39939390_2309734199262928_5762313039835561984_n

SUNGAI KARANGAN, KEDAH – 22 OGOS 2018: Penduduk Ladang Padang Meha, Kedah, membuat satu aduan polis pada hari ini terhadap peguam Hakem Arabi yang telah menyeleweng dan menipu mereka dalam kes menuntut pampasan. Aduan polis tersebut telah dibuat di Balai Polis Sungai Karangan pada 10 pagi hari ini.

Penduduk yang bergabung dalam Jawatankuasa Bekas Pekerja Ladang Padang Meha mendakwa bahawa peguam Hakem Arabi yang sepatutnya mewakili mereka dalam kes menuntut pampasan pemberhatian kerja dan perumahan di mahkamah telah menyeleweng daripada tanggungjawabnya dalam melindungi kepentingan bekas pekerja ladang dan mengambil keputusan secara sendiri tanpa mendapat persetujuan daripada penduduk Ladang Padang Meha.

Pekerja Ladang Padang Meha telah diberhentikan kerja pada 12 Mac 1995 tanpa sebarang pampasan yang adil apabila ladang tersebut dijual kepada MBF Country Homes & Resort Sdn Bhd (kemudiannya dikenali sebagai Syarikat Alamanda Development Sdn Bhd). Para pekerja yang diberhentikan kerja hanya ditawarkan pampasan kerja yang sedikit. Pekerja-pekerja juga menuntut untuk skim perumahan gantian. Perjuangan untuk tuntutan pampasan melalui tindakan mahkamah oleh pekerja akhirnya berjaya pada tahun 2011, apabila para pekerja mendapat keputusan mahkamah yang berpihak kepada mereka, di mana mahkamah mengarahkan syarikat membayar pampasan berdasarkan Akta Kerja dengan faedah berserta tambahan RM 22,500 setiap pekerja untuk tujuan ganti rumah.

Namun, sehingga hari ini, para bekas pekerja Ladang Padang Meha masih tidak menerima wang tersebut kerana syarikat Alamanda mengisytihar muflis. Pihak bekas pekerja ladang telah banyak kali berbincang untuk mendapatkan pampasan tersebut melalui pihak pelikuidasi, tetapi tidak membuahkan hasil. Namun, apa yang menjadi kehairanan untuk pekerja adalah banyak tanah milik ladang Ladang Padang Meha telah berjaya dijual dan melalui fasa pembangunan, termasuk satu projek perumahan Kerajaan Persekutuan PR1MA di situ.

Satu kumpulan kecil di kalangan bekas pekerja ladang Padang Meha telah mendapat bantuan daripada Hindraf untuk memulakan tindakan mahkamah, dengan pihak peguam Hakem Arabi yang menawarkan perkhidmatan guaman “pro-bono” (tanpa bayaran). Para pekerja tersebut telah menaruh kepercayaan pada peguam tersebut bahawa pihak peguam akan menuntut pelaksanaan keputusan mahkamah 2011 yang berpihak kepada pekerja. Apabila diminta menandatangani surat untuk perlantikan guaman tersebut, ramai daripada pekerja telah menurukan tandatangan dengan harapan pihak peguam Hakem Arabi akan mewakili pekerja dengan sebaik-baiknya dan membela kepentingan pekerja di mahkamah. Pihak MBF (ibu syarikat Alamanda) turut diheret dalam kes ini untuk tujuan pampasan rumah.

Malangnya, majoriti daripada bekas pekerja Ladang Padang Meha tidak pernah dapat berjumpa atau berbincang dengan pihak peguam Hakem Arabi atau Hindraf berkenaan dengan bagaimana mengendalikan kes mahkamah ini. Satu kumpulan kecil sahaja berhubung mereka di Kuala Lumpur. Pihak peguam juga tidak pernah mengadakan mesyuarat di Ladang Padang Meha bersama dengan semua pekerja yang terlibat untuk meminta pandangan kami untuk membawa kes ini.

Para pekerja Ladang Padang Meha kemudiannya terkejut apabila mereka diberitahu bahawa pihak peguam Hakem Arabi dan pihak peguam Alamanda / Pelikuidasi telah membuat “Persetujuan Bersama” (consent order) dalam mahkamah untuk menerima pampasan kerja TANPA FAEDAH yang pernah ditawarkan kepada pekerja pada tahun 1995. Peguam yang mewakili bekas pekerja ini sepatutnya menuntut pelaksanaan keputusan mahkamah pada tahun 2011 yang mengarahkan pampasan kerja DENGAN FAEDAH, tetapi pihak peguam tidak berbuat demikian sebaliknya membuat “persetujuan bersama” dengan pihak peguam pemaju dengan pampasan yang berjumlah jauh kurang daripada apa yang dituntut pekerja.

Para pekerja Ladang Padang Meha TIDAK PERNAH setuju dengan Persetujuan Bersama tersebut dan terkejut bagaimana pihak peguam yang sepatutnya mewakili mereka boleh mengambil satu keputusan yang begitu penting tanpa mendapatkan persetujuan daripada para pekerja yang terlibat. Apa yang terperanjat lagi untuk para pekerja adalah mereka mendapati bahawa sejumlah RM 100,000 telah diperuntukkan kepada peguam Hakem Arabi (yang sepatutnya mewakili pekerja secara “pro bono”) dalam Persetujuan Bersama tersebut.

Para pekerja juga tidak pernah dimaklumkan apa-apa tentang “Persetujuan Bersama” tersebut sebelum dibuat pada bulan April 2018. Pihak peguam Hakem Arabi kemudiannya memberitahu secara bertulis pada Jun 2018 bahawa mereka mahu melawan tuntutan perumahan dengan pihak MBF (ibu syarikat Alamanda).

Pihak pekerja Ladang Padang Meha telah menghantar satu surat untuk meminta penjelasan DENGAN SEGERA daripada pihak peguam Hakem Arabi, tetapi tidak mendapat apa-apa jawapan sehingga hari ini. Sebaliknya, pihak pekerja kalah di mahkamah pada 17 Ogos 2018, dalam kes terhadap MBF berkenaan dengan tuntutan perumahan.

Bekas pekerja Ladang Padang Meha yang berjuang lebih 23 tahun untuk hak perumahan mereka, amat marah pada peguam Hakem Arabi, kerana pihak peguam yang sepatut mewakili mereka telah pecah amanah, menyeleweng, menipu dan melakukan tugasnya secara tidak bertanggunghawab serta tidak professional. Dalam satu mesyuarat umum para bekas pekerja Ladang Padang Meha, mereka telah mengambil keputusan untuk membuat aduan polis terhadap peguam Hakem Arabi, dan menggugurkan peguam ini daripada terus mewakili mereka. Para bekas pekerja juga akan berusaha membuat rayuan kes di mahkamah dan meneruskan perjuangan mereka untuk pampasan yang sewajarnya.

One thought on “Peguam menyeleweng dan menipu penduduk Ladang Padang Meha

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s