Menghentikan kerja-kerja pengambilan pasir dengan serta-merta;
  2. Mengadakan lawatan ke Kampung Kuala Bikam untuk berjumpa dengan semua petani yang terlibat untuk mengetahui masalah sebenar;
  3. Memastikan tiada pencerobohan daripada pihak syarikat pasir dan ejen-ejennya ke kawasan pertanian ini;
  4. Memastikan masalah ini diselesaikan melalui amalan perbincangan dengan campurtangan pihak kerajaan.

Para petani dan penternak ikan telah menyatakan kesediaan mereka untuk berbincang dengan pihak kerajaan. Mereka mahukan pihak kerajaan menghentikan sebarang pengusiran paksa terhadap petani. Kerajaan Pakatan Harapan perlu mempunyai kesungguhan politik untuk menyelesaikan masalah ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *