Perdana Menteri Mahathir Mohamad sudah memberikan petunjuk bahawa golongan pekerja dan rakyat biasa perlu bersedia untuk berkorban ataupun dikorbankan atas nama “selamatkan negara”.

“Kalau kita tak sanggup terima keperluan berkorban, maka kita tak boleh pulihkan negara kita,” begitu kata Mahathir dalam satu wawancara khas dengan portal berita Malaysiakini.

Menurut Mahathir, Belanjawan pertama kerajaan Pakatan Harapan yang akan dibentangkan dalam Parlimen adalah satu belanjawan yang perlukan rakyat berkorban. Walaupun tidak mengulas tentang apa yang perlu dikorbankan oleh rakyat, yang pasti adalah kerajaan Pakatan Harapan akan melaksanakan dasar yang bakal memberi kesan buruk kepada kehidupan rakyat biasa.

Sejak Pakatan Harapan berkuasa di Putrajaya, kerajaan menggunakan alasan hutang negara RM 1 trilion untuk menjustifikasikan kegagalannya dalam menunaikan janji-janji pilihanraya. Mahathir memberi alasan bahawa jika kerajaan berbelanja lebih daripada kemampuan, “kita akan terikat dengan hutang dan sebagainya.” Kemungkinan besar ini merupakan dalih untuk melaksanakan dasar “penjimatan” (austerity) seperti yang dilakukan oleh kerajaan-kerajaan di negara Eropah, iaitu mengurangkan perbelanjaan sosial untuk menyelamatkan keuntungan golongan korporat.

Memang kerajaan tidak patut memboros dalam membelanjakan dana awam, kerana wang itu dikutip daripada rakyat melalui percukaian dan sebagainya, dengan tujuan membelanjakannya untuk membangunkan masyarakat dan mempertingkatkan kesejahteraan rakyat. Kerajaan perlu memastikan dana awam tidak dibazirkan dalam penyelewengan dan pemberian kontrak yang membolehkan syarikat kroni mengaut keuntungan lumayan sedangkan rakyat biasa tidak dapat menikmati peruntukan kewangan kerajaan itu dengan sepenuhnya. Namun, penjimatan tidak bermaksudkan mengurangkan perbelanjaan sosial yang bertujuan untuk mengurangkan beban hidup rakyat dan mempertingkatkan muta perkhidmatan awam.

Kerajaan sekarang ini enggan menaikkan gaji minimum ke satu tahap yang sewajar, menjadikan kebanyakan pekerja terpaksa menanggung beban hidup dengan gaji yang rendah. Gaji yang rendah akan menjejaskan perkembangan ekonomi negara kita. Oleh sebab gaji pekerja dan pendapatan rakyat sudah pun rendah, adalah tidak masuk akal untuk kerajaan tidak membelanjakan dana awam untuk memberi perlindungan sosial yang secukupnya kepada rakyat jelata. Perlindungan sosial ataupun “gaji sosial” yang diberikan kepada rakyat dalam bentuk perkhidmatan awam yang berkualiti, bukan sahaja akan meringankan beban hidup rakyat, malah juga membantu dalam membangunkan ekonomi negara.

Namun, malangnya kerajaan pimpinan Mahathir gagal melihat kepentingan untuk meningkatkan pendapatan rakyat dan menyediakan perlindungan sosial yang secukupnya. Sebaliknya, gaji minimum dinaikkan sedikit sahaja seperti memberi sedekah kepada pekerja, dan sekarang ini bercadang untuk mengorbankan rakyat dengan mengurangkan perbelanjaan awam.

Kerajaan sebenarnya mempunyai dua cara untuk mengembangkan ekonomi negara kita, satu adalah meningkatkan pendapatan rakyat dengan menaikkan gaji minimum. Peningkatan gaji minimum bermakna penambahan dalam kuasa beli pekerja. Dengan peningkatan dalam kuasa beli pekerja, lebih banyak wang boleh dibelanja di pasaran tempatan dan bisnes peniaga akan bertambah baik. Adanya golongan majikan yang enggan menaikkan gaji minimum dengan alasan peningkatan gaji minimum akan menaikkan harga barang. Namun, sekiranya gaji pekerja dinaikkan dan mereka mampu berbelanja lebih untuk membeli lebih barangan daripada para peniaga, hasil jualan peniaga akan bertambah, maka keuntungan mereka juga bertambah tanpa perlu menaikkan harga jualan. Ekonomi dalam negara yang mampan dengan kuasa beli pekerja yang terjamin dengan gaji minimum yang sewajar, semestinya boleh mewujudkan kesejahteraan masyarakat yang berkekalan.

Satu lagi cara mengembangkan ekonomi negara kita adalah melalui perbelanjaan kerajaan dalam pelaburan dalam pembangunan infrastruktur dan penyediaan perkhidmatan awam yang berkualiti. Apabila kerajaan membelanja lebih, permitaan agregat turut bertambah dan ekonomi dapat berkembang pesat. Walau bagaimanapun, kita perlunya mekanisme pemantauan dan semak-dan-imbang yang sewajar supaya perbelanjaan kerajaan ini tidak dibazirkan dalam perkara seperti rasuah dan penyelewengan. Apabila kerajaan membelanja dalam pembangunan infrastruktur dan kemudahan, bermakna lebih peluang pekerjaan akan diwujudkan dan kuasa beli rakyat turut meningkat. Kemudahan yang disediakan oleh kerajaan, seperti sistem kesihatan awam, pengangkutan awam, perumahan awam dan sebagainya, boleh menambahnilai kepada ekonomi kita.

Kerajaan memang tidak perlu mengorbankan rakyat dengan mengurangkan perbelanjaan awam, untuk tujuan memulihkan ekonomi negara. Ekonomi negara kita boleh dipulihkan bukan hanya dengan cara berjinak-jinak dengan golongan korporat yang mengutamakan keuntungan, tetapi adanya cara lain seperti menambahkan pendapatan rakyat melalui pelarasan gaji minimum dan menyediakan lebih banyak kemudahan untuk rakyat. Ini memerlukan anjakan paradigma yang radikal dalam pemikiran pemimpin negara kita.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *