Pekerja-pekerja yang bergabung dalam Konfederasi Kesatuan Sekerja Korea (KCTU) mengadakan aksi mogok di seluruh negara Korea Selatan pada 20 Oktober 2021 untuk membantah serangan terhadap kesatuan sekerja oleh pihak berkuasa, menentang ketidaksamarataan dalam masyarakat, dan menuntut peralihan ke arah sebuah masyarakat yang lebih adil.

Lebih 500,000 orang pekerja Korea Selatan dari pelbagai sektor, termasuk pembinaan, pengangkutan, perkhidmatan dan sebagainya, bermogok pada 20 Oktober 2021, dengan lebih 70,000 orang berdemonstrasi di jalanan di 14 lokasi di seluruh negara itu. Walaupun pihak berkuasa mengharamkan perhimpunan massa dengan alasan mencegah penularan wabak COVID-19, dan ribuan anggota polis dikerahkan untuk menghalang perhimpunan awam, tetapi ia tidak dapat menghalang pekerja-pekerja daripada terus beraksi. Polis mendirikan sekatan jalan dengan benteng bas di pusat bandar Seoul, ibu negara Korea Selatan, namun masih terdapat lebih 24,000 orang berhimpun di persimpangan Stesen Seodaemun. Lalu lintas di pusat bandar Seoul dilumpuhkan kerana aksi protes dan sekatan jalan polis.

Tuntutan-tuntutan yang dikemukakan oleh KCTU yang menganjurkan aksi mogok ini termasuk pemansuhan “kerja luar aturan” (kerja separuh masa, kerja sementara atau kerja kontrak yang tidak memberikan perlindungan hak pekerja), memperluaskan perlindungan hak pekerja, memberi kuasa kepada pekerja dalam proses penstrukturan semula ekonomi pada ketika krisis, dan memiliknegarakan serta mensosialisasi perkhidmatan asas seperti pendidikan dan perumahan. Pekerja-pekerja yang berprotes juga menuntut pembebasan Yang Kyeung-soo, Presiden KCTU yang ditahan sehingga kini sejak serbuan polis terhadap ibupejabat KCTU pada 2 September 2021. Yang Kyeung-soo ialah Presiden KCTU ke-13 yang dipenjarakan berturut-turut oleh pihak berkuasa sejak gabungan kesatuan pekerja tersebut dibenarkan untuk wujud di sisi undang-undang sejak tahun 1997.

Pekerja-pekerja Korea yang berprotes di Seoul memakai kostum yang mendapat inspirasi daripada siri drama popular Squid Game. (foro: Ahn Young-joon / AP)

Kim Ho Gyu, Presiden Kesatuan Pekerja Logam Korea (KMWU), berkata dalam himpunan pekerja di Seoul, “Ketidaksamarataan ialah suatu malapetaka. Peralihan industri yang didominasi oleh konglomerat Chaebol (iaitu gabungan syarikat korporat yang dikuasai oleh sesebuah keluarga berpengaruh di Korea Selatan) akan menimbulkan ketidaksamarataan yang lebih mendalam lagi, seperti fenomena COVID-19. Penglibatan golongan buruh ialah solusi untuk membangunkan sedikit keimunan terhadap ketidaksamarataan ini. Kesatuan Pekerja Logam Korea akan melangkah ke depan untuk menghadapi cabaran zaman kita ini, untuk penglibatan buruh dalam transformasi industri demi semua rakyat bekerja.”

Kesatuan-kesatuan sekerja Korea Selatan mengadakan aksi mogok dan protes ini juga bertujuan untuk mengetengahkan tuntutan-tuntutan pekerja bersempena dengan Pilihanraya Presiden yang bakal diadakan pada bulan Mac 2022. Pelbagai aksi susulan yang terus mengetengahkan isu-isu pekerja ini telah dirancang untuk beberapa bulan akan datang. Namun, pihak berkuasa yang mengharamkan aksi protes juga mula mengadakan siasatan terhadap aktivis-aktivis kesatuan yang terlibat dalam mobilisasi pekerja ini.

(foto: Yoon Woon-sik / The Hankyoreh)

Korea Selatan ialah negara dengan jam bekerja setahun ketiga paling tinggi dalam kalangan negara-negara maju yang menganggotai Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD). Mengikut angka yang diterbitkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) pada tahun 2015, Korea Selatan juga menduduki tangga ketiga dalam kadar kematian di tempat kerja dalam kalangan negara-negara OECD. Lebih 40% pekerja di Korea Selatan dianggap sebagai “pekerja luar aturan”, di mana ramai antara mereka kerja dalam sektor ekonomi gig yang tidak mendapat perlindungan hak pekerja sepenuhnya di bawah undang-undang.

Pertumbuhan ekonomi pesat di Korea Selatan selepas Perang Korea pada tahun 1950-an, yang dikenali sebagai “Keajaiban di Sungai Han”, berlaku dengan latar belakang eksploitasi dan penindasan yang hebat terhadap golongan pekerja Korea. Konflik kelas yang hebat merupakan sesuatu yang ketara sepanjang tempoh tujuh dekad semasa Korea Selatan membangun menjadi sebuah negara berekonomi maju sehingga kini.

Perjuangan rakyat Korea Selatan yang hebat, termasuk pernah melibatkan pertumpahan darah, berjaya menamatkan pemerintakan kediktatoran tentera dan membawa kepada pendemokrasian di negara Asia Timur tersebut pada tahun 1980-an, tetapi dasar ekonomi neoliberal yang diamalkan oleh kerajaan Korea Selatan telah meneruskan kewujudan ketidakadilan sosial di negara itu. Di sebalik produk-produk berteknologi canggih yang dikeluarkan oleh syarikat Chaebol seperti LG, Samsung dan Hyundai, wujudnya pelbagai kisah eksploitasi buruh yang pedih. Oleh itu, perjuangan pekerja Korea Selatan tidak pernah berhenti. Banyak aksi mogok dan perjuangan yang hebat pernah diadakan oleh kesatuan-kesatuan sekerja yang militan di negara itu.

Pada ketika berdepan dengan pandemik COVID-19 dan usaha kerajaan Korea Selatan untuk membina sebuah “ekonomi digital”, pekerja-pekerja Korea Selatan juga menuntut supaya golongan pekerja diberi ruang untuk melibatkan diri dalam proses membuat keputusan mengenai penstrukturan semula ekonomi negara itu. Pekerja-pekerja bukan sahaja menuntut pada kerajaan untuk membuat perubahan bagi pekerja, tetapi mereka berjuang untuk lebih banyak kuasa demi menentukan nasib mereka sendiri. Pekerja-pekerja Korea Selatan juga menuntut pengagihan kekayaan masyarakat yang lebih adil.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *