PETALING JAYA, SELANGOR – 8 JUN 2022: Petani-petani kecil dari Changkat Kinding, Perak, mengunjungi ibu pejabat LBS Bina Group Berhad di Petang Jaya pada hari ini untuk meminta pada syarikat pemaju hartanah tersebut supaya berhenti mengusir keluar mereka secara paksaan.

38 orang petani yang mengusahakan tanah di kawasan berdekatan dengan Kampung Baru Changkat Kinding untuk selama lebih kurang 90 tahun lalu sedang menghadapi ancaman pengusiran paksa kerana satu projek perumahan yang bakal dilaksanakan di atas tanah yang diusahakan mereka. Petani-petani ini bercucuk tanam di atas tanah seluas 250 ekar untuk mengeluarkan sayur-sayuran, buah-buahan dan ikan ternakan. Tanah tersebut diterokai oleh datuk nenek mereka sejak zaman sebelum Perang Dunia II. Aktiviti pertanian di situ merupakan sumber makanan segar yang penting untuk pasaran tempatan.

Beberapa orang petani di Changkat Kinding pernah memohon untuk mendapatkan lesen pendudukan sementara (TOL) daripada Pejabat Daerah dan Tanah Kinta, tetapi malangnya tidak berjaya.

Baru-baru ini, petani-petani kecil di Changkat Kinding ini dikejutkan oleh notis pengusiran di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara yang dikeluarkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Kinta, Ipoh. Mereka kemudian mendapat tahu bahawa tanah pertanian yang diusahakan mereka telah dilupuskan kepada to Generasi Simbolik Sdn Bhd, sebuah anak syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh LBS Bina Holdings Sdn Bhd. LBS Bina Holdings Sdn Bhd pula merupakan anak syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh LBS Bina Group Berhad, sebuah konglomerat perniagaan yang besar. Petani-petani Changkat Kinding juga dimaklumkan tentang rancangan Generasi Simbolik Sdn Bhd untuk membangunkan satu skim perumahan yang besar di kawasan mereka.

Dalam satu perjumpaan yang diaturkan oleh Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Hulu Kinta pada 26 Mei 2022, wakil daripada syarikat Generasi Simbolik yang hadir pada masa itu menawarkan pampasan RM9,000 seekar untuk petani-petani keluar dari situ. Petani-petani Changkat Kinding menyatakan hasrat mereka untuk terus bercucuk tanam di situ, kerana aktiviti pertanian merupakan satu-satunya punca pendapatan mereka. Mereka akan kehilangan mata pencarian dan tiada alternatif lain sekiranya keluar dari tanah yang sedang diusahakan mereka.

Petani-petani Changkat Kinding telah menyerahkan satu memorandum kepada Pejabat Menteri Besar Perak pada 30 Mei 2022. Memorandum tersebut membangkitkan beberapa persoalan kepada Kerajaan Negeri Perak, termasuk tindakan salah guna kuasa Pejabat Tanah dalam mengeluarkan notis di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara untuk mengusir petani yang bercucuk tanam di atas tanah milik swasta. Petani-petani Changkat Kinding menggesa Kerajaan Negeri Perak supaya menarik balik notis pengusiran di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara itu.

Setelah mendapat tahu bahawa Generasi Simbolik ialah anak syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh LBS Bina Group, petani-petani Changkat Kinding mengunjungi ibu pejabat LBS Bina Group untuk mengemukakan permintaan mereka supaya pihak pemaju menghentikan pengusiran paksa terhadap mereka. Turut hadir bersama dengan petani-petani Changkat Kinding semasa penyerahan surat kepada LBS Bina Group, ialah Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Dalam surat yang diserahkan kepada LBS Bina Group Bhd, petani-petani Changkat Kinding merayu pada syarikat pemaju tersebut untuk menangguhkan rancangan pembangunan perumahan di kawasan yang diusahakan petani-petani kecil di Changkat Kinding untuk beberapa tahun akan datang ini, kerana negara kita sedang menghadapi masalah kekurangan makanan yang serius dan harga barangan makanan asas sedang meningkat.

“Ini bukan masanya untuk menukar tanah pengeluaran makanan kepada projek perumahan,” kata Dr. Jeyakumar. “Petani-petani yang mengusahakan tanah ini meminta supaya diberi pajakan 10 tahun untuk meneruskan aktiviti mereka yang mengeluarkan makanan bagi negara kita. Petani-petani ini bersedia untuk membayar sewa yang munasabah untuk menggunakan tanah ini.”

“Syarikat pemaju mungkin membayar premium tanah pada kadar bangunan kediaman yang lebih tinggi berbanding kadar untuk pertanian. Namun yang pasti, jika pihak syarikat pemaju melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan menangguhkan rancangan pembangunan perumahan untuk manfaat negara kita (dalam menghadapi krisis makanan), Kerajaan Negeri Perak boleh mengurangkan premium tanah kepada kadar pertanian,” ulas Dr. Jeyakumar. “Kami sedar bahawa hasil pendapatan untuk LBS Bina melalui penyewaan tanah ini kepada petani-petani kecil akan lebih rendah berbanding pendapatan daripada pembangunan hartanah. Namun, ketidakjaminan makanan ialah masalah yang nyata dan sedang berlaku. Ramai rakyat biasa menderita akibat kenaikan harga makanan. Kami berharap LBS Bina Group dapat melaksanakan tanggungjawab sosial korporatnya dan membuat perjanjian sewaan tanah dengan petani-petani kecil yang sedang bercucuk tanam di Changkat Kinding.”

Dalam surat yang ditujukan kepada Lim Hock San selaku Pengerusi Eksekutif LBS Bina Group Berhad, petani-petani Changkat Kinding juga menjemput ahli-ahli Lembaga Pengarah LBS Bina Group untuk melawat kawasan pertanian yang sedang diusahakan mereka di Changkat Kinding untuk melihat sendiri kebun tanaman mereka.

Tiada apa perkara lain yang lebih bermakna untuk sebuah syarikat besar seperti LBS Bina Group melaksanakan tanggungjawab sosial korporat pada masa kritikal ini supaya tidak memusnahkan kebun petani kecil yang mengeluarkan makanan demi melindungi jaminan bekalan makanan kepada masyarakat Malaysia.

3 thoughts on “Seruan kepada LBS Bina Group: Laksanakan CSR lindungi bekalan makanan dengan tidak usir petani Changkat Kinding

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *