31 Ogos 2018 menandakan ulangtahun ke-61 Semenanjung Malaysia mencapai kemerdekaan. 31 Ogos juga merupakan hari Sabah mencapai pemerintahan sendiri pada tahun 1963 sebelum bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu (Semenanjung Malaysia sekarang), Sarawak dan Singapura untuk membentuk Malaysia. Negeri Sarawak pula mencapai pemerintahan sendiri pada 22 Julai 1963 sebelum bergabung dalam Malaysia; Singapura keluar dari Malaysia pada 9 Ogos 1965. 31 Ogos disambut sebagai Hari Kebangsaan Malaysia, sementara 16 September disambut sebagai Hari Malaysia.

Hari Kebangsaan pada tahun ini agak berbeza suasana kerana untuk pertama kalinya rakyat Malaysia menyambut Hari Kemerdekaan di bawah pemerintahan kerajaan baru (walaupun Perdana Menteri itu masih orang lama!).

Untuk pertama kalinya selepas 61 tahun sejak kemerdekaan Semenanjung Malaysia, negara kita menyaksikan perubahan rejim semasa Pilihanraya Umum ke-14 yang diadakan pada 9 Mei 2018. Kerajaan UMNO-BN (pada asalnya dikenali sebagai Perikatan) akhirnya dijatuhkan melalui proses pilihanraya. Ini merupakan satu kemenangan hasil daripada perjuangan rakyat Malaysia menentang kekuasaan UMNO-BN yang berterusan selama ini.

Selepas PRU-14, rakyat Malaysia telah menyambut sebuah kerajaan baru, tetapi dengan ironinya, masih dipimpin oleh seorang Perdana Menteri lama, Mahathir Mohamad yang merupakan penyandang jawatan Perdana Menteri yang paling lama dalam sejarah Malaysia. Situasi yang pelik ini berlaku kerana parti pembangkang aliran utama yang gagal menjatuhkan UMNO-BN sebelum ini telah mendampingi Mahathir selepas Mahathir keluar dari UMNO kerana wujudnya percanggahan kepentingan yang serius dengan Najib. Pertaruhan parti pembangkang aliran utama yang mengangkat Mahathir sebagai “penyelamat negara” boleh dikatakan berjaya, kerana memang Pakatan Harapan yang dipimpin Mahathir akhirnya menang dalam Pilihanraya.

Namun, kepimpinan Mahathir bukan satu-satunya faktor kemenangan Pakatan Harapan. Pentadbiran UMNO-BN di bawah pimpinan Najib yang semakin kehilangan kewibawaan, dan perpecahan di kalangan golongan pemerintah, membawa kepada kehancuran rejim UMNO-BN. Tambahan pula dengan momentum politik yang diwujudkan oleh perjuangan rakyat sejak dahulu lagi, akhirnya rejim yang memerintah lebih 6 dekad itu jatuh juga.

Kejatuhan UMNO-BN dan kemenangan Pakatan Harapan dengan Mahathir kembali menjadi Perdana Menteri, merupakan satu detik sejarah Malaysia yang aneh tetapi agak penting dalam proses perjuangan politik untuk pembaharuan masyarakat. Kejatuhan Najib dan kebangkitan semula Mahathir boleh dikatakan sebagai satu penyusunan semula di kalangan kelas elit pemerintah, di mana puak yang semakin kehilangan kepercayaan ramai digantikan oleh puak yang dianggap membawa aspirasi rakyat walaupun mereka mempunyai agenda tersendiri. Penyusunan semula politik di kalangan kelas elit pemerintah ini bagaikan menggantikan coca-cola dengan pepsi-cola, iaitu secara luarannya telah berubah tetapi intipatinya masih tidak berbeza.

Namun demikian, pergolakan politik akibat daripada penyusunan semula kelas pemerintah ini sebanyak sedikit juga membuka ruang kepada proses pendemokrasian dan pembaharuan masyarakat. Walaupun orang lama dalam rejim sebelum ini seperti Mahathir dan Daim Zainuddin kembali memegang kuasa, tetapi adanya juga unsur-unsur segar yang bersifat progresif yang masuk dalam kerajaan yang memerintah. Pemimpin politik yang sebelum ini lama berkecimpung dalam politik pembangkang dan gerakan reformasi, sememangnya boleh memainkan peranan dalam mempengaruhi halatuju kerajaan baru, sekiranya mereka tidak merosot dengan cepatnya kerana terlalu berdamping dengan elit pemerintah lama.

Ruang untuk pembaharuan masyarakat memang ada selepas perubahan rejim, tetapi sejauh manakah ruang ini dapat kekal dan diperluaskan adalah menjadi tanda soal serta cabaran kepada kita semua yang terlibat dalam perjuangan masyarakat.

Kerajaan Pakatan Harapan mungkin akan dapat menjalankan pembaharuan pada institusi politik, dengan menjadikannya lebih demokratik, di mana rakyat akan mempunyai lebih kebebasan dan ruang untuk menyertai dalam proses politik. Namun, ruang demokratik akan terjejas sekiranya kerajaan yang mendapat sokongan rakyat secara membuta-tuli akibat daripada manipulasi politik populis. Adalah menjadi cabaran kepada masyarakat sivil dan golongan progesif untuk membina kecelikan politik rakyat. Kecelikan politik itu bermakna rakyat mampu membezakan kebenaran dengan kepalsuan melalui analisis secara sistematik dan berani menyoal tentang segala kepincangan yang berlaku pada pemerintah.

Dari segi sosio-ekonomi, masyarakat rakyat bawahan akan terus menghadapi tekanan hidup dan penurunan dalam kualiti kehidupan, sekiranya kerajaan masih berpegang pada fahaman ekonomi neoliberal yang diamalkan oleh kerajaan sebelum ini. Fahaman ekonomi neoliberal menganggap sistem pasaran dan sektor swasta itu dapat menyampaikan segala benda dengan efisien, maka giat melakukan penswastaan terhadap perkhidmatan asas dan penyumberan luar tenaga kerja. Perlumbaan untuk keuntungan oleh golongan korporat telah mewujudkan ketidaksamarataan ekonomi yang semakin serius, dan dasar ekonomi neoliberal hanya akan memburukkan lagi keadaan. Oleh yang demikian, sekiranya kita inginkan pembaharuan masyarakat yang menjamin keadilan sosial dan kesejahteraan rakyat biasa, kita perlu berputus dengan dasar neoliberal yang sentiasa mementingkan keuntungan korporat berbanding kesejahteraan rakyat.

Dalam suasana menyambut Hari Kebangsaan, sekadar mengapi-apikan sentimen patriotik, “cinta pada negara” atau “sayangi Malaysia”, tidak akan membina masyarakat yang terdiri daripada rakyat yang bersifat merdeka.

Rakyat kita tidak akan merdeka dengan sebenarnya, selagi kita masih bergantung pada kehebatan seorang dua pemimpin untuk “menyelamatkan” negara kita. Rakyat tidak akan merdeka dengan sebenarnya, selagi masyarakat kita masih dibelenggu dengan masalah pengagihan kekayaan yang tidak adil. Negara kita tidak akan merdeka dengan sebenarnya, selagi kerajaan kita masih berjinak dengan korporat multinasional gergasi melalui perjanjian perdagangan bebas yang menggadaikan kepentingan rakyat biasa.

Untuk mencapai kemerdekaan yang sebenar, kita perlu:

  • Meningkatkan kecelikan politik melalui pendidikan politik yang berterusan supaya dapat memahami hak asasi rakyat dan bertindak untuk memperjuangkan hak asasi rakyat;
  • Membina kuasa rakyat dari bawah melalui organisasi masyarakat (seperti kesatuan sekerja, pertubuhan masyarakat, parti politik yang progresif, gerakan massa dan komuniti setempat) yang bersifat demokratik dan keterlibatan;
  • Sentiasa memantau dan menyemak segala dasar kerajaan, supaya memastikan kerajaan itu benar-benar bertanggungjawab pada rakyat dan melaksanakan perkara yang diamanahkan kepada mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *