09 - exploitation.jpg

Nilai surplus atau nilai lebihan, adalah barangan surplus dalam bentuk matawang. Di bawah sistem kapitalis, nilai surplus adalah bahagian nilai dalam bentuk matawang yang dihasilkan oleh pekerja tanpa pulangan untuk dinikmati sepenuhnya oleh pemilik alat pengeluaran (iaitu kapitalis).

Kapitalis, iaitu orang yang memiliki modal, membeli tenaga buruh pekerja, dan membayarnya dengan gaji. Dengan itu, kapitalis memiliki segala barangan yang dihasilkan oleh pekerja, serta memiliki segala nilai baru yang dihasilkan dalam pengeluaran barangan tersebut.

Nilai surplus adalah perbezaan nilai antara nilai yang dihasilkan oleh pekerja dengan nilai tenaga buruh pekerja itu.

Dalam masyarakat kapitalis, tenaga buruh itu juga merupakan sejenis komoditi. Seperti komoditi yang lain, nilai tenaga buruh bersamaan dengan kuantiti buruh yang diperlukan untuk menghasilkannya atau penghasilan semulanya mengikut standard masyarakat pada masa itu. Dalam erti kata lain, nilai tenaga buruh adalah kos sara hidup pekerja secara umum.

Konsep gaji minimum untuk hidup ataupun gaji purata pekerja, bukannya konsep yang ditentukan secara mandatori mengikut sifat fizikal manusia, tetapi ianya perlu melibatkan keperluan manusia yang sentiasa berubah mengikut perkembangan kadar pengeluaran buruh. Keperluan ini akan bertambah mengikut kemajuan teknologi, maka keperluan manusia pada zaman yang berbeza adalah amat sukar untuk dibandingkan.

Kos sara hidup untuk tenaga buruh, merupakan nilai tenaga buruh itu, manakala nilai surplus, adalah nilai perbezaan antara kos sara hidup pekerja dengan nilai yang dihasilkan oleh pekerja dengan tenaga buruhnya adalah nilai surplus.

Nilai yang dihasilkan oleh tenaga buruh, boleh diukur secara mudah dengan tempoh masa yang digunakan. Sekiranya seorang pekerja bekerja untuk 10 jam, maka dia menghasilkan nilai sebanyak 10 jam kerja. Jika kos hidup untuk pekerja itu, iaitu nilai gajinya, bersamaan juga dengan 10 jam kerja, ini bermakna pekerja itu langsung tidak menghasilkan nilai surplus.

Jika jumlah hasil buruh adalah sama dengan jumlah barangan yang diperlukan untuk seseorang pengeluar itu terus hidup, maka tidak akan wujudnya produk surplus masyarakat.

Namun, dalam sistem kapitalis, tahap kadar pengeluaran buruh adalah begini: kos sara hidup pekerja selalunya lebih rendah daripada jumlah kuantiti nilai yang dihasilkan olehnya. Maksudnya adalah, jika seorang pekerja bekerja selama 10 jam, hasil pengeluarannya yang cukup untuk menampung hidupnya semestinya tidak akan sampai 10 jam. Gaji harian seseorang pekerja itu adalah sebahagian daripada nilai buruhnya pada hari itu, bahagian yang lain itu adalah nilai surplus, iaitu kerja secara percuma oleh pekerja itu untuk kapitalis, dan kapitalis memiliki segala hasil kerja itu tanpa sebarang pulangan kepada pekerja. Gaji dan nilai produk itu harus adanya perbezaan nilai, kalau tidak, tiada majikan mahu mengupah pekerja, kerana pembelian tenaga buruh sebegini tidak mendatangkan keuntungan.

Oleh itu, apa yang berlaku dalam sesebuah kilang di bawah sistem ekonomi kapitalis adalah begini: misalnya, katakan masa bekerja untuk seorang pekerja dalam satu hari adalah 10 jam, pekerja tersebut hanya perlu bekerja 5 jam untuk menghasilkan kekayaan yang bersamaan nilai dengan gajinya, dan selepas itu, dia perlu bekerja lebih 5 jam lagi, untuk menghasilkan kekayaan tambahan untuk kapitalis yang mengupahnya. Jika bekerja hanya 4 jam untuk menghasilkan nilai yang sama dengan gajinya sehari, maka 6 jam yang selebihnya dia menghasilkan nilai lebihan untuk majikannya.

Kerja berlebihan semata-mata untuk menghasilkan kekayaan bagi diambilalih sepenuhnya oleh kapitalis, inilah yang dimaksudkan sebagai pemerasan ataupun eksploitasi.

Pada zaman pra-kapitalisme (iaitu zaman sebelum wujudnya sistem kapitalis), sudahpun wujudnya masyarakat yang mengeluarkan komoditi dalam skala kecil. Dalam masyarakat sebegitu, wujudnya pengeluaran komoditi, iaitu pengeluaran yang bertujuan untuk menjalankan pertukaran dalam pasaran, bukannya untuk kegunaan terus pengeluar itu sendiri. Namun, pengeluaran komoditi masih belum sampai ke tahap yang berleluasa seperti dalam masyarakat kapitalis. Dalam masyarakat tersebut, wujudnya dua jenis aktiviti ekonomi, iaitu:

  1. Jual untuk beli
  2. Beli untuk jual

Aktiviti jual untuk beli: Petani dan tukang membawa hasil pengeluaran mereka ke pasaran, tujuan mereka adalah untuk menjual hasil pengeluaran itu. Apabila barangan itu dijual, mereka mendapat matawang (sebagai medium pertukaran), kemudiannya mereka dapat menggunakan matawang itu untuk membeli barangan yang lain. Mereka menjual barangan yang tiada nilai guna untuk mereka, supaya dapat memperoleh wang yang kemudiannya dapat digunakan untuk membeli barangan yang ada nilai guna bagi mereka. Misalnya, petani menjual hasil tanamannya untuk mendapatkan wang, kemudian membeli kasut daripada pembuat kasut dengan wang itu.

Dalam proses aktiviti “jual untuk beli” ini, dapat diungkapkan dalam formula berikut:

IMG_20160102_163014 - Copy.jpg

C-M-C

C = Komoditi; M = Matawang

Dalam aktiviti jual untuk beli ini, komoditi (C) yang berada di kedua-dua hujung itu mempunyai nilai yang sama dari segi tafsirannya.

C-M-C menggambarkan peredaran komoditi.

Namun, selain petani kecil dan tukang yang menjual hasil pengeluaran mereka dalam pasaran masyarakat pengeluaran komoditi secara kecil-kecilan, adanya satu lagi golongan orang yang masuk ke pasaran tetapi menjalankan aktiviti ekonomi yang berlainan. Mereka datang ke pasaran bukannya untuk “jual untuk beli”, tetapi “beli untuk jual”. Mereka adalah pedagang atau saudagar, mereka pergi ke pasaran tanpa membawa apa-apa komoditi tetapi hanya membawa matawang. Matawang itu tidak boleh dijual, tetapi matawang boleh membeli barangan. Tujuan mereka pergi ke pasaran adalah “beli untuk jual”. Misalnya, pedagang itu membeli hasil tanaman daripada petani dengan wang yang dibawanya, kemudian dia membawa hasil tanamannya yang dibelinya itu untuk dijual ke pasaran di tempat yang lain.

Aktiviti “beli untuk jual” ini boleh diungkapkan dalam formula berikut:

IMG_20160102_163014.jpg

M-C-M’

M = Matawang; C = Komoditi; M’ = Matawang (selepas komoditi itu dijual)

Jika nilai M yang mula-mula dibawa oleh saudagar itu ke pasaran itu, bersamaan dengan nilai M’ di mana barangan yang dibelinya itu dijual semula, maka akviti “beli untuk jual” ini akan menjadi tidak bermakna. Siapa yang begitu bodohnya menggunakan wang untuk membeli sesuatu komoditi di mana tujuannya adalah menjual semula komoditi itu dengan harga yang sama?

Untuk memastikan aktiviti “beli untuk jual” itu mempunyai “makna”, pedagang itu perlu memastikan penjualan semula komoditi yang di belinya itu mendatangkan nilai yang berlebihan, iaitu nilai surplus. Oleh itu, M’ perlu lebih besar nilainya daripada M: 

M’ > M

M’ = M + m

di mana

m = nilai surplus, iaitu nilai tambahan ke atas M.

M-C-M’ menggambarkan peredaran modal.

Modal (capital) adalah nilai yang ditambahnilainya dengan nilai surplus. Penambahan nilai ini boleh sama ada berlaku semasa proses peredaran (pertukaran) komoditi (seperti yang ditunjukkan di atas), ataupun berlaku dalam proses pengeluaran (seperti yang berlaku dalam sistem kapitalis). Oleh itu, apa-apa nilai yang bertambah melalui nilai surplus itu adalah modal.

Modal bukan sahaja wujud dalam masyarakat kapitalis, tetapi juga sudah wujud dalam masyarakat pra-kapitalis di mana adanya pengeluaran komoditi secara kecil-kecilan. Oleh yang demikian, sejarah modal itu dan sejarah perkembangan masyarakat kapitalis itu adalah dua perkara yang berbeza. Modal wujud jauh lebih lama berbanding mod pengeluaran kapitalis.

Modal dalam masyarakat pra-kapitalis biasanya wujud dalam bentuk modal riba (modal yang dimiliki oleh peminjam wang yang mengenakan faedah sangat tinggi, iaitu seperti Ah Long), modal pedagang ataupun modal perniagaan. Apabila berlakunya peralihan daripada masyarakat pra-kapitalis ke masyarakat kapitalis, satu ciri yang jelas adalah modal itu telah menembusi dan menerap ke dalam bidang pengeluaran komoditi.

Mod pengeluaran kapitalis merupakan satu bentuk organisasi masyarakat di mana modal tidak lagi terhad pada peranan orang tengah (yang wujud di bawah corak pengeluaran bukan kapitalis), malah modal itu telah mengambilalih segala alat pengeluaran, dan terlibat secara langsung dalam pengeluaran komoditi.

IMG_20160202_163122.jpg

2 thoughts on “Nilai Surplus dan Modal

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *