oleh Nik Aziz Afiq

Melawan sering dipandang sebagai suatu perkara yang tidak elok, tidak beradab, negatif. Kita sering secara sedar atau tidak dibiasakan untuk menurut sahaja segalanya tanpa soal, tanpa bantah.

Menurut merupakan jalan yang sangat selamat, kita tidak akan berasa kekok, kita tidak rasa terasing kerana kita buat apa yang kebanyakan orang buat.

Orang kata hidup ini ada aturan, mana boleh buat suka hati. Betul. Misal kata aturan kehidupan ialah siang bekerja malam berehat. Aturan ini betul, namun jika semua menurut aturan ini maka kita akan hadapi masalah jika doktor dan jururawat di wad kecemasan pun berehat sama, askar di sempadan tidak berjaga, kedai mamak yang kita selalu ngeteh tidak operasi.

Samalah aturan hidup sesebuah masyarakat berlainan dengan masyarakat lain. Kita tidak boleh ke Antartika hanya mahu pakai T-shirt nipis dan selipar jepun sepertimana kita pergi ke kedai runcit dekat rumah.

Maknanya apa? Aturan tidak solid. Ia boleh berubah. Boleh dilanggar. Boleh dilawan lalu membentuk aturan baru asalkan ia mendatangkan lebih manfaat.

Tanpa orang-orang yang berani untuk ambil posisi melawan dan bertentangan, maka segala teknologi hari ini tidak akan kita rasai. Kita hanya jadi masyarakat yang statik sejak ratusan tahun dulu.

Bukan pula bermaksud semua benda perlu dilawan pada masa yang sama. Semua serba tak betul dan tak kena sehingga tidak tercapai matlamat jangka masa panjang. Ada masa perlu kompromi dan toleransi, ada masa perlu bertegas dan bangkit melawan. Kapal yang hanya mahu belayar tanpa berlabuh hanyalah kapal yang bakal karam.

Kali pertama saya ditahan polis ketika menentang perobohan kandang lembu di Klang baru-baru ini, ramai kenalan yang tidak faham tindakan saya itu. Ada yang tanya untuk apa melawan penguatkuasa, tak bolehkah hidup aman damai ikut sahaja peraturan?

Hakikatnya mereka tidak sedar undang-undang dan peraturan bukan dicipta bagi membela hak rakyat susah. Ia menjadi alat untuk menghalalkan jentera kapitalis beraksi.

Terbukti beberapa hari kemudian, perobohan tersebut tidak dapat diteruskan. Kerajaan negeri panggil berbincang dan akhirnya para penternak mendapat tawaran yang jauh lebih baik daripada sebelum itu.

Jika kita tidak melawan, semua hanya mendiamkan diri dan membiarkan perobohan berlaku tempohari. Apakah kerajaan negeri akan bersikap sama? Pastinya tidak. Hasil dari melawanlah, yang kemudian berlaku penahanan, isu ini menjadi viral dan hangat diperkatakan lalu kerajaan negeri demi menyelamatkan imej dan airmuka MB baru terpaksa kembali ke meja rundingan untuk mencari solusi.

Bahkan sebelum ini berapa banyak tempat yang komrad-komrad kita atur perjuangan, lalu masyarakat bangkit melawan dan memenangi perjuangan tersebut. Kami sentiasa pegang dengan satu sifir, iaitu siapa yang berjuang pasti sama ada cepat atau lambat akan meraih kemenangan. Asalkan mahu melawan.

Jangan tunggu orang lain untuk melawan bagi pihak kita. Kita sendiri perlu ambil tanggungjawab galas beban untuk bangkit berhadapan dengan masalah kita. Kezaliman dan penindasan sedang berlaku di mana-mana ketika ini, apakah kita mahu berpeluk tubuh sahaja?

“Ada dua jenis manusia, pertama yang baca sejarah, kedua yang mencipta sejarah!”

==========

 Nik Aziz Afiq ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Pemuda PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *