Jika gaji minimum dinaikkan terlalu tinggi, kos untuk membuat bisnes akan naik, harga barang akan naik, inflasi akan naik, kilang akan tutup, pekerja akan hilang kerja dan pengangguran akan meningkat… Ini adalah antara alasan yang sentiasa kita dengar apabila kita menuntut kenaikan gaji minimum. Namun, alasan-alasan yang diberikan oleh golongan yang pro-majikan ini boleh dicabar dan terbukti bahawa hanya dalih untuk majikan kekalkan gaji pekerja pada paras yang rendah.

Gaji minimum di Malaysia sudah lama tertangguh

Dasar gaji minimum hanya mula dilaksanakan di Malaysia pada 1 Januari 2013, selepas hampir dua dekad perjuangan menuntut gaji minimum yang dilakukan oleh pelbagai kumpulan pekerja seperti Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT), Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan organisasi-organisasi lain.

Kerajaan pada awalnya enggan melaksanakan dasar gaji minimum dengan alasan ia akan memusnahkan daya saing Malaysia sebagai negara industri. Sepanjang zaman Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri untuk kali pertama (1981-2003), Kerajaan Malaysia mengamalkan dasar buruh murah untuk menarik pelaburan asing. Pengambilan masuk pekerja migran yang lebih mudah ditekan dan ditindas dari negara jiran, menekankan lagi gaji pekerja di Malaysia ke tahap yang amat rendah. Gaji yang terlalu rendah telah menimbulkan pelbagai masalah kepada pekerja dan akhirnya Kerajaan terpaksa menerima hakikat bahawa negara kita perlukan dasar gaji minimum. Namun, pelaksanaan gaji minimum sudah pun tertangguh lama dan kadarnya amat rendah apabila mula dilaksanakan.

Selepas pelaksanaan gaji  minimum, kadar gaji minimum pada mula-mulanya ditetapkan pada paras RM 900 sebulan bagi Semenanjung Malaysia, dan RM 800 sebulan bagi Sabah dan Sarawak. Gaji minimum kemudian dinaikkan kepada RM 1,000 sebulan bagi Semenanjung Malaysia dan RM 920 sebulan bagi Sabah dan Sarawak, mulai 1 Julai 2016. Pengumuman terbaru daripada Kerajaan adalah gaji minimum untuk seluruh Malaysia akan diselaraskan pada kadar yang sama dan dinaikkan kepada RM 1,050 sebulan mulai 1 Januari 2019. Ini bermakna gaji minimum hanya naik sebanyak RM 50 untuk Semenanjung Malaysia selepas 2 tahun setengah.

Kadar gaji minimum masih tidak cukup untuk sara hidup

Gaji minimum ialah upah yang paling rendah boleh dibayar oleh seseorang majikan kepada pekerjanya di sisi undang-undang. Gaji minimum merupakan jaminan pendapatan yang minimum untuk seorang pekerja. Namun, apabila kadar gaji minimum ditetapkan di bawah paras pendapatan yang mampu sara hidup, golongan pekerja masih terperangkap dalam kemiskinan.

Gaji minimum di Malaysia masih berada di tahap yang amat rendah dan tidak mampu untuk menanggung kos hidup pekerja. Ramai pekerja yang diupah dengan gaji minimum terpaksa bekerja lebih masa (OT) atau bekerja sampingan untuk memperoleh pendapatan yang mampu sara hidup.

Jika Kerajaan menetapkan gaji minimum pada kadar yang hanya dipersetujui oleh majikan tanpa mengambilkira sama ada kadar tersebut sesuai untuk menyara hidup pekerja atau tidak, gaji minimum sebegini tidak akan menjamin kehidupan bermaruah untuk pekerja. Kita perlukan gaji minimum yang mampu sara hidup, supaya semua pekerja dapat hidup dengan bermaruah, dan mengembangkan potensi tenaga kerjanya untuk kemajuan masyarakat.

PSM telah menuntut supaya gaji minimum dinaikkan ke RM 1,500 sebulan apabila gaji minimum sepatutnya dikaji semula pada tahun 2015. MTUC juga mengemukakan cadangan gaji minimum RM 1,800 sebulan baru-baru ini. Pakatan Harapan pula berjanji bahawa akan melaksanakan gaji minimum RM 1,500 sebulan secara berperingkat dalam tempoh 5 tahun, namun adakah RM 1,500 sebulan selepas 5 tahun mencukupi untuk seorang pekerja bawahan menampung kehidupannya?

Gaji dan produktiviti

Mungkin kita selalu akan dengar satu hujah bahawa pekerja perlu meningkatkan produktiviti terlebih dahulu sebelum menuntut kenaikan gaji minimum. Perdana Menteri Mahathir Mohamad sejak dahulu lagi secara konsistennya mengatakan bahawa pendapatan yang diterima oleh pekerja perlu selaras dengan produktivitinya. Namun, adakah produktiviti pekerja di Malaysia begitu rendah sehingga perlu menerima gaji yang tidak cukup untuk menyara hidup?

Kerajaan Malaysia yang berjinak-jinak dengan pelabur asing dan sistem ekonomi global yang didominasi oleh dasar neo-liberal, terlalu terikut-ikut dengan cara pengiraan produktiviti pekerja yang dibawa oleh kapitalis antarabangsa.

Jika kita ambil contoh pengeluaran cip elektronik di Malaysia dan Amerika Syarikat, harga jualan cip elektronik yang dikeluarkan di Bayan Lepas adalah lebih kurang satu per lima daripada harga jualan cip yang serupa tetapi dikeluarkan di California. Berasaskan formula yang ada sekarang, “produktiviti” pekerja California adalah 5 kali ganda lebih tinggi berbanding pekerja Malaysia, untuk produk yang sama, dan jumlah output yang sama! Kedudukan oligopolistik syarikat gergasi multinasional (MNC) membolehkan mereka menekan harga barangan yang disubkontrak keluar oleh mereka kepada negara kita dan negara-negara dunia ketiga yang lain. “Produktiviti” di negara-negara sedang membangun seperti Malaysia dikatakan rendah, bukannya pekerja kita bekerja tidak kuat, tetapi bayaran upah untuk kerja yang dilakukan telah ditekan pada kadar yang rendah secara sengaja.

Jadi, masalah pokoknya bukan produktiviti, tetapi terlalu banyak kekuasaan pasaran yang tertumpu dalam tangan MNC terbesar di dunia. Produktiviti pekerja Malaysia masih dianggap rendah, bukan sebabnya pekerja Malaysia “malas”, “tidak mahir” atau “tidak pandai”, tetapi disebabkan sistem ekonomi neo-liberal yang sentiasa menekan gaji pekerja dan Kerajaan Malaysia tidak mempunyai kesungguhan politik untuk mencabar ketidakadilan ekonomi yang wujud ini.

Negara Malaysia telah mengalami pembanguan sosial yang signifikan sejak kemerdekaan, sehingga melahirkan ramai tenaga kerja yang berpendidikan dan berkemahiran. Memang pekerja yang semakin mahir dan berpengalaman patut dibayar dengan gaji yang lebih tinggi berbanding pekerja yang kurang mahir atau kurang pengalaman. Namun, apabila kita menetapkan gaji minimum, iaitu bayaran upah yang terendah untuk pekerja, pertimbangannya bukan berapa tinggi tahap produktiviti seseorang, tetapi berapakah pendapatan asas yang mencukupi untuk seseorang itu menjalani hidup yang sejahtera. Sekiranya seseorang itu tidak dapat menjalani hidupnya dengan lancar dan sejahtera, produktivitinya turut akan terjejas.

Seorang yang tidak cukup makan, tidak mungkin ada cukup tenaga untuk meningkatkan produktivitinya. Jika seorang majikan enggan membayar gaji minimum yang mampu sara hidup kepada pekerjanya, bagaimana dia boleh mengharapkan pekerjanya untuk meningkatkan produktivitinya?

Peningkatan pendapatan pekerja dan pertumbuhan ekonomi

Peningkatan gaji pekerja memang akan meningkatkan kos pengeluaran, dan mengurangkan keuntungan majikan sekiranya masih menjual barangan dengan harga yang sama. Namun, kita perlu ingat sesuatu perkara yang paling asas: jika barangan yang dikeluarkan tidak jual, maka apa-apa keuntungan pun tidak akan dapat!

Meningkatkan gaji minimum, bermakna kuasa beli pekerja juga akan meningkat. Apabila kuasa beli majoriti rakyat meningkat, barangan yang dikeluarkan pengilang turut akan dapat dijual dengan lebih banyak. Keuntungan yang diperoleh pengilang dan pengedar hasil daripada jualan yang banyak akan mendatangkan keuntungan yang bertambah, walaupun harga barangannya tidak dinaikkan.

Sekiranya majikan membayar gaji minimum begitu rendah sehingga pekerjanya tidak mampu membeli barangan yang dikeluarkan oleh kilangnya, bagaimana dia dapat mengaut lebih keutungan dan memperkembangkan bisnesnya? Pasaran akan terus mengecut dan peniaga-peniaga tidak akan meneruskan bisnes mereka, sekiranya gaji pekerja masih ditekan pada paras yang rendah.

Oleh itu, peningkatan gaji minimum pekerja sebenarnya dapat membantu dalam menambahkan bisnes dan memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan.

Kenaikan gaji minimum pekerja, sekiranya pendapatan berlebihan itu tidak dihabiskan dalam pembayaran hutang (seperti hutang pinjaman perumahan), wang dalam tangan pekerja yang boleh dibelanjakan akan bertambah, maka menambahkan lagi peluang bisnes perniagaan kecil dan sederhana di kawasan setempat (seperti penjaja, kedai runcit, restoran, pawagam, kedai kopi dan sebagainya).

Pertambahan peluang bisnes untuk perniagaan hasil daripada peningkatan kuasa beli pekerja kerana kenaikan gaji minimum, turut akan menjana lebih banyak lagi peluang pekerjaan untuk mereka yang memerlukan kerja. Jadi, peningkatan gaji minimum bukan sahaja tidak akan meningkatkan pengangguran, sebaliknya akan mengurangkan kadar pengangguran. Kilang (khususnya yang mengeluarkan barangan untuk pasaran tempatan) tidak akan tutup kerana gaji pekerja dinaikkan, sebaliknya akan dapat menjual lebih banyak barangan keluarannya.

Ekonomi negara kita juga akan menjadi lebih berdikari, tanpa bergantung pada pasaran luar yang tidak menentu kestabilannya (kerana krisis ekonomi akan melanda selang beberapa tahun), jika pekerja dalam negara kita memperoleh gaji yang mencukupi untuk menyara hidup di samping mengembangkan pasaran dalam negara.

Kurangkan beban hidup dan tingkatkan mutu kehidupan

Peningkatan gaji minimum ke paras yang mampu sara hidup, akan mengurangkan tekanan kewangan pekerja. Pekerja juga tidak perlu melakukan kerja lebih masa jika gaji asasnya mencukupi untuk hidup secara sederhana, dan dia akan mempunyai lebih banyak masa serta ruang untuk meningkatkan kemahirannya melalui proses pendidikan yang berterusan. Dengan kemahiran yang meningkat hasil daripada proses pendidikan yang wujud kerana adanya lebih banyak masa lapang selepas kerja, pekerja berkenaan turut akan dapat peluang kerja dengan bayaran gaji yang lebih baik.

Dengan adanya kadar gaji minimum yang mampu sara hidup dan menjamin kehidupan yang bermaruah, rakyat biasa (khususnya anak muda) akan lebih cenderung untuk menceburi diri dalam dunia kerja dan menyumbangkan tenaga kerja kepada pembangunan masyarakat, berbanding dengan melibatkan diri dalam kegiatan maksiat untuk mencari wang dengan cara jalan pintas.

Mutu kehidupan pekerja dapat ditingkatkan dengan gaji yang lebih tinggi dan masa kerja yang lebih pendek. Peningkatan mutu kehidupan pekerja, termasuk pekerja bawahan, adalah syarat penting untuk kemajuan masyarakat kita.

2 thoughts on “Adakah kenaikan gaji minimum akan menjejaskan ekonomi?

  1. Hai PSM, terima kasih kerana terus lantang dan konsisten membangunkan kesedaran masyarakat tentang hak-hak pekerja.

    Dan sebagai tanda solidariti, jika diizinkan saya akan cetak semula rencana ni untuk diedarkan di Batu Pahat (pasar Parit Raja) sepanjang bulan mei ini.

    – Iltizam Iman

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *