Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

==========

oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

Salam perjuangan kepada semua dan selamat datang ke Kongres PSM ke-23!

Ini adalah kali kedua kita terpaksa mengadakan Kongres PSM secara atas talian kerana wabak COVID-19. COVID-19 dan kegawatan ekonomi yang disebabkan olehnya telah membawa impak besar kepada bukan sahaja kesihatan dan ekonomi rakyat, bahkan dalam senario politik negara dan antarabangsa juga. Adalah amat penting bagi kita, sebuah parti kiri, untuk memahami senario baharu yang sedang diakibatkan oleh wabak COVID-19 supaya dapat mengatur strategi kita untuk memperkukuhkan gerakan progresif di Malaysia.

Impak COVID-19 tehadap rakyat Malaysia

Wabak COVID-19 telah menyusahkan semua lapisan masyarakat di Malaysia dan juga di seluruh dunia. Ada yang mengatakan bahawa kita semua berada di atas kapal yang sama (“we are all in the same boat”). Tetapi ini tidak benar. Kita berada dalam lautan yang sama, dalam ribut yang sama, tetapi lapisan yang terkaya berlayar atas kapal mewah (luxury liner), manakala yang golongan termiskin 20% terpaksa bergantung kepada sampan-sampan kecil yang berlubang.

Impak COVID-19 bukan seragam. Kesan COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah membawa impak yang jauh lebih teruk kepada golongan-golongan tertentu. Malangnya bantuan yang dihulurkan oleh kerajaan adalah amat tidak mencukupi untuk golongan-golongan ini.

Terdapat empat (4) golongan marhaen di Malaysia yang mengalami kesan yang teruk sekali.

1. Golongan miskin bandar

Mereka, yang berjumlah 2.5 juta orang, adalah pekerja di sektor-sektor informal. Mereka merangkumi pekerja harian di kedai makan, pasar-pasar, sektor pembinaan, pengangkutan dan sektor-sektor lain. Pekerja harian atau pekerja kontrak ini tidak dilindungi oleh jaringan keselamatan sosial seperti skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Apabila mereka kehilangan kerja, mereka sekeluarga tidak ada sebarang bantuan kerajaan selain daripada bantuan pemindahan wang tunai sekali-sekala, misalnya Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) – berjumlah sebanyak RM3,000 bagi keluarga-keluarga B40 dalam 16 bulan yang lalu.

Ramai antara golongan ini tidak dapat menyertai skim i-sinar, i-lestari dan i-citra kerana tiada simpanan KWSP. Mereka juga tidak dilindungi oleh Skim Insurans Pekerjaan (SIP) kerana mereka bukan pencarum PERKESO. Moratorium pinjaman rumah juga tidak meringankan beban mereka kerana ramai dalam golongan ini menduduki rumah sewa. Mereka banyak bergantung kepada bantuan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang membekalkan, antaranya makanan dan wang tunai.

2. Peniaga kecil (1 juta perniagaan)

Peniaga kecil dikategorikan sebagai mereka yang berpendapatan kasar di bawah RM300,000 setahun. Ramai antara mereka berniaga di tepi jalan raya ataupun di pasar malam, pasar tani dan sebagainya. Pengecutan pendapatan pekerja biasa yang merupakan pelanggan bagi golongan peniaga kecil telah menyekatkan permintaan pasaran untuk peniaga-peniaga kecil.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diisytihar berulang kali telah menyebabkan pasar dan bazaar ditutup lalu menyusahkan lagi situasi golongan peniaga kecil. Ramai antara golongan ini tidak ada simpanan KWSP yang signifikan untuk membantu mereka. Mereka tidak layak untuk skim SIP kerana bukan pencarum PERKESO. Mereka juga disingkir daripada skim pemindahan wang tunai kerana mereka yang didaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) tidak layak untuk skim Bantuan Prihatin Rakyat (BPR). Mereka hanya menerima bantuan khas peniaga kecil sebanyak RM6,500 dalam 16 bulan yang lalu.

3. Pekebun getah dan kelapa sawit, pesawah padi dan nelayan (1.5 juta orang)

Sebelum serangan wabak COVID-19 pun, golongan ini merupakan antara yang termiskin di Malaysia. Sekatan pergerakan dan pengecutan pasaran untuk pengeluaran pertanian telah menjejaskan pendapatan golongan ini. Mereka mendapat bantuan pemindahan wang tunai tetapi tidak layak mendapat SIP anjuran PERKESO dan juga tidak ada simpanan KWSP untuk dikeluarkan di bawah skim i-lestari dan sebagainya.

4. Anak muda (18-30 tahun)

Sebelum tahun 2020 lagi, golongan anak muda telah menghadapi banyak masalah dalam mendapatkan kerja yang setimpal dengan pendidikan mereka dengan gaji yang sewajarnya untuk membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Sebelum ini pun, kadar pengangguran anak muda adalah tiga kali lebih tinggi daripada kadar pengangguran keseluruhannya. Kegawatan ekonomi yang telah dicetuskan oleh wabak COVID-19 telah merunsingkan masalah pengangguran dalam kalangan golongan ini.

Jika mendapat kerja pun, kebanyakan jawatan adalah secara kontrak dan tidak terjamin. Yang lebih teruk adalah kerja-kerja “sifar-jam” (zero-hour) yang hanya dibayar gaji jika perkhidmatan mereka diperlukan. Kerja-kerja sebegini pula tidak menawarkan sebarang perlindungan sosial. Adalah dianggar bahawa lebih kurang 2 juta anak muda menghadapi masalah ketiadaan kerja ataupun kerja yang tidak terjamin.

Pencarum aktif KWSP adalah berjumlah 6.5 juta buat masa kini. Mereka adalah pekerja formal di sektor swasta dan menikmati perlindungan yang lebih baik berbanding empat golongan di atas. Selain daripada bantuan pemindahan wang tunai, mereka juga dibantu oleh skim subsidi upah pekerja di mana kerajaan membayar RM600 sebulan kepada majikan bagi setiap orang pekerja supaya mengelakkan daripada pemberhentian kerja. Lebih kurang 2.6 juta orang pekerja dibantu oleh skim ini. Yang diberhentikan kerja pun berpeluang memohon Skim Insurans Pekerjaan dan juga pampasan pemberhentian kerja seperti yang dinyatakan dalam Peraturan-peraturan Kerja (Faedah-faedah Penamatan dan Rentikerja Sentara) 1980 di bawah Akta Kerja. Pekerja formal juga dapat mengeluarkan sebahagian daripada simpanan KWSP mereka jika perlu dan setakat ini lebih kurang RM110 bilion simpanan KWSP telah dikeluarkan oleh para pekerja. (Ini banyak membantu mereka dalam krisis ini, tetapi jaminan kewangan masa depan mereka terjejas.)

Kakitangan kerajaan sebanyak 1.6 juta orang dan kaum pesara (0.8 juta orang) adalah golongan yang menikmati perlindungan yang baik sekali dalam kalangan marhaen. Mereka tidak kehilangan punca pendapatan mereka dalam tempoh masa penularan wabak COVID-19.

Pengalaman lapisan 20% yang terkaya (T20) jauh berbeza daripada golongan-golongan marhaen. Golongan profesional dalam kalangan T20 dapat kerja secara atas talian dan pendapatan mereka tidak mengecut sebegitu banyak berbanding golongan B40 dan M40. Ada ramai dalam lapisan T20 yang menikmati penambahan dalam nilai saham dimiliki mereka kerana harga saham telah naik di Bursa Malaysia.

Pendidikan anak-anak mereka juga tidak terganggu sepertimana yang dialami oleh anak-anak kaum marhaen kerana golongan T20 mempunyai kemudahan yang mencukupi untuk mengikuti kelas atas talian. Rawatan untuk penyakit seperti kencing manis, sakit jantung dan darah tinggi bagi kaum marhaen terpaksa ditunda kerana hospital-hospital kerajaan penuh sesak dengan kes-kes COVID-19, manakala lapisan T20 teruskan rawatan istimewa mereka di hospital-hospital swasta. 3,228 orang bilionair dari seluruh dunia telah menikmati peningkatan sebanyak 32% dalam kekayaan mereka dalam tahun 2020 dan memiliki aset sebanyak USD14.7 trilion pada hujung bulan Disember 2020.

Perintah Kawalan Pergerakan dan kegawatan ekonomi memang membawa kesan yang jauh lebih buruk pada golongan yang termiskin di negara kita dan melebarkan lagi jurang antara kelas-kelas di Malaysia.

Struktur masyarakat Malaysia

  Golongan     Jumlah
Yang terkaya (pendapatan isi rumah bulanan > RM20,000)Pemilik dan pengurus dalam 300,000 buah syarikat yang pernah membayar GST  
Doktor perubatan, peguam, akauntan, jurutera, pensyarah
  600,0001    

200,0001
Pekerja
Pekerja di sektor swasta yang mencarum kepada KWSP

Kakitangan kerajaan

Pesara kerajaan

Pekerja kontrak, harian, gig, “zero-hour”, “kerja kampung”

Penganggur  

6.5 juta  

1.6 juta  

(0.8 juta)

3.8 juta1

0.8 juta
Peniaga kecilLebih daripada 60%1 berpendapatan RM4,850 ke bawah sebulan. Dan hampir 40% berpendapatan antara RM4,850 dan RM10,959     1 juta
Pekebun kecil, pesawah, nelayan  Hampir kesemua mereka adalah dalam kategori B40 (pendapatan bulanan di bawah RM4,850)  1.5 juta1
    16 juta
(Nota: 1 = anggaran)

Wabak COVID-19 telah mendedahkan ketidakcekapan parti-parti politik borjuis

Wabak COVID-19 telah mendedahkan watak dan fokus pemimpin-pemimpin politik di Malaysia. Rakyat mula menyedari bahawa ramai dalam kalangan pemimpin politik negara tidak peka terhadap masalah-masalah yang dihadapi oleh rakyat biasa dan enggan turun menyiasat situasi yang dialami rakyat supaya dapat menggubal polisi untuk mengatasi masalah-masalah yang dihadapi oleh rakyat biasa.

Ini telah membuka ruang untuk PSM menunjukkan bahawa kita ialah sebuah parti politik yang serius terhadap masalah-masalah yang dihadapi oleh rakyat dan sentiasa mengesyorkan polisi dan program yang tepat dan bermakna untuk rakyat biasa.

Sejak bulan Mei 2020, PSM telah mendesak untuk pelaksanaan Skim Jaminan Pendapatan Keluarga dan mengesyorkan RM1,000 sebulan dipindahkan ke dalam akaun keluarga-keluarga yang kehilangan punca pendapatan mereka. Kami juga telah mengesyorkan Skim Subsidi Sewa Rumah untuk menyelamatkan golongan 20% termiskin (B20) yang diancam oleh pengusiran paksa dari rumah yang disewa. Majoriti dalam kalangan B20 tidak dibantu oleh Moratorium Pinjaman Perumahan kerana mereka tidak mempunyai rumah mereka sendiri dan menduduki rumah yang disewa. PSM juga telah memohon moratorium terhadap kesalahan imigresen untuk pekerja migran tanpa dokumen supaya mereka tidak takut untuk mendekati agensi-agensi kesihatan bagi saringan COVID-19 dan kuarantin jika perlu.

PSM juga telah mengemukakan cadangan langkah-langkah untuk memperkukuhkan kapasiti dan prestasi Bilik Gerakan CAC (COVID-19 Assessment Centre) yang terdapat di setiap daerah supaya dapat memberi nasihat, pemantauan dan bantuan untuk semua pesakit COVID-19 yang dikuarantin di rumah. Kelemahan dalam pemantauan pesakit yang dikuarantin di rumah adalah salah satu punca peningkatan kes-kes “BID” (brought-in-dead ataupun meninggal dunia sebelum sampai ke hospital).

Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital-hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia telah mendesak kerajaan supaya membekalkan pakaian PPE dan vaksin COVID-19 untuk melindungi pekerja kontrak di hospital, dan Biro Pekerja PSM telah mencampurtangan dalam puluhan kes pemberhentian kerja yang berlaku dalam 16 bulan yang lalu.

Malangnya kebanyakan cadangan PSM seperti yang disebut di atas tidak diambil berat oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) walaupun PSM telah menyediakan kertas kerja, menghantar surat kepada Kementerian-kementerian yang berkenaan, mengadakan persidangan media, dan juga menggerakkan jaringan-jaringan NGO tertentu untuk melobi cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh PSM.

Dalam tempoh 16 bulan yang lalu, rakyat juga dapat menyaksikan bahawa pemimpin parti-parti Pakatan Harapan (PH) tidak begitu mengambil berat terhadap isu-isu rakyat biasa. Mereka lebih menumpukan tenaga mereka dalam mencaci dan menyindir Kerajaan PN, dan sentiasa berusaha untuk menggulingkannya. Walaupun PH mempunyai 89 orang ahli parlimen dan sumber kewangan yang besar (berbanding PSM), mereka tidak menubuhkan jawatankuasa-jawatankuasa khas untuk mengkaji masalah-masalah kesihatan dan ekonomi yang melanda rakyat pada zaman COVID-19 ini. Mereka lebih cenderung berpolitik untuk menjatuhkan Kerajaan PN.

Kerja-kerja kita dalam 16 bulan yang lalu telah meningkatkan profil PSM sebagai parti yang berjiwa rakyat – sedar akan kesusahan yang dialami oleh orang awam dan sentiasa mencuba untuk meringankan beban rakyat. Adalah amat penting untuk PSM terus mempamerkan perbezaan parti kita berbanding parti-parti politik yang lain di Malaysia dan memperkukuhkan imej PSM sebagai sebuah parti yang berdiri bersama rakyat biasa secara konsisten.

Adalah penting untuk kita meneruskan pendekatan turun padang dan bergaul dengan masyarakat awam, mengenalpasti masalah-masalah yang dihadapi mereka, menganalisis dan mencari jalan keluar untuk masalah-masalah mereka. Amalan biasa kita selepas itu adalah untuk membawa cadangan-cadangan yang dicadangkan oleh rakyat terlibat dan juga aktivis PSM ke meja perbincangan supaya dapat dibahas dan diperhalusi lagi oleh pakar akademik, kumpulan NGO dan orang awam sebelum dikemukakan kepada pihak pemerintah dalam bentuk kertas kerja ataupun surat petisyen.

Hakikat-hakikat berkaitan sistem politik antarabangsa yang didedahkan oleh Wabak COVID19

1. Negara-negara miskin di Afrika dan Asia Tenggara tidak mendapat bantuan yang mencukupi dalam memperoleh vaksin COVID-19. Oleh kerana mereka miskin, mereka tidak berdaya untuk membeli vaksin di pasaran. Apabila mereka cuba meminjam dana daripada bank-bank antarabangsa, mereka dikenakan bunga yang sangat tinggi – negara-negara Kesatuan Eropah (EU) seperti Jerman dan negara-negara Skandinavia dapat pinjaman berbilion dolar dengan kadar bunga yang amat rendah (bawah 1% setahun) tetapi negara-negara Afrika dikenakan bunga setinggi 8% daripada sumber yang sama kerana mereka adalah negara miskin dan bukan “credit-worthy”.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah melancarkan inisiatif “COVAX” di mana semua negara diminta untuk mencarum kepada COVAX supaya WHO dapat berunding dengan syarikat farmaseutikal gergasi dan membeli vaksin untuk semua negara dengan harga yang berpatutan. Tetapi negara-negara maju telah mengambil keputusan untuk membeli terus daripada pembuat vaksin.

Bekalan vaksin pula tidak mencukupi untuk semua kerana negara-negara kaya telah menempah lebih daripada jumlah vaksin yang diperlukan untuk populasi mereka (mungkin kerana mereka tidak yakin vaksin yang mana lebih berkesan dan oleh itu mereka menempah vaksin daripada dua atau tiga buah syarikat farmaseutikal). Sebagai contoh, Canada telah menempah jumlah vaksin yang lima kali ganda lebih daripada jumlah vaksin yang diperlukan untuk populasinya. Britain telah menempah dua kali ganda lebih dan Australia pula lima kali ganda lebih.

Inisiatif COVAX tidak menerima dana yang dijanjikan oleh negara-negara maju. Disebabkan kesemua faktor-faktor ini, bekalan vaksin untuk negara-negara miskin adalah amat lambat seperti digambarkan dalam carta di bawah. Tetapi ini adalah pendekatan yang kurang bijak. Kegagalan mengawal COVID-19 di seluruh dunia membuka ruang untuk tertimbulnya varian-varian yang lebih berbahaya, dan mewujudkan kemungkinan varian itu akan merebak dan menular ke negara maju pada masa depan.

Status vaksinasi negara-negara terpilih (21 Ogos 2021)

  Negara  % divaksinasi penuh  % dengan hanya 1 dos  Pendapatan per kapita USD (PPP 2017)  
Britain61%9%44,920
Perancis55%15%44,033
Jerman58%5.1%52,556
Amerika Syarikat51%9%59,928
Kenya1.4%1.4%3,292
Nigeria0.6%0.6%5,887
Senegal3.7%3%3,458
Tanzania0.3%0.7%2,948
Indonesia11%9.4%12,310
Malaysia39%17%29,511
Singapura74%3.8%94,105
Sumber: https://ourworldindata.org/covid-vaccinations?country=MYS
https://www.worldometers.info/gdp/gdp-per-capita/

2. Negara India dan Afrika Selatan, yang mempunyai kapasiti membuat vaksin, telah meminta supaya syarat-syarat hak cipta intelek ditangguhkan buat masa ini untuk membolehkan mereka mengeluarkan vaksin COVID-19 dengan kadar yang lebih pesat. Permohonan mereka dibantah oleh syarikat farmaseutikal terbesar di dunia. Bantahan ini disokong oleh beberapa buah negara maju termasuk USA, EU, UK, Canada, Australia dan Jepun. (US telah menarik balik bantahannya pada bulan Mei 2021) India dan Afrika Selatan masih belum mendapat keizinan untuk mengeluarkan vaksin-vaksin yang dilindungi oleh paten.

Dua perkara ini menunjukkan secara jelas bahawa dunia kita sangat tidak adil dan imperialisme masih aktif dan segar di atas muka bumi pada masa ini. Hakikat ini jelas terbukti dalam carta di atas! Walaupun hampir semua negara telah mencapai kemerdekaan politik, struktur ekonomi dunia masih memastikan bahawa sebahagian besar kekayaan yang dijana di negara-negara dunia ketiga itu diperas dan diambil keluar oleh syarikat-syarikat gergasi antarabangsa (MNC) melalui dua proses utama.

Yang pertama adalah terma perdagangan yang berat sebelah. Harga-harga komoditi pertanian ditekan ke paras yang rendah manakala harga barangan buatan berteknologi tinggi dijual dengan harga yang mahal. Pilihan membuat barangan mahal ini di negara sedang membangun disekat oleh undang-undang hak cipta intelek.

Taktik kedua yang digunakan oleh MNC untuk memeras kekayaan yang dijana di dunia ketiga adalah dengan menekan gaji pekerja di negara sedang membangun ke paras yang rendah (wage suppression). Syarikat MNC menyumber luar (outsource) proses pembuatan (manufacture) kepada kapitalis tempatan di negara sedang membangun dan memainkan mereka satu sama lain untuk menekan harga barangan buatan di negara sedang membangun di paras yang rendah. Jika kapitalis tempatan di Malaysia meminta harga yang lebih tinggi untuk produk itu, MNC akan memindahkan tempahannya kepada kapitalis tempatan di negara lain seperti Thailand atau Vietnam.

Pemimpin politik negara maju hanya pandai berhujah berkaitan solidariti dan hak asasi manusia (dan juga krisis iklim) tetapi gagal mengawal ketamakan MNC-MNC yang bertapak di negara mereka.

3. Wabak COVID-19 juga dengan jelasnya mendedahkan bahawa Parti Komunis China (CPC) masih menguasai pentadbiran negara itu dan dapat menentukan bagaimana sebahagian besar daripada kekayaan berlebihan (surplus) negara itu diguna pakai. Rakyat sedunia kagum apabila dua buah hospital berbilang tingkat dibina dalam jangka masa 10 hari dan bagaimana kakitangan kesihatan dari seluruh negara dikerahkan ke bandar Wuhan untuk merawat pesakit COVID-19 pada awal tahun 2020. Pemimpin China juga telah melakukan lockdown yang ketat untuk wilayah Hubei dengan bekalan makanan dan keperluan asas yang mencukupi bagi populasi sebanyak 60 juta orang penduduk untuk jangka masa beberapa bulan. Walaupun wilayah Hubei terletak di tengah-tengah negara China, kerajaan China dapat menyekat penularan wabak COVID-19 dari wilayah itu ke wilayah lain.

Kesemua ini membuktikan bahawa walaupun corak ekonomi China adalah kapitalisme – pekerja bekerja untuk gaji, penukaran barangan adalah melalui pasaran bebas, pengeluaran adalah untuk keuntungan dan satu lapisan kapitalis telah muncul, CPC masih mengendalikan masyarakat dan dapat memperoleh surplus yang mencukupi untuk melaksanakan program-program yang dirasa perlu dilaksanakan oleh CPC. Walaupun China mempunyai 1,000 orang bilionair (daripada jumlah 3228 orang bilionair yang berada di dunia) sekarang, nampaknya kaum kapitalis di negara China masih belum dapat menguasai pemimpin politik di negara itu. Perkara ini sudah lama berjaya dilakukan di Amerika Syarikat dan negara-negara maju yang lain!

4. Negara Kuba, sebuah negara kecil dengan 11.3 juta orang penduduk dan ditekan oleh sekatan ekonomi Amerika Syarikat selama beberapa dekad, telah mencipta empat vaksin COVID-19 – Abdala, Soberana 1 dan 2 serta Mambisa – dan sedang melaksanakan program vaksinasi dengan vaksin ciptaan sendiri. Setakat ini, lebih daripada 25% rakyat mereka telah menerima dos vaksin yang sepenuhnya. Kuba sedang merancang untuk membekalkan vaksinnya dengan harga yang murah kepada negara-negara Amerika Selatan dan Afrika. Jika Kuba boleh, mengapakah ASEAN dengan sumber ekonomi dan ahli sains yang jauh lebih ramai tidak boleh berdikari dan melakukan perkara yang sama? Mengapakah kita masih bergantung kepada syarikat-syarikat MNC?

Pemulihan ekonomi rakyat pasca COVID-19

PSM telah mengambil pendirian tegas bahawa pemulihan masyarakat pasca COVID-19 tidak boleh diserahkan kepada pasaran swasta. Kerajaan mesti menerima hakikat bahawa golongan-golongan tertentu seperti pekerja kontrak, pekerja harian, peniaga kecil dan golongan muda dalam masyarakat kita telah mengalami kesan yang lebih teruk akibat COVID-19, PKP dan kegawatan ekonomi, termasuk yang kehilangan kerja. Kerajaan mesti mengambil tanggungjawab untuk memastikan golongan-golongan ini diberi bantuan yang mencukupi untuk memulihkan situasi mereka secepat mungkin. Antara polisi dan program yang dicadangkan oleh PSM untuk memulihkan situasi sosio-ekonomi rakyat pasca COVID-19 adalah:

  • Skim pencen warga emas untuk semua penduduk Malaysia yang berumur 65 tahun ke atas dan tidak menerima pencen kerajaan ataupun PERKESO;
  • Skim jaminan kerja untuk sesiapa yang mencari kerja;
  • Pengwujudan kerja-kerja “hijau” baharu untuk memulihkan kawasan hutan yang telah dibalak, membersihkan sungai, dan membina sistem pengendalian sisa buangan domestik supaya dapat mengitar semula sisa buangan (recycle) sebanyak yang boleh, dan sebagainya.
  • Penambahan peruntukan Kementerian Kesihatan dari RM32 bilion bagi tahun 2021 ke RM38 bilion untuk tahun 2022 supaya perkhidmatan kesihatan dapat diperkukuhkan.
  • Pembinaan 200,000 unit rumah PPR setiap tahun untuk disewa kepada keluarga yang berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan dengan kadar di bawah RM250 sebulan.
  • Pengambilalihan pengurusan rumah-rumah pangsa kos rendah oleh kerajaan tempatan serta peruntukan dana yang mencukupi untuk membaiki lif, lampu-lampu di kawasan am, pemegang tangan untuk tangga dan sebagainya.

Semua tuntutan ini adalah sebahagian daripada kempen nasional PSM terkini yang akan dilancarkan tidak lama lagi. Adalah hasrat PSM untuk menyebarkan tuntutan-tuntutan yang berpihak kepada rakyat biasa secara meluas untuk memotivasikan rakyat umum menyertai kempen ini dan mendesak supaya sebahagian besar kekayaan negara (surplus) diagihkan kepada rakyat biasa melalui skim-skim yang digariskan di atas. Peranan gerakan kiri adalah mendedahkan kepada rakyat situasi sebenarnya, iaitu kekayaan Malaysia telah berlipat ganda dalam 50 tahun yang lepas.

Keluaran dalam negera kasar (KDNK = GDP) Malaysia adalah RM10.3 bilion pada tahun 1970. Pada tahun 2019, KDNK Malaysia telah mencapai RM1.5 trilion ataupun RM1,500 bilion – peningkatan sebanyak 145 kali. Selepas mengambil kira kenaikan harga barangan (450% dalam tempoh 50 tahun) dan peningkatan populasi Malaysia daripada 10 juta orang pada tahun 1970 kepada 32 juta orang sekarang, kita dapati bahawa peningkatan KDNK per kapita adalah lebih daripada 10 kali ganda. Setiap orang rakyat Malaysia adalah 10 kali lebih kaya berbanding seorang rakyat Malaysia pada tahun 1970! Tetapi banyak keluarga masih dibelenggu masalah hutang dan hidup dalam kesusahan pada masa kini.

Inilah realiti yang dihadapi oleh rakyat dalam negara yang bertambah kaya. Ke mana perginya kekayaan negara? Kenapa kekayaan ini tidak digunakan untuk meringankan beban kehidupan rakyat biasa? Kenapa golongan orang muda kita ditekan oleh hutang pendidikan yang tinggi dan ketiadaan kerja yang setimpal dengan pendidikan mereka? Mengapa golongan warga emas kita terpaksa bergantung kepada anak cucu mereka tanpa sebarang pendapatan sendiri walhal titik peluh merekalah yang membangunkan ekonomi negara ini? Mengapa pengurusan kekayaan negara kita begitu cuai?

Inilah antara isu-isu yang kita harus sampaikan kepada rakyat umum supaya mereka dimotivasi untuk bergerak bersama kita dalam menuntut sebahagian yang lebih besar daripada kekayaan negara (yang dicipta oleh rakyat sendiri) digunakan demi kebaikan rakyat umum. Ombak COVID-19 akan beredar secara beransuran dalam tahun-tahun yang akan datang dan ini akan membuka ruang untuk kita melancarkan aksi-aksi jalanan untuk menegakkan dan mempopularkan tuntutan kita. Kempen ini berpotensi untuk membuka minda rakyat umum terhadap visi berbeza yang dibawa oleh PSM – satu masyarakat yang berdasarkan solidariti rakyat di mana kekayaan negara digunakan untuk mewujudkan masyarakat yang makmur.

Rosa Luxemburg, seorang pemimpin sosialis Jerman, sering mendesak untuk tindakan mogok umum (mass strike). Rosa percaya bahawa rakyat biasa hanya akan dapat memahami eksploitasi yang berlaku dalam masyarakat apabila mereka melibatkan diri dalam perjuangan menuntut polisi yang pro-rakyat. Beliau berpendapat bahawa penglibatan dalam aktiviti jalanan untuk menegakkan keadilan ekonomi jauh lebih berkesan dalam membawa kesedaran politik daripada menghadiri ceramah ataupun membaca risalah dan artikel.

Tetapi saya ingin memasukkan satu kaveat berkenaan ini. Protes jalanan yang menyokong tuntutan rasis ataupun yang berpunca daripada perasaan “kecewa” (frust) tanpa mengemukakan penyelesaian yang progresif, ataupun yang memajukan hasrat seorang pemimpin politik borjuis yang berazam untuk mengambil alih kerajaan, tidak akan menjana kesedaran politik terhadap struktur penindasan kelas yang wujud dalam masyarakat kita. Jadi, kita sebagai sebuah gerakan kiri, harus cuba sedaya upaya untuk memastikan unsur-unsur progresif adalah terkandung dalam mobilisasi yang kita libatkan diri dan berjaga-jaga daripada diperkudakan oleh puak-puak yang bermain politik borjuis – yang hanya berhasrat untuk mengambil alih kuasa tetapi langsung tiada keinginan untuk menyoal atau mengubahsuai pengagihan kekayaan negara.

PRU-15

Ada kemungkinan besar Pilihanraya Umum ke-15 (PRU-15) akan diadakan pada pertengahan tahun 2022 dan kita harus bersedia. Dalam perbincangan Trolak (Januari 2020), telah diputuskan bahawa kita seharusnya mengambil bahagian dalam PRU tetapi dengan mengurangkan bilangan kerusi yang ditandingi. Kita juga harus cuba meningkatkan undi yang diperolehi di setiap kerusi yang ditandingi.

Kita mesti bersikap realistik apabila kita menghadapi PRU-15. Memang kita pernah menang dua kerusi sebelum ini, tetapi kita mesti menerima hakikat bahawa pengundi di dua kawasan itu mengundi calon PSM kerana kita mewakili pihak pembangkang pada masa itu dan pengundi berazam untuk menjatuhkan kerajaan BN. Mereka tidak sedar terhadap ideologi sosialis kita. Untuk mereka, kita adalah seorang calon pembangkang. Situasi ini sedang berubah sedikit demi sedikit – orang awam sedang mula menyedari PSM amat berbeza daripada parti-parti PH kerana kita sentiasa konsisten dalam menyuarakan dan memperjuangkan isu-isu rakyat. Tetapi kesedaran sebegini jauh daripada tahap yang perlu untuk PSM menang dalam pertandingan tiga penjuru dengan PN-BN-PAS dan PH.

Pada masa ini, pemahaman politik dalam kalangan rakyat Malaysia adalah berdasarkan perasaan/persepsi etnik, amalan feudalisme di mana pemimpin politik diharapkan untuk menabur wang kepada penyokongnya, dan sikap anti-kiri.

Antonio Gramsci, seorang sosialis dari negara Itali, telah menyifatkan pemikiran politik yang dominan dalam sesebuah masyarakat sebagai ideologi hegemonik. Ideologi yang dominan (hegemonik) memainkan peranan besar dalam mengekalkan sistem sosio-ekonomi dan kepimpinan politik yang wujud di setiap masyarakat. Dan pemikiran hegemonik ini pula diterima oleh hampir semua rakyat walaupun sistem ekonomi yang disandar oleh ideologi itu memangsakan dan menyusahkan ramai antara mereka.

Menurut Gramsci, adalah amat penting untuk gerakan kiri mencabar ideologi yang hegemonik (dominan) dan mewujudkan satu analisis yang bertentangan (“counter-hegemonic”) dengannya. Analisis yang berbeza dan visi yang baharu – serta satu naratif berkaitan halatuju masyarakat untuk mencapai visi baharu ini. Gramsci berpendapat bahawa sebuah parti kiri hanya akan berjaya apabila sebahagian signifikan rakyat memahami dan menyokong naratif “counter-hegemonic” serta dapat melibatkan diri mereka dalam perjuangan untuk mencapai visi tersebut. Inilah apa yang kita sedang cuba lakukan melalui Gerakan Marhaen PSM dan kempen-kempen nasional seperti pemulihan masyarakat pasca COVID-19. Tetapi usaha-usaha ini akan mengambil masa beberapa tahun untuk membina ombak counter-hegemonic yang cukup kuat untuk bertanding tiga penjuru dan menang.

Kepimpinan Pusat PSM telah meminta maklum balas daripada semua cawangan dan unit negeri berkaitan dengan pendekatan yang harus kita ambil dalam menghadapi PRU-15. Pandangan majoriti adalah kita boleh mengadakan persetujuan elektoral dengan PH jika terma-termanya munasabah. Selepas itu, Jawatankuasa Pusat PSM telah menghubungi PH dan memberitahu mereka bahawa kita sedia berkerjasama dengan PH dalam satu gandingan pilihanraya (electoral pact), dan satu perjumpaan bersemuka telah pun diadakan.

Cadangan Jawatankuasa Pusat adalah untuk mengadakan satu Sesi Perbincangan Dalaman (SPD) untuk mengupas isu ini pada awal tahun depan. Ada kemungkinan ahli-ahli parti mempunyai pandangan yang berbeza berkaitan persoalan ini. Peranan Jawatankuasa Pusat adalah memberi ruang kepada semua pihak untuk menyuarakan pandangan mereka masing-masing dan bertukar fikiran. Akhirnya satu keputusan kena diambil – secara konsensus jika semua setuju, ataupun melalui pengundian jika masih ada pendirian yang berbeza. Selepas itu, kita semua harus mengikuti pilihan majoriti. Itulah ertinya “democratic centralism”.

Kita harus mengendalikan PRU-15 dengan perspektif yang menyeluruh (holistic) dan sikap yang matang. Kita masih belum mencapai pemikiran counter-hegemonic dalam kalangan orang ramai. Tahap perjuangan kita pada masa ini adalah di peringkat membina gerakan rakyat, memperluaskan naratif baharu terhadap masa depan Malaysia dan memantapkan jentera parti. PRU-15 merupakan satu “sideshow” untuk kita. Jika kita dapat menang beberapa kerusi Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri (DUN), kita boleh menggunakan pentas itu untuk menyebarkan pandangan counter-hegemonic kita. Tetapi kita tidak bergantung kepada kemenangan dalam PRU semata-mata untuk meneruskan kerja-kerja politik kita. Kita boleh bergerak secara berkesan dengan aktiviti dan kempen yang sedang dianjurkan PSM. Jadi, tidak perlu kita berkompromi terlalu banyak untuk mewujudkan electoral pact supaya dapat bertanding satu lawan satu.

Mengikis budaya patriarki

Sebagai sosialis, kita semua mesti peka terhadap segala bentuk penindasan yang berlaku dalam masyarakat kita. Memang kita semua sedar akan penindasan kelas dan diskriminasi etnik. Tetapi ramai antara kita tidak begitu sedar berkaitan penindasan yang berpaksikan gender. Oleh kerana kita semua dibesarkan dalam budaya berunsur patriarki, ramai beranggapan bahawa interaksi kita dengan wanita dan juga individu LGBT adalah perkara biasa (normal) dan tidak menyedari ianya merupakan satu lagi bentuk penindasan jika ianya menyekat penglibatan orang itu ataupun menyebabkannya terasa malu, tidak selesa ataupun terancam.

Pada tahun lalu, Biro Gender PSM telah menggubal polisi mengenai Gangguan Seksual dalam parti supaya semua wanita dalam parti boleh berada dan bekerja dalam suasana yang selamat. Polisi ini bukan satu benda hiasan sahaja, tetapi akan digunapakai jika berlakunya gangguan seksual dan untuk mencegah gangguan seksual. Saya harap semua ahli akan memberi kerjasama supaya kita dapat mengurangkan diskriminasi berpaksikan gender.

Bersikap realistik dan mencapai yang “mustahil”

Inilah seruan Che Guevara. Dan seruan ini adalah tepat untuk situasi kita – cita-cita PSM adalah besar. Sasaran kita adalah untuk menjadi pembangkang utama di Malaysia dalam jangka masa 20 tahun – suatu matlamat yang ramai orang beranggapan mustahil! Memang ianya mustahil jika rakyat Malaysia terus tersangkut dalam pemikiran etnik dan feudal.

Pada pemahaman saya, seruan Che bermakna bahawa perkara yang nampak mustahil pada satu takat boleh dicapai jikalau situasi dalam masyarakat berubah, pemikiran rakyat dibebaskan daripada kerangka etnik dan feudal serta kesanggupan parti ditingkatkan. Jadi, seruan Che adalah untuk bersikap realistik, mengenalpasti kerja-kerja yang harus dilakukan untuk melancarkan ombak perubahan dalam pemikiran politik rakyat supaya budaya counter-hegemonic dapat mencabar budaya hegemonik.

Kerja-kerja yang kita harus lakukan untuk mencapai matlamat “mustahil” kita adalah:

  • membina gerakan rakyat marhaen kebangsaan dengan sokongan rakyat seluruh Malaysia untuk mengemukakan tuntutan setiap sektor pekerja dan petani. Gerakan ini juga harus melibatkan orang awam yang memperjuangkan isu seperti isu alam sekitar dan pemanasan global.
  • memperkukuhkan jentera parti ke tahap di mana kita mempunyai cawangan lebih daripada 90% kawasan parlimen di negara kita, dan mempunyai ahli yang secukupnya serta sanggup menjadi calon dalam pilihanraya. Calon ini semestinya berpegang kepada prinsip sosialis dan yang tidak boleh dibeli oleh kaum korporat.
  • membina kapasiti Parti kita untuk dapat mengendalikan persoalan dan kekeliruan orang biasa terhadap naratif atau visi kiri. Orang awam masih ada banyak keraguan terhadap masyarakat dan ekonomi sosialis – mereka menyoal mengapa wujud krisis ekonomi di Venezuela; sama ada negara China sudah berubah kepada sistem kapitalis; status hak asasi manusia (human rights) di negara-negara sosialis; kebebasan beragama di negara sosialis; dan bagaimana mendapatkan dana yang mencukupi untuk melaksanakan segala polisi yang dicadangkan oleh PSM tanpa menjejaskan ekonomi negara. Adalah penting untuk kita dapat memberi jawapan yang ikhlas dan jelas kepada semua keraguan ini dan menyakinkan orang ramai bahawa pelan tindakan yang disyorkan oleh kaum progresif adalah realistik dan boleh dicapai jika disokong oleh rakyat umum. Usaha ini amat perlu jika kita mahu memajukan naratif counter-hegemonic dalam kalangan masyarakat umum.

Justeru, terdapat banyak kerja-kerja dalam pelbagai bidang yang perlu dilaksanakan jika kita mahu mencapai matlamat yang kita gariskan di Trolak pada bulan Januari 2020.

Masa depan gerakan sosialis di Malaysia adalah di tangan ahli-ahli PSM. Saya berharap saudara-saudari akan memberikan komitmen untuk meluangkan sedikit masa setiap minggu untuk melibatkan diri dalam aktiviti dan diskusi PSM. Sudah sampai masanya untuk PSM melancarkan kempen yang merangsangkan untuk memperkembangkan kuasa rakyat dan membentuk gerakan kiri. Pengalaman 3 tahun yang lalu telah mewujudkan banyak keraguan dalam kalangan rakyat terhadap kesanggupan parti-parti dalam BN, PN mahupun PH untuk mengendalikan masalah-masalah rakyat. Marilah kita menggunakan ruang yang wujud sekarang untuk mencetuskan ombak progresif yang membawa pemikiran sosialis ke seluruh negara Malaysia.

Salam Perjuangan. Selamat Berkongres!

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

One thought on “Bina alternatif yang mampu cabar hegemoni arus perdana – Ucapan Dasar Kongres Nasional PSM 2021

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *