flat04

KEPONG, KUALA LUMPUR: Penduduk-penduduk Blok C Pangsapuri Mutiara Fadason terpaksa menggunakan tangga selama 25 hari berturut-turut akibat daripada satu-satunya lif di blok tersebut rosak. Sebelum ini, terdapat dua lif di blok tersebut yang berfungsi, tetapi satu daripada lif tersebut ditutup selama beberapa tahun dan hanya lif yang satu lagi dapat digunakan. Kini, lif tersebut rosak juga dari 20  Ogos 2018. Blok ini setinggi 18 tingkat dan dihuni oleh 360 keluarga.

Ramai antara penduduk di sini yang kurang upaya, uzur serta kanak-kanak dan pesakit kronik sudah menggunakan tangga blok ini selama 25 hari, dan telah berlaku banyak kes di mana penghuni jatuh akibat keadaan tangga yang kurang memuaskan. Salah seorang daripada penghuni di Blok C mengatakan bahawa terdapat lubang-lubang besar pada simen di serata tempat serta anak tangga yang pecah yang meninggikan risiko kepada penghuni-penghuni ini. Katanya, dialah yang membantu menyelesaikan masalah tersebut kerana pihak pengurusan hanya merungut tentang kekurangan dana seperti mana mereka merungut tentang kes lif ini.

flat03

Malah, golongan OKU, wanita sarat mengandung dan warga emas hidup dalam keadaan tidak tenteram dan terkurung dalam rumah mereka akibat tidak mampu memanjat tangga tersebut. Malah, pihak perkhidmatan kecemasan juga tidak mampu memanjat tangga sampai mereka pun terpaksa memanggil pihak bomba membantu mereka. Suatu kes yang amat menyayat hati berlaku pada seorang yang baru ditimpa kemalangan dan terperap dalam rumahnya, di mana dia tidak dapat pergi jumpa doktor kerana tidak mampu memanjat tangga. Beliau hanya boleh terduduk sahaja dan mencuci luka sendiri dengan bantuan keluarganya. Isterinya pula menghidap penyakit asma dan juga tidak dapat menguruskan keluarga akibat ketiadaan lif ini. Turut bersamanya ialah adik perempuannya yang mempunyai kecacatan pada salah satu kakinya yang lebih pendek daripada satu lagi. Beliau juga susah memanjat tangga itu, tetapi terpaksa melakukannya juga demi menjana pendapatan keluarga.

flat06 - Copy

Penghuni-penghuni Blok C Pangsapuri Mutiara Fadason telah mengadakan satu sidang media pada 12 September 2018, untuk menyebarkan seluas-luasnya kepada rakyat Malaysia serta pihak berkuasa tentang masalah yang dihadapi mereka, supaya pihak yang berkenaan dapat bertindak segera demi kebaikan penduduk di sini. Turut hadir bersama penghuni dalam sidang media tersebut ialah A. Sivarajan (Setiausaha Agung PSM) dan Soh Sook Hwa (Bendahari PSM).

Para wartawan telah dibawa untuk melawat Blok ini serta mengunjungi rumah penghuni di sini, untuk melihat dengan sendiri betapa buruknya keadaan hidup mereka. Kedua-dua lif sekarang tidak berfungsi dan tangga tersebut dipenuhi dengan sampah-sarap. Tangga itu amat sempit juga dan susah dipanjat oleh orang biasa dan muda, apatah lagi golongan emas dan warga OKU? Tambahan lagi, terdapat hanya seorang tukang pembersih untuk seluruh Blok tersebut dan beliau pun warga emas juga. Mustahillah bagi beliau membersihkan kawasan blok ini sepenuhnya tanpa lif yang berfungsi!

flat05.jpg

Penghuni-penghuni Blok C Pangsapuri Mutiara Fadason bertekad untuk membawa isu ini kepada Kementerian Wilayah Persekutuan serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, jika masalah ini masih berterusan. Mereka telah mula mengutip dana untuk menyewa sebuah bas bagi tujuan pergi melawat kementerian-kementerian ini di Putrajaya, supaya pihak berkuasa di sana dapat memahami betapa besarnya kemelut yang dihadapi mereka ini. Amat membanggakan apabila melihat mereka bersemangat sebegini sebagai contoh yang bagus untuk demokrasi yang sebenarnya dengan rakyat yang menyedari kuasa mereka.

Akan tetapi, masalah seperti yang berlaku di Mutiara Fadason Kepong ini akan berterusan jika kerajaan melepaskan tangan pengurusan perumahan kos rendah sebegini kepada pihak pemaju dan penghuni sendiri. Jika tiadanya penghuni yang memang memfokus untuk mengutip wang dan mengurus dengan baik, mustahillah rumah-rumah sebegini dijaga dengan baik. Kes seperti Mutiara Fadason bukannya kes yang terpencil, malah sesuatu amat biasa terutamanya di pangsapuri-pangsapuri Program Perumahan Rakyat (PPR), di mana penghuninya pun berpendapatan rendah, tidak berpendidikan tinggi dan tidak mampu berfikiran jauh tentang penyelenggaraan berterusan. Adalah lebih baik jika kerajaan sendiri menggalas tanggungjawab menjaga rumah-rumah sebegini supaya kebajikan rakyat terjamin.

Sekarang ini, terdapat satu skim di Selangor yang dipanggil Skim CERIA, di mana kerajaan negeri membayar 60% (pangsapuri kos sederhana rendah) ke 80% (pangsapuri kos rendah) daripada kos baik pulih kerosakan harta bersama kritikan. Oleh kerana Mutiara Fadason Kepong berlokasi di Kuala Lumpur, tiada pula skim sebegini untuk melindungi penghuninya. Adakah ini patut berlaku? Semestinya tidak. Kita hidup dalam zaman Malaysia Baru, dengan kerajaan pusat Pakatan Harapan yang sama seperti di negeri Selangor, apa masalahnya jika skim sebegini dilancarkan untuk penduduk di negeri lain?

Diharapkan kerajaan pusat dapat memberi komitmen yang tinggi kepada penyelesaian masalah penghuni pangsapuri Mutiara Fadason dan juga berusaha memastikan masalah-masalah sebegini tidak lagi membelenggu warga Malaysia yang lain. Seperti mana yang disebut, penghuni-penghuni pangsapuri kos rendah kebanyakan masa menghadapi masalah penyelenggaraan buruk oleh pihak pengurusan pangsapuri mereka. Kerajaanlah yang patut mencari jalan supaya kesemua masalah ini ditangani dengan efektif. Patutlah kita bermula dengan memastikan wang yang sepatutnya disediakan untuk penghuni Blok C Mutiara Fadason supaya lif mereka dibaiki secepat mungkin.  Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyeru pada kerajaan kita supaya meringankan bebanan penghuni-penghuni ini sebagai langkah pertama ke arah Malaysia Baru yang tidak meminggirkan golongan sebegini.

(laporan oleh Arveent Srirangan Kathirtchelvan)

2 thoughts on “Derita hidup 25 hari tanpa lif di rumah pangsa 18 tingkat

  1. Lif semua block jalan 1 shj kalau rosak masih naik tangga sekarang dah tahun 2021 masalah lif masih tak selesai .minta pihak yang berkenaan bantu penduduk disini terima kasih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *