Materialisme Dialektik ataupun Dialektik Materialis, merupakan asas penting kepada falsafah Marxisme.

Materialisme Dialektik mendapat ilham daripada kedua-dua tradisi falsafah dialektik dan materialisme.

Materialisme Dialektik juga merupakan metodologi yang digunakan oleh Karl Marx dalam menganalisis politik-ekonomi dan perkembangan sejarah masyarakat.

Dialektik berasal daripada dialog, iaitu komunikasi dua hala. Dialektik adalah satu cara penghujahan untuk menangani perbezaan pendapat dalam sesuatu debat, dengan mendirikan pemahaman tentang kebenaran melalui dialog yang bernas.

Dialektik wujud sejak zaman purba lagi, sama ada di Eropah ataupun Asia. Beberapa contoh:

  • Herakleitos (~535-574 SM), seorang ahli falsafah Greece zaman kuno, dianggap sebagai tokoh pemikir Greece awal yang memperkembangkan dialektik, dengan mengajukan idea-idea seperti “semua benda mengalir, tiada apa-apa dalam alam semesta yang bersifat tetap”, “segala benda terus berubah di alam semesta dapat berjalan secara teratur kerana adanya logos” (Logos di sini bermakna kuasa semesta yang menjadi hukum untuk menguasai segala-galanya dan menggerakkan sesuatu). Ungkapan Herakleitos yang terkemuka adalah “Tiada seorang pernah melangkah dalam sungai yang sama untuk dua kali.”
  • Socrates (470 – 399 SM), Plato (427-347 SM) dan Aristotle (384-332 SM) merupakan ahli falsafah Greece Klasikal yang menyumbang kepada dialektik. Dalam falsafah klasik Greece, dialektik adalah satu bentuk penaakulan yang berdasarkan dialog antara hujah dengan hujah balasan; usul (tesis) dan usul bertentangan (antitesis). Hasil daripada proses dialektik boleh jadi penyangkalan terhadap usul yang berkaitan, ataupun terbentuknya sintesis, ataupun gabungan hujah-hujah yang bertentangan, ataupun peningkatan kualitatif dialog tersebut.
  • Di negeri China purba, juga terdapatnya banyak aliran pemikiran yang menggunakan dialektik, misalnya falsafah Taoisme yang diasaskan oleh Laozi (lebih kurang abad ke-6 SM) dan ilmu Yin-Yang dalam buku tulisan purba seperti “I Ching”.
  • Falsafah Hindu juga membawa idea-idea tentang ketegangan dua kuasa bertentangan akan menghasilkan sintesis. Tradisi kuno polemik dialektik telah diselit dalam agama-agama di India, seperti Hindu dan Buddha.

Dialektik sebagai satu logik yang dinamik, adalah berbeza dengan “logik tradisonal”. Logik adalah berasaskan 3 hukum tradisional:

  • Hukum Persamaan (Law of Identity), yang menyatakan bahawa “setiap perkara adalah sama dengan dirinya sendiri dan berbeza daripada yang lain”. (A adalah A.)
  • Hukum Tiada Percanggahan (Law of Non-contradiction) yang menyatakan bahawa “tiada apa perkara boleh jadi ‘ya’ dan ‘bukan’ pada masa yang sama”. (A bukan -A)
  • Hukum Pengecualian Pertengahan (Law of Excluded Middle) yang menyatakan bahawa “semua perkara perlu sama ada ‘ya’ atau ‘bukan’, tiada apa-apa di pertengahan”. (A atau –A, sesuatu tidak boleh jadi A dan -A)

Logik juga perlu mengikut Prinsip Sebab yang Mencukupi (Law of Sufficient Reason), iaitu kewujudan setiap perkara perlunya sebab yang kukuh.

