sebuah cerpen oleh Iskandar Zulfaqar

Rakyat bersorak gembira sambil melaungkan kalimat-kalimat kebangkitan sebaik mendengar pengumuman pemimpin itu yang menyatakan bahawa suatu sistem cukai yang mirip hantu kerana menekan hidup rakyat telah dimansuhkan secara rasminya.

Suasana di seluruh ibu kota bertukar wajah sepenuhnya. Malam yang kebiasaannya berhiaskan zulmat gelita bertukar ceria dengan muntahan cahaya daripada lampu-lampu yang beraneka warna. Di bawah kilauan cahaya itu duduklah kumpulan rakyat jelata meraikan pengumuman pemimpin tersebut.

Tidak kira siang mahupun malam, sambutan yang diberikan terhadap pengumuman pemimpin itu sangatlah menakjubkan. Mana tidaknya, sistem cukai gila yang dilaksanakan oleh pemimpin sebelum ini yang kleptokrat itu sangat membebankan rakyat. Pelbagai siri bantahan telah dijalankan sebagai protes kepada pelaksanaan cukai itu tetapi tidak langsung diendahkan oleh pemimpin kleptokrat itu.

Pemimpin kleptokrat tersebut malah mengambil jalan mudah dengan cara menipu rakyat. Dia telah mengeluarkan kenyataan bahawa bukan semua harga barang naik dengan pelaksanaan cukai gila itu.

Lebih parah lagi, kenyataan pemimpin kleptokrat ini telah mendapat sokongan penuh oleh badut belaannya yang tidak henti-henti mengampunya. Setiap kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin kleptokrat akan disokong penuh oleh badut ini walaupun kenyataan itu jelas akan memberi kesan buruk kepada rakyat.

“Harga turun dengan cukai ini. Saya ulang sekali lagi, harga turun dengan cukai ini.” Begitulah kata-kata si badut yang telah mendatangkan kemarahan majoriti rakyat.

Pelaksanaan cukai itu telah menyebabkan rakyat bangun lalu menghumbankan parti pimpinan sang kleptokrat itu pada pilihanraya yang lalu. Kini, tertubuhlah kerajaan baharu hasil daripada gabungan beberapa buah parti.

Dalam tempoh beberapa hari sahaja, kerajaan baharu tersebut telah membuat satu kejutan yang menarik, iaitu dengan memansuhkan cukai yang digelar sebagai hantu tersebut.

Rakyat pun sungguh gembira mendengarnya. Pelbagai kata-kata pujian yang manis-manis belaka dilemparkan kepada pemimpin baharu tersebut. Pemimpin tersebut pun tersenyum puas kerana berjaya mendapat kepercayaan serta sokongan rakyat jelata.

Namun, tanpa disedari tindakan pemimpin baharu itu tidak berapa disenangi oleh beberapa orang penolong-penolongnya yang turut menjawat jawatan menteri. Salah seorang menteri yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal wang tunai sangatlah bimbang dengan tindakan pemimpin baharu memansuhkan cukai hantu itu.

“Tuan tak fikir ke sebelum bertindak? Mana kita nak cari duit untuk tampung semua perkara jika tuan mansuhkan cukai hantu?” soal menteri tersebut dengan gelisah.

“Jangan risau! Saya ada cadangan yang lebih menarik. Sekarang ini fokus kita adalah untuk mendapatkan kepercayaan serta sokongan rakyat. Jangan bimbang tentang duit. Setelah rakyat menyokong penuh kita nanti, kita akan kenakan mereka dengan cukai baru. Pada waktu itu, mereka tidak akan bersuara lagi kerana mereka sudahpun mempercayai kita sepenuhnya,” jelas pemimpin baharu itu.

“Wah, hebat sungguh pemikiran tuan!” puji si menteri tersebut.

Semakin hari, kerajaan baharu mendapat sokongan yang sangat kuat daripada rakyat. Hal ini sehinggakan tiada sesiapa pun yang sudi untuk bersama dengan parti yang memerintah kerajaan lama. Hampir kesemua penyokong parti lama berhijrah meninggalkan parti itu dan menyertai parti kerajaan hari ini.

Pemimpin baharu pun berasa sangat bangga dengan trend penghijrahan tersebut. Apa yang dia mahukan hanyalah menumbangkan parti kerajaan lama tersebut dan juga pemimpin lama yang sememangnya tidak beradap itu.

Kini, usahanya itu telah pun berjaya. Pemimpin baharu menjenguk ke arah akaun simpanan wang tunai milik negara. Rasa gelisah mulai menerkam ke arahnya.

“Hmm, nilainya dah semakin kurang!” kata pemimpin baru sambil memegang dagunya.

Suatu rancangan baharu perlu dilakukan bagi meningkatkan semula kadar kewangan dalam akaun simpanan tersebut. Cara yang dicadangkannya kepada menteri tempoh hari dilihat merupakan suatu cadangan yang sangat baik dan bernas.

Kadar cukai tersebut ditingkatkan dan lebih tinggi daripada kadar cukai hantu sebelum ini. Oleh kerana ramai yang membenci cukai hantu, pemimpin baharu bertindak bijak dengan cara menukar nama cukai tersebut. Jadi, rakyat akan terkeliru seterusnya tidak akan rasa terbeban dengan sistem cukai baharu ini.

Pemimpin baharu telah mengadakan pertemuan besar-besaran dengan menteri-menteri yang lain. Isu utama yang akan dibincangkan adalah pelaksanaan cukai baharu ini.

Dia telah mendapat pelbagai reaksi daripada menteri-menterinya. Ada menteri yang menyokong beliau seratus peratus malah terdapat juga beberapa menteri yang tidak menunjukkan sokongan terhadap cadangannya itu.

Dia seterusnya mengadakan pertemuan secara peribadi dengan menteri-menteri yang tidak bersetuju ini dan membuat perbincangan tertutup. Dia memujuk mereka dengan sepenuh hati supaya bersetuju dengan cadangannya itu.

“Anda semua jangan risau. Sokongan rakyat kepada kita tidak akan terjejas sedikit pun. Hal ini kerana rakyat seudah terlalu mempercayai kita. Pembangkang juga sudah lemah. Ramai pemimpin-pemimpin serta ahli-ahli mereka telah pun menyertai kita,” jelas pemimpin baharu itu.

Mendengarkan penerangan itu, menteri-menteri yang tadinya tidak bersetuju dengan pelaksanaan cukai baharu itu terus berubah fikiran. Mereka terus menyatakan persetujuan terhadap pemimpin baharu.

Padahal merekalah yang menentang hebat pelaksanaan cukai hantu suatu ketika dulu. Mereka pernah melaungkan bahawa cukai adalah sesuatu yang membebankan rakyat. Namun, oleh kerana telah berada di tampuk kuasa, semua itu sudah tidak diendahkan lagi.

Keesokan harinya, pemimpin baharu mengadakan sidang secara langsung bagi mengumumkan sesuatu. Rakyat di segenap wilayah bersedia di hadapan kaca TV untuk mendengar pemimpin baharu kesayangan mereka berucap.

“Terima kasih semua rakyat atas sokongan kepada kami. Dukacitanya dimaklumkan bahawa kadar kewangan dalam akaun sudah berkurangan. Jadi, kerajaan terpaksa mengambil keputusan untuk memperkenalkan cukai baharu yang diberi nama Cukai Jembalang. Jangan bimbang! Cukai ini tidak membebankan anda seperti cukai sebelum ini,” umum pemimpin baharu.

Kesemua rakyat yang mendengar pengumuman itu ternganga mulut dan hanya mampu terdiam tanpa berkata apa-apa. Dalam erti kata yang lebih mudah, semuanya terkejut. Terkejut dengan apa yang baru sahaja diumumkan oleh pemimpin baharu sebentar tadi.

Mereka telah membanting penat lelah menumbangkan kerajaan lama demi menghapuskan sistem cukai yang dikenakan kepada mereka secara zalim tetapi tiba-tiba cukai yang turut sama zalim diperkenalkan. Bak kata pepatah rekaan, “Hantu Sudah Hilang, Jembalang Pula Tiba.”

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *