lembu40291094_10156770138113713_4181902874638286848_n
BUKIT TINGGI, SELANGOR – 27 Ogos 2018: Lebih 100 anggota penguatkuasa daripada pelbagai agensi kerajaan seperti polis, Majlis Perbandaran Klang dan Pejabat Daerah dan Tanah Klang, telah dikerahkan untuk merobohkan sebuah kandang lembung pada pagi tadi. 5 orang telah ditahan semasa operasi perobohan kandang lembu tersebut, termasuk 2 orang aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) (iaitu Nik Aziz Afiq dan Paranjothi Kaniapan). Mereka yang ditangkap polis masih ditahan di Ibupejabat Polis Daerah Klang Selatan.

(Semua yang ditahan telah dibebaskan pada waktu tengah malam hari itu juga.)

Thevindran sudah lama membawa isu ini kepada perhatian Kerajaan Negeri Selangor, Pejabat Daerah Klang dan pihak berkuasa yang berkenaan, tetapi sehingga hari ini tiada satu penyelesaian yang memuaskan. Lebih teruk lagi, Kerajaan Negeri Selangor meneruskan perobohan melalui Majlis Perbandaran Klang tanpa satu penyelesaian adil.

Latar belakang isu

Kandang lembu yang dirobohkan itu sudah berusia lebih 16 tahun, 150 ekor lembu dan 80 ekor kambing. Pengusaha kandang lembu tersebut, Thevindran, merupakan penternak asal di Ladang Bukit Tinggi sebelum kawasan ladang itu dibangunkan menjadi Bandar Botanik. Kandang lembu asalnya di Ladang Bukit Tinggi telah dirobohkan kerana pembangunan dan Thevindran telah ditawarkan tempat alternatif oleh syarikat Gamuda (iaitu lokasi sekarang di Bandar Botanik, Sungai Rezab, Parcel B) dengan janji pada Thevindra bahawa dia akan mendapat dokumen kelulusan bagi tanah ini. Syarikat Gamuda yang membina struktur asas kandang ini pada bulan November 2003. Syarikat Gamuda juga membina dua buah kuil Hindu berdekatan dengan kandang lembu kepunyaan Thevindran.

Selepas beberapa kali Thevindran menghubungi Syarikat Gamuda dan Harum Intisari Sdn Berhad, dia mendapati mendapati pengurus Gamuda yang memberi janji mulut kepadanya itu tidak bekerja lagi di Gamuda dan dia juga tidak mempunyai dokumentasi tentang urusan berkaitan dengan isu kandang lembunya ini. Selepas itu, Thevindran terus menjalankan aktiviti penternakan sehingga dia menerima surat daripada Pejabat Tanah Klang yang menyatakan bahawa tanah ini adalah “Tanah Rizab” kerajaan dan dia harus menggosongkan tanah ini.

Pada 18 Mei 2016, Thevindran dipanggil oleh Pejabat Tanah Klang melalui surat untuk mengadakan perbincangan mengenai tanah kandang lembunya. Dalam mesyuarat tersebut, Thevindran diberitahu oleh Pejabat Tanah bahawa tanah yang didudukinya sekarang sudah dipindahmilik kepada JAIS. Thevindran terkejut dengan perkara ini. Bagaimana tanah di atas nama syarikat Gamuda, di mana dijanjikan untuk diserahkan kepadanya kini telah dipindahmilik kepada JAIS walaupun Pejabat Tanah telah mengetahui Thevindran mempunyai kandang lembu di situ untuk sekian lama.

Dalam mesyuarat tersebut, selepas dengar perkara ini, Thevindran memberitahu kepada Pejabat Tanah bahawa dia tidak mahu teruskan kandang lembu lagi tetapi perlu menyelesaikan isu gantirugi kepadanya. Ini kerana Thevindran tidak begitu sihat pada masa itu. Tetapi, pihak Pejabat Tanah dalam mesyuarat itu memujuknya supaya teruskan penternakan lembu dan pejabat tanah sanggup mencari tanah ganti. Pada masa itu, Thevindran meminta supaya mencarikan tanah ganti di kawasan berdekatan iaitu lebih kurang 5 km dari tempat kandang lembu sekarang, dan Pejabat Tanah perlu menyediakan kewangan untuk membina kandang lembu di tanah ganti baru. Pejabat tanah berkata akan berbincang dengan Menteri Besar dan memberi maklumbalas.

Pada 5 September 2017, 3 orang pegawai polis dari Balai Polis Klang datang ke kandang lembu Thevindran. Mereka memberitahu Thevindran bahawa mereka hadir atas arahan ketua mereka, di mana ketua mereka baru menghadiro satu mesyuarat dengan JAIS dan isu berkaitan tanah kandang lembunya turut dibincangkan. Oleh itu, 3 orang pegawai polis mengadakan membuat lawatan tersebut. Mereka meminta kebenarannya untuk ambil gambar kandang lembu. Pihak polis juga kata mereka diberitahu ada 3 kuil di tanah ini, dan tidak diberitahu langsung tentang kandang lembu yang wujud. Mereka balik selepas mengambil gambar sekitar kandang Thevindran. Thevindran membuat satu laporan polis tentang perkara ini.

Pada 31 Oktober 2017, Thevindran menerima notis pemberitahuan kesalahan daripada pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yang mengatakan bahawa dia telah membina struktur kandang lembu di dalam lingkungan 50 meter dari Tebing Rizab Sungai Aur tanpa kebenaran lembaga tersrbut. Thevindran juga diberi tempoh selama 14 hari untuk mengalihkan atau merobohkan struktur tersebut. Thevindran menulis surat kepada LUAS pada 6 November 2017 menjelaskan bahawa dia sedang berurusan dengan Pejabat Tanah Klang untuk mendapatkan tempat alternatif bagi kandang lembunya.

Pada 11 Oktober 2017, Thevindran mendapat satu temujanji mesyuarat dengan Pejabat Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teng Chang Khim, yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri kecil dan Sederhana (IKS) dan Pengangkutan pada masa itu. Teng Chang Khim sendiri hadir ke mesyuarat tersebut bersama dengan wakil Pejabat Tanah Daerah Klang. Dalam mesyuarat tersebut, Teng Chang Khim membincangkan tentang dua kuil yang berada di sebelah kandang lembu Thevindran. Selepas perbincangan tentang kuil, Thevindran menyuarakan tentang isu kandang lembunya, tetapi diberitahu bahawa satu mesyuarat yang lain akan diaturkan untuk membincangkan isu kandang lembu. Tetapi sehingga hari ini, mesyuarat tersebut tidak pernah diadakan.

Thevindran kemudiannya menerima surat bertarikh 30 November 2017 daripada LUAS menyatakan bahawa Pejabat Veterinar Daerah Klang menyediakan penempatan untuk memindahkan kandang lembunya ke Daerah Sepang atau Hulu Selangor. Thevindran tidak menerima tawaran tersebut setelah dia membuat lawatan ke tapak berkenaan dan mendapati bahawa kedua-dua tempat itu jauh dari bandar dan dia tidak boleh menjalankan perniagaan. Lebih-lebih lagi, jika Thevindran mahu kekalkan pelanggannya sekitar kawasan Klang, maka jaraknya jauh dan dia tidak boleh menghantar bekalan susu tepat pada masa. Selepas Thevindran membangkitkan masalah ini, Pejabat Veterinar tidak menghubunginya lagi untuk satu tempoh masa yang panjang.

Pada 23 Januari 2018, Thevindran menerima satu lagi notis pemberitahuan kesalahan daripada pihak LUAS yang menyatakan bahawa dia membina struktur kandang lembu di dalam lingkunan 50 meter dari Tebing Rizab Sungai Aur tanpa kebenaran lembaga. Thevindran juga diberi tempoh selama 14 hari untuk mengalih atau merobohkan struktur tersebut. Thevindran membalas surat kepada LUAS pada 6 Februari 2018 menjelaskan bahawa dia sedang berurusan dengan Pejabat Tanah Klang dan Kerajaan Negeri Selangor untuk mendapatkan tempat alternatif bagi kandang lembunya.

Pada 10 Julai 2018, Thevindran menerima satu surat daripada Jabatan Veterinar Negeri Selangor. Surat tersebut menyatakan tawaran pelawaan sewaan tanah di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Olak Lempit, Daerah Kuala Langat. Bersama dengan surat ini, juga diberi lampiran A untuk mengembalikan sama ada dia menerima tawaran ini atau tidak dalam 14 hari. Thevindran menghantar maklum balasnya yang menyatakan bahawa dia tidak dapat menerima atas alasan jarak, keadaan kesihatannya sekarang yang semakin hari semakin teruk, masalah penglihatannya serta dia tidak mahu hilang sumber pendapatan setelah berpindah ke kawasan yang tiada pelanggan bagi aktiviti penternakannya.

Pada 11 Ogos 2018, Thevindran menerima satu notis dari Majlis Perbandaran Klang (MPK) bertarikh 9 Ogos 2018, yang menyatakan bahawa dia perlu menghentikan aktiviti penternakannya di tempat tersebut.

Pada 24 Ogos 2018, Thevindran menerima berita tidak formal dari Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan pihak Polis bahawa penguatkuasa MPK akan hadir untuk merobohkan kandang lembunya pada 27 Ogos 2018.

Pada 25 Ogos 2018, Thevindran membuat satu laporan polis sebagai bantahan terhadap tindakan MPK menyerahkan notis pengosongan sebelum Kerajaan Negeri Selangor menyelesaikan dengan baik isu kandang lembunya.

Tuntutan Thevindran adalah:
1. Kerajaan Negeri Selangor mengenalpasti tanah kosong sekitar 5 km dari kandang lembu sekarang supaya dia dapat terus menjalankan aktiviti penternakan serta mengekalkan pelanggan untuk penjualan susu lembu.
2. Jika Kerajaan Negeri Selangor gagal mengenalpasti tanah, maka selesaikan isu gantirugi kerana tidak meneruskan aktiviti penternakan.

2 thoughts on “Kandang lembu diroboh tanpa penyelesaian adil, aktivis PSM ditangkap polis

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *