(grafik: Wikipedia)

Kesatuan Ekologi dan Sosial Rakyat Baharu (NUPES), sebuah gabungan parti-parti berhaluan kiri di Perancis yang baru ditubuhkan pada 1 Mei 2022 dan dipimpin oleh Jean-Luc Mélenchon, mencatatkan pencapaian yang memberangsangkan dalam pengundian pusingan pertama untuk Pilihanraya Parlimen Perancis. Keputusan pengundian pusingan pertama menyaksikan persaingan sengit antara NUPES dengan Ensemble, sebuah pakatan parti-parti liberal yang bertujuan untuk memenangi majoriti dalam Parlimen yang menyokong Presiden Emmanuel Macron. NUPES meraih sebanyak 25.66% undian sementara Ensemble memperoleh 25.75% undian. NUPES sudah menang 4 kerusi dalam pengundian pusingan pertama, sementara Ensemble hanya dapat 1 kerusi selepas pengundian pusingan pertama.

Pengundian pusingan pertama untuk Pilihanraya Parlimen Perancis telah diadakan pada 12 Jun 2022, dan pengundian pusingan kedua akan berlangsung pada 19 Jun 2022. Pilihanraya Parlimen ini adalah untuk memilih 577 orang ahli parlimen yang akan mengambil tempat dalam Perhimpunan Kebangsaan Perancis bagi penggal 5-tahun akan datang. Ahli-ahli Parlimen Perancis dipilih melalui sistem pengundian dua pusingan untuk semua kawasan mengundi yang hanya diwakili oleh seorang ahli parlimen. Untuk mana-mana satu kerusi parlimen, dalam pengundian pusingan pertama, seorang calon yang memperoleh majoriti mutlak dalam undi yang sah dan jumlah undi yang diperolehinya melebihi 25% daripada jumlah pengundi yang berdaftar, maka dia akan muncul sebagai pemenang dalam pusingan pertama. Sekiranya tiada calon yang menepati syarat untuk menang dalam pusingan pertama ini, maka pengundian pusingan kedua akan diadakan dengan pertandingan antara dua orang calon yang memperolehi undi terbanyak dalam pusingan pertama, tambah lagi dengan seorang calon lain yang menerima undi melebihi 12.5% daripada jumlah pengundi yang berdaftar.

Dengan Ensemble yang berhasrat untuk mengekalkan majoriti Presiden dalam Parlimen Perancis mendapat saingan yang hebat daripada NUPES, boleh dikatakan Macron sudah ditewaskan dalam pengundian pusingan pertama dan kemungkinan besar Macron akan kehilangan sokongan majoriti dalam Parlimen. Parti-parti yang menyokong Macron menerima 32.33% undian dalam pusingan pertama Pilihanraya Parlimen pada tahun 2017, dan Macron sendiri meraih 27.85% undian dalam pusingan pertama Pilihanraya Presiden yang diadakan dua bulan sebelum ini. Macron menguasai majoriti selesa dengan 350 kerusi dalam penggal Parlimen Perancis sebelum ini, tetapi sekarang dijangka bahawa gabungan parti politik yang menyokong Macron hanya akan menang antara 255 hingga 295 kerusi dalam Parlimen. Mana-mana parti memerlukan 289 kerusi untuk menjadi majoriti dalam Parlimen Perancis. Ensemble mendapat undi terbanyak di 205 kerusi dalam pengundian pusingan pertama.

Senario bagi politik kiri di Perancis telah mengalami perubahan yang agak besar berbanding 5 tahun dahulu. Parti Sosialis (PS), parti kiri tengah yang pernah menjadi kerajaan beberapa kali tetapi mengalami kekalahan teruk dalam pilihanraya pada tahun 2017, masih mampu memenangi lebih banyak kerusi Parlimen berbanding La France Insoumise, parti berhaluan kiri yang dipimpin oleh Jean-Luc Mélenchon. Namun, program politik Mélenchon yang lebih radikal semakin mendominasi gerakan kiri di Perancis dan menjadi aliran utama dalam blok politik kiri. PS yang masih menguasai jawatan Presiden dan majoriti Parlimen untuk penggal 2012-2017, boleh dikatakan telah diabaikan langsung oleh pengundi dalam Pilihanraya Presiden pada tahun 2022 dengan hanya memperoleh 1.7% undian. Hanya Mélenchon yang menyelamatkan PS dengan memasukkannya ke dalam gabungan kiri baharu yang ditubuhkannya untuk Pilihanraya Parlimen Perancis 2022.

(foto: NUPES)

NUPES yang ditubuhkan pada 1 Mei 2022, iaitu Hari Pekerja Antarabangsa tahun ini, telah mengubah suasana politik Perancis dalam tempoh dua bulan menjelang Pilihanraya Parlimen 2022. NUPES merupakan sebuah gabungan parti politik kiri yang meluas, di mana ia disertai oleh La France Insoumise yang dipimpin oleh Jean-Luc Mélenchon, Parti Sosialis (PS), Parti Komunis Perancis (PCF), Europe Écologie Les Verts (EELV), Parti Kiri (PG),  Génération.s (sebuah parti yang berpecah keluar dari PS dan dipimpin oleh Benoît Hamon, bekas calon Presiden bagi PS pada tahun 2017), Ensemble! (sebuah parti kiri yang mendukung idea eko-sosialis, feminis dan anti-kapitalis; jangan kelirukannya dengan gabungan parti liberal dengan nama yang serupa, Ensemble,yang menyokong Macron), dan parti-parti kecil yang lain.

Pembentukan NUPES merupakan usaha penting daripada golongan kiri radikal untuk menyatukan gerakan politik kiri Perancis yang berpecah-belah ke dalam kempen pilihanraya yang bercita-cita tinggi. Inisiatif ini muncul selepas Mélenchon meraih lebih 7.7 juta undi (bersamaan 21.95%) dalam pengundian pusingan pertama Pilihanraya Presiden pada bulan April 2022. NUPES telah menawarkan idea pembaharuan yang radikal untuk meraih sokongan pengundi Perancis. Diskusi menjelang Pilihanraya Parlimen Perancis telah dipenuhi dengan isu mengenai peningkatan gaji minimum sebanyak lebih 15%, peningkatan gaji sektor awam sebanyak 10%, pesaraan pada umur 60 tahun, cukai ke atas golongan kaya, kawalan terhadap harga makanan asas dan bahan api, dan sebagainya, hasil daripada usaha NUPES menawarkan alternatif politik yang mencabar dominasi dasar neoliberal yang dibawa oleh Presiden Macron. NUPES mengemukakan program politiknya yang mengandungi 650 cadangan, termasuk menghentikan penggunaan tenaga nuklear, mengurangkan masa kerja, merombak semula pasukan polis sebagai respon terhadap masalah keganasan polis terhadap demonstran dan kumpulan minoriti etnik, membina semula kemudahan kesihatan awam yang dilemahkan oleh dasar neoliberal, dan sebagainya.

NUPES dijangka dapat menang 150 hingga 220 kerusi. Ini merupakan satu peningkatan yang besar berbanding 72 kerusi yang dipegang oleh parti-parti yang bergabung dalam NUPES pada masa kini. NUPES menduduki tempat pertama dari segi perolehan undi di 194 kerusi dalam pengundian pusingan pertama.

Di bawah sistem politik di Perancis, walaupun Presiden yang dipilih secara langsung memegang kuasa yang paling besar, tetapi parti politik yang menguasai majoriti dalam Parlimen akan membentuk kerajaan dan memilih Perdana Menteri. Jadi, ada kemungkinan Presiden dan Perdana Menteri datang daripada dua parti yang berbeza. Keadaan “sekedudukan” yang tidak selesa apabila parti yang menyokong Presiden tidak memperoleh majoriti Parlimen bukannya sesuatu yang luar biasa dalam sejarah politik Perancis. Misalnya, pada tahun 1997, parti berhaluan kanan tradisional yang menyokong Presiden Jacques Chirac pada masa itu gagal memperolehi majoriti dalam Parlimen selepas ditewaskan oleh PS yang dipimpin oleh Lionel Jospin (calon Presiden pada tahun 1995 yang bersaing dengan Chirac) ketika itu, membolehkan Lionel Jospin dilantik sebagai Perdana Menteri Perancis di bawah Presiden Chirac. Oleh itu, NUPES memang pada awalnya bercita-cita untuk menjadikan Mélenchon sebagai Perdana Menteri!

Walaupun NUPES dijangka akan memperoleh kerusi yang kurang berbanding Ensemble dalam pengundian pusingan kedua, tetapi Ensemble berkemungkinan besar akan gagal memperoleh majoriti dalam Parlimen. Ini akan menjadikan Macron sebagai Presiden Perancis yang ketiga ditewaskan dalam Pilihanraya Parlimen (selepas tahun 1877 dan 1997).

Pada tahun 2017, blok parti yang menduduki tangga kedua dari segi penguasaan kerusi Parlimen Perancis ialah parti kanan tradisional yang diterajui oleh Les Républicains (LR), dengan undian 21.57% dalam pengundian pusingan pertama. Sekarang ini, undian yang diperolehi blok parti kanan tradisional telah merosot kepada 11.3%, maka dijangkakan ia akan hilang lebih separuh daripada 136 kerusi yang dimenanginya dalam Pilihanraya Parlimen terdahulu.

Parti pelampau kanan Rassemblement National (RN) yang dipimpin oleh Marine Le Pen, calon Presiden yang berjaya melayakkan diri ke pusingan kedua Pilihanraya Presiden 2022, menduduki tangga ketiga dari segi perolehan undi dalam pusingan pertama Pilihanraya Parlimen, dengan memperolehi 18.68% undian. RN dijangka boleh menang 20 hingga 45 kerusi, satu peningkatan yang besar juga berbanding 8 kerusi yang dimenanginya pada tahun 2017. Sebuah lagi parti pelampau kanan, Reconquête!, memperoleh 4.25% undian, walaupun pemimpinnya Éric Zemmour telah disingkirkan daripada pusingan kedua untuk kerusi yang ditandinginya.

Dinamik untuk pengundian pusingan kedua masih kurang jelas. Golongan kanan sudah pasti akan menggunakan pelbagai taktik untuk cuba menewaskan politik kiri yang menawarkan alternatif sebenar, tetapi mereka tidak semestinya bersatu hati. Golongan kapitalis dan elit politik kanan sudah pasti akan meneruskan usaha mereka memburuk-burukkan golongan kiri melalui media massa yang dikuasai mereka. Le Pen telah menyeru pada penyokongnya untuk tidak mengundi di tempat di mana calon parti Macron bertembung dengan calon NUPES dalam pusingan kedua. Pemimpin-pemimpin tinggi dalam parti Macron pula enggan memberikan arahan yang jelas kepada penyokong mereka bahawa mereka akan menyokong calon NUPES sekiranya berdepan dengan calon RN yang pelampau kanan. Ini menunjukkan hipokrasi golongan liberal seperti parti Macron yang menguar-uarkan “fron republikan” dalam melawan ancaman pelampau kanan. Golongan kanan tradisional yang diwakili LR telah menyeru untuk jangan mengundi semua golongan ekstremis, di mana bagi mereka bukan sahaja bermaksud RN, tetapi juga termasuklah NUPES yang berhaluan kiri.

Peratusan keluar mengundi dalam pusingan pertama Pilihanraya Parlimen Perancis hanya 47.51%, lebih rendah berbanding 48.70% pada tahun 2017, dan jauh lebih rendah berbanding 73.69% untuk pusingan pertama Pilihanraya Presiden pada dua bulan lalu. Peratusan mengundi berkemungkinan akan lebih rendah untuk pengundian pusingan kedua. 

Golongan kiri di Perancis telah mencatatkan pencapaian yang memberangsangkan dalam pusingan pertama Pilihanraya Parlimen Perancis. Namun, usaha yang lebih besar lagi diperlukan untuk menyekat Macron daripada terus menguasai majoriti dalam Parlimen Perancis, di samping menangkis kemaraan golongan pelampau kanan yang berfahaman rasis. Sekiranya parti politik liberal yang menyokong Macron menang satu lagi majoriti dalam Parlimen Perancis, sudah tentu akan memberikannya keyakinan untuk memperhebatkan dasar “penjimatan” yang menghakis kebajikan sosial rakyat biasa di Perancis. Kempen pilihanraya NUPES yang menawarkan pembaharuan yang menakjubkan menjana harapan dan memberi pendidikan politik kepada ramai orang untuk membina semula kuasa kiri dari bawah sebagai alternatif kepada sistem yang sedia ada.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *