Aufstehen_logo.png

Pada ketika negara Jerman sedang diancam oleh kebangkitan kuasa politik berhaluan kanan yang bersifat rasis dan xenofobia, satu gerakan politik baru telah dilancarkan pada 4 September 2018 dengan hasrat untuk merangsang sokongan akar umbi terhadap alternatif kiri dalam menangani krisis demokrasi di Jerman.

Gerakan ini digelar Aufstehen (bermaksud “bangun”), ditubuhkan oleh Sahra Wagenknecht, seorang pemimpin utama parti berhaluan kiri Die Linke, bersama dengan pemimpin parti-parti berhaluan kiri yang lain. Selain ahli-ahli politik berhaluan kiri, pengasas gerakan ini juga terdiri daripada penulis, artis, bintang pop dan profesor.

Tujuan utama pembentukan Aufstehen adalah untuk meraih sokongan daripada ahli-ahli parti Die Linke, golongan kiri-tengah dalam Parti Demokratik Sosial Jerman (SPD) dan parti Hijau yang berfahaman ekologis, di samping menarik semula sokongan pengundi kelas pekerja yang telah mengalih kepada parti-parti berhaluan kanan.

Kemunculan parti berhaluan kanan yang anti-imigran Alternative für Deutschland (AfD) sejak beberapa tahun kebelakangan ini, telah menarik banyak sokongan daripada golongan kelas pekerja yang tidak berpuas hati dengan keadaan hidup sekarang. Die Linke telah kehilangan lebih kurang 400,000 orang pengundi kepada AfD akibat daripada kebangkitan fahaman kanan lampau yang meraih sokongan melalui retorik anti-imigran.

34195646760_116f5aeeea_z
Sahra Wagenknecht

“Ramai orang tidak lagi merasakan diri mereka diwakili oleh wakil rakyat mereka, dan tidak lagi peduli tentang politik. Ini bukan sekadar perasaan sahaja,” begitu katanya Wagenknecht. Pada takat ini, 40% rakyat Jerman mempunyai pendapatan untuk kegunaan keluarga mereka yang kurang berbanding 2 dekad dulu.

“Ini adalah tentang keberanian untuk mengatasi arus perdana neoliberalm tentang dasar sosial yang menjaga kepentingan majority,” ulas Wagenknecht dalam satu temuramah dengan stesen TV Deutsche Welle. “Globalisasi yang dikendalikan oleh korporat, kehancuran negara kebajikan, ancaman peperangan baru yang tidak habis-habisan – ini bukannya kuasa semulajadi. Terdapatnya alternatif kepadanya dan kita mahu mengembalikan kepada rakyat harapan bahawa politik boleh diubah.”

Wagenknecht telah mengemukakan idea menghadkan imigrasi dan kawalan yang lebih ketat terhadap migran ekonomi dari perspektif kiri, sebagai tindakbalas untuk menangani retorik anti-imigran yang dihebohkan oleh golongan kanan lampau. Namun, pandangan Wagenknecht ini telah mengundang kritikan daripada rakan-rakannya dalam Die Linke.

Pelancaran untuk gerakan Aufstehen berlaku hanya beberapa bari selepas ribuan penyokong neo-Nazi berarak dan merusuh di bandar Chemnitz di Timur Jerman. Peristiwa demontrasi golongan neo-Nazi terbaru ini merupakan salah satu petanda bahawa kuasa politik berhaluan kanan lampau semakin kuat dan bertambah bahaya sehingga mewujudkan krisis mendalam kepada demokrasi di Jerman. Kemunculan Aufstehen memainkan peranan yang penting dalam menghalang kemaraan gelombang kebangkitan politik kanan lampau ini.

Wagenknecht berhujah bahawa gerakan massa seperti Aufstehen diperlukan untuk menangkis pseudo-populisme golongan kanan yang cuba mempergunakan kesengsaraan dan penderitaan ekonomi rakyat untuk tujuan perkauman yang sempit.

“Kemarahan yang semakin bertimbunan telah membantu dalam mewujudkan tempat pembiakan untuk kebencian dan keganasan. Jika kita tidak mengambil langkah-langkah tindak balas, negara ini tidak akan lagi dapat dicam dalam tempoh 5 hingga 10 tahun,” kata Wagenknecht semasa pelancaran Aufstehen. “Suasana sekarang sudah semakin teruk berbanding dulu, perpecahan sosial semakin mendalam. Jika kita perlukan satu lagi dorongan untuk bertindak segera, maka peristiwa di Chemnitz menunjukkan bahawa kita amat memerlukan satu pemberontakan politik yang baru.”

Aufstehen nampaknya mengambil inspirasi daripada gerakan La France Insoumise yang dipimpin oleh Jean-Luc Mélenchon di Perancis, gerakan Momentum yang berkisar pada Pemimpin Parti Buruh UK Jeremy Corbyn, dan “Revolusi Politik” di Amerika Syarikat yang diterajui oleh Bernie Sanders. Sejauh mana Aufstehen dapat mengembangkan sayapnya dan menawarkan alternatif kiri yang jelas kepada rakyat Jerman, akan diuji dalam perkembangan politik dan pilihanraya akan datang di negara Jerman selepas ini.