hand-holding-coins-icon-money-income-vector-16050371

Pernahkah anda dengar tentang UBI? UBI yang dimaksudkan di sini bukannya ubi kentang, ubi kayu atau ubi keledek yang kita makan, tetapi singkatan Bahasa Inggeris kepada sejenis perlindungan sosial yang dikenali sebagai “Pendapatan Asas Universal” (Universal Basic Income), ataupun “Pendapatan Asas Tanpa Syarat” (Unconditional Basic Income).

Di bawah sistem “Pendapatan Asas Universal” (UBI), setiap orang anggota masyarakat (sama ada warganegara dalam sesebuah negara atau penduduk di sebuah kawasan) akan memperoleh sesuatu jumlah wang tertentu secara berkala daripada kerajaan, untuk memenuhi syarat hidup yang paling asasnya. UBI membolehkan seseorang itu mendapat perlindungan kehidupan minimum walaupun tidak dapat bekerja.

UBI merupakan satu idea perlindungan sosial yang baru dan sedang dieksperimen di beberapa buah negara. Berbeza dengan “pendapatan minimum terjamin” (guaranteed minimum income, GMI) yang sedang diamalkan di kebanyakan negara (seperti Revenu de solidarité active di Perancis, Supplemental Security Income di Amerika Syarikat, Bolsa Família di Brazil dan Bantuan Kewangan Miskin Tegar di Pulau Pinang) yang diberikan secara bersyarat kepada rakyat yang tidak mempunyai pendapatan minimum yang mencukupi untuk terus hidup, UBI tidak meletakkan syarat untuk pemberian wang kepada rakyat. GMI bertujuan untuk membasmi kemiskinan di kalangan warganegara, sementara UBI dibayar kepada semua warganegara tanpa mengira orang itu bekerja atau tidak dan juga sama ada orang itu kaya atau miskin.

Di Malaysia, penasihat utama kepada Perdana Menteri, Daim Zainuddin, juga pernah menyatakan bahawa beliau sedang mempertimbangkan untuk mewujudkan sebuah dana yang menyalurkan pendapatan asas kepada golongan miskin setiap bulan, bagi menggantikan bayaran BR1M.

Eksperimen UBI sudah dimulakan

Di negara-negara maju yang sedang menghadapi masalah pengangguran di kalangan rakyat akibat daripada pemindahan industri ke Dunia Ketiga dan perkembangan automasi dalam pengeluaran industri, perbincangan tentang UBI menjadi semakin hangat sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan wujudnya beberapa inisiatif atau program awalan pelaksanaan UBI.

Di Finland, kerajaan campuran berhaluan kanan yang dipimpin Juha Sipilä telah melancarkan eksperimen untuk UBI. Kerajaan Finland bercadang untuk menggantikan sebahagian sistem bantuan pengangguran di negara tersebut dengan UBI yang diagihkan kepada semua warganegara Finland. Kela, institut insurans sosial negara Finland, telah memilih secara rawak 2000 orang rakyat Finland berumur antara 25 hingga 58 tahun sebagai peserta. Peserta program eksperimen ini menerima €560 (bersamaan RM 2,675) setiap bulan dari bulan Januari 2017 hingga Disember 2018, tanpa mengira sama ada peserta berkenaan memperolehi apa-apa pendapatan tambahan atau tidak.

Di Kanada, kerajaan negeri Ontaria telah memulakan eksperimen berskala besar untuk program awalan sistem pendapatan asas sejak tahun 2017, untuk mengkaji bagaimana pendapatan asas dapat membantu rakyat yang hidup dengan pendapatan rendah untuk memenuhi keperluan asas mereka dengan lebih baik, sambil memperbaiki keselamatan makanan, penggunaan kemudahan penjagaan kesihatan, kesihatan mental, kestabilan perumahan, pendidikan, penyertaan dalam pasaran buruh dan sebagainya. Program Awalan Pendapatan Asas Ontario akan memastikan peserta menerima pendapatan mencecah Can$ 16,989 (bersamaan RM 54,301) setiap tahun untuk seorang individu dan Can$ 24,027 (bersamaan RM 76,781) setahun untuk pasangan berkahwin, sementara orang yang kurang upaya akan mendapat Can$ 500 (bersamaan RM 1,598) sebulan sebagai tambahan.

Di Belanda, telah dibangunkan eksperimen program UBI yang paling maju di Eropah, dengan beberapa kerajaan perbandaran sedang menguji kesan-kesan program UBI terhahap orang yang mendapat manfaat daripada program sebegini.

Di Perancis, calon Parti Sosialis dalam pilihanraya presiden pada tahun 2017, Benoît Hamon, telah menjanjikan pembayaran UBI sebanyak €750 (bersamaan RM 3,578) sebulan sekiranya beliau menang, tetapi malangnya Hamon kalah teruk dalam pengundian umum.

Di Switzerland, cadangan untuk UBI telah ditolak dalam referendum yang diadakan pada 5 Jun 2016 dengan 77% undi tolak dan 23% undi sokong.

UBI juga mendapat perhatian di India, di mana pelaksanaan UBI dianggap sebagai alternatif kepada program kebajikan sosial di India yang dikatakan tidak efektif dan dirosakkan oleh amalan korupsi.

Pandangan dari kiri dan kanan

Parti-parti politik dan ahli-ahli politik di seluruh dunia sudah mula membincangkan secara terbuka tentang idea mengagihkan pendapatan secara tanpa bersyarat kepada setiap rakyat. Kedua-dua belah dalam spektrum politik, sama ada politik kanan atau kiri, masing-masing menyokong idea ini dengan alasan sendiri. Golongan kanan menganggap UBI sebagai satu cara untuk menghapuskan birokrasi negara yang dikatakan ketinggalan zaman, sementara golongan kiri menganggap UBI sebagai langkah untuk membasmi kemiskinan.

Idea UBI ini bukannya sesuatu yang kiri atau “revolusioner” sangat, malah adanya ramai golongan ahli ekonomi berhaluan kanan dan pendukung pasaran bebas menyokongnya. Milton Friedman, ahli ekonomi neo-klasikal yang mendukung pasaran bebas sepenuhnya, juga pernah mengemukakan cadangan serupa dengan UBI yang dipanggil “cukai pendapatan negatif” (sejenis sistem “kebajikan” dalam cukai pendapatan di mana orang yang memperoleh pendapatan kurang daripada sesuatu jumlah akan menerima bayaran tambahan daripada kerajaan dan bukannya membayar cukai kepada kerajaan).

Golongan kanan, khususnya pendukung fahaman libertarian kanan yang mempertuhankan pasaran bebas, menganggap pelaksanaan UBI sebagai cara untuk mengurangkan peruntukan dana awam untuk kebajikan sosial dan perkhidmatan awam, malah pada akhirnya menghapuskan segala pendanaan untuk perkhidmatan awam – semua kemudahan asas atau perkhidmatan awam diswastakan dan rakyat perlu membeli perkhidmatan ini dengan bayaran kepada syarikat korporat swasta. Golongan kanan pro-pasaran ini menganggap bahawa kerajaan tiada lagi tanggungjawab untuk membekalkan perkhidmatan awam kepada rakyat apabila kerajaan membayar rakyat wang UBI untuk jumlah tertentu setiap bulan.  Maka, adalah tidak hairan juga kenapa kapitalis besar seperti Mark Zuckerberg dan Elon Musk menyokong idea UBI. Bagi golongan kapitalis besar, pelaksanaan UBI boleh digunakan sebagai alasan untuk mendesak lebih lanjut lagi pengurangan cukai terhadap golongan mahakaya, pemotongan perbelanjaan kebajikan, “penghapusan birokrasi” (baca: menghapuskan peranan kerajaan dalam membekalkan perkhidmatan awam) dan “pengurangan campurtangan kerajaan dalam pasaran” (baca: kurangkan pengawalseliaan dari segi undang-undang terhadap kapitalis yang sanggup melakukan apa sahaja untuk memaksimumkan keuntungan).

Golongan kiri menganggap UBI sebagai sejenis perlindungan sosial ataupun jaringan keselamatan sosial kepada rakyat berpendapatan rendah. UBI boleh mewujudkan sistem ekonomi pasca-kapitalisme. Jaminan pendapatan melalui UBI, boleh memanfaatkan semua pekerja dengan membebaskan mereka daripada kebimbangan yang disebabkan oleh kezaliman perhambaan berbentuk upah, dan mewujudkan peluang untuk rakyat melakukan pekerjaan yang berbeza serta membangunkan potensi kreativiti yang belum lagi diterokai.

Erik Olin Wright, seorang ahli sosiologi Marxis Analitikal menyifatkan pendapatan asas sebagai usaha untuk memperbaharui kapitalisme dengan memperkasakan tenaga buruh dalam hubungan dengan modal, memberikan tenaga buruh lebih kuasa tawar-menawar dengan majikan dalam pasaran buruh, membolehkan penyahkomodifikasi buruh dengan memutuskan hubungan kerja daripada pendapatan. Ini akan membolehkan pengembangan skop “ekonomi sosial”, dengan memberikan rakyat lebih banyak cara untuk menjalani aktiviti yang tidak membawa hasil pulangan kewangan yang kukuh (seperti kesenian).

Golongan kiri yang mencadangkan UBI sebagai tuntutan yang progresif, menganggap UBI sebagai jaringan keselamatan sosial yang diperkukuhkan, dibiayai menerusi peningkatan cukai terhadap golongan korporat dan maha kaya.

UBI boleh dijadikan satu langkah penyesuaian untuk menghadapi automasi kerja yang semakin berleluasa, di mana sistem sebegini membolehkan setiap orang masih dapat menikmati hasil pengeluaran masyarakat (khususnya barangan keperluan asas) selepas tenaga kerja manusia digantikan sepenuhnya oleh mesin-mesin automatik. Pendapatan asas yang terjamin sebegini juga membolehkan pekerja mengatasi masalah pengasingan (alienasi) dalam kerja dan hidupya, serta meningkatkan masa lapang untuk melakukan aktiviti kegemarannya.

Konsep UBI boleh digunakan sama ada untuk melindungi kepentingan kapitalis ataupun menjamin kehidupan pekerja, bergantung kepada cara penafsiran dan pelaksanaannya.

Menghadapi cabaran automasi dan krisis kapitalis

Walau bagaimanapun, pembayaran tanpa syarat kepada semua rakyat melalui UBI, hanyalah penyelesaian kepada simtom-simtom dan luka luaran untuk sistem kapitalis yang sentiasa dilanda krisis.

Dalam realiti dunia hari ini, idea UBI dilontarkan atas sebab desakan untuk menangani krisis kapitalis yang semakin mendalam. Pada ketika politik aliran utama semakin menjurus ke haluan kanan (bersifat konservatif, populis, rasis, xenofobia dan sebagainya) dan dasar-dasar penjimatan (austerity) yang melibatkan pengurangan secara drastik perbelanjaan sosial, UBI semakin mendapat sambutan. Apabila perlindungan sosial yang universal semakin susah dicapai dan hak pekerja semakin dihakis, UBI semakin “masuk akal”. Sokongan terhadap UBI berkembang pesat di tempat di mana dasar-dasar ekonomi neoliberal mendatangkan kesan yang paling teruk. Dalam erti kata lain, UBI bukannya alternatif yang sebenar kepada neoliberalisme, tetapi hanya sekadar penyerahan kalah secara ideologi terhadap neoliberalisme.

Dengan perkembangan teknologi pesat pada zaman ini, apabila robot dan automasi semakin menggantikan tenaga manusia dalam proses pengeluaran, sepatutnya kehidupan rakyat terbanyak dalam masyarakat akan menjadi lebih baik dan bebas daripada belenggu kemiskinan, namun realiti adalah sebaliknya. Perkembangan pesat teknologi telah menimbulkan kerisauan yang hebat di kalangan pekerja, kerana mereka tidak melihat teknologi yang semakin canggih itu meringankan beban kerja mereka, sebaliknya merampas kerja mereka sehingga memiskinkan lagi mereka. Kenapa begini?

Sekiranya sistem kapitalis yang bermotifkan keuntungan pemodal masih wujud, percanggahan asas yang membawa kepada ketidaksamaan ekonomi dan ketidakadilan sosial pastinya akan kekal di situ. Walaupun adanya sistem perlindungan sosial seperti UBI (sekiranya ada), rakyat terbanyak masih akan hidup dalam keadaan yang tidak menentu masa depan mereka, dan jurang antara yang kaya dengan yang miskin pula semakin melebar. Ketidaksamaan ekonomi dan ketidakadilan sosial merupakan tapak membiak masalah-masalah seperti perkauman, jenayah, keganasan sehinggalah peperangan yang menghancurkan masyarakat manusia.

Motif untuk mengejar keuntungan demi pengumpulan modal yang berterusan telah mendorong kapitalis industri mengeluarkan barangan secara berlebihan dan menggalakkan lagi konsumerisme, mengakibatkan pembaziran sumber alam dan kemusnahan alam sekitar. Kapitalis industri pastinya menyokong UBI, kerana rakyat miskin atau penganggur yang menerima bantuan kewangan melalui UBI akan dapat membelanja wang itu untuk membeli barangan keluaran mereka, memberi alasan yang selesa kepada kapitalis industri untuk terus enggan membayar gaji yang lebih tinggi kepada pekerja.

Amat jelas sekali, di bawah sistem ekonomi kapitalis, penggunaan robot-robot yang semakin meluas telah membantu dalam mewujudkan lebih ramai lagi “tentera simpanan buruh”, iaitu penganggur dalam jumlah yang begitu besar membolehkan golongan kapitalis terus menekankan gaji pekerja pada paras yang rendah. Pekerja-pekerja yang hilang kerja kerana digantikan oleh teknologi baru, tidak dilatih semula dan dikemaskini pengetahuan untuk membolehkan mereka menguasai kemahirkan yang bersesuaian dengan perkembangan tekonologi yang pesat; sebaliknya pekerja-pekerja dilemparkan ke dalam “ekonomi gig” (seperti menjadi pemandu Grab) yang berasaskan kerja-kerja yang tidak terjamin.

Krisis ekonomi yang berlaku di bawah sistem kapitalis, bukan disebabkan kekurangan dari segi kekayaan masyarakat, tetapi disebabkan pengeluaran berlebihan (overproduction) – barangan yang berlebihan tiada lagi pembeli kerana jumlah pengeluaran terlalu banyak sementara pendapatan pekerja yang mengeluarkan barangan tidak lagi mampu untuk membeli barangan keluaran mereka. Kapitalis yang memiliki modal besar yang tidak lagi melabur modal dalam pengeluaran mengalihkan pelaburan mereka dalam aktiviti-aktiviti spekulatif kewangan yang tidak menghasilkan apa-apa yang berguna untuk masyarakat kita.

Selagi punca krisis ekonomi kapitalis tidak ditangani dengan perubahan sistem, berapa banyak pun UBI dibayar kepada pekerja yang menganggur atau berpendapatan rendah, rakyat biasa masih tidak akan dapat membebaskan diri daripada kehidupan yang tidak menentu. Sebaliknya, akan wujudnya sifat kebergantungan rakyat biasa terhadap “kemurahan hati” golongan kapitalis, dan menghancurkan keupayaan rakyat bawahan untuk memperjuangkan hak asasi serta menentukan nasib mereka sendiri melalui tindakan kolektif.

Masalah pada sistem yang penuh kepincangan

Secara teori atau idealnya, UBI akan memecahkan hubungan antara kerja dengan pendapatan. UBI menyediakan jaring keselamatan kepada pekerja yang dijadikan berlebihan (atau tidak diperlukan lagi) selepas penggunaan robot, mengelakkan mereka daripada terperangkap dalam kerja-kerja bergaji rendah atau kemiskinan akibat pengangguran, di samping membolehkan mereka beralih dari perusahaan yang ketinggalan zaman ke sektor baru yang lebih produktif. UBI juga membolehkan golongan kapitalis melabur dalam automasi dan teknologi baru tanpa kebimbangan moral tentang menambahkan jumlah pengangguran kepada masyarakat. Maka, UBI akan memperbaiki dan melicinkan lagi roda berputar ekonomi kapitalis: pelaburan meningkat semula, produktiviti meningkat, ekonomi bertumbuh, sementara pekerja-pekerja beralih dari satu kerja ke kerja lain dengan lancarnya sepanjang hidup mereka. SECARA TEORINYA memang begitu, semacam Utopia baru, tetapi…

Secara realitinya, golongan kapitalis melabur bukannya untuk mewujudkan pekerjaan, memenuhi keperluan ataupun membangunkan kuasa-kuasa pengeluaran, tetapi semata-mata untuk mengaut keuntungan. Logik kapitalisme adalah memaksimumkan keuntungan dengan apa jua cara. Pada hakikatnya, hubungan antara kerja dan pendapatan sudah pun dipecahkan, tetapi bukannya dalam ertikata yang positif. Perkongsian kekayaan oleh tenaga kerja telah menurun di semua negara, sama ada negara kapitalis yang maju ataupun negera-negara yang sedang membangun. Gaji sebenar pekerja tidak meningkat walaupun Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) sudah meningkat. Pekerja-pekerja terpaksa bekerja dengan masa kerja yang lebih panjang, tetapi gaji yang dibawa pulang oleh mereka masih sama.

Bagi golongan kapitalis, UBI selain dapat “memacukan” kuasa beli untuk mengurangkan masalah pengeluaran lebihan yang mendatangkan krisis ekonomi, ia juga boleh digunakan sebagai alasan untuk menghapuskan “halangan” untuk pemaksimuman keuntungan kapitalis seperti gaji minimum, dan menghakis perkhidmatan awam dengan lebih penswastaan dan komodifikasi yang menjana keuntungan lumayan untuk syarikat korporat.

Jika kita ingin melaksanakan sistem UBI yang benar-benar progresif, iaitu membebaskan rakyat daripada belenggu kemiskinan dan menyediakan perlindungan sosial yang menyeluruh, maka kita perlukan perubahan yang radikal terhadap sistem pencukaian, di mana cukai terhadap golongan mahakaya dan korporat perlu ditingkatkan secara mendadak.

Selain pengagihan kekayaan (melalui sistem percukaian progresif dan perlindungan kebajikan sosial seperti UBI), penguasaan secara kolektif dan demokratik oleh pekerja terhadap sumber-sumber pengeluaran juga amat penting dalam mewujudkan keadilan sosial.

Upah, pendapatan dan UBI

Sepanjang sejarah masyarakat kapitalis, perjuangan gerakan pekerja yang berterusan telah memenangi perkhidmatan awam dan pendapatan yang terjamin untuk pekerja. “Pendapatan” pekerja yang terjamin ini dibahagikan kepada dua bahagian: sebahagian sebagai upah langsung yang dibayar oleh majikan sebagai pertukaran untuk tenaga kerja yang ditaburkan oleh pekerja, dan “upah sosial” dalam bentuk faedah kebajikan dan perkhidmatan yang diperuntukkan oleh kerajaan (seperti kesihatan, pendidikan, pencen dan sebagainya).

Di bawah sistem sosialis, nisbah antara kedua-dua bahagian “pendapatan” ini akan berubah dengan bahagian upah sosial semakin membesar, di mana semua rakyat menikmati kesihatan, pendidikan, perumahan, bekalan elektrik, makanan dan sebagainya sama ada secara percuma ataupun bayaran yang sangat sedikit. Semakin sebuah masyarakat mencapai keadaan “daripada sesiapa mengikut keupayaan, kepada sesiapa mengikut keperluan”, konsep wang (atau upah dalam bentuk wang untuk membeli keperluan hidup) akan menjadi semakin tidak relevan apabila semua rakyat dapat menikmati segala perkhidmatan secara percuma.

Dengan UBI diperkenalkan, akan wujudnya bentuk “pendapatan” ketiga selain upah dibayar langsung kepada pekerja dan “upah sosial”. Golongan kapitalis yang menyokong UBI, menganggap bayaran universal tanpa bersyarat ini bukannya untuk memperkuatkan unsur sosialis “upah sosial”, sebaliknya melemahkan peruntukan upah sosial, dengan menggunakan UBI sebagai alasan untuk menswastakan perkhidmatan awam dan menghapuskan perlindungan sosial lain untuk pekerja.

Lebih daripada UBI

UBI masih sesuatu yang amat baru untuk pemahaman ramai orang di Malaysia, namun idea ini pastinya akan timbul pada masa akan datang dengan pelaksanaannya makin berkembang dan corak ekonomi negara kita semakin tercabar dengan perluasan automasi.

Adalah tidak bermakna untuk kita hanya sekadar fokus pada pelaksanaan UBI, sekiranya kita masih menutup mata kita terhadap sistem kapitalis yang penuh dengan percanggahan, ketidakrasionalan, sifat yang tidak masuk akal dan kepincangan yang serius. UBI tidak akan membawa makna kepada rakyat terbanyak selagi ekonomi masyarakat masih dikuasai oleh segelintir elit yang mahakaya, di mana kekayaan masyarakat terus dialirkan ke dalam poket kapitalis parasitik. Kita perlu memperjuangkan pemilikan awam (atau pemilikan bersama) untuk aspek-aspek penting ekonomi dan membina kuasa pekerja untuk penguasaan secara demokratik ke atas ekonomi masyarakat.

Selain daripada menuntut pendapatan asas untuk mereka yang disingkirkan oleh sebab automasi, kita perlu menuntut supaya kerja yang sedia ada dan bakal dicipta itu dikongsikan dengan lebih meluas, dengan jam kerja sehari dikurangkan untuk semua pekerja tanpa mengurangkan gaji. Namun, ini hanya berkemungkinan di bawah sistem ekonomi yang berasaskan keperluan rakyat, bukannya keuntungan korporat.

Untuk jangka masa terdekat, langkah-langkah yang boleh diambil untuk memperbaiki kehidupan rakyat biasa dan mewujudkan ekonomi yang berasaskan keperluan rakyat bukannya keuntungan korporat, adalah mewujudkan dasar-dasar seperti berikut:

  • Kurangkan masa kerja wajib (misalnya, dari 8 jam sehari ke 4 jam sehari, dan hari kerja seminggu dikurangkan kepada 3 atau 4 hari) tanpa kurangkan gaji. (Jikalau boleh, haramkan kerja lebih masa!)
  • Wujudkan gaji minimum mampu sara hidup yang bermaruah (iaitu paras gaji yang dapat menampung perbelanjaan kehidupan yang selesa dengan secukupnya).
  • Rombak semula sistem percukaian dengan mencukai lebih tinggi ke atas golongan mahakaya dan korporat besar, supaya kerajaan dapat membelanja lebih dalam menyediakan perkhidmatan awam kepada rakyat. Bagi menangani kecenderungan pengelakan cukai, perlu wujudkan kerjasama serantau dan antarabangsa yang membendung tempat berlindung cukai.
  • Membelanja lebih banyak dana kerajaan dalam mewujudkan sistem pendidikan percuma sehingga tahap tertiari, kesihatan percuma, pengangkutan awam yang efisien dan perumahan sosial.
  • Mewujudkan dan memantapkan perlindungan sosial seperti pencen hari tua untuk semua (supaya warga emas dapat membelanja untuk memenuhi keperluan hidup harian selepas bersara), bantuan dana pengangguran, perkhidmatan penjagaan kanak-kanak dan sebaginya.
  • Menggalakkan dan menyokong perusahaan pengeluaran yang berbentuk koperasi pekerja atau perusahaan milik sosial (iaitu perusahaan yang bukan berasaskan keuntungan korporat).

Bakat, keupayaan dan potensi rakyat hanya dapat diperkembangkan secara menyeluruh dengan adanya jaminan hidup masyarakat yang selesa, dengan perkhidmatan awam berkualiti dan persekitaran yang bebas daripada kebimbangan tentang kewangan yang tidak mencukupi untuk hidup.

Kita tidak akan adanya kebimbangan tentang kehilangan kerja dan menjadi seorang yang tidak berguna apabila automasi menggantikan tenaga kerja manusia dengan sepenuhnya, sekiranya ekonomi masyarakat kita diorganisasi berasaskan keperluan masyarakat bukannya keuntungan korporat. Susunan masyarakat yang berasaskan penyertaan demokratik daripada rakyat dalam proses membuat keputusan, pengagihan kekayaan secara adil dan persaudaraan sesama manusia, akan membawa jaminan kesejahteraan hidup yang berkekalan untuk semua rakyat. Segala kekayaan masyarakat yang dihasilkan, akan dapat digunakan sepenuhnya untuk kebaikan bersama manusia.

Namun, kita tidak akan dapat mencapai sebuah masyarakat yang lebih adil tanpa perjuangan yang melibatkan organisasi rakyat dari bawah. Perjuangan ini perlu diteruskan…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *