Selepas perjuangan yang berlarutan lebih setahun dengan mobilisasi dan aksi massa yang hebat, petani-petani di India akhirnya mendapat kemenangan penting dalam usaha mereka melawan tiga undang-undang pertanian yang anti-petani yang diperkenalkan oleh kerajaan Parti Bharatiya Janata (BJP) pada tahun 2020.

Perdana Menteri India, Narendra Modi, mengumumkan pada 19 November 2021 bahawa tiga undang-undang pertanian yang penuh kontroversi akan dimansuhkan dan semua proses perundangan yang berkaitan dengan perkara ini akan disempurnakan dalam sesi persidangan parlimen akan datang pada bulan Disember 2021.

Tiga undang-undang anti-petani yang bakal dimansuhkan itu ialah Akta Perdagangan dan Perniagaan Pengeluaran Petani (Promosi dan Pemudahan) 2020, Akta Perjanjian Jaminan Harga dan Perkhidmatan Pertanian Petani (Pemberdayaan dan Perlindungan) 2020, dan juga Akta Komoditi Penting (Pindaan) 2020. 3 akta yang diluluskan oleh Parlimen India pada bulan September 2020 tersebut, melonggarkan peraturan berkaitan dengan penjualan, perhargaan dan penyimpanan hasil pertanian. Undang-undang tersebut menyebabkan petani-petani miskin di India terdedah lebih lanjut lagi kepada ancaman kuasa pasaran yang didominasi oleh golongan kapitalis mahakaya, memusnahkan peluang petani untuk mendapatkan harga yang berpatutan bagi hasil pertanian mereka, di samping memberi lebih ruang kepada syarikat korporat untuk menembusi dan memainkan peranan yang lebih besar dalam sektor pertanian.

Berita mengenai pemansuhan undang-undang ini telah disambut dengan perayaan kemenangan oleh gerakan masyarakat di seluruh negara India. Ramai orang turun ke jalanan ataupun memuat naik mesej kegembiraan mereka dalam media sosial, untuk meraikan kemenangan yang amat bermakna kepada perjuangan petani India ini, sementara juga memperingati pengorbanan golongan petani sepanjang perjuangan yang berlarutan selama setahun ini. Walaupun bukannya kemenangan mutlak, tetapi ia merupakan satu pencapaian yang penting dalam perjuangan rakyat India yang melawan dasar neoliberal Kerajaan Modi.

Samyukta Kisan Morcha (SKM), sebuah gabungan yang terdiri daripada lebih 500 buah kesatuan petani dan ditubuhkan sejak bulan November 2020 untuk menggerakkan perjuangan melawan tiga undang-undang anti-petani, mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri India berkenaan dengan pemansuhan undang-undang tersebut, tetapi SKM juga menegaskan bahawa terdapat lagi 6 tuntutan utama yang belum lagi dipenuhi, dan perjuangan mereka akan diteruskan. SKM mengingatkan Modi bahawa aksi protes petani yang diadakan sepanjang setahun yang lalu bukan sahaja untuk memansuhkan tiga undang-undang yang anti-petani dan pro-korporat, tetapi juga menuntut jaminan berkanun untuk harga imbuhan bagi semua hasil pertanian dan kepentingan semua petani.

SKM akan meneruskan protesnya sehingga tiga undang-undang anti-petani itu dimansuhkan secara rasminya dan juga semua tuntutannya yang lain dicapai. 6 tuntutan SKM yang belum lagi dipenuhi ialah:

  • Jaminan harga sokongan minimum (MSP);
  • Membatalkan Rang Undang-undang (Pindaan) Elektrik yang tidak akan memberikan bekalan elektrik percuma kepada petani;
  • Membatalkan seksyen 15 dalam Akta Suruhanjaya Pengurusan Kualiti Udara di Wilayah Ibu Negara dan Kawasan Bersebelahan 2021 yang boleh mengenakan hukuman penjara terhadap petani yang membakar tunggul tanaman;
  • Menarik balik kes pendakwaan jenayah terhadap petani-petani yang terlibat dalam gerakan petani ini sejak bulan Jun 2020;
  • Memecat jawatan Ajay Kumar Mishra sebagai menteri muda dan menangkapnya kerana insiden keretanya melanggar mati petani yang berpotes di Lakhimpur Kheri, Uttar Pradesh, pada 3 Oktober 2021
  • Memperuntukkan tanah untuk pembinaan sebuah tugu peringatan di Singhu, Barat Laut Delhi, bagi memperingati petani yang telah mati sepanjang perjuangan protes petani ini, di samping memberi pampasan kepada keluarga petani.

Dianggarkan lebih kurang 750 orang petani terkorban dalam perjuangan melawan undang-undang anti-petani yang berlarutan lebih setahun ini.

Sitaram Yechury, Setiausaha Agung Parti Komunis India (Marxis), memberi tabik hormat kepada petani-petani dan perjuangan berani mereka dalam melawan tiga undang-undang yang anti-petani. Yechury turut berkata, “Usaha menuntut keadilan untuk mereka yang disasarkan oleh kerajaan dan agensinya melalui kes pendakwaan palsu akan diteruskan. Perdana Menteri harus meminta maaf atas kesusahan dan kesulitan yang diwujudkan oleh langkah diktatornya yang memperkenalkan undang-undang pertanian untuk memanfaatkan rakan kongsi perniagaan kroninya.”

Dipankar Bhattacharya, Setiausaha Agung Parti Komunis India (Marxis-Leninis) Pembebasan, menyatakan bahawa rejim Modi yang angkuh telah ditundukkan oleh perjuangan berani dan pengorbanan petani-petani yang berjuang untuk memansuhkan undang-undang pertanian yang anti-petani. Bhattacharya juga berkata bahawa inilah masanya untuk pekerja-pekerja dan rakyat India terus mendesak kerajaan India supaya membatalkan Akta Pindaan Kewarganegaraan (CAA) yang bersifat diskriminasi, undang-undang buruh yang anti-pekerja dan penjualan aset awam yang merugikan rakyat.  

(foto: Anindito Mukherjee / Bloomberg)

Aksi protes petani mula tercetus di India pada bulan Ogos 2020, apabila kerajaan pimpinan Modi tergesa-gesa untuk meluluskan undang-undang yang anti-petani di Parlimen. Petani-petani yang berprotes berarak menuju ke Delhi dan melakukan sekatan jalan pada 26 November 2020, memulakan fasa baharu perjuangan petani yang berlarutan selama hampir satu tahun. Khemah-khemah protes didirikan di kawasan pinggiran bandaraya Delhi, di samping pelbagai aksi massa telah diadakan. Gerakan ini telah mendapat sokongan daripada pelbagai sektor masyarakat yang lain di India. Gerakan petani ini boleh dikata gerakan demokratik yang paling besar di India. Walaupun menghadapi serangan dan penindasan daripada pihak berkuasa, gerakan ini tidak berganjak daripada tuntutannya. Hasil daripada kegigihan dan kesungguhan perjuangan gerakan petani India yang hebat ini, kebangkitan rakyat berjaya menundukkan kerajaan BJP yang angkuh.

Perjuangan petani dan rakyat India untuk keadilan sosial masih belum selesai, selagi rejim pro-korporat masih berkuasa. Dengan kejayaan perjuangan petani yang menewaskan undang-undang anti-petani ini, sudah pasti akan memberi lebih keyakinan kepada rakyat India untuk terus berjuang.

5 thoughts on “India: Perjuangan petani berjaya paksa Modi mansuhkan undang-undang anti-petani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *