Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

==========

oleh Gabungan Marhaen

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita Malaysia yang sebenar hari ini telah berjaya meningkat sebanyak 10 kali ganda berbanding 50 tahun dahulu, tetapi ramai dalam kalangan rakyat masih hidup dalam kesusahan, malah terus dibelenggu kemiskinan. Kenapa kita masih tidak dapat mengatasi masalah kemiskinan sedangkan negara kita sudah semakin kaya? Inilah salah satu persoalan yang dikupas dalam forum pakar mengenai kemiskinan anjuran Gabungan Marhaen semalam (17 Oktober 2021).

Kemuncak Himpunan Marhaen bersempena dengan Hari Antarabangsa untuk Pembasmian Kemiskinan pada 17 Oktober 2021, menyaksikan dua forum dan satu konsert atas talian. Salah satu aktiviti, iaitu Forum Pakar yang bertemakan “Pandemik, Kemiskinan, Perjuangan”, membariskan ahli-ahli panel seperti Jayanath Appudurai daripada Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM), Quratulain Atiqah daripada Dapur Jalanan Kuala Lumpur, Dr. Madeline Berma selaku Felow Akademi Sains Malaysia yang juga merupakan Pesuruhjaya SUHAKAM, dan Dr. Jeyakumar Devaraj selaku Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang juga merupakan bekas Ahli Parlimen Sungai Siput. Forum ini telah membincangkan secara mendalam mengenai punca kemiskinan, impaknya kepada masyarakat kita dan juga cara-cara untuk mengatasinya.

1/5 rakyat Malaysia hidup dalam kemiskinan

Jayanath Appudurai memberi penjelasan mengenai definisi dan pengukuran kemiskinan, di samping berkongsi tentang data-data berkaitan dengan kemiskinan serta profil ketua isi rumah miskin di Malaysia. Menurut Jayanath, terdapat dua jenis pendekatan digunakan untuk menentukan kemiskinan, iaitu pendekatan mengikut pendapatan dan juga pendekatan indeks kemiskinan pelbagai dimensi (MPI) yang mengandungi pendidikan, kesihatan, taraf hidup dan pendapatan. Kerajaan kita sudah mula menggunakan MPI juga pada tahun 2016. Pendapatan garis kemiskinan (PGK) mutlak di negara kita sekarang sudah dikaji semula dan ditetapkan pada angka RM2,208 (iaitu isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM2,208 dianggap sebagai isi rumah miskin mutlak), yang menjadi penanda aras dalam mengukur kemiskinan oleh kerajaan dan berfungsi sebagai indikator dalam memantau pembasmian kemiskinan di negara kita. PGK tegar di negara kita sekarang ini ialah RM1,169, sementara PGK relatif (iaitu pendapatan bulanan hanya 50% daripada pendapatan median) pula ialah RM2,937.

Daripada maklumat anggaran pendapatan isi rumah dan insiden kemiskinan yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada bulan Ogos 2021, didapati bahawa kadar kemiskinan mutlak telah meningkat daripada 5.6% pada tahun 2019 kepada 8.4% pada tahun 2020 akibat daripada impak pandemik COVID-19 yang melanda negara kita. Kadar kemiskinan tegar juga meningkat dari 0.4% (2019) kepada 1.0% (2020), sementara kadar kemiskinan relatif menurun sedikit dari 16.9% (2019) kepada 16.2% (2020). Pada tahun 2020, dianggarkan terdapat sebanyak 639,800 buah isi rumah di Malaysia tergolong sebagai isi rumah miskin mutlak. Jika membuat anggaran kemiskinan mutlak mengikut kawasan bandar dan luar bandar, dianggarkan bahawa terdapat 430,000 buah isi rumah bandar (7% daripada jumlah isi rumah bandar) tergolong sebagai miskin mutlak, sementara 210,00 buah isi rumah luar bandar (15% daripada jumlah isi rumah luar bandar) tergolong sebagai miskin mutlak mengikut PGK mutlak. Menurut Jayanath, jika kita melihat pada realiti kemiskinan, dengan mengambil kira PGK relatif, bilangan isi rumah miskin di kawasan bandar mencecah 850,000, sementara bilangan isi rumah miskin di kawasan luar bandar pula mencecah 500,000. “Hampir satu daripada lima orang di negara ini ialah orang miskin,” kata Jayanath.

Jayanath mengatakan bahawa 75% isi rumah miskin memperoleh pendapatan daripada sumber tunggal. Dari segi gender, 25% isi rumah miskin diketuai oleh wanita, di mana antaranya 75% ialah ibu tunggal. Salah satu punca isi rumah miskin ini berpendapatan rendah ialah 75% ketua isi rumah ini terlibat dalam pekerjaan berkemahiran rendah yang dibayar gaji rendah, di mana gaji median hanyalah RM1,274-1,615 dan gaji purata pula hanya RM1,547-1,926.

Jayanath juga menyentuh tentang Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang mengemukakan beberapa sasaran dalam pembasmian kemiskinan, termasuk mengurangkan kemiskinan tegar kepada 0% pada tahun 2025. Jayanath mengesyorkan kepada Gabungan Marhaen supaya memainkan peranan yang lebih pro-aktif dalam memastikan program pembasmian kemiskinan yang digariskan dalam RMK-12 itu dilaksanakan. Cadangan Jayanath ialah masyarakat sivil perlu mendesak untuk mendapatkan penjelasan mengenai program dan data yang terkandung dalam RMK-12, memantau pelaksanaan (misalnya sasaran membina 500,000 buah rumah mampu milik di kawasan bandar dan bantuan pembinaan 50,000 buah rumah di kawasan luar bandar) dan menilai pencapaian pelaksanaan program-program yang dirancang.

Taburan kemiskinan yang tidak seimbang

Dr. Madeline Berma berkata bahawa penularan wabak COVID-19 sejak tahun 2020 telah menimbulkan gangguan kepada ekonomi masyarakat, sehingga pengeluaran dan penggunaan telah berhenti. Ini telah memberi impak kepada peningkatan dalam insiden kemiskinan. Walaupun insiden kemiskinan telah meningkat dari 5.6% (2019) ke 8.4% (2020) di seluruh negara kita, tetapi adanya negeri yang mengalami peningkatan kadar kemiskinan yang lebih tinggi, di mana tiga buah negeri yang paling teruk ialah Sabah, Kelantan dan Sarawak.

Menurut Dr. Madeline, separuh daripada rakyat di Malaysia tidak mempunyai aset kewangan dan ini menjadikan mereka mudah jatuh menjadi miskin apabila berlakunya krisis. “Inilah yang sangat menakutkan. Selain daripada berpendapatan rendah, mereka juga tidak mempunyai perlindungan jaringan keselamatan sosial. Inilah sebabnya berlaku perkara seperti rakyat perlu mengangkat bendera putih untuk meminta makanan dan bantuan,” kata Dr. Madeline. Impak pandemik COVID-19 kepada masyarakat miskin bandar termasuklah kehilangan punca pendapatan, kehilangan tempat tinggal, mobiliti terhad, masalah kesihatan mental, kematian ketua isi rumah, penurunan nutrisi dan kemiskinan digital.

Dr. Madeline juga mengetengahkan kemelut yang dihadapi oleh masyarakat Orang Asli/Asal (OA) yang tinggal di kawasan pedalaman semasa pandemik COVID-19. Kehidupan masyarakat OA telah diancam dan dijejaskan teruk, termasuk kehilangan punca rezeki, mereka yang bekerja di luar terperangkap di bandar, akses kepada makanan dan bekalan asas yang terhad, kekurangan akses kepada maklumat dan sekatan terhadap amalan budaya tradisional mereka untuk mendapat makanan.

“Kita lihat betapa susahnya masyarakat luar bandar di Sarawak untuk keluarkan wang dari bank bagi kegunaan keperluannya. Pertama sekali, dia perlu mengambil surat melintas daerah. Untuk ambil surat itu, kena naik bot tiga empat jam. Lepas dapat surat itu, kena beratur panjang lagi di bank. Ada yang pergi seawal jam dua pagi. Benda yang dianggap remeh oleh orang di bandar, tetapi menjadi begitu sukar dan inilah yang perlu dihadapi oleh masyarakat luar bandar,” ulas Dr. Madeline.

Dr. Madeline berkata bahawa adalah penting untuk kita mengenalpasti golongan rentan (termasuk kumpulan yang didiskriminasi) supaya mendapatkan data yang mencukupi dalam membangunkan usaha pembasmian kemiskinan. Dr. Madeline juga memetik satu ayat yang pernah dikatakan oleh Sukarno, “Orang tidak bisa mengabdi kepada Tuhan dengan tidak mengabdi kepada sesama manusia. Tuhan bersemayam di gubuknya si miskin.”

Jurang teknologi meminggirkan lagi golongan miskin

Quratulain Atiqah berkongsi pandangannya berdasarkan pengalamannya bergiat aktif bersama Dapur Jalanan Kuala Lumpur di lapangan sejak tahun 2014. Dapur Jalanan Kuala Lumpur yang pada awalnya memberi fokus kepada mewujudkan kesedaran mengenai isu kemiskinan melalui sesi perkongsian makanan, dari semasa ke semasa telah menggerakkan pelbagai inisiatif berkenaan dengan kesihatan, pendidikan dan sebagainya untuk membantu golongan miskin bandar. Dapur Jalanan Kuala Lumpur juga pernah membuat pemetaan komuniti ke atas komuniti yang mengunjungi sesi perkongsian makanan Dapur Jalanan di Jalan Panggung, Kuala Lumpur. Berdasarkan kajian yang dimulakan pada tahun 2017 ini, mereka dapat memahami masalah yang dihadapi dan punca kemiskinan bandar dengan lebih mendalam lagi.  

Quratulain mengetengahkan masalah jurang dari segi mengakses bantuan yang disediakan oleh kerajaan yang dihadapi oleh sebahagian komuniti miskin bandar, termasuk masalah tidak dapat mengakses maklumat atas talian, sebaran maklumat yang tidak kesampaian secara langsung kepada mereka, kekurangan alat komunikasi yang membolehkan mereka memohon melalui aplikasi atas talian, maklumat yang tidak dapat dikemaskini, nombor telefon yang tidak digunakan lagi kerana tiada wang untuk top-up simkad pra-bayar, dan banyak lagi.

Quratulain berpendapat bahawa isu-isu kemiskinan di lapangan ini boleh diatasi melalui usahasama pelbagai pihak yang berwajib. Namun, cabaran sudah tentu lebih besar untuk masyarakat di luar bandar, kerana di kawasan bandar sekurang-kurangnya ada banyak badan bukan kerajaan (NGO) yang boleh membantu.

Quratulain juga berkata bahawa isu kemiskinan bukannya isu yang baharu. Isu kemiskinan juga perlu dilihat dari sudut merentasi negeri, kerana di tempat berlainan perlunya cara yang berlainan untuk menanganinya. “Kemiskinan juga bukan satu isu yang mudah untuk diselesaikan. Perlu untuk kita usahakan bersama dan bergerak bersama… Kerjasama semua diperlukan. Kita tidak patut berputus asa. “Oleh sebab perjalanan ini panjang berliku, kita tidak boleh lakukan sendiri, maka perlu lakukan bersama semua,” kata Quratulain.

Perlu faham punca kemiskinan

Dr. Jeyakumar Devaraj mengupas lebih mendalam lagi punca utama kemiskinan di Malaysia. Menurut Dr. Jeyakumar, Malaysia boleh dikatakan berjaya dari segi pembangunan ekonomi kerana KDNK per kapita sebenar kita telah melambung naik sebanyak 1011% (ataupun lebih 10 kali ganda) dalam tempoh dari tahun 1970 hingga 2019, tetapi masih adanya orang yang hidup susah pada hari ini. Dalam kalangan golongan M40 pun, ada banyak keluarga menghadapi tekanan hidup seperti beban hutang.

Menurut Dr. Jeyakumar, walaupun KDNK per kapita sebenar telah meningkat sebanyak 1011% dalam tempoh lima dekad lalu, tetapi peningkatan gaji pekerja adalah jauh rendah daripadanya, di mana gaji median pekerja kilang hanya bertambah 147% dalam tempoh yang sama dan gaji median pekerja ladang pula hanya meningkat 107%. Ini bererti bahawa kekayaan yang bertambah itu tidak dikongsikan secara setara untuk semua lapisan dalam masyarakat kita. Fenomena “penekanan gaji” yang ketara dalam ekonomi negara kita ini adalah disebabkan persaingan dalam kalangan negara-negara serantau untuk menarik pelaburan asing (FDI). Untuk menarik pelaburan asing, negara kita menekan gaji pekerja pada paras yang rendah untuk mengurangkan kos pengeluaran. Rantaian pengeluaran global yang dikuasai oleh syarikat gergasi multinasional (MNC) turut menekan gaji pekerja, di mana kapitalis MNC akan memindahkan tempahannya ke negara lain yang kos pengeluarannya lebih rendah jika kapitalis tempatan menaikkan gaji pekerja.

Dari segi pengagihan kekayaan yang dihasilkan oleh pekerja, hanya 37% pergi kepada gaji pekerja. Daripada 37% kekayaan yang dibayar sebagai gaji itu pun, ia tidak diagihkan secara samarata. “Nampaknya masyarakat kita lebih menghargai orang yang menjaga kepentingan orang terkaya, dan orang yang membuat kerja sebenar yang memanfaatkan rakyat marhaen itu tidak dihargai. Kerja yang berguna tidak dibayar ganjaran yang sewajar, sebaliknya kerja yang membantu golongan terkaya untuk menjaga kekayaan mereka dibayar ganjaran yang lumayan,” kata Dr. Jeyakumar.

Dr. Jeyakumar juga mengetengahkan komodifikasi sebagai salah satu lagi faktor yang menyebabkan kemiskinan di negara kita. Komodifikasi keperluan asas masyarakat (seperti perumahan) menyebabkan kos hidup rakyat meningkat, dan memeras pendapatan pekerja yang sedikit itu.

Dr. Jeyakumar menyenaraikan beberapa cara untuk mengatasi masalah kemiskinan di Malaysia, termasuk:

  • Meningkatkan bahagian kekayaan yang disalurkan kepada pekerja, dengan pendekatan seperti penetapan kadar gaji minimum yang lebih sesuai untuk sara hidup, pembentukan kesatuan sekerja dan penguatkuasaan undang-undang buruh yang lebih baik;
  • Menyediakan gaji sosial (seperti perumahan awam untuk disewa, peruntukan belanjawan kesihatan awam yang lebih besar, pencen warga emas untuk semua dan sebagainya);
  • Menghentikan persaingan antara negara-negara ASEAN untuk menarik FDI, dengan cara seperti mewujudkan perjanjian perdagangan yang lebih baik.

Dr. Jeyakumar menekankan bahawa adalah penting untuk rakyat menjadi sedar dan faham pada masalah pokok dalam masyarakat kita. “Sekarang ramai orang di Malaysia masih melihat kebanyakan masalah dari sudut kaum dan tidak memahami isu-isu pokok ini yang membelenggu semua rakyat tanpa mengira kaum,” kata Dr. Jeyakumar. “Adalah penting untuk kita membina Gerakan Marhaen untuk mengingatkan kita semua bahawa masalah kita adalah lebih kurang sama merentasi kaum. Musuh kita adalah sama. Kita adalah kawan tanpa mengira kaum. Dan kita harus membawa satu program yang boleh mengagihkan kekayaan negara kita yang dijana oleh semua rakyat secara bersama dengan lebih adil.”

Dr. Jeyakumar menegaskan bahawa masalah kemiskinan hanya dapat diatasi apabila golongan B40 dan M40 memahami punca sebenarnya, serta mengatasi pengaruh fahaman perkauman supaya membangunkan kuasa rakyat yang sebenar untuk mengubah keadaan. “Aktivis-aktivis masyarakat perlu membawa pemikiran baharu. Isu rakyat seperti perumahan bukannya isu perkauman, kerana semua orang perlukan rumah, begitu juga dengan semua orang perlukan perlindungan sosial seperti pencen, kesihatan dan sebagainya. Jika rakyat kita dapat bersatu dalam isu-isu bersama ini, barulah kita dapat membawa perubahan,” ulas Dr. Jeyakumar.

Himpunan Marhaen yang berlangsung dari 12 hingga 17 Oktober 2021 ini berakhir dengan Malam Marhaen yang membariskan persembahan daripada artis dan aktivis daripada latar belakang yang berbeza.

==========

Gabungan Marhaen ialah sebuah gabungan gerakan masyarakat yang terdiri daripada komuniti-komuniti akar umbi, kolektif-kolektif masyarakat, kesatuan-kesatuan sekerja, badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang progresif dan aktivis-aktivis masyarakat untuk memperjuangkan kepentingan rakyat terbanyak.

2 thoughts on “Kemiskinan hanya dapat diatasi apabila rakyat terbanyak faham punca sebenarnya dan bersatu untuk perjuangkan perubahan – Catatan Forum Pakar “Pandemik, Kemiskinan, Perjuangan”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *