nik2

oleh Nik Aziz Afiq

Beberapa hari ini saya seperti dapat kejutan baru. Kejutan yang agak menyegarkan semangat dan kepercayaan saya kepada gerakan mahasiswa yang asalnya sudah mulai luntur beberapa tahun kebelakangan.

Pandangan saya tak tepat, sekadar untuk peribadi saya melihat gerakan mahasiswa melalui beberapa era. Era sebelum AUKU,  era pasca AUKU, era Najib dan kini era kerajaan baru.

Saya mulai belajar dan masih belajar dengan para penggerak mahasiswa ini bermula era Najib yang hujung. Era yang mana agak meriah. Saya nampak peralihan dari kumpulan Islamis/partisan kepada kumpulan yang radikal/non-partisan.

Namun era ini juga beberapa kali terganggu, pasca pecahnya Pakatan Rakyat maka impak jugalah kepada gerakan mahasiswa yang selama ini kader-kader parti politik. Namun ia membuka ruang pada gerakan mahasiswa yang meluat dengan politikus untuk menapak maju.

Sekali lagi “terganggu” apabila muncul orang-orang oportunis, yes man yang mahu jadikan platform ini sebagai batu loncatan untuk mendapat tempat dalam dunia politik. Mereka kononnya non-partisan tapi “takwim perjuangan” diatur pihak tertentu. Ketika inilah saya menjadi muak.

Namun apa yang berlaku baru-baru ini mencuit perhatian. Sepanjang saya dekati dan belajar dari mereka, saya lihat kumpulan era baru ini lain dari yang biasa saya temui.

Mereka bukan “mahasiswa pembangkang” yang jadi alat sesiapa untuk hentam kerajaan. Mereka pegang pada prinsip dan berani berdepan siapapun yang menentang prinsip itu walaupun orang itu adalah menteri yang mereka sendiri lobi untuk jadi menteri pendidikan.

Mereka bukan tolak semua dan ambil semua, mana yang tak elok mereka balun sepuasnya, mana yang elok mereka sokong. Mereka hulur tangan mahu membantu berkali-kali demi kebaikan namun mereka juga sedia sinsing lengan baju bila melihat keburukan.

Ini dahsyat!

Cuma saya tidaklah terlalu mahu mengangkat dan melambung mereka. Banyak indikator lain yang sedang saya perhati. Antara perkara utama yang bermain di fikiran saya adalah apakah mahasiswa era baru ini mampu memobilasi rakan-rakan lain untuk celik dan sedar isu serta bebas dari penjara individualistik.

Memakai title gerakan mahasiswa bukan perkara mudah, mereka perlu tunjukkan mereka benar-benar mewakili mahasiwa. Di setiap langkah mereka patutnya ada ribuan yang menapak sekali. Bukan sorang dua muka sama. Budaya berpuluh nama fron mahasiswa pelbagai yang dilihat “gah” walau tak mampu mobilasi 10 orang pun perlu dinyahkan dalam gerakan era baru ini.

Satu lagi yang saya kira indikator penting ialah lebar jurang mahasiswa dan masyarakat. Saya kira sejak hujung era Najib sudah makin banyak gerakan mahasiswa berkhidmat kepada marhaen, moga era baru ini mampu menampilkan kepimpinan yang menjadi jurucakap rakyat.

“Kejayaan” kalau setakat cetek pandangan saya ialah apabila sesuatu gerakan mahasiswa berjaya realisasikan idea ‘mahasiswa bersama masyarakat dan masyarakat bersama mahasiswa’.

Namun harus juga diingat, cabaran pasca baru ini lebih sukar. Kita pernah lalui kerajaan yang mendiamkan suara mahasiswa, kerajaan yang tak pernah endah, kerajaan yang mengugut dan gunakan kekerasan.

Tetapi kerajaan yang kita hadapi kini lebih berbahaya. Mereka berpura-pura mendengar, angguk, senyum, tak mahu tangkap, belanja minum dan seolah-olah prihatin. Hakikatnya mereka tak peduli apa pun. Cakaplah apa, jeritlah apa, mereka akan berlembut sehabis mungkin demi meranapkan gerakan ini.

Imej yang mereka cuba mainkan adalah mereka dah beri yang terbaik. Simpati masyarakat akan dihalakan kepada mereka. Paling teruk apabila masyarakat mula menjadikan mahasiswa sebagai musuh kerana belas kasihan pada “kerajaan baik” yang sudi belanja air kat warung dengan senyuman walau hakikatnya dah berbulan-bulan tak dapat buat appointment untuk jumpa pun sebelum ini.

Ini spesies ular baru yang wajib para penggerak mahasiswa mencari anti-venomnya sebelum patukan mereka semakin mengganas.

Terima kasih kawan-kawan kerana mengajar saya banyak perkara. Saya dan teman-teman akan terus membantu apa yang termampu selagi kalian terus berjuang.

NIk01

==========

 Nik Aziz Afiq ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Pemuda PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *