50 tahun dahulu, iaitu tahun 1968, merupakan satu tahun yang penuh dengan kebangkitan rakyat di seluruh dunia. Api penentangan, pemberontakan dan revolusi bersemarak di sana sini. Semangat revolusi dan idea untuk perubahan yang disaksikan dalam tahun 1968, bukan sahaja melahirkan generasi baru yang berpemikiran politik radikal, malah mempengaruhi perkembangan sejarah setengah abad selepasnya.

Gelombang revolusi muncul di seluruh pelosok dunia pada tahun 1968. Gerakan perjuangan rakyat yang hebat telah timbul di setiap benua di bumi. Banyak kerajaan negara telah digegarkan oleh kuasa rakyat. Rakyat yang tinggal di negara-negara dalam kedua-dua blok (Blok Barat yang diketuai oleh Amerika Syarikat dan Blok Timur yang diketuai oleh Kesatuan Soviet) semasa Perang Dingin, telah menyertai barisan penentangan dan perjuangan revolusioner yang beraspirasikan perubahan.

Seperti gelombang revolusi tahun 1848 di Eropah, ataupun Revolusi Rusia pada tahun 1917 dan gelombang revolusi yang muncul selepasnya, siri peristiwa yang revolusioner pada tahun 1968 telah mengubah sejarah dan meninggalkan impak yang mendalam kepada masyarakat dunia.

Tahun 1968, melambangkan perjuangan yang radikal, penentangan terhadap kekuasaan, pemberontakan dan REVOLUSI. Sama ada di masyarakat kapitalis “dunia bebas” di Blok Barat, atapupun negara-negara yang diperintah oleh parti-parti bersifat Stalinis di Blok Timur, rakyat telah bangkit mencabar kuasa pemerintahan yang semakin seleweng dan korup. Rakyat yang mempersoalkan kekuasaan, merindukan perubahan dan berazam tinggi untuk pembebasan, telah mencuba untuk membina satu dunia baru dengan cara yang radikal. Anak muda dan pelajar di seluruh dunia telah memberontak, penglibatan kelas pekerja dalam perjuangan telah membawa revolusi ke kemuncaknya.

61239-004-92839527.jpg
Musim Bunga Prague

Kejutan kepada Dunia

Menjelang tahun 1968, negara-negara barat yang maju dari segi ekonomi telah mengalami pertumbuhan ekonomi yang amat pesat selepas Perang Dunia II dan membawa kepada pembangunan masyarakat yang menakjubkan, sehingga ramai orang pada masa itu telah menganggap bahawa perjuangan kelas itu sudah ketinggalan zaman. Revolusi dianggap sebagai sesuatu yang tidak relevan lagi. Kapitalisme nampaknya sudah tidak dapat dikalahkan. Namun, dalam tempoh masa beberapa bulan sahaja, mimpi kapitalisme untuk “Dunia Baru yang Indah” telah hancur berkecai dalam kebangkitan rakyat yang mencabar sistam kapitalis di negara maju.

Imperialisme Amerika Syarikat telah mengalami tamparan yang hebat di Vietnam pada tahun 1968. Di tanahair AS sendiri dan juga negara-negara barat yang bergelar “Dunia Bebas”, ratusan ribu anak muda dan pelajar turun ke jalanraya dalam gerakan anti-perang yang paling hebat dalam abad ke-20. Gerakan anti-perang di negara-negara barat yang diterajui golongan anak muda radikal, bukan sahaja membantah perang penaklukan imperialis, tetapi juga menentang sistem yang membawa peperangan itu sendiri.

Peristiwa Mei 1968 di Perancis, dimulakan oleh pelajar yang memberontak, dan mencapai kemuncak apabila kelas pekerja juga turun berjuang. Peristiwa Mei 1968 menyaksikan mogok umum nasional yang paling hebat dalam sejarah. Pekerja menduduki kilang, jawatankuasa pekerja diorganisasikan untuk mengagihkan bahan bakar dan makanan. Jikalau bukannya pengkhianatan daripada pemimpin reformis dalam Parti Komunis Perancis dan birokrat kesatuan sekerja di Perancis, sememangnya gerakan Mei 1968 di Perancis akan berkembang dengan lebih hebat lagi.

Peristiwa Mei 1968 di Perancis, ataupun Gerakan Pelajar di Jerman Barat (68er-Bewegung), ataupun gerakan protes semasa persidangan Parti Demokratik di Chicago AS, telah menyaksikan pemberontakan anak muda yang mencabar kekuasaan golongan pemerintah secara terbuka melalui tindakan langsung.

Di Czechoslovakia, para pekerja turun ke jalanraya untuk menentang kekuasaan yang mahu menghancurkan usaha pembaharuan masyarakat sosialis. Kesatuan Soviet telah menghantar kereta kebal untuk menakluki Czechoslovakia demi menghancurkan usaha pembaharuan “Musim Bunga Prague” (Prague Spring). Tindakan sebegini telah mendedahkan sifat sebenar rejim Stalinis di Eropah Timur. Pekerja-pekerja yang berdemonstrasi di Poland, satu lagi negara satelit Kesatuan Soviet, telah melaungkan slogan “Jatuhkan Kelas Borjuasi Merah”!

Di Pakistan, termasuk Pakistan Timur masa itu (iaitu Bangladesh sekarang), tercetusnya kebangkitan rakyat pada bulan November 1968, yang akhirnya menjatuhkan pemerintahan kediktatoran tentera yang diketuai oleh Ayub Khan. Di Mexico, gerakan kebangkitan pelajar yang hebat telah dipukul secara ganas oleh kerajaan 10 hari sebelum berlangsungnya Sukan Olimpik di Bandaraya Mexico.

1968_paris_og.jpg
Protes di Paris 1968

Mencari alternatif baru

Selepas tamatnya Perang Dunia II, dunia telah melangkah masuk ke dalam Zaman Perang Dingin, di mana Blok Timur yang terdiri daripada Kesatuan Soviet dan negara-negara satelitnya di Eropah Timur yang dikuasai parti-parti bersifat Stalinis, bertembung dengan Blok Barat yang diketuai oleh kuasa-kuasa imperialis barat seperti AS dan Britain. Di negara-negara Dunia Ketiga, telah wujudnya gerakan pembebasan nasional yang hebat. Revolusi China pada tahun 1949 dan Revolusi Kuba pada tahun 1959, adalah antara peristiwa perjaungan pembebasan masyarakat yang hebat, dan menjadi inspirasi kepada pemberontakan rakyat yang ditindas di seluruh dunia. 

Di negara-negara barat yang mengalami pembangunan ekonomi yang pesat selepas Perang Dunia, kebanyakan golongan kiri dan gerakan pekerja di situ masih menganggap Kesatuan Soviet sebagai alternatif kepada kapitalisme barat. Namun, imaginasi untuk Kesatuan Soviet sebagai alternatif telah mengalami perubahan tidak lama kemudian. Kebangkitan rakyat di Jerman Timur pada tahun 1953 dan Revolusi Hungary pada tahun 1956, telah menggugat kekuasaan pemerintahan Stalinis di Eropah Timur. Pemerintahan Stalinis telah mengekang kebebasan rakyat pekerja dan cuba membina “sosialisme” dari atas melalui cara birokrasi. Apabila kereta kebal dari Kesatuan Soviet masuk ke bumi Czechoslovakia untuk menghancurkan “Musim Bunga Prague”, kewibawaan rejim Stalinis telah hilang sama sekali. Pekerja dan pelajar yang menentang kekuasaan Kesatuan Soviet di negara-negara Stalinis, sebenarnya mengalami senasib dan berada di barisan perjuangan yang sama dengan mereka yang berprotes menentang kekuasaan dan membantah perang imperialis di negara-negara barat.

Gerakan sosial di negara-negara barat turut mengalami radikalisasi pada tahun 1960-an. Apabila pemimpin Gerakan Hak Sivil (Civil Rights Movement), Martin Luther King, dibunuh pada tahun 1968, berlakunya rusuhan yang merebak di seluruh AS. Generasi baru aktivis orang berkulit hitam AS telah beralih dari Gerakan Hak Sivil yang bersifat sederhana kepada Gerakan Kuasa Hitam (Black Power) dan Parti Black Panther yang bersifat lebih radikal. Gerakan Hak Sivil di Ireland Utara juga lahir dalam penindasan ganas oleh polis pada tahun 1968.

Dengan berkembangnya gerakan yang radikal, semakin ramai orang inginkan revolusi sosial dan perubahan yang sebenar. Namun, apabila impian untuk pembebasan diri di Czechoslovakia dihancurkan oleh kereta kebal Kesatuan Soviet, ramai orang tidak lagi percaya pada fahaman sosialisme yang palsu seperti yang diamalkan di Kesatuan Soviet. Ramai mengalihkan perhatian kepada Sosialisme di China yang diterajui oleh Mao Zedong, Revolusi Kuba yang dipimpin oleh Fidel Castro bersama Ernesto Che Guevara, ataupun gerakan pembebasan nasional yang lain di Dunia Ketiga. Pada masa yang sama, aliran pemikiran kiri dan organisasi politik yang radikal turut berkembang pesat, termasuklah Anarkisme, Trotskyisme, Situationist International dan sebagainya.

Seluruh dunia berbelok ke kiri pada tahun 1968, namun serangan balas daripada golongan kanan dan kelas pemerintah juga amat hebat. Golongan kanan dan kelas pemerintah menggunakan segala cara untuk memburuk-burukkan kebangkitan rakyat, sehingga menggunakan kekejaman berdarah untuk menghancurkan segala ancaman terhadap kekuasaan mereka. Pengkhianatan oleh golongan reformis dalam parti berhaluan kiri dan birokrat kesatuan sekerja terhadap gerakan kelas pekerja, juga menyebabkan kuasa pekerja yang bangkit pada masa itu terlepas satu peluang keemasan untuk mencapai kejayaan baru. Walau bagaimanapun, perjuangan yang digerakkan oleh anak muda, pekerja dan rakyat bawahan, masih dapat mencapai banyak kejayaan dari segi pembaharuan masyarakat.

Gerakan sosial yang muncul pada lewat abad ke-20, seperti gerakan anti-nuklear, gerakan alam sekitar, gerakan hak wanita dan sebagainya, adalah hasil tinggalan daripada cetusan perjuangan hebat pada tahun 1968.

Paris-May-1968

Satu lagi dunia adalah berkemungkinan

Walaupun 50 tahun sudah berlalu, semangat revolusi 1968 masih berkeliaran di dunia.

Selepas kejatuhan Blok Timur pada tahun 1989, penyokong sistem kapitalis global dan kelas pemerintah sentiasa memberitahu kita bahawa kapitalismelah satu-satunya pilihan kita. “Kapitalisme membawa kemakmuran, kelas pekerja sudah hilang, penentangan oleh pekerja tidak akan berjaya…” begitulah propaganda mereka. Namun, seawal tahun 1968 lagi hujah-hujah ini telah dipatahkan oleh aksi perjuangan yang hebat di seluruh dunia. Bara 1968 dan juga perjuangan kelas yang berlangsung di sana sini selepasnya, telah menunjukkan bahawa percanggahan asas di masyarakat dunia masih belum selesai dan perjuangan rakyat akan berterusan.

Sistem kapitalis sentiasa mendatangkan pemerasan dan penindasan. Di mana ada penindasan, di situ adanya penentangan. Malah, pada zaman ekonomi kapitalis mencapai kemuncaknya pada tahun 1968 di Perancis dan AS, turut tercetuskan gerakan pemberontakan yang hebat; apatah lagi pada masa kini apabila ekonomi menjadi semakin tidak samarata dan masyarakat semakin tidak adil.

Gelombang kebangkitan rakyat pada tahun 1968, telah membuka minda rakyat sedunia untuk imaginasi pembebasan masyarakat yang sebenar. Imaginasi ini tidak pernah luntur walaupun sudah berlalunya 50 tahun, malah terus memberikan ilham kepada kita tentang satu dunia yang berbeza adalah berkemungkinan.

Kronologi ringkas tahun 1968

5 Januari: Czechoslovakia – Alexander Dubcek menjadi ketua kerajaan Czechoslovakia dan memulakan pembaharuan “Musim Bunga Prague” yang memacu perbezaan pendapat di kalangan rakyat biasa.

11 Januari: Sepanyol – Tindakan kerajaan Sepanyol cuba menyekat aktiviti gerakan pelajar telah mencetuskan demonstrasi dan pertempuran jalanan antara demonstran dengan polis. Selepas itu, protes menjadi semakin kerap.

30 Januari: Vietnam – Tentera penentang Vietnam melancarkan “Serangan Tet”, satu gelombang serangan mengejut terhadap tentera AS dan sekutunya, sehingga menghalau mereka keluar dari bandar-bandar utama untuk seketika.

11 Februari: Amerika Syarikat – Pekerja-pekerja sanitasi bermogok menentang diskriminasi kaum di Memphis, AS.

1 Mac: Itali – Pelajar yang menduduki Universiti Sapienza Rom, Itali telah bertempur dengan polis.

8 Mac: Poland – Pelajar-pelajar dari Universiti Warsaw berarak untuk hak pelajar tetapi dipukul secara keras oleh pihak berkuasa. Ini mencetuskan gelombang protes di Poland.

15 Mac: Poland – 20,000 pekerja dan pelajar berprotes di Gdansk bertempur dengan pasukan keselamatan. Gelombang protes menuntut pembaharuan merebak ke seluruh negara Poland.

17 Mac: Britain – Lebih kurang 100,000 pelajar berarak menuju ke Kedutaan AS di London, UK, untuk membantah perang terhadap Vietnam.

4 April: Amerika Syarikat – Martin Luther King ditembak mati di Memphis, AS. Rusuhan tercetus di banyak buah bandar di seluruh AS.

6 April: Amerika Syarikat – Bobby Hutton, Bendahari Nasional Parti Black Panther, yang berumur 17 tahun pada masa itu, ditembak mati polis di Oakland, AS.

11 April: Jerman Barat – Cubaan membunuh aktivis pelajar Jerman Barat, Rudi Dutschke, yang didakwa sebagai “musuh awam” oleh akhbar Bild-Zeitung. Pelajar yang marah dengan tindakan itu telah berprotes dan menyekat pengedaran akhbar  Bild-Zeitung. Dalam pertempuran dengan polis, lebih kurang 400 orang pelajar cedera dan 2 orang mati.

23 April: Amerika Syarikat – Pelajar yang bermogok menduduki Columbia Universiti di New York.

1 Mei: Sepanyol – Pekerja-pekerja Sepanyol mengadakan aksi massa yang pertama sejak tamatnya Perang Saudara (tahun 1936-39) pada Hari Buruh bagi membantah rejim diktator Franco.

3 Mei: Sweden – Aktivis Sweden berprotes membantah penyertaan dua buah negara apartheid (Rhodesia dan Afrika Selatan) dalam pertandingan tenis yang diadakan di Båstad. Pertempuran ganas berlaku antara polis dengan demonstran.

6 Mei: Perancis – Pelajar-pelajar dan tenaga pengajar berarak menuju ke Universiti Paris, membantah tindakan polis menyerbu universiti tersebut untuk mengusir pelajar yang berhimpun 3 hari sebelum itu.  Lebih 20,000 orang berarak dan bertembung dengan polis yang masih menduduki kampus Universiti Paris. Gelombang protes menjadi lebih hebat selepas itu.

21 Mei: Amerika Syarikat – Ribuan peserta Kempen Orang Miskin (Poor People’s Campaign) di AS mendirikan satu penempatan yang dikenali sebagai “Bandar Bangkit Semula” (Resurrection City) dan bertahan untuk selama 6 minggu.

24 Mei: Sweden – Pelajar berhaluan kiri di Sweden menduduki bangunan kesatuan pelajar di Universiti Stockholm sebagai protes terhadap kerajaan.

29 Mei: Perancis – 10 juta pekerja Perancis bermogok dan banyak kilang diambilalih pekerja yang bermogok, Charles de Gaulle, Presiden Perancis pada masa itu, terpaksa melarikan diri ke luar negara.

26 Jun: Brazil – 100,000 orang turun ke jalanan di Rio de Janeiro dalam aksi protes menentang kediktatoran tentera di Brazil pada masa itu.

21 Ogos: Czechoslovakia – 200,000 orang tentera Rusia bersama kereta kebal menakluki Czechoslovakia untuk menggulingkan kerajaan Dubcek yang melakukan pembaharuan “Musim Bunga Prague”.

25 Ogos: Rusia – 8 orang berdemontrasi di Moscow membantah penaklukan Kesatuan Soviet ke atas Czechoslovakia tetapi hanya untuk seketika sebelum ditahan polis rahsia KGB.

28 Ogos: Amerika Syarikat – Semasa berlangsungnya Persidangan Nasional Parti Demokratik di Chicago, puluhan ribu demonstran yang membantah Perang Vietnam telah bertempur dengan polis di jalanan.

2 Oktober: Mexico – Polis dan tentera Mexico membunuh ratusan pelajar yang berprotes di Bandaraya Mexico. Sebelum itu, Mexico dilanda gelombang protes sepanjang musim panas tahun itu.

5 Oktober: Ireland Utara – Rusuhan tercetus di Derry, Ireland Utara, selepas perarakan untuk hak sivil Katolik dipukul oleh polis.

18pw7zv1exq9ojpg

 

16 Oktober: Mexico – Atlet kulit hitam AS, Tommie Smith dan John Carlos, mengangkat tangan penumbuk dengan sarung tangan hitam di atas podium semasa upacara nyanyian lagu kebangsaan AS di Sukan Olimpik yang diadakan di Bandaraya Mexico.

21 Oktober: Jepun – 290,000 orang berarak dalam aksi anti-perang dan mengambilalih stesen Shinjuku di Tokyo, Jepun, sehingga memaksa perkhidmatan keretapi dihentikan. Pertempuran sengit berlaku apabila pihak polis menyuraikan demonstran.

7 November: Pakistan – Tindakan pihak berkuasa Pakistan memukul pelajar yang berprotes mencetuskan gelombang kebangkitan rakyat Pakistan yang lebih hebat sehingga menjatuhkan rejim diktator Ayub Khan pada bulan Mac 1969.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *