Jasic protest 24 Jul.png

SHENZHEN, CHINA – Apabila ramai pelajar di Negara China sedang berehat untuk menikmati cuti musim panas, terdapat segolongan pelajar China telah bergegas di bandaraya Shenzhen yang terletak di wilayah Guangdong di Selatan China, untuk memberi sokongan kepada perjuangan pekerja di kilang Jasic Technology.

Pekerja-pekerja di kilang pembuat peralatan pengimpalan itu yang sedang berusaha menubuhkan kesatuan sekerja telah diserang dan dipukul dengan ganasnya oleh pihak berkuasa.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dalam suasana pembangunan ekonomi yang pesat di China, berlakunya banyak mogok pekerja di Tanah Besar China, di mana terdapatnya tindakan pekerja secara kolektif sama ada besar atau kecil di seluruh negara itu kerana penutupan kilang dan perlindungan pekerja yang tidak mencukupi.

Pekerja di Jasic bukan sahaja bangkit untuk menuntut penambahbaikan layanan mereka, tetapi juga bertindak untuk membentuk kesatuan sekerja yang bertujuan untuk memperkasakan pekerja dan mengorganisasi pekerja untuk jangka masa yang panjang. Namun, usaha pekerja-pekerja Jasic untuk mengubah nasib pekerja ini telah ditindas oleh majikan, kesatuan kebangsaan yang konservatif dan juga polis. Sehingga sekarang, sekurang-kurangnya 29 orang pekerja, termasuk mereka yang masih bekerja di Jasic, bekas pekerja dan juga pekerja dari tempat kerja lain yang datang menyokong mereka, telah ditangkap dan ditahan oleh Polis.

Jasic menafikan hak pekerja

Kilang Jasic Technology yang terletak di Shenzhen mengupah lebih 10,000 orang pekerja. Kilang tersebut telah melakukan pelbagai perkara yang menghakis hak pekerja, seperti mengubah masa rehat pekerja secara tidak sah dan memperkenalkan hukuman yang tidak sah seperti mendenda pekerja atas salahlaku seperti “bercakap semasa kerja”, “melaraskan mesin hawa dingin ke bawah 26 darjah celsius”, “tidak memadam lampu selepas kerja” dan “pekerja lelaki mewarnakan rambut atau memakai tatu”. Denda yang dikenakan ke atas pekerja adalah antara 100 hingga 300 yuan (gaji harian adalah 100 yuan, bersamaan lebih kurang RM 60). Syarikat Jasic juga tidak melaksanakan tabung simpanan perumahan seperti yang dijanjikan kepada pekerjanya.

Pada pertengahan bulan Mei, sebahagian pekerja membuat aduan kepada Kesatuan Am Pingshan, kesatuan sekerja “rasmi” di daerah di mana kilang Jasic terletak. Pada masa itu, pegawai kesatuan daerah memberitahu pada pekerja bahawa mereka boleh menubuhkan kesatuan sekerja untuk menyelesaikan masalah mereka. Namun, pada pertengahan bulan Jun, pihak majikan kilang Jasic telah menubuhkan kesatuan yang pro-majikan dengan melantik orang suruhan yang boleh dipercayai majikan untuk menjadi pemimpin kesatuan.

Undang-undang kesatuan sekerja di negara China mengatakan semua pekerja mempunyai hak untuk menyertai dan menubuhkan pekerja. Namun, undang-undang di negara itu juga mensyaratkan bahawa semua kesatuan sekerja perlu diletakkan di bawah kepimpinan Persekutuan Kesatuan Sekerja Seluruh China (ACFTU), dan pada masa yang sama, penubuhan semua kesatuan sekerja perlu mendapat kelulusan daripada kesatuan sekerja di peringkat lebih tinggi. Jadi, sekiranya pekerja-pekerja Jasic ingin membentuk kesatuan sekerja di kilang mereka, mereka perlu mendapatkan kelulusan daripada Kesatuan Am Pingshan. Persoalannya adalah banyak kesatuan sekerja di bawah ACFTU adalah “kesatuan kuning” yang dikawal dan dipergunakan oleh majikan. Pemilihan kepimpinan yang penuh dengan kepincangan dalam kesatuan sekerja telah menjadikan kesatuan kuning sebegini sebagai boneka majikan, bukannya badan yang memperjuangkan hak pekerja atas meja rundingan. Oleh yang demikian, memang amat sukar untuk pekerja-pekerja di China menubuhkan kesatuan sekerja yang benar-benar pro-pekerja.

Pihak majikan Jasic menubuhkan kesatuan yang dikuasainya pada bulan Jun, sejurus selepas pekerja-pekerja mengadu dengan Kesatuan Am Pingshan dan memohon untuk membentuk kesatuan sekerja pada bulan Mei, adalah berniat untuk menghalang pekerja-pekerja daripada menubuhkan kesatuan yang sebenar.

Sejak pekerja-pekerja Jasic menuntut untuk menubuhkan kesatuan sekerja mereka sendiri, pihak majikan bukan sahaja menafikan hak mereka untuk menubuhkan kesatuan, malah pekerja-pekerja yang cuba membentuk kesatuan sekerja yang sebenar telah dipindah kerja atau dibuang kerja.

Majikan juga menindas dan membuang kerja pekerja yang cuba membentuk kesatuan sekerja yang sebenar. Ada juga pekerja yang ditangkap dan ditahan kerajaan untuk siasatan, hanya kerana mereka mahu menubuhkan kesatuan sekerja mereka sendiri. Pekerja-pekerja Jasic yang dibuang kerja telah menuntut untuk kembali bekerja, tetapi dilayan dengan keganasan.

Pada masa yang sama, usaha pekerja Jasic untuk menubuhkan kesatuan telah menarik perhatian golongan pelajar. Pelajar-pelajar dari beberapa buah universiti telah menyatakan sokongan mereka dalam beberapa surat terbuka yang tersebar luas. Ada juga sebahagian pelajar bergegas ke Shenzhen untuk menyerahkan surat mereka kepada Kerajaan di situ, tetapi juga ditahan polis.

Majikan dan pihak berkuasa bersekongkol dalam menindas pekerja

Pada 16 Julai 2018, beberapa orang pekerja dibuang kerja dan dipukul oleh samseng upahan.  Pada 20 Julai 2018, pekerja-pekerja yang dibuang kerja telah dihalang secara ganas dan dihalau oleh pengawal keselamatan kilang apabila mereka cuba kembali bekerja. Polis juga dikerahkan untuk memukul dan menahan pekerja. Pekerja-pekerja yang pergi ke balai polis untuk menuntut pembebasan pekerja yang ditahan turut ditahan polis! Kesemua pekerja yang ditahan kemudiannnya dibebaskan pada hari keesokannya.

Pekerja-pekerja berprotes di hadapan Balai Polis Yanziling pada 22 Julai 2018, membantah salahlaku polis dalam memukul pekerja. Jurucakap polis berkata bahawa mereka akan menyiasat salahlaku polis dan akan memberitahu tentang hasil siasatan dalam 3 hari. Selepas 3 hari, pekerja-pekerja diberitahu bahawa mereka perlu tunggu lagi beberapa hari.

Pada 27 Julai 2018, seramai 30 orang berprotes di hadapan kilang Jasic menuntut pekerja yang dibuang kerja diambil semula. Namun, mereka yang berprotes telah diserang dan ditangkap polis. Antara yang ditangkap termasuk seorang pelajar dari Universiti Xi’an. Sekurang-kurangnya 6 orang pekerja telah ditahan polis atas tuduhan “cari gaduh dan timbulkan kekacauan”.

Pelajar-pelajar dari Universiti Peking mengemukakan petisyen untuk menyokong pekerja-pekerja Jasic, dengan tuntutan membebaskan pekerja yang ditahan dan menjamin hak pekerja untuk menubuhkan kesatuan sekerja. Pelajar-pelajar ini berpandangan bahawa peristiwa ini penting keraja pekerja bukan sahaja menuntut “kepentingan individu yang berjangka pendek” tetapi “memperjuangkan matlamat seperti penubuhan kesatuan bebas melalui cara demokratik”. Namun, akaun awam WeChat yang menyebarkan petisyen ini telah dipadamkan serta-merta oleh pihak berkuasa dalam tempoh masa beberapa jam sahaja. Pelajar-pelajar dari Universiti Nanjung juga mengemukakan petisyen menyokong pekerja-pekerja Jasic. Pelajar-pelajar dari Universiti Renmin juga mengecam tindakan polis yang gagal melindungi hak pekerja sebaliknya menyerang dan menahan pekerja. Mereka menyifatkan tindakan polis tersebut bagaikan “anjing suruh kelas pemerintah lama”!

Pelajar-pelajar dari Universiti Sains Politik dan Undang-undang China dan juga Universiti Tsinghua juga menyatakan sokongan mereka terhadap pekerja-pekerja Jasic.

Pada 30 Julai 2018, 15 orang wakil daripada kumpulan solidariti pekerja Jasic, yang terdiri daripada pekerja dan pelajar, telah menyerahkan surat terbuka kepada Kerajaan Perbandaran Pingshan, dengan tuntutan supaya menjalankan siasatan terhadap keganasan polis, tetapi mereka dibawa ke balai polis untuk “ditegur dan dididik”.

Momentum perjuangan yang bertambah

Penahanan terhadap pekerja hanya mengundang lebih sokongan kepada perjuangan pekerja. Shen Mengyu, seorang aktivis pelajar, telah memainkan peranan utma dalam menuntut pembebasan untuk mereka yang ditahan dan mendesak kesatuan tempatan untuk mencampurtangan. Beberapa orang tahanan telah dibebaskan pada awal bulan Ogos, tetapi ada yang masih dalam tahanan. Shen Mengyu juga jadi mangsa apabila beliau dibawa pergi oleh sekumpulan orang yang tidak dikenali pada 11 Ogos 2018. Shen dipercayai ditahan dalam rumah di suatu lokasi yang tidak diketahui di Shenzhen.

Support Group last video grab.png
Pelajar yang menyokong perjuangan pekerja Jasic

Pada awal pagi 24 Ogos, seramai 50 orang aktivis pelajar yang menyokong perjuangan pekerja Jasic telah ditahan polis dalam satu serbuan terhadap tempat tinggal mereka di Shenzhen. Sebahagian pelajar yang ditahan telah dihantar balik ke kampung asal mereka oleh pihak polis.

Kebanyakan pelajar yang menyokong perjuangan pekerja Jasic adalah penyokong fahaman Mao Zedong. Terdapat juga veteran Parti Komunis China yang menyatakan sokongan mereka kepada perjuangan pekerja Jasic. Kerajaan China amat bimbang tentang semakin ramai golongan Maois turut terlibat dalam perjuangan ini dan cuba melenyapkan suara mereka melalui penapisan internet dan tindakan polis. Laman web Maois yang menyokong perjuangan ini turut diserbu oleh pihak berkuasa.

Selagi pihak berkuasa negara China tidak menyelesaikan masalah pokok yang mencetuskan perjuangan pekerja Jasic, iaitu kekurangan kesatuan sekerja sebenar yang dapat mewakili kepentingan pekerja, protes sebegini akan berlaku lagi di lebih banyak tempat.

2 thoughts on “China: Pekerja Jasic berjuang menubuhkan kesatuan dan menghadapi penindasan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *