Buku “Das Kapital” yang diterbitkan pada tahun 1867, merupakan salah satu karya pemikiran Karl Marx yang amat penting. Buku ini membawa kritikan yang amat tajam dan mendalam terhadap sistem kapitalis. (Das Kapital adalah perkataan Bahasa Jerman, Capital dalam Bahasa Inggeris, dan bermaksud Modal dalam Bahasa Malaysia.)

Pemikiran Marx dan Marxisme bukannya sesuatu yang jatuh dari langit, atau timbul secara tiba-tiba. Kesedaran sosial ditentukan oleh kewujudan sosial, begitu juga dengan pemikiran Marx dan teori yang dikemukakannya. Teori Marxis adalah hasil intelektual yang dikumpulkan daripada pemerhatian, penglibatan politik dan refleksi Marx serta pendukung ideanya terhadap masyarakat semasa.

Sepanjang hidupnya, Karl Marx (1818-1883) telah menyaksikan perkembangan pesat sistem sosio-ekonomi kapitalis di Eropah dan kesan-kesan daripadanya, sama ada yang positif ataupun negatif. Pemerhatian Marx terhadap sistem kapitalis telah membawa kepada analisisnya yang mendalam tentang kapitalisme dan masalah pokoknya.

Karl_Marx
Karl Marx (1818-1883)

Dalam masyarakat kapitalis, penggunaan mesin telah semakin menggantikan tenaga manusia untuk mengeluarkan barangan komoditi secara besar-besar. Kadar pengeluaran, barangan surplus sosial dan kekayaan masyarakat telah bertambah secara pesatnya di bawah sistem ekonomi kapitalis. Masyarakat di bawah sistem kapitalis memang lebih kaya berbanding zaman-zaman sebelumnya, tetapi majoriti rakyat yang menaburkan tenaga buruh masih hidup dalam keadaan miskin dan papa kedana. Ini adalah persoalan yang ditanya-tanya oleh sesiapa yang memiliki semangat keperimanusiaan dan prihatin pada masyarakat. Persoalan inilah, tambahan pula dengan keinginan untuk mencari jalan bagi pembebasan diri manusia, telah mendorong Marx membuat kajian dan analisis secara mendalam tentang kapitalisme. Usaha Marx tersebut telah meninggalkan warisan intelektual yang amat penting untuk kita sehingga hari ini, termasuklah tulisan teorinya yang berjudul “Das Kapital”.

Proses penulisan dan penerbitan Das Kapital yang berpanjangan

“Das Kapital” dengan tajuk penuhnya “Das Kapital: Kritikan Terhadap Ekonomi Politik” (Das Kapital, Kritik der politischen Ökonomie), bukannya sebuah karya teori yang ditulis secara lancarnya dalam masa yang singkat. Sebaliknya, “Das Kapital” ditulis oleh Karl Marx sepanjang masa beliau sedang menempuh kesusahan hidupnya dalam pembuangan negeri. Marx telah mengambil masa yang agak lama untuk mengkaji dan menulis, malah beberapa draf ditulis sebelum ia dimuktamadkan untuk diterbitkan. Selepas penerbitan Das Kapital, Marx masih membuat pengubahsuaian ke atas tulisannya supaya ideanya dapat dinyatakan dengan lebih jelas lagi. Das Kapital merupakan satu hasil penjelmaan intelektual yang melibatkan usaha serius dan kegigihan Marx.

Selepas Marx memulakan hidupnya dalam pembuangan di London, pada akhir tahun 1850-an, beliau mula membangunkan teorinya berasaskan kajiannya terhadap kapitalisme. Pada tahun 1857-58, Marx telah menulis draf Das Kapital yang pertamanya, dalam manuskrip dengan judul “Rangka Kritikan Terhadap Ekonomi Politik” (Grundrisse der Kritik der Politischen Ökonomie). Buku “Sumbangan kepada Kritikan Terhadap Ekonomi Politik” (Zur Kritik der Politischen Ökonomie) diterbitkan pada tahun 1859, namun buku tersebut hanya merangkumi bab tentang komoditi dan matawang. Penulisan tersebut telah mengkritik teori yang dibawa oleh ahli teori ekonomi politik aliran utama pada masa itu (iaitu aliran ekonomi klasikal), yang diwakili oleh Adam Smith dan David Ricardo.

220px-Zentralbibliothek_Zürich_Das_Kapital_Marx_1867
Edisi pertama Das Kapital, Jilid I

Pada September 1867, “Das Kapital Jilid I” dalam Bahasa Jerman telah diterbitkan secara rasmi untuk kali pertamanya. Ini menandakan satu titik tolak baru untuk teori ekonomi politik Marxis. Edisi kedua “Das Kapital Jilid I” diterbitkan pada 1872, di mana Marx telah mengubahsuai Bab 1 dan menyusun semula pembahagian bab dalam buku tersebut.

Penterjemahan “Das Kapital Jilid I” ke dalam bahasa lain yang pertama ialah Edisi Bahasa Rusia yang diterbitkan pada tahun 1872. Apabila Das Kapital Edisi Rusia diterbitkan di Rusia yang masih di bawah pemerintahan Tsar pada masa itu, badan penapisan pemerintahan Tsar mengharamkan penyebaran fahaman sosialis dan komunis yang dianggap sebagai “pemikiran yang berbahaya”. Namun, pegawai penapis Rusia pada masa itu menganggap bahawa “Das Kapital” hanyalah sekadar sebuah buku teori sains, dan isi kandungannya tiada kaitan dengan Rusia di bawah Tsar, kerana mengikut hujahan rasmi Rusia pada masa itu adalah tidak pernah wujudnya “pemerasan kapitalis” di Rusia. Tambahan pula, pegawai penapis Rusia pada masa itu juga beranggapan bahawa “sangat sedikit orang akan membacanya, dan lagi sedikit orang akan memahaminya”. Oleh yang demikian, “Das Kapital” Edisi Bahasa Rusia dapat melepasi penapisan di Rusia dan diterbitkan di Petersburg. Yang lebih menarik lagi adalah, “Das Kapital Jilid I” Edisi Bahasa Rusia berjaya dijual sebanyak 3000 naskah dalam tempoh masa setahun selepas diterbitkan, sementara Edisi Jerman yang asal hanya dapat dijual sebanyak 1000 naskah dalam tempoh 5 tahun. Hasil kepopularan Das Kapital di Rusia, semakin ramai orang tertarik pada fahaman Marxis. 45 tahun selepas penerbitan Das Kapital di Rusia, golongan Bolshevik yang dipengaruhi pemikiran Marxis telah berjaya mengambilalih kuasa pemerintahan dalam gelombang revolusi pada tahun 1917 dan mendirikan negara pekerja yang pertama di dunia. Walaupun sejarah negara Kesatuan Soviet yang ditubuhkan berikutan Revolusi 1917 itu penuh dengan liku-liku dan perkembangan yang tidak dijangkakan, namun ia telah mengubah sejarah abad ke-20. Tahun 2017, juga merupakan ulangtahun ke-100 Revolusi Rusia.

“Das Kapital Jilid I” Edisi Bahasa Perancis diterbitkan pada tahun 1875, di mana dalam Edisi tersebut, Marx telah menyemak semula dan mengubahsuai Bab tentang Pengumpulan Modal. Marx sentiasa menyemak semula teks tulisannya, malah ada membuang sebahagian tulisannya dan menulis semula, kerana beliau mahu menyampaikan pandangannya dengan lebih jitu dan jelas lagi. Ini menunjukkan keseriusan Marx dalam membuat kajian dan menyampaikan pemikirannya.

Marx telah meninggal dunia pada tahun 1883, sebelum “Das Kapital Jilid I” Edisi Ketiga dalam Bahasa Jerman sempat diterbitkan pada tahun yang sama.

Projek penulisan yang belum selesai

“Das Kapital” merupakan projek penulisan teori menyeluruh Marx yang belum selesai. Beliau hanya sempat menyaksikan penerbitan Jilid I untuk Das Kapital. Selepas pemergian Marx, rakan seperjuangannya, Friedrich Engels telah mengambilalih tugasan untuk meneruskan usaha menyempurnakan projek penerbitan tulisan Marx yang belum selesai. Ini sebenarnya suatu tugasan yang mustahil untuk disempurnakan. Engels telah mengumpulkan manuskrip yang ditinggalkan oleh Marx, dan menyusun serta menyuntingnya ke dalam Das Kapital Jilid II dan Jilid III. Das Kapital Jilid II dan Jilid III diterbitkan pada tahun 1885 dan 1894 masing-masing. Cabaran yang dihadapi Engels semasa menyusun manuskrip Marx adalah, manuskrip-manuskrip tersebut ditulis oleh Marx pada zaman yang berbeza, menggambarkan pengetahuan dan pemikiran Marx pada peringkat hidupnya yang berbeza. Engels terpaksa menyusun semula teks-teks tulisan Marx, dan menstandardkan istilah-istilah yang digunakan oleh Marx.

9027e54e5b8a0827ea372a3ba96bd21f_w1000_h787

“Das Kapital Jilid I” Edisi Inggeris diterbitkan pada tahun 1887. Walaupun ia merupakan penterjemahan Jilid I dalam bahasa Inggeris, tetapi diterbitkan dalam dua jilid. “Das Kapital Jilid I” Edisi Inggeris yang biasa dijumpai sekarang adalah diterjemah dan disusun mengikut Edisi Keempat dalam Bahasa Jerman yang diterbitkan pada tahun 1896.

Karl Kautsky pula mengumpul dan menyusun manuskrip yang ditulis Marx antara bulan Januari 1862 hingga Julai 1863, menjadi “Das Kapital Jilid IV”. Das Kapital Jilid IV diterbitkan antara tahun 1905-1910, terbahagi kepada 3 jilid, dengan judul “Teori Nilai Surplus” (Theorien über den Mehrwert).

Penterjemahan Das Kapital yang paling dengan dekat dengan Bahasa Malaysia adalah terjemahan dalam Bahasa Indonesia. Penterjemahan beberapa bahagian dalam Bab Pertama Das Kapital dalam Bahasa Indonesia diterbitkan dalam majalah Daulat Ra’yat pada tahun 1933. Namun, penterjemahan lengkap buku Das Kapital Jilid I dalam Bahasa Indonesia hanya diterbitkan pada tahun 2000-an. Penterjemahan penuh Das Kapital dibuat oleh Oey Hay Djoen, seorang tahanan politik yang pernah ditahan di Pulau Buru sebagai tahanan bernombor 001 (bersama dengan Pramoedya Ananta Toer dan ramai lagi golongan intelektual progresif yang lain) semasa zaman kediktatoran Suharto.

Pengaruh Das Kapital yang melangkaui satu abad

Penerbitan buku Das Kapital tidak mendapat tumpuan yang banyak dan juga tidak menimbulkan reaksi yang hebat semasa Marx masih hidup. Semasa Marx dalam usia tuanya apabila Das Kapital diterbitkan, perjuangan revolusi kelas pekerja di Eropah sedang mengalami situasi yang merudum. Tidak lama selepas Parti Demokrasi Sosial Jerman (SPD) ditubuhkan pada tahun 1875 (hasil penggabungan ADAV dan SDAP), kerajaan Jerman pimpinan Canselor Otto von Bismarck telah menggubal Undang-undang Anti-Sosialis pada tahun 1878, dan mengharamkan aktiviti SPD. Oleh yang demikian, tulisan Marx tidak dapat disebar di negara asalnya Jerman secara melua. Hanya sampai tahun 1889 (iaitu 6 tahun selepas Marx meninggal dunia) apabila Internasional Kedua ditubuhkan oleh parti-parti sosialis di Eropah, dan pengharaman SPD ditarik balik pada tahun 1890, barulah tulisan Marx mula tersebar luas di Eropah. Tulisan Marx telah menjadi senjata pemikiran yang penting untuk gerakan pekerja antarabangsa selepas itu.

Semasa berlakunya krisis ekonomi pada tahun 2008, Das Kapital yang ditulis Marx ini mendapat perhatian ramai sekali lagi. Buku yang ditulis pada abad ke-19 ini masih dapat menerangkan masalah ekonomi global pada abad ke-21.

Beberapa hari selepas Edisi komik Das Kapital diterbitkan di Jepun pada tahun 2008, sudah dijual sebanyak 6000 naskah. Nampaknya buku Das Kapital masih mempunyai daya tarikan yang hebat dalam abad ke-21 ini.

IMG_5375.JPG

Apa sebenarnya dalam Das Kapital?

“Modal datang ke dunia ini dengan darah dan kotoran yang menitis dari setiap liang bulu, dari kepala sampai ke kaki.” (Karl Marx, Das Kapital Jilid I, Bab 31)

Dalam Das Kapital, Marx telah menerangkan dan menganalisa secara sistematik terhadap hukum pergerakan dan percanggahan asas kapitalisme. Marx telah mendedahkan logik penggerak di sebalik pengumpulan modal, mengkaji tentang persoalan eksploitasi (pemerasan) dan alienasi (pengasingan), serta meramalkan halatuju perkembangan kapitalisme.

Tajuk untuk Jilid I ialah “Proses Pengeluaran Modal”, buku ini menerangkan tentang peredaran komoditi (barangan yang dihasilkan untuk jual beli) dan proses pengeluaran di bawah sistem kapitalis. Jilid II adalah tentang “Proses Peredaran Modal”. Jilid III bertajuk “Proses Pengeluaran Kapitalis secara Keseluruhan”, di mana isi kandungannya termasuklah hukum kadar keuntungan yang berkecenderungan untuk menurun, sistem kredit, modal kewangan dan sebagainya.

Struktur kandungan untuk “Das Kapital Jilid I” boleh dibahagikan seperti berikut: (pembahagian bab mengikut Edisi Bahasa Inggeris)

Bab 1-3: Peredaran komoditi yang asas (C-M-C)

Bab 4: Peredaran modal (M-C-M’)

Bab 7-24: Proses segera untuk pengeluaran, pengeluaran semula dan pengumpulan modal individu

Bab 25: Pengumpulan modal masyarakat secara keseluruhannya

Bab 26-33: Apa yang dipanggil pengumpulan primitif

Dalam Bab 1 hingga Bab 25, Marx telah menerangkan secara sistematik dan menyeluruh tentang proses pengeluaran dan pengeluaran semula kapitalisme. Marx membincangkan perkara ini pada tahap logik-konsep, menggunakan ilustrasi sejarah dan perspektif perjuangan kelas. Dari Bab 26 hingga Bab 33 pula, Marx telah membincangkan asal usul sejarah kapitalisme.

Mungkin bagi ramai orang, Das Kapital tulisan Marx ini sesuatu yang amat sukar untuk dibaca dan berasa tidak sabar semasa membacanya (kerana mahukan secara serta-merta  untuk mendapatkan kesimpulan dan hubungan antara prinsip dengan persoalan di depan mata), dan seringkali akan terasa kecewa. Keadaan begini boleh difahami, seperti yang dikatakan Marx, “itu adalah satu kelemahan, dan saya tidak berdaya untuk mengatasinya, kecuali memberi amaran awal ini dan mengingatkan pembaca yang rajin mencari kebenaran. Tiadanya jalan yang rata dalam sains dan hanya mereka yang tidak takut pada pendakian yang meletihkan di jalan yang curam, mempunyai peluang untuk mencapai puncak yang tersinar cahaya.” (Karl Marx, Das Kapital Jilid I, Kata Pengantar Edisi Bahasa Perancis, 18 Mac 1872)

Analisis Marx tentang kapitalisme, adalah amat berbeza daripada pandangan aliran ekonomi politik klasikal dan aliran ekonomi neo-klasikal. Ekonomi politik klasikal menganalisa masyarakat berasaskan motif, kepentingan dan tingkahlaku individu, seperti dalam konsep “homo economicus” – individu yang bertindak mengikut “rasional”, pemaksimuman kepentingan ekonomi dan banyak berpengetahuan. Namun, individu manusia yang digambarkan dalam tulisan Das Kapital, adalah “personifikasi kategori-kategori ekonomi” (ataupun penjelmaan kategori-kategori ekonomi dalam bentuk manusia), iaitu struktur masyarakat, kepentingan dan hubungan kelas sosial terkandung dalam setiap individu manusia, dan berfungsi melalui mereka. Bagi Marx, manusia adalah “keseluruhan segala hubungan sosial” (Karl Marx, Tesis tentang Feuerbach, 1845).

Dalam erti kata lain, sistem ekonomi tidak dapat diterangkan dengan berasaskan pertimbangan dan tingkahlaku individu. Sebaliknya, hanya dengan mengkaji dan mememeriksa sistem ekonomi itu, barulah berkemungkinan untuk kita menganalisa sebab sosial terjadinya tingkah laku individu. Misalnya, krisis kewangan bukan disebabkan semata-mata ketamakan kapitalis, sebaliknya kita boleh menerangkan kewujudan sikap ketamakan kapitalis melalui hukum pergerakan modal kewangan.

Marxisme sebenarnya bukan fahaman yang benci kapitalis tetapi mengkritik dan menggantikan sistem kapitalis

Dalam analisis Marx tentang kapitalisme, pertamanya sekali adalah menentukan hubungan masyarakat yang memaksakan rasional tingkah laku tertentu ke atas individu-individu; bukannya bermula daripada motivasi dan pertimbangan individu. Melalui analisis sebegini, kita dapat memahami secara kritikal tentang bagaimana orang yang hidup dalam masyarakat kapitalis memainkan peranannya sebagai “kapitalis” atau “pekerja”. Daripada asas analisis inilah, Marx memperkembangkan kritikannya terhadap kapitalisme, bukannya memarahi atau membenci kapitalis.

Marx dan golongan Marxis yang berpendirian teguh, sebenarnya tidak benci atau mendendami kapitalis, tetapi dapat memahami dan mengkritik sistem kapitalis melalui analisis secara sistematik, demi mencari jalan untuk mengatasi sistem kapitalis, supaya menamatkan ketidaksamarataan, ketidakadilan dan ketidakbebasan yang disebabkan sistem kapitalis.

“Untuk mengelakkan salah faham yang mungkin berlaku, saya perlu terangkan ini. Saya tidak sekali-kali cuba mengambarkan kapitalis dan tuan milik tanah dalam warna cerah. Individu yang dimaksudkan di sini hanyalah setakat personifikasi kategori-kategori ekonomi, penjelmaan hubungan dan kepentingan kelas yang tertentu.” (Karl Marx, Das Kapital Jilid I, Kata Pengantar Edisi Pertama, 25 Julai 1867)

Oleh yang demikian, Marxisme bukannya satu fahaman yang menanam kebencian terhadap mana-mana individu (misalnya kebencian terhadap individu yang merupakan kapitalis), tetapi kerangka pemikiran yang mengkritik sistem kapitalis dan menggantikannya dengan masyarakat yang bebas daripada sebarang bentuk penindasan.

IMG_20160322_221510.jpg

Penentangan terhadap ketidakadilan sosial yang berterusan

Das Kapital merupakan salah sebuah karya kreatif Marx yang paling penting. Walaupun sudah selang 150 tahun, tulisan ini masih relevan untuk dijadikan asas teori dalam memahami, mengkritik dan menjatuhkan kapitalisme dari asasnya.

Pada hari ini, apabila dunia sudah menjejak kaki dalam abad ke-21, Das Kapital masih amat berguna kepada kita semua untuk memahami kapitalisme hari ini.

Pada zaman di mana Das Kapital mula-mula diterbitkan, kapitalisme di Eropah sedang mengalami zaman perkembangan yang pesat, sementara itu penentangan kelas pekerja terhadap pemerasan kapitalis sentiasa berlaku. Walaupun bentuk kapitalisme sentiasa berubah-ubah dalam 150 tahun yang lepas oleh sebab imbangan kuasa antara kelas sosial berbeza pada zaman yang berlainan, tetapi pemahaman dan analisis Marx tentang percanggahan asas dalam sistem kapitalis itu masih begitu mendalam dan dikagumi.

Apabila terjadinya kejatuhan rejim Stalinis (yang menggelar diri mereka sebagai Marxis-Leninis) di Kesatuan Soviet dan Eropah Timur pada penghujung abad ke-20, kapitalisme global yang berpanjikan “globalisasi” telah meraikan kemenangan dan mengatakan bahawa pemikiran Marxis tidak lagi relevan. Keadaan ini telah membuka ruang yang meluas kepada gelombang baru penularan sistem kapitalis dalam bentuk fahaman neo-liberalisme di seluruh dunia. Akibat daripadanya, jurang antara yang miskin dengan yang kaya di seluruh dunia semakin melebar; kemiskinan, peperangan, krisis ekologi tidak pernah berhenti, malah menjadi semakin teruk…

Oleh sebab itu, penentangan masyarakat terhadap kekuasaan sistem kapitalis masih berterusan, daripada pemberontakan Zapatista di Mexico pada tahun 1996, demonstrasi besar-besar menentang Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO), eksperimen sosial Revolusi Bolivar di benua Amerika Latin, perjuangan pekerja di Asia, gelombang menentang dasar penjimatan di Eropah, gelombang kebangkitan “indignados” (ataupun Gerakan 15-M) di Sepanyol, gerakan Occupy Wall Street di Amerika Syarikat, sehinggalah Parti Buruh di UK memilih seorang Jeremy Corbyn yang berhaluan kiri untuk menjadi Pemimpin Parti, dan Bernie Sanders yang menggelar dirinya sebagai Sosialis mendapat sokongan hebat semasa pemilihan awal untuk Pilihanraya Presiden AS. Semua ini adalah respon rakyat terhadap kekuasaan kapitalisme.

pic_karl-marx-writing

Membedah siasat dan mengatasi kapitalisme dari asasnya

Namun, dalam 20 tahun yang lepas, kebanyakan mobilisasi sosial hanya mensasarkan neoliberalisme, bukannya kapitalisme itu sendiri. Neoliberalisme adalah bentuk luaran kapitalisme yang mendominasi dunia sejak tahun 1970-an. Sekadar menentang neoliberalisme, tidak semestinya bermakna mencabar kapitalisme pada dasarnya.

Ketidakpuasan hati terhadap neoliberalisme, telah dipergunakan oleh golongan oportunis kanan. Dalam Pilihanraya Presiden Amerika Syarikat pada tahun 2016, Donald Trump, seorang politikus golongan mahakaya yang mempermainkan sentimen populis dan perkauman, berjaya mengeksploitasi kemarahan rakyat terhadap ekonomi neoliberal, berterima kasih juga pada sistem pilihanraya “demokratik” kelas borjuasi, telah mengalahkan Hillary Clinton yang dianggap sebagai wakil kepada elit pemerintahan neoliberal. Kemenangan Trump menunjukkan bahawa golongan kapitalis yang mahakaya tidak berpuas hati dengan wakil politik kelas borjuasi, mempergunakan kemarahan rakyat untuk mengambilalih kuasa pemerintah secara sendiri, dan menjadikan pentadbiran Trump sebuah kerajaan yang paling dikuasai golongan mahaya dalam sejarah AS. Wajah pemerintahan telah berubah, tetapi sistem pemerintahan kelas kapitalis masih tidak berubah secara dasarnya. Bagi rakyat bawahan, keadaan mungkin menjadi lebih teruk lagi.

Bentuk dan wajah kapitalisme sentiasa berubah-ubah. Hanya sekadar menentang neoliberalisme, iaitu simtom atau salah satu rupa bentuk kapitalisme, tidak akan dapat mencabar sistem kapitalis secara keseluruhannya dan menangani masalah sampai ke akarnya. Mengenali sifat asas kapitalisme dan punca masalahnya adalah amat perlu. Oleh itu, Das Kapital masih mempunyai makna yang amat mendalam kepada sesiapa yang ingin mengatasi kapitalisme untuk mencapai pembebasan masyarakat yang sebenar.

Kapitalisme global yang wujud dalam bentuk neoliberalisme pada hari ini, bukannya ciri-ciri khusus yang wujud pada zaman Marx. Namun, pemahaman Marx tentang kapitalisme telah melangkaui bentuk ini. Das Kapital telah mengorek dan mengkiritik persoalan yang lebih mendalam daripada neoliberalisme, membedah siasat sifat asas kapitalisme dari segi teori ekonomi politik secara keseluruhan, dan mencari jalan untuk mengatasi kapitalisme sepenuhnya.

20171224-xmas-25975325_10155936195179493_557471296_n.jpg

Kenapa masih perlu baca Das Kapital hari ini?

Untuk kita memahami sifat asas kapitalisme dan perkembangannya, Das Kapital yang diterbitkan 150 tahun dahulu masih merupakan satu rujukan yang tidak boleh diabaikan.

Persoalan asas yang ditanya Marx dalam Das Kapital, apa yang menjadikan kapitalisme itu kapitalisme?

Marx tidak hanya mengkaji kapitalisme di sesuatu negara tertentu pada masa tertentu (misalnya kapitalisme di England pada abad ke-19), tetapi mengkaji hukum asas gerakan kapitalisme. Marx mengkaji mod pengeluaran kapitalis dalam bentuk “purata yang ideal”. Walaupun kapitalisme sentiasa wujud hanya dalam manifestasi sejarah yang konkrit, tetapi Marx telah menerangkannya pada peringkat abstrak, untuk membolehkan kita fahami sifat asas kapitalisme.

Walau bagaimanapun, semestinya ada banyak penafsiran yang berbeza terhadap Das Kapital. Ada orang menganggap Das Kapital hanya sekadar sejarah perkembangan kapitalisme, ataupun penjelasan tentang kapitalisme pada abad ke-19. Menurut pandangan sebegini, Das Kapital selebih-lebihnya hanyalah sebuah buku sejarah yang kaya dengan nilai sejarah.

Oleh itu, jikalau anda ingin mempunyai pandangan sendiri tentang Das Kapital, tiada cara lain selain membacanya sendiri secara serius. (Serius seperti Marx menulis Das Kapital.)

ecology-and-capitalism.jpg

Kapitalisme punca kepada masalah dunia

Walaupun kapitalisme telah mengalami “evolusi” yang ketara dalam 150 tahun yang lepas, tetapi ciri-ciri yang diterangkan oleh Marx masih begitu menonjol pada hari ini: pemburuan yang tidak terhad untuk nilai surplus dan keuntungan, menyebabkan pekerja semakin kehilangan sifat kemanusiaan; ramai orang menghadapi pengangguran yang berlarutan, sedangkan masa kerja untuk orang yang lain semakin panjang.

Sistem kapitalis telah membawa krisis ekonomi yang berulang-ulang dan semakin serius. Kapitalisme sedang mengancam alam sekitar. Kapitalisme juga membiak dan mendorong perkembangan rasisme, patriarki, keganasan, xenofobia dan bentuk penindasan yang lain.

Pemahaman Marx tentang kapitalisme adalah tajam dan mendalam. Apabila Marx membincangkan asal usul kapitalisme, beliau mengatakan, “Pengumpulan modal mensyaratkan nilai surplus; nilai surplus mensyaratkan pengeluaran kapitalis; pengeluaran kapitalis mensyaratkan kewujudan modal dan tenaga kerja yang besar yang dikuasai dalam tangan pengeluar komoditi. Seluruh gerakan ini, maka seolah-olahnya berputar dalam lingkaran ganas, di mana kita hanya dapat menjangkakan pengumpulan primitif (pengumpulan sebelumnya menurut Adam Smith) sebelum pengumpulan kapitalis; sejenis pengumpulan yang bukan hasil daripada mod pengeluaran kapitalis, tetapi permulaannya.” (Karl Marx, Das Kapital Jilid I, Bab 26)

Marx membuat kajian secara gigih dan dengan penuh sabarnya cuba menerangkan hubungan pengeluaran sosial yang kompleks di bawah kapitalisme, dengan hasrat membolehkan pembacanya mengenali dengan jelasnya punca masalah masyarakat, mencari cara-cara untuk mengatasinya, dan memperjuangkan pembebasan diri manusia melalui tindakan kolektif yang konkrit.

Untuk menghentikan kesengsaraan manusia dan kemusnahan alam yang dibawa oleh kapitalisme, kita perlu memecahkan proses “pengeluaran untuk pengeluaran” yang digerakkan oleh logik pengumpulan modal yang berterusan. Hanya melalui usaha kolektif kelas pekerja dan rakyat marhaen dalam memperjuangkan nasib masyarakat bersama, kita mampu menghapuskan sistem yang bersifat menindas, dan membina sebuah dunia yang berasaskan gabungan buruh secara bebas. Hanya dengan wujudnya masyarakat tanpa kelas yang berasaskan prinsip “daripada sesiapa mengikut keupayaannya, kepada sesiapa mengikut keperluannya”, barulah masyarakat manusia boleh dikatakan bebas sepenuhnya.

1.jpg

Pandangan dunia yang radikal

Konsep dan analisis yang dijelaskan dalam Das Kapital oleh Marx, telah membekalkan kita satu set pandangan dunia yang radikal. Idea-idea radikal yang diperkenalkan oleh Marx membolehkan kita memecahkan skim teori, kepastian ideologi dan “kebenaran” dipersembahkan melalui implikasi dasar yang dibawa oleh kelas kapitalis yang dianggap aliran utama.

Teori Marx membolehkan kita memahami secara mendalam hubungan kekuasaan politik, ekonomi dan sosial dalam masyarakat yang didominasi mod pengeluaran kapitalis, kuasa-kuasa yang menggerakkan masyarakat dan kecenderungan perkembangan masyarakat.

Walau bagaimanapun, hanya sekadar memahami masyarakat itu masih tidak mencukupi. Marx juga pernah menulis, “ahli falsafah hanya menafsir dunia dalam cara berlainan. Bagaimanapun, apa yang penting adalah mengubahnya.”

Dengan melengkapkan diri kita dengan idea-idea dan pandangan dunia yang radikal, bersama dengan usaha membina kuasa rakyat secara kolektif dari bawah, barulah kita mampu mencabar susunan sistem kapitalis dan membina alternatif baru yang membebaskan masyarakat daripada segala bentuk penindasan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s