Logik tradisional merupakan kaedah penaakulan yang berasaskan anggapan bahawa semua perkara itu adalah statik atau tidak bergerak. Oleh itu, kita perlukan logik yang dinamik untuk menaakul perkara yang sentiasa bergerak dan berubah. Dialektik adalah kaedah penaakulan sebegitu.

Friedrich Hegel (1770-1831), seorang ahli falsafah Idealis Jerman yang unggul telah memperkembangkan pemikiran dialektik. Dialektik Hegel berdasarkan prinsip-prinsip berikut:

  • Segala perkara adalah sementara dan terbatas, wujud dalam medium masa.
  • Segala perkara terdiri daripada kontradiksi-kontradiksi (kuasa-kuasa yang bertentangan).
  • Perubahan secara beransur-ansur membawa kepada krisis, berlakunya titik perubahan apabila satu kuasa mengatasi kuasa bertentangannya (perubahan kuantitatif membawa kepada perubahan kualitatif).
  • Perubahan adalah secara heliks (lingkaran), bukannya secara bulatan atau mengeliling (penafian terhadap penafian).

Walaupun idea-idea dialektik Marx diilhamkan oleh dialektik Hegel, tetapi Marx memperkembangkan dialektik dalam haluan yang berbeza daripada Hegel. Marx menyatukan dialektik dengan pemikiran materialisme.

Materialisme, adalah falsafah yang mengatakan segala perkara yang wujud adalah berasaskan material (bahan fizikal) dan semua fenomena adalah hasil interaksi material.

Ilham pemikiran materialis Marx dan Engels mendapat pengaruh daripada Ludwig Feuerbach (1804-1872), seorang ahli falsafah materialis Jerman yang terkenal dengan penulisannya yang mengkritik agama Kristian.

Walaupun materialis berpegang pada pandangan bahawa “realiti kebendaan (material) itu yang wujud terlebih dahulu, dan segala konsep atau kesedaran manusia timbul daripada itu”, Marx tidak menganggap hubungan material dan kesedaran itu adalah sehala, tetapi adalah satu proses dialektikal.

Engels telah menggariskan tiga hukum yang menjadi asas kepada dialetik materialis:

  1. Perpaduan dan konflik antara dua yang bertentangan (unity and conflict of opposites)
  2. Peredaran perubahan kuantitatif kepada perubahan kualitatif (passage of quantitative changes into qualitative changes)
  • Penafian terhadap penafian / negasi terhadap negasi (negation of the negation)

Hukum perpaduan dan konflik antara dua yang bertentangan

  • Pergerakan adalah kontradiksi!
  • Segala perkara yang wujud terdiri daripada sepasang percanggahan yang saling bertentangan tetapi juga saling bergabung. (Bayangkanlah satu duit syiling yang ada dua permukaan yang berbeza, kedua-dua permukaannya saling bertentangan tetapi terikat pada satu syiling itu)
  • Kedua-dua pihak yang bercanggah itu bertentangan dan bergabung, menggerakkan perkembangan sesuatu perkara. Hukum perpaduan dan konflik antara dua yang bertentangan menunjukkan kepada kita sumber dan kuasa untuk perkembangan sesuatu perkara.

Hukum peredaran perubahan kuantitatif kepada perubahan kualitatif

  • Setiap perkara mempunyai dua sifat: sifat kuantitatif dan sifat kualitatif.
  • Kuantitatif adalah bentuk nyata atau kuantiti yang menyukat sesuatu perkara dalam sesuatu keadaan; manakala kualitatif adalah sifat sebenar atau intipati perkara itu.
  • Perubahan kuantitatif adalah perubahan sesuatu perkara yang berterusan, beransur-ansur dan tidak ketara, iaitu perubahan dari segi kuantitinya; manakala perubahan kualitatif adalah perubahan asas sesuatu perkara, iaitu satu perubahan lonjatan, dan kebiasaannya berlaku dalam bentuk mutasi (perubahan secara tiba-tiba).

Hukum penafian terhadap penafian

Model dialektik Hegel yang dipersembahkan dalam tiga peringkat:

  1. Tesis
  2. Antitesis (membantah tesis)
  3. Sintesis (dihasilkan sebagai penyelesaian untuk ketegangan antara tesis dan antitesis)
  • Perkembangan sesuatu perkara adalah satu proses diikuti dengan satu lagi proses. Penggantian proses ini dilakukan melalui penafian (negasi).
  • Dalam rantaian perkembangan sesuatu perkara, selepas penafian dua kali, iaitu dalam tiga peringkat – positif (tesis), negatif (antitesis), penafian terhadap penafian (sintesis), dipersembahkan sebagai satu kitaran.
  • Hukum penafian terhadap penafian menunjukkan kepada kita trend, halatuju dan jalan untuk perkembangan sesuatu perkara.
  • Ini seolah-olah perkara yang lama berulang pada asas yang lebih tinggi… isi kandungan yang ke depan, bentuk yang berulang.

Materialisme Dialektik sebenarnya cuba menjawab satu persoalan falsafah yang penting, iaitu “keadaan kewujudan dunia kita”. Apa yang didapati daripada penaakulan dengan menggunakan dialektik materialis, kita boleh mendapati ciri asas kewujudan dunia ini adalah:

1. Dunia adalah berhubungkait secara umum

  • Dunia merupakan satu entiti keseluruhan yang organik, segala perkara dalam dunia berada di bawah keadaan saling mempengaruhi, saling berinteraksi, saling bertindakbalas dan saling menyekat sesama sendiri.
  • Kita tidak boleh melihat sesuatu persoalan secara sebahagian atau terpencil.
  • Hubungkaitan antara perkara mempunyai sifat-sifat objektif, kesejagatan dan kepelbagaian.
  • Kontradiksi (yang bertentangan dan bergabung) adalah asas kepada hubungkait umum antara semua perkara. Ini boleh disimpulkan sebagai “pergerakan adalah kontradiksi”.

2. Dunia berkembang secara berkekalan

  • Dunia ini adalah satu proses. Proses terdiri daripada keadaan, keadaan adalah keadaan dalam proses.
  • Dunia ini tiada perkara yang kekal selama-lamanya; ada kelahiran pastinya ada kemusnahan, tiada kemusnahan pastinya tiada kelahiran; apabila perkara yang lama musnah, bererti lahirnya perkara yang baru.
  • Pembangunan atau perkembangan, bermakna sesuatu perkara berubah daripada yang mudah kepada yang kompleks, daripada yang bertahap rendah kepada yang bertahap tinggi. Asasnya adalah pengwujudan perkara baru dan kemusnahan perkara lama.
  • Perkembangan sesuatu perkara biasanya adalah satu proses perubahan secara bergelombang dan berkitaran secara meningkat dalam bentuk “ketidakseimbangan à keseimbangan à ketidakseimbangan baru à keseimbangan baru”.

Pasangan paradigma asas (yang bertentangan dan bergabung sesama diri) yang utama dalam dialektik materialis:

  • fenomena dan intipati

(Fenomena adalah luaran sesuatu perkara, boleh nampak dan sentiasa berubah; intipati adalah dalaman sesuatu perkara, tersembunyi dan stabil. Fenomena ditentukan oleh intipati dan sedikit sebanyak mencerminkan intipati itu; intipati tidak dapat wujud secara sendiri tanpa sesuatu atau pelbagai fenomena)

  • isi kandungan dan bentuk persembahan

(Bentuk tanpa kandungan adalah bentuk yang kosong, manakala kandungan tanpa bentuk hanyalah sekumpulan unsur yang tiada makna. Kandungan menentukan bentuk, bentuk mempersembahkan kandungan. Satu bentuk yang sama boleh digunakan untuk mengisi kandungan yang berbeza, manakala satu kandungan boleh dipersembahkan dalam bentuk yang berlainan.)

  • punca dan akibat

(Tiada punca yang tiada akibatnya, begitu juga dengan tiada akibat yang tiada puncanya. Punca akan menentukan sesuatu akibat, sesuatu akibat boleh menjadi punca yang baru.)

  • kemungkinan dan kenyataan

(Kemungkinan adalah kenyataan yang belum berlaku, manakala kenyataan adalah kemungkinan yang sudah berlaku. Sesuatu kemungkinan adalah berasaskan kenyataan, manakala sesuatu kenyataan adalah berkembang daripada kemungkinan.)

  • peluang dan kepastian

(Kepastian menentukan halatuju berlakunya sesuatu perkara, manakala peluang membolehkan proses berlakunya perkara itu berpelbagaian ataupun tidak dapat dijangka. Sesuatu kepastian tidak boleh dipisahkan daripada peluangnya untuk berlaku, manakala sesuatu peluang bergantung pada kepastiannya untuk berlaku.)

  • cara dan matlamat

(Matlamat adalah halatuju untuk sesuatu, manakala cara membolehkan matlamat itu tercapai. Untuk mencapai sesuatu matlamat itu menentu cara yang kita guna, manakala cara yang kita guna boleh menentukan sama ada dapat mencapai matlamat itu atau tidak.)

  • keseluruhan dan bahagian

(Sesuatu keseluruhan itu dibentuk oleh bahagian-bahagian, manakala sesuatu bahagian semestinya kepunyaan sesuatu keseluruhan. Keseluruhan itu merangkumi semua bahagian dalam bentuk makro, manakala sesuatu bahagian mencerminkan keseluruhan itu secara mikro.)

  • sifat umum dan sifat khusus

(Sifat khusus sesuatu perkara merangkumi sifat umumnya, manakala sifat umum pula merangkumi sebahagian daripada sifat khusus perkara itu. Pengetahuan tentang sifat khusus sesuatu perkara boleh mengembang jadi pengetahuan tentang sifat umum, dan pengetahuan tentang sifat umum membolehkan kita memahami sifat khusus sesuatu perkara.)

  • relatif dan mutlak

(Relatif bermakna sesuatu adanya perbandingan, ada syarat dan ada batasan; manakala mutlak bermakna tiada perbandingan, tanpa syarat dan tiada batasan. Setiap perkara adanya aspek relatif dan mutlak.)

Setiap persoalan yang nyata perlu dianalisa secara konkrit. Kita perlu menganalisis dan menyelesaikan persoalan dengan asas dialektik yang mengutamakan kesejagatan kontradiksi; mengupas sesuatu perkara dengan berasaskan hubungan dialektik seperti persamaan dan keunikan, kesejatan dan kekhususan kontradiksi dalam sesuatu perkara.

Dengan memahami dialektik, kita boleh terangkan bagaimana seseorang boleh “melahirkan” fikiran atau ideologi, iaitu hasil daripada pengaruh dunia di sekelilingnya, bukannya timbul tanpa sebab dalam mindanya.

Dialektik merupakan satu cara (analisis dan pemikiran), satu alat untuk kita mengenali dunia dan realiti.

Setiap teori perlu dihubungkaitkan dengan realiti, dan membuktikan kesahihannya melalui praktis. Kita tidak boleh membincangkan sesuatu kontradiksi secara abstrak, mekanikal atau secara sempit dan kaku, kerana ini akan membawa kita kepada kekangan “dogmatik”, iaitu terikut-ikut pada dogma tertentu.

Materialisme Dialektik dapat melengkapkan ilmu pengetahuan kita dengan cara untuk analisis secara menyeluruh dan mendalam, demi memahami dunia kita dan corak perubahan masyarakat yang dinamik. Ini turut akan membantu dalam membentuk perspektif politik kita yang lebih dekat dengan realiti dan mewujudkan satu halatuju untuk perjuangan kita.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *