44602291_10156907190673713_1802046437769347072_n

PUTRAJAYA – Pekerja-pekerja kawalan keselamatan daripada Semerak Services Sdn Bhd / Ciscorp (M) Sdn Bhd telah hadir ke pejabat Kementerian Sumber Manusia pada 23 Oktober 2018, untuk menyerahkan memorandum kepada Menteri Sumber Manusia Kula Segaran, berkenaan dengan isu pembuangan kerja yang dilakukan oleh majikan secara manipulasi.

Turut bersama dengan pekerja-pekerja kawalan keselamatan yang diberhentikan kerja ini semasa penyerahan memorandum ialah Arutchelvan, Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Seramai 40 orang pekerja kawalan keselamatan yang telah berkhidmat untuk lebih kurang 20 tahun diberhentikan kerja begitu sahaja. Mereka ini merupakan pengawal senjata api yang dilatih dan mempunyai lesen untuk bekerja di bank CIMB di seluruh Malaysia di bawah syarikat Semerak Services Sdn. Bh,  yang kininya telah ditukar namanya kepada Ciscorp (M) Sdn Bhd.

Semua pekerja ini telah berkhidmat untuk satu tempoh masa yang lama sebagai pengawal senjata api di CIMB. Mereka mula menghadapi masalah apabila syarikat bertukar nama daripada Semerak Services Sdn. Bhd kepada Ciscorp (M) Sdn Bhd. Mereka diberitahu tentang penukaran nama syarikat pada 31 Mac 2018 oleh pengurusan Semerak, tetapi pada masa yang sama mereka juga diberitahu bahawa ini tidak akan membawa sebarang perubahan dalam kerja yang dilakukan oleh mereka ataupun pindaan dalam syarat-syarat kerja. Mereka juga diberitahu bahawa saham syarikat Semerak telah diambilalih oleh pengurusan baru, iaitu syarikat Ciscorp (M) Sdn Bhd. Akan tetapi, pekerja-pekerja mendapati perkara ini adalah tidak betul selepas itu. Mereka telah membuat semakan syarikat pada 21 Oktober 2018 dan didapati sebenarnya apa yang berlaku hanyalah penukaran nama syarikat sahaja, malahan pengurusan masih kekal dipegang oleh orang yang sama.

Pada 7 April 2018, seramai 17 orang pengawal senjata api di sekitar kawasan Kuala Lumpur telah dipanggil oleh pengurusan Ciscorp (M) Sdn Bhd dan diberitahu bahawa syarikat akan memindahkan separuh pekerja ke negeri Terengganu dan separuh lagi ke Kelantan. Pekerja-pekerja tersebut terkejut kerana tempat kerja mereka masih beroperasi, kerja masih di sana. Kenapa pekerja-pekerja perlu dipindahkan ke tempat lain sedangkan bank itu tidak berpindah?

Semua pekerja yang terlibat sudahpun bertahun-tahun menetap di kawasan ini dengan keluarga mereka, dan mereka telah bekerja di tempat ini untuk satu tempoh masa yang panjang. Mereka telah memberitahu pada pengurusan Ciscorp (M) Sdn Bhd bahawa ini adalah tidak adil dan mereka tidak akan berpindah. Pengurusan Ciscorp (M) Sdn Bhd berkata bahawa jika mereka tidak bersetuju untuk pindah, maka perlu letak jawatan. Pihak syarikat memberikan pekerja-pekerja satu kertas putih untuk tulis surat perletakan jawatan, seolah-olah pekerja sendiri berhenti kerja dengan sukarela. Lebih keji lagi, pengurusan syarikat telah mengugut pekerja bahawa gaji mereka untuk bulan April tidak akan dibayar sekiranya mereka tidak berbuat demikian. Pekerja-pekerja hanya diberi 10 minit untuk membuat keputusan ini. Pekerja-pekerja ini mempunyai pelbagai komitmen dalam kehidupan dan mereka tidak dapat meneruskan kehidupan harian tanpa gaji bulanan. Atas ugutan dan paksaan, pekerja terpaksa menulis surat meletak jawatan dan mengambil gaji mereka.

Selepas pekerja-pekerja ini mendapat tahu bahawa mereka boleh membawa isu ini kepada perhatian Jabatan Tenaga Kerja (JTK), ada yang antara pekerja-pekerja ini pergi mengadu kepada JTK, tetapi JTK berkata mereka tidak boleh memfailkan kes atas alasan melebihi dua bulan tempoh masanya.

Setelah 17 orang pekerja berhenti kerja, lebih kurang 40 orang pekerja yang lain mula mendapat surat pemindahan tempat kerja daripada pengurusan Ciscorp (M) Sdn Bhd. Pemindahan ini dilakukan kerana pihak pengurusan mahu menggantikan tempat pekerja yang sedia ada dengan pekerja Nepal. Pekerja-pekerja yang sedia ada tidak bersetuju dengan pemindahan ini.

Apabila pekerja-pekerja menunjukkan bantahan dan masih menunggu jawapan daripada Ciscorp (M) Sdn Bhd, pihak pengurusan mula menghantar notis penamatan perkhidmatan kepada pekerja-pekerja berkenaan kerana mereka tidak melaporkan diri di tempat bertugas baru. Ini adalah satu bentuk “penamatan kerja secara konstruktif” (contructive dismissal), iaitu membuatkan pekerja terpaksa berhenti kerja, dan ini adalah bercanggah dengan Kod Amalan Harmoni Perhubungan Perusahaan 1975, iaitu garis panduan memberhentikan pekerja. Isu memberi surat pindah ke lokasi yang jauh menjadi satu trend di kebanyakan syarikat apabila pekerja sudah lama bekerja di sesebuah syarikat, majikan sentiasa menggunakan pemindahan tempat bertugas sebagai alat untuk memberhentikan pekerja secara paksa.

Pekerja-pekerja yang dimangsakan oleh Ciscorp (M) Sdn Bhd merupakan pekerja-pekerja yang berkemahiran dan berpengalaman lama dalam bidang kawalan keselamatan. Mereka telah dilatih dengan teratur untuk jawatan ini sepanjang tempoh perkhidmatan mereka. Jadi, mengapa syarikat menggunakan taktik kotor sebegini untuk membuang kerja pekerja-pekerja berpengalaman ini?

Pekerja-pekerja juga menganggap Syarikat Ciscorp (M) Sdn Bhd menggantikan tempat mereka dengan pekerja Nepal sebagai satu cara untuk syarikat mengurangkan kosnya. Ini merupakan satu amalan yang menjejaskan hak pekerja.

Ada antara pekerja yang ditindas oleh Syarikat Ciscorp (M) Sdn Bhd telah memfailkan kes di Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP). Mereka juga membuat aduan polis mengenai perkara ini kerana terdapat manipulasi dan penyelewengan dalam proses memberhentikan kerja pekerja-pekerja.

Dalam memorandum yang diserahkan kepada Menteri Sumber Manusia, para pekerja yang terlibat menuntut pada Menteri Sumber Manusia supaya mencampurtangan dalam isu untuk untuk mendapatkan keadilan bagi pihak pekerja.

Tuntutan pekerja-pekerja kawalan keselamatan yang diberhentikan kerja ini adalah:

  1. Ciscorp (M) Sdn Bhd perlu mengembalikan kerja pekerja-pekerja yang diberhentikan, dengan syarat dan terma yang dijanjikan dari awal
  2. Jika Ciscorp (M) Sdn Bhd gagal berbuat demikian, selesaikan faedah renti kerja untuk pekerja selaras dengan Akta Kerja 1955.
  3. Menyenaraihitamkan syarikat ini kerana menggantikan pekerja tempatan dengan pekerja asing.
  4. Menyiasat amalan ugutan tidak membayar gaji bulanan jika tidak mahu berhenti secara sukarela.

Menteri Sumber manusia telah mengarahkan supaya siasatan dilakukan berkenaan dengan aduan pekerja-pekerja Ciscorp (M) Sdn Bhd yang dibuang kerja.

One thought on “Syarikat Ciscorp (M) Sdn Bhd guna taktik kotor buang kerja pengawal keselamatan

  1. எதற்காக வெளிநாட்டு தொழிலாளர்கள்? இந்நாட்டு தொழிலாளர்களின் வயிற்றில் அடிக்கவா?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *