01-18158005_10155153824524774_3377461006902112645_n.jpg

Pada takat ini, negara kita mempunyai tenaga kerja seramai 14.4 juta orang, dengan kadar pengangguran lebih kurang 3.5%. Di samping itu, adanya jutaan pekerja migran yang datang dari negara-negara Asia Selatan dan Asia Tenggara yang lain, yang diupah untuk bekerja dalam sektor-sektor seperti pembuatan, perladangan, pembinaan, pertanian, perkhidmatan dan kerja-kerja domestik.

Golongan pekerja, iaitu mereka yang menaburkan titisan peluh dan kreativiti minda mereka untuk mendapatkan upah kerja, salami ini merupakan tunjang utama kepada pembangunan ekonomi negara kita. Namun, oleh sebab dasar-dasar pro-kapitalis yang sentiasa diamalkan oleh kerajaan negara kita, hak-hak asasi pekerja sentiasa diancam dan dihakis. Kerja yang tidak terjamin, masa kerja yang terlalu panjang, gaji yang terlalu rendah, dan kesatuan sekerja yang disekat, adalah 4 masalah utama yang dihadapi pekerja Malaysia pada hari ini. 4 masalah ini saling berkait, dan perlu ditangani secara bersama.

Kerja: Semakin tidak terjamin

Sejak tahun 1990-an, kadar pengangguran di negara kita berada pada paras yang agak rendah, di samping membawa masuk semakin ramai pekerja migran dari luar negara. Ini mencerminkan bahawa masyarakat Malaysia sebenarnya berada dalam keadaan yang hampir-hampir mencapai pekerjaan penuh. Namun, ini tidak bermakna pekerja-pekerja kita, sama ada pekerja tempatan ataupun pekerja migran, berada dalam keadaan pekerjaan yang memuaskan.

Walaupun pada luarannya negara kita menghampiri pekerjaan penuh untuk 2 dekad kebelakangan ini, tetapi pekerjaan yang dipegang oleh pekerja semakin tidak terjamin. Sekiranya kita mengambilkira hanya anak muda, kadar pengangguran sebenarnya lebih tinggi.

Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, fenomena penyumberluaran (outsourcing) tenaga kerja semakin berleluasa di negara kita. Penyumberluaran menyebabkan pekerja yang diupah semakin kehilangan jaminan pekerjaan mereka.

Kerajaan Malaysia meminda Akta Kerja 1955 pada tahun 2011, menambahkan peruntukan yang mengiktiraf “kontraktor buruh” (iaitu syarikat kontraktor yang hanya membekalkan tenaga kerja) sebagai majikan utama yang sah. Ini telah memutuskan hubungan pekerja kontrak (iaitu pekerja yang diupah melalui kontraktor buruh) dengan majikan sebenar mereka (iaitu kilang atau syarikat yang memerlukan perkhidmatan tenaga kerja itu). Menjadi sistem kontrak atau penyumberluaran tengaga kerja, sebenarnya menjadikan kerja itu semakin tidak terjamin bagi pekerja. Kontraktor buruh boleh mengisytiharkan muflis bila-bila masa untuk melepaskan tanggungjawabnya dalam menjamin kebajikan pekerja, sementara pekerja tidak dapat menuntut hak dan kebajikannya daripada majikan yang sebenar (iaitu pemilik tempat kerja).

Penyumberluaran tenaga kerja bukan sahaja sesuatu yang sudah biasa dalam sektor swasta, tetapi sektor awam di bawah bidang kuasa kerajaan juga menggunapakai kaedah ini. Sejak tahun 1990-an, kerajaan BN pimpinan Mahathir Mohamad pada masa itu amat ghairah dalam melaksanakan dasar penswastaan. Banyak perkhidmatan di sektor awam telah diswastakan ataupun disumberluarkan kepada syarikat kontraktor swasta. Pekerja yang diupah sebagai pekerja tetap di bawah agensi kerajaan telah bertukar menjadi pekerja kontrak yang diupah kontraktor swasta. Barangkali langkah menyumberluarkan sebahagian perkhidmatan dalam sektor awam kepada kontraktor swasta ini bertujuan untuk mengurangkan kos kononnya, di samping mendorong pertumbunan usahawan kontraktor tempatan, tetapi hakikatnya ini telah dijadikan cara untuk kerajaan melepas tanggungjawabnya dalam menjaga kebajikan pekerja-pekerja yang bekerja di premis kerajaan. Memang sebahagian usahawan bumiputra mendapat faedah daripada sistem penyumberluaran ini, tetapi pekerja-pekerja yang majoritinya juga bumiputra menjadi semakin miskin di bawah sistem kontrak penyumberluaran sebegini.

Di sekolah dan hospital, kerja-kerja seperti kawalan keselamatan, pembersihan dan sebagainya telah disumberluarkan kepada kontraktor swasta. Kontraktor swasta mengupah pekerja dengan gaji yang rendah. Pekerja-pekerja yang diupah di bawah sistem kontrak ini, tiadanya jaminan pekerjaan. Ini disebabkan kontrak mereka hanya untuk 2 atau 3 tahun, dan tiada jaminan bahawa mereka akan diupah semula selepas kontrak tamat. Pekerja-pekerja kontrak ini juga tidak dapat kenaikan gaji tahunan, elaun kesihatan, pencen dan sebagainya. Jika seseorang pekerja itu diupah oleh kontraktor yang tidak berhati perut, nasibnya akan lebih teruk lagi dengan menghadapi masalah seperti gaji tertunggak, majikan potong gaji untuk KWSP tetapi tidak mencarumkan wang itu, dan macam-macam lagi.

Sistem kontrak hanya sesuai untuk kerja-kerja sementara ataupun kerja bermusim. Namun, kerja kawalan keselamatan, pembersihan, penjagaan kebun, dobi dan sebagainya, adalah kerja tetap untuk memastikan sekolah dan hospital awam kita sentiasa berfungsi secara normal. Kerajaan tidak patut menggunakan sistem kontrak (yang hanya sesuai untuk kerja sementara) untuk mengupah pekerja yang membuat kerja-kerja tetap. Sistem kontrak adalah salah satu sebab pekerja-pekerja bergaji rendah masih terperangkap dalam masalah kemiskinan.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, wujudnya satu trend baru dengan perkembangan perkhidmatan ride-sharing seperti Uber dan Grabcar. Kerajaan kita sendiri juga Kerajaan menggalakkan penyertaan rakyat sebagai pemandu ride-sharing seperti pemandu Uber. Corak pekerjaan baru sebegini dikenali sebagai “ekonomi perkongsian” (sharing economy), namanya memang sedap didengar, tetapi sebenarnya hanyalah sejenis sistem kerja kontrak atau penyumberluaran tenaga kerja yang dilapik dengan wajah teknologi baru. Syarikat yang meneroka app baru ini mendapat keuntungan yang sangat lumayan, tetapi pembekal perkhidmatan yang bekerja di bawahnya hanya dapat berkongsikan ketidakjaminan kerja.

Mungkin seorang pemandu Uber ingat dirinya rakan kongsi kepada pemilik syarikat, tetapi tanpa disedari sebenarnya dia hanyalah seorang pekerja yang langsung tiada perlindungan dan jaminan kerja.

Tambahan pula dengan ekonomi dunia yang tidak stabil, di mana akan berlakunya kegawatan ekonomi selang beberapa tahun, pekerja-pekerja yan diupah dalam perusahaan berkaitan dengan ekonomi berorientasikan eksport sentiasa terdedah kepada risiko kehilangan kerja.

Masa kerja yang panjang

Kerja 8 jam sehari, ataupun kerja 40 jam seminggu, adalah tuntutan utama golongan pekerja semasa zaman Revolusi Industri di Eropah pada abad ke-19. Robert Owen, seorang sosialis utopia di Britain, telah mengemukakan idea mengurangkan masa kerja seawal tahun 1810, dan beliau melaksanakan sistem pengurangan masa kerja di kilangnya di New Lanark, Scotland. Owen kemudiannya mengemukakan idea “8 jam kerja, 8 jam rekreasi, 8 jam rehat”, yang selepas itu menjadi slogan kepada gerakan pekerja menuntut sistem kerja 8 jam sehari.

Pada 1 Mei 1886, pekerja-pekerja di Chicago, Amerika Syarikat, telah mengadakan mogok besar-besaran untuk menuntut kerja 8 jam sehari, tetapi ditindas secara kejamnya oleh kapitalis dan pemerintah. 1 Mei kemudiannya menjadi tarikh keramat bagi gerakan pekerja seluruh dunia.

Tempat yang paling awal melaksanakan kerja 8 jam sehari ialah Melbourne, Australia. Pada 21 April 1856, tukang batu dan pekerja pembinaan di Melbourne mengadakan mogok dan aksi perhimpunan, akhirnya berjaya ditunaikan tuntutan mereka untuk kerja 8 jam sehari. Negara yang pertama sekali melaksanakan kerja 8 jam sehari ialah Rusia selepas Revolusi Oktober pada seratus tahun dahulu. 4 hari selepas Revolusi Oktober pada tahun 1917, kerajaan soviet (iaitu majlis pekerja) Rusia yang revolusioner telah mengumumkan pelaksanaan kerja 8 jam sehari.

Konvensyen yang pertama ditetapkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) selepas penubuhannya pada tahun 1919, ialah Konvensyen Jam Kerja (Industri) 1919, yang menghadkan masa kerja kepada 8 jam sehari dan 48 jam seminggu. Konvensyen tersebut mula berkuatkuasa pada tahun 1921. Malangnya sekali, walaupun Konvensyen Jam Kerja (Industri) 1919 telah wujud hampir 100 tahun dan negara kita pun merdeka untuk 60 tahun, Malaysia masih belum lagi menandatangani Konvensyen ini. Pelik tapi benar.

Walaupun gerakan pekerja telah berjaya memperjuangkan kerja 8 jam sehari sejak 100 tahun dahulu, tetapi pencapaian hasil perjuangan pekerja ini masih sentiasa dihakis oleh sistem ekonomi kapitalis yang mengejar pemaksimuman keuntungan.

Dengan perkembangan teknologi moden, pengeluaran perindustrian semakin menuju ke arah automasi, iaitu mesin semakin menggantikan tenaga kerja manusia dalam melakukan kerja-kerja pengeluaran barangan. Perkembangan automasi bermakna kuasa pengeluaran masyarakat kita semakin meningkat, dan sepatutnya sesuatu yang amat baik untuk seluruh umat manusia. Namun, di bawah sistem kapitalis, ini adalah berita buruk untuk pekerja. Apabila robot semakin menggantikan tenaga manusia pekerja, keadaan kerja untuk pekerja bukan sahaja tidak diperbaiki, sebaliknya menyebabkan pekerja kehilangan kerja. Pekerja yang hilang kerja akan melalui keadaan kehidupan yang semakin teruk.

Sesuatu yang amat tidak masuk akal tetapi wujud secara nyata di bawah sistem ekonomi kapitalis adalah, apabila semakin ramai pekerja menganggur dalam masyarakat, adanya ramai lagi pekerja yang terpaksa bekerja untuk jangkamasa yang sangat panjang. Ini adalah manifestasi percanggahan asas dalam sistem kapitalis.

Ramai pekerja membuat kerja lebih masa (OT) selepas kerja 8 jam sehari. Pekerja buat OT bukan sebab mereka sukakan OT, tetapi oleh kerana gaji mereka yang rendah. Gaji rendah memaksa pekerja melakukan kerja OT. Namun, apabila semakin ramai pekerja melakukan OT, iaitu bekerja dengan masa yang lebih panjang, semakin ramai juga pekerja akan hilang kerja atau susah mencari kerja.

Memandangkan teknologi canggih sudah dapat menggantikan tenaga manusia untuk menjalankan pengeluaran, bermakna kadar pengeluaran pekerja secara puratanya sudah pun meningkat. Oleh itu, masa kerja yang diperlukan oleh seseorang pekerja untuk melakukan sesuatu kerja yang sama sepatutnya menjadi lebih pendek. Ini membolehkan seseorang pekerja dapat bekerja kurang daripada 8 jam sehari tanpa perlu kurangkan gajinya. Apabila masa kerja seorang pekerja dikurangkan, maknanya adalah peluang pekerjaan akan bertambah untuk pekerja lain.

Apabila masa kerja dikurangkan tanpa mengurangkan gaji yang diterima, pekerja dapat menikmati lebih banyak masa lapang untuk melakukan perkara kegemarannya, menjalankan aktiviti peningkatan diri dan memperbaiki kualiti hidupnya.

Lagi pun, masa kerja yang panjang tidak bersamaan dengan kecekapan dan keberkesanan kerja. Sebaliknya, semakin panjang masa kerja, semakin banyak tenaga fizikal dan mental akan dibazirkan, tambahan pula dengan tidak dapat pulih dalam masa rehat yang pendek, maka kecekapan kerja akan merosot.

Negara Sweden telah menjalankan eksperimen kerja 6 jam sehari sejak beberapa tahun kebelakangan ini, hasilnya adalah kecekapan kerja untuk pekerja telah bertambah, dan pekerja yang tinggalkan kerja pun menjadi kurang. Pusat kereta Toyota di Gothenburg mula melaksanakan sistem kerja 6 jam sehari sejak tahun 2003, di mana langkah ini mendatangkan kepuasan pekerja terhadap kerja mereka, pekerja yang letak jawatan berkurangan dengan hebatnya, dan keuntungan syarikat juga bertambah.

Namun, di bahawa hukum ekonomi kapitalis yang sentiasa mahu memaksimumkan keuntungan, pengurangan masa kerja tidak mendatangkan kesan serta-merta untuk pengumpulan modal. Untuk kapitalis yang mengejar pengumpulan modal secara hebat, membenarkan masa kerja yang panjang, akan mewujudkan peluang pekerjaan yang tidak mencukupi, maka semakin ramai pekerja yang menganggur akan menjadi “tentera simpanan industri” yang senang diperas dengan gaji yang rendah. Dalam keadaan pengangguran yang tinggi, pekerja yang tidak dapat tahan dengan masa kerja panjang dan gaji rendah adalah susah untuk melawan, kerana sekiranya mereka menuntut gaji yang lebih tinggi atau masa kerja yang lebih pendek, maka mereka akan mudah digantikan oleh “tentera simpanan industri”, iaitu pekerja yang sedang menganggur dan perlukan kerja.

Di Malaysia, ramai pekerja tidak dapat memperoleh gaji yang mencukupi dengan hanya kerja 8 jam sehari. Mereka terpaksa melakukan kerja lebih masa. Ada juga yang perlu kerja pada hari rehat.

Jika anda pergi ke mana-mana sebuah sekolah, tanya pengawal keselamatan di situ, adakah sesiapa yang bukan kerja 12 jam sehari dan sekiranya anda dapat menemui seorang yang bukan kerja 12 jam sehari, ini memang suatu berita yang aneh.

Kerajaan kita menetapkan “Peraturan-peraturan Kerja (Had Kerja Lebih Masa)” pada tahun 1980, membenarkan had kerja lebih masa bertambah daripada 32 jam sebulan kepada 64 jam sebulan. Pada tahun 1991, apabila kerajaan pimpinan Mahathir bercita-cita tinggi mahu jadikan Malaysia sebagai negara maju, peraturan ini telah dipinda, menaikkan had kerja lebih masa kepada 104 jam sebulan, bersamaan dengan 4 jam kerja lebih masa setiap hari. Dari kerja 8 jam sehari ke kerja 12 jam sehari, negara maju macam mana ni?

Gaji rendah susahkan pekerja

Gaji Minimum akhirnya dilaksanakan mulai tahun 2013 slepas desakan daripada organisasi-organisasi masyarakat seperti Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk lebih satu dekad. Namun, apabila gaji minimum mula dilaksanakan, parasnya ditetapkan pada RM 900 sebulan untuk Semenanjung Malaysia, dan RM 800 sebulan untuk Sabah dan Sarawak. Ini merupakan paras gaji yang amat rendah. Selepas 3 ½ tahun, kerajaan hanya menaikkan gaji minimum mulai 1 Julai 2016, dengan RM 1,000 sebulan untuk Semenanjung Malaysia, dan RM 920 sebulan untuk Sabah dan Sarawak. Satu paras yang masih begitu rendah untuk pekerja-pekerja di negara kita.

Dengan penetapan gaji minimum pada paras yang begitu rendah untuk pekerja-pekerja, menyebabkan mereka terus hidup dalam keadaan tertekan dengan beban hidup yang semakin meningkat. Tambahan pula dengan pemotongan subsidi yang menyebabkan kenaikan harga minyak bahan api dan harga barangan keperluan asas, serta pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang memiskinkan lagi rakyat miskin, nasib pekerja bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga.

Dalam situasi gaji yang ditekan pada paras gaji yang rendah, adalah tidak hairan pekerja-pekerja kita sentiasa buat kerja lebih masa (OT). Pekerja buat kerja lebih masa bukan kerana mereka suka, tetapi gaji pokok rendah yang menyebabkan mereka hidup susah.

Gaji yang rendah juga memaksa sesetengah pekerja membuat kerja sambilan untuk menambahkan pendapatan. Adakah mereka yang membuat dua kerja seronok untuk buat kerja mereka? Adakah pekerja yang buat kerja kedua dan malah adanya kerja ketiga itu berlainan daripada pekerja-pekerja lain kerana mempunyai masa 48 jam sehari dalam hidupnya?

Kerajaan negara kita yang sentiasa pro-kapitalis selama ini, telah melaksanakan dasar gaji rendah, demi mengekalkan “daya saing” negara kita untuk menarik pelabur asing. Walaupun kadar pengangguran di negara Malaysia boleh dikatakan rendah, tetapi “tentera simpanan industri” untuk negara kita tersebar di negara-negara sekeliling di rantau ini, dan berada dalam jumlah yang besar. Pembawaan masuk pekerja-pekerja migran dalam jumlah yang besar, tetapi pada masa yang sama tiadanya perlindungan untuk pekerja migran dari segi dasar buruh yang komprehensif dan undang-undang yang menjamin hak pekerja migran, menyebabkan pekerja-pekerja migran menjadi golongan yang mudah diperas dan senang dibuli oleh majikan. Pekerja-pekerja migran yang mudah diperas dan tiada jaminan hak untuk mereka, juga akan merugikan pekerja-pekerja tempatan, kerana pekerja-pekerja tempatan kehilangan kuasa tawar-menawar. Jika seseorang pekerja tempatan tidak berpuas hati dengan keadaan kerja dan cuba menuntut hak-haknya, majikan mempunyai kelebihan untuk menggantikan pekerja tempatan yang berani menuntut haknya dengan pekerja migran yang lebih sedang dibuli. Jikalau pekerja-pekerja migran lawan balik pun, mereka senang ditamatkan kerja dan dihantar balik ke negara asal. Dengan penghakisan ke atas kuasa tawar-menawar pekerja, keadaan gaji rendah telah diteruskan lagi.

Oleh sebab ekonomi negara kita bergantung pada perusahaan yang berorientasikan eksport ke luar negara, maka pengilang yang mengeluarkan barangan untuk eksport dan kerajaan yang membuat dasar tidak pernah mengutamakan pasaran domestik kita sendiri. Negara Malaysia mempunyai penduduk seramai 32 juta orang, lebih ramai daripada penduduk Australia yang hanya ada 24 juta orang penduduk. Namun, kenapakan negara Malaysia tidak dianggap sebagai pasaran yang lebih besar daripada Australia? Amat jelas sekali, pendapatan majoriti rakyat, khususnya pekerja-pekerja yang makan gaji untuk menampung kehidupan, adalah amat rendah dan ini telah menyebabkan kuasa beli rakyat Malaysia juga amat rendah. Apabila kuasa beli tidak mencukupi, maka pasaran domestik pun jadi kecil.

Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) dan Persatuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM), sejak dulu lagi membantah pelaksanaan gaji minimum dan cuba dapatkan kelonggaran atau penangguhan pelaksanaan kenaikan gaji minimum. Baru-baru ini pula, golonngan kapitalis ini membantah Skim Insurans Pekerja (yang melindungi pekerja yang hilang kerja akibat krisis ekonomi). Mereka sentiasa mengadu bahawa langkah-langkah untuk menambahbaikkan pendapatan dan memperbaiki syarat kehidupan pekerja ini akan meningkatkan kos pengeluaran mereka. Golongan kapitalis ini bersikap demikian bukan sahaja disebabkan mereka tidak pernah bersimpati pada keadaan hidup pekerja yang semakin susah, malah mereka tidak pernah memandang berat tentang menjadikan Malaysia sebagai pasaran sasaran mereka. Adakah mereka menganggap pekerja-pekerja di Malaysia lebih bertaraf rendah berbanding pekerja-pekerja di Australia?

Paras gaji minimum pada takat ini tidak bersesuaian dengan realiti hidup rakyat hari ini. Kerajaan perlu melakukan perubahan baru dengan memperkenalkan Dasar Gaji Sara Hidup (living wage). Dengan adanya Dasar Gaji Sara Hidup, gaji minimum akan ditetapkan pada paras yang lebih realistik untuk seseorang pekerja bagi memenuhi keperluan asasnya, yang termasuk perumahan, makanan yang berkhasiat, kemudahan asas, pengangkutan, kesihatan dan rekreasi yang minimum.

Selain itu, perlindungan jaminan pendapatan untuk pekerja yang hilang kerja tanpa kerelaan mereka (iaitu diberhentikan kerja kerana syarikat muflis, kilang berpindah tempat atau majikan mahu kurangkan tenaga kerja), seperti tabung pemberhentian kerja, juga amat penting. Ini bukan sahaja memastikan pekerja tidak terjerat dalam kancah kemiskinan apabila kehilangan kerja, tetapi juga mengelakkan krisis ekonomi yang lebih teruk.

Kesatuan sekerja sentiasa diancam

Pada bulan Mac tahun ini, apabila aktivis daripada Kesatuan Pekerja-Pekerja Pembersihan Swasta Perkidmatan Sokongan Di Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia mengedar risalah kepada pekerja-pekerja pembersihan di Hospital Teluk Intan untuk menggalakkan mereka menyertasi kesatuan sekerja, usaha tersebut telah dihalang oleh pegawai pengurusan daripada syarikat kontraktor yang mengupah pekerja-pekerja pembersihan tersebut. Pihak pengurusan syarikat kontraktor kemudian mengadakan perjumpaan dengan semua pekerja pembersihan, memberi amaran kepada pekerja-pekerja supaya jangan mendengar apa-apa cakap daripada kesatuan, dan tidak dibenarkan untuk menerima apa-apa risalah kesatuan. Pihak pengurusan juga mengugut pekerja-pekerja bahawa tindakan akan diambil ke atas semua pekerja sekiranya mendapat tahu mana-mana pekerja menyertai kesatuan sekerja. Peristiwa ini mencerminkan halangan yang dihadapi oleh pekerja-pekerja di Malaysia untuk menyertai kesatuan sekerja.

Gerakan kesatuan sekerja yang radikal di negara kita telah dihancurkan secara zalimnya oleh kerajaan penjajah British pada tahun 1940-an, dan digantikan dengan “kesatuan kuning” yang menyokong pemerintah dan pro-majikan. Walau bagaimanapun, pada tahun 1950-an dan hingga 1960-an, masih adanya perjuangan pekerja yang disusun oleh kesatuan sekerja. Misalnya mogok pekerja-pekerja Keretapi Tanah Melayu (KTM) pada tahun 1962 (di mana lebih kurang 9,000 pekerja melibatkan diri dalam perjuangan mogok selama 22 hari), mogok pekerja ladang di Asahan pada tahun 1967 dan sebagainya. Ramai aktivis kesatuan sekerja zaman dahulu pernah ditahan di bawah Ordinan Darurat dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang memang terkenal dengan kezalimannya.

Akta Kesatuan Sekerja 1959 telah mengenakan pelbagai sekatan terhadap organisasi kesatuan sekerja, dan pernah dipinda beberapa kali dengan setiap kali pindaan menjadi lebih teruk lagi untuk kesatuan sekerja. Pindaan terhadap Akta Kesatuan Sekerja yang paling teruk terjadi semasa kerajaan di bawah pimpinan Mahathir. Sejak zaman Mahathir, kesatuan sekerja di negara kita dilemahkan lagi, sehingga tiadanya kekuatan yang sebenar untuk mempertahankan pekerja daripada ancaman kapitalis.

Kesatuan sekerja merupakan organisasi massa pekerja yang berperanan untuk memperjuangkan hak dan kepentingan pekerja. Kesatuan sekerja boleh membawa tuntutan pekerja ke depan melalui tindakan kolektif seperti mogok kerja, dan juga sebagai wakil pihak pekerja dalam perundingan tawar-menawar kolektif dengan majikan. Kesatuan sekerja berperanan untuk memperjuangkan tuntutan pekerja seperti kenaikan gaji, pengurangan masa kerja, penambahbaikan keadaan bekerja dan hak-hak pekerja. Oleh itu, kesatuan sekerja amat penting untuk pekerja.

Namun, kesatuan sekerja menghadapi ancaman berkecenderungan menjadi sebahagian daripada jentera sistem kapitalis untuk meneutralkan perjuangan pekerja, khususnya apabila operasinya menjadi semakin birokratik. Usaha memecahkan kesatuan sekerja di negara kita sejak dahulu lagi, telah menjadikan hampir semua kesatuan sekerja berfungsi sedemikian. Kekuatan sesebuah kesatuan sekerja terletak pada penyertaan pekerja secara demokratik dalam organisasinya.

Sistem negara kebajikan yang diamalkan di negara-negara Eropah, wujud bukannya kerana golongan kapitalis tiba-tiba sedar pada suatu hari dan membenarkan kewujudannya, tetapi adalah hasil daripada gerakan kesatuan sekerja yang kuat sehingga memaksa golongan kapitalis terpaksa akur pada tuntutan pekerja. Apabila kekuatan kesatuan sekerja dilemahkan, kerajaan yang bersekongkol dengan golongan kapitalis akan menjadi lebih mudah untuk melaksanakan dasar yang menghakis hak pekerja.

Keanggotaan kesatuan sekerja di negara kita pada takat ini hanya lebih kurang 7% sahaja, satu peratusan yang begitu rendah. Lebih-lebih lagi, kebanyakan kesatuan sekerja tidak bertaring kerana telah dilemahkan oleh sekatan undang-undang, birokrasi organisasi, dan kehilangan budaya perjuangan kelas dalam kesatuan.

Tanpa gerakan sekerja yang kuat sebagai sokongan untuk pekerja dalam memperjuangkan hak pekerja, memang mendatangkan masalah yang serius kepada golongan pekerja. Tambahan pula dengan perubahan dalam sifat kerja, iaitu jaminan pekerja yang semakin terhakis (seperti perluasan sistem kerja kontrak dan penyumberluaran tenaga kerja), pengorganisasian kesatuan sekerja menjadi semakin lemah.

Walau betapa susah menubuhkan kesatuan sekerja ataupun dalam keadaan yang tiadanya kesatuan sekerja yang sah di sisi undang-undang, pekerja-pekerja masih boleh berorganisasi. Organisasi pekerja adalah amat penting untuk mempertahankan hak pekerja daripada terus dihakis.

Antara perubahan dasar dan undang-undang yang diperlukan untuk memastikan hak kesatuan sekerja ialah pengiktirafan kesatuan sekerja secara automatik, iaitu sesebuah kesatuan sekerja tidak memerlukan persetujuan majikan untuk membolehkannya didaftar sebagai kesatuan yang dapat mewakili pekerja secara sah di sisi undang-undang.

Hak pekerja yang kita nikmati pada hari ini, walaupun amat tidak mencukupi, tetapi masih merupakan hasil perjuangan pekerja yang lampau. Jika perjuangan pekerja tidak diteruskan dengan kekuatan yang lebih hebat, segala hasil yang dinikmati pada hari ini juga akan dihakis terus di bawah sistem kapitalis.

Dalam keadaan seluruh dunia yang sentiasa dihantui krisis ekonomi, golongan pekerja yang berpendapatan rendah sentiasa akan dimangsakan setiap kali berlakunya krisis, walaupun penyebab krisis ialah mereka yang memeras pekerja, iaitu kelas kapitalis parasitik yang tidak menghasilkan apa-apa yang berguna kepada masyarakat. Untuk membebaskan diri daripada belenggu ini, pekerja-perja tiadanya pilihan yang lain kecuali berorganisasi, menjalankan pendidikan politik yang berterusan, meningkatkan kesedaran kelas pekerja dan memobilisasi untuk perubahan. Golongan pekerja hanya dapat mempertahankan maruah dan kepentingan bersama kelas pekerja melalui kuasa kolektif pekerja.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *