20180725 - pengawal.jpg

Shazni ialah seorang pekerja kawalan keselamatan yang bekerja di sebuah sekolah kebangsaan untuk selama 10 tahun. Gaji sebulannya lebih kurang RM 1,800. Dia bekerja 12 jam sehari, dan 7 hari seminggu. Jika Shazni mahu berehat untuk satu hari, dia perlu mencari seorang pengganti dengan membayarnya RM 50 sehari.

Shazni tidak diupah terus oleh kerajaan walaupun dia bekerja di premis kerajaan. Dia diupah oleh sebuah syarikat kawalan keselamatan yang mendapat kontrak untuk memberikan perkhidmatan kawalan keselamatan di beberapa buah sekolah di kawasan berdekatan. Kontrak perkhidmatan kawalan keselamatan antara syarikat kontraktor dengan Pejabat Pendidikan Daerah adalah 3 tahun, dan akan diperbaharui selepas sampai tempohnya. Selama 10 tahun Shazni bekerja di sekolah yang sama, kontrak kawalan keselamatan untuk sekolah itu telah diperbaharui sebanyak 3 kali. Sebelum pelaksanaan Gaji Minimum, gaji pokok Shazni hanya RM 700 sebulan dan jumlah gaji bulanannya tidak sampai RM 1,000 pun. Situasinya bertambah baik sikit apabila adanya gaji minimum, apabila gaji pokoknya dinaikkan kepada RM 1,000. Namun, Shazni tidak mendapat kenaikan gaji kerana kontrak khidmat kawalan keselamatan dengan sekolah tersebut diperbaharui setiap 3 tahun.

Lebih aneh lagi, apabila kerajaan membenarkan majikan membayar gaji 30% kurang daripada gaji minimum untuk pekerja dalam tempoh percubaan, sebelum Perintah Gaji Minimum 2016 (yang menyatakan bahawa pekerja tempoh percubaan juga perlu dibayar gaji minimum), gaji Shazni telah dikurangkan ke tahap gaji percubaan untuk 3 bulan ketika syarikatnya memperbaharui kontraknya.

Jika Shazni diberhentikan kerja kerana syarikat gulung tikar, dia tidak dapat menuntut faedah pemberhentian kerja untuk kerja 10 tahun, kerana kontraknya hanya 3 tahun.

Shazni tidak berseorangan dalam menghadapi keadaan sebegini. Semua pekerja kawalan keselamatan yang ditempatkan di sekolah kerajaan di seluruh negara mempunyai nasib yang sama.

Jumlah pekerja kawalan keselamatan yang bekerja di sekolah di seluruh negara Malaysia tidak kurang daripada 40,000 orang.

Ketiadaan jaminan kerja, gaji yang rendah dan masa kerja yang berpanjangan, merupakan masalah serius yang dihadapi oleh pekerja-pekerja kawalan keselamatan di sekolah kerajaan.

Kerja kontrak sepatutnya hanya untuk kerja sementara atau bermusim sahaja. Kawalan keselamatan merupakan sejenis kerja yang tetap. Sebuah sekolah atau mana-mana premis kerajaan yang penting memerlukan perkhidmatan kawalan keselamatan sepanjang masa. Namun, pekerja yang diupah untuk melakukan kerja kawalan keselamatan ini dianggap sebagai pekerja kontrak. Mereka tidak mendapat jaminan kerja dan perlindungan hak pekerja yang sepatutnya.

Kerja 12 jam sehari sudah menjadi norma kepada kerja kawalan keselamatan. Walaupun kerja 4 jam yang selebih daripada 8 jam dianggap sebagai kerja lebih masa (OT), tetapi pekerja kawalan keselamatan dipaksa untuk melakukannya. Mereka tiada pilihan untuk tidak membuat kerja OT!

Gaji rendah, iaitu gaji yang sentiasa berada di paras gaji minimum dan tidak pernah dinaikkan walaupun sudah bekerja untuk bertahun-tahun lamanya, menyebabkan pekerja kawalan keselamatan sentiasa terperangkap dalam masalah kemiskinan dan tekanan hidup yang hebat.

Sudah tiba masanya untuk kita mengiktiraf sumbangan pekerja-pekerja kawalan keselamatan. Ini boleh dimulakan dari premis kerajaan, termasuk sekolah rendah dan menengah kerajaan di seluruh negara. Amalan menyumberluarkan (outsourcing) kerja kawalan keselamatan kepada kontraktor swasta perlu diberhentikan. Pekerja yang bekerja di premis kerajaan, termasuk pekerja kawalan keselamatan, patut diupah secara terus oleh kerajaan dan diberi perlindungan kerja seperti kakitangan kerajaan yang lain.

One thought on “Kisah seorang pengawal keselamatan di sekolah kerajaan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *