Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang diadakan pada 12 Mac 2022, menyaksikan Barisan Nasional (BN) kembali berkuasa dengan memenangi lebih dua pertiga kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Peratusan keluar mengundi dalam PRN Johor kali ini agak rendah, iaitu hanya 54.92%. Peratusan ini lebih rendah lagi berbanding dengan PRN Melaka (65.85%) dan PRN Sarawak (60.67%) beberapa bulan yang lalu.

BN telah menang 40 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan, bertambah sebanyak 21 kerusi berbanding 19 kerusi yang dimenanginya dalam Pilihan Raya Umum 2018. Daripada 40 kerusi yang dimenangi BN itu, 33 kerusi dimenangi oleh UMNO, 4 kerusi dimenangi oleh MCA dan 3 kerusi dimenangi oleh MIC. Walaupun BN menang besar dengan menguasai lebih 71% kerusi DUN Johor, tetapi jumlah undi popular yang diperolehinya hanya 43.11% (meningkat 2.75 titik peratusan berbanding PRU 2018). Pengagihan kerusi yang tidak setara dengan jumlah undi popular yang diperolehi ini merupakan satu kelemahan yang ketara dalam sistem pengundian “pemenang undi terbanyak” (first-past-the-post, FPTP), dan jelas ditunjukkan dalam PRN Johor kali ini.

Pakatan Harapan (PH) bersama sekutunya Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) hanya memenangi 13 kerusi. Ini adalah jauh kurang berbanding 36 kerusi yang dimenangi PH dalam PRU-14 pada tahun 2018 (di mana BERSATU masih berada dalam PH pada masa itu) dan 27 kerusi yang dikuasainya sebelum DUN Johor dibubarkan pada 22 Januari 2022. Daripada 13 kerusi yang dimenangi oleh PH+MUDA, 10 kerusi pergi kepada DAP, manakala PKR, AMANAH dan MUDA masing-masing menang satu kerusi. PKR dapat mengelakkan daripada “hatrik” kalah di semua kerusi yang ditandinginya setelah berjaya mempertahankan kerusi N51 Bukit Batu. PKR gagal memenangi apa-apa kerusi dalam PRN Melaka dan PRN Sarawak pada penghujung tahun 2021. Pertembungan PKR dan MUDA di kawasan DUN N44 Larkin pula menyaksikan kekalahan kedua-dua parti ini. PH+MUDA pada keseluruhannya hanya meraih 29.88% undi, jauh rendah berbanding 56.73% yang diperolehinya semasa PRU-14 pada tahun 2018.

Perikatan Nasional (PN) hanya menang 3 kerusi sahaja (BERSATU – 2 kerusi, PAS – 1 kerusi), walaupun pada keseluruhannya memperoleh 24.04% undi. Kerusi N09 Gambir yang disandang oleh Muhyiddin Yassin, bekas Perdana Menteri yang merupakan Presiden BERSATU dan Pengerusi PN, gagal dipertahankan oleh calon pengganti Muhyiddin dan jatuh ke dalam tangan UMNO. Ini merupakan tamparan hebat kepada PN kerana tewas di kawasan yang dianggap kubu kuatnya. Adalah menjadi persoalan bahawa PN akan dapat bertahan atau tidak selepas PRU-15 tidak lama nanti.

Adalah jelas bahawa PRN Johor kali ini merupakan pertandingan antara tiga gabungan parti utama, iaitu BN, PH dan PN. Namun, oleh sebab sistem pengundian FPTP, BN muncul sebagai pemenang besar kerana undi yang menolak BN telah berpecah antara PH dan PN serta parti-parti kecil yang lain. Jika trend pertembungan tiga gabungan parti ini berterusan sehingga PRU-15, BN akan mendapat kemenangan besar juga dalam PRU-15. Oleh itu, keputusan PRN Johor sudah pasti memberi keyakinan kepada UMNO-BN untuk mendesak pembubaran Parlimen secepat mungkin supaya PRU-15 diadakan dalam masa terdekat sebelum parti-parti pembangkang sempat mencari formula baharu untuk menyekat kekuasaan BN dalam pilihan raya.

Semua calon yang bukan daripada tiga gabungan parti utama telah hilang deposit kerana gagal memperoleh 1/8 undian di kawasan DUN masing-masing. Tamparan yang paling hebat adalah ke atas Parti PEJUANG yang dipimpin oleh Mahathir Mohamad. PEJUANG telah meletakkan 42 orang calon dan semuanya hilang deposit. Memang murah hatinya PEJUANG menderma kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Parti lain yang bukan sebahagian daripada tiga gabungan utama yang turut hilang deposit tetapi tidak semurah hati PEJUANG, ialah WARISAN yang bertanding 6 kerusi, Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang bertanding 4 kerusi, PUTRA yang bertanding 1 kerusi dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang bertanding 1 kerusi. Terdapat 11 orang calon PH dan 4 orang calon PN juga hilang deposit.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah bertanding pertama kalinya dalam PRN Johor dengan meletakkan Arangkannal Rajoo (yang juga dikenali sebagai Ara) di kawasan DUN N49 Kota Iskandar.

Keputusan penuh untuk kawasan DUN N49 Kota Iskandar adalah seperti di bawah:

  • Pandak bin Ahmad (BN-UMNO) – 23,133 (40.79%)
  • Hj Dzulkefly bin Ahmad (PH-AMANAH) – 18,773 (33.10%)
  • Samsudin bin Ismail (PN-BERSATU) – 12,503 (22.05%)
  • Dr. Hj. Zaini bin Hj. Abu Bakar (PEJUANG) – 1,308 (2.31%)
  • Ara (PSM) – 997 (1.76%)

Peratus keluar mengundi untuk Kota Iskandar: 48.72%

Jika berbanding dengan PUTRA yang juga hanya bertanding satu kerusi (N17 Semerah), peratusan undi 1.76% yang diperolehi PSM adalah dua kali ganda berbanding 0.88% yang diperoleh calon PUTRA. Peratusan undi ini juga lebih tinggi berbanding dengan calon PEJUANG di banyak kawasan. Undi yang diperolehi PSM di Kota Iskandar, walaupun jumlahnya agak kecil, tetapi ia masih merupakan hasil usaha PSM yang berjaya mengadakan satu kempen pilihan raya yang penuh bersemangat.

Semasa memberi komen tentang keputusan pilihan raya di Kota Iskandar, S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi PSM, berkata bahawa PSM tidak kecewa dengan keputusan yang sudah dijangkakan ini. PSM berpuas hati dengan penampilan kali pertamanya dalam PRN Johor, kerana dapat mengetengahkan banyak isu yang berkaitan dengan rakyat marhaen, seperti pekerjaan, perumahan, kesihatan, pengangkutan awam, alam sekitar dan sebagainya. Ara selaku calon PSM untuk Kota Iskandar, juga muncul sebagai satu-satunya calon dalam PRN Johor kali ini yang mengisytihar hartanya kepada pengetahuan masyarakat umum. PSM juga akan terus memperjuangkan agenda yang dibawa dalam Manifesto Pilihan Raya untuk Kota Iskandar yang menyentuh tentang beberapa isu rakyat marhaen yang penting, seperti perumahan mampu milik, pengurangan kos hidup dan penjanaan pekerjaan.

“Sebagai satu-satunya parti politik yang menawarkan alternatif sosialis dan politik berasaskan kelas, kami percaya bahawa kehadiran kami dalam pilihan raya adalah penting dan ia akan mengambil masa untuk inisiatif kami membuahkan hasil,” kata Arutchelvan.

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

7 thoughts on “PRN Johor: BN menang besar tanpa majoriti undi popular

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